“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal” [Ali ‘Imran 190]
Tuesday, March 8, 2011
Akal bagi seorang muslim
Seorang muslim yang benar, meyakini bahawa menjaga dan memelihara akal dengan ilmu dan mempergunakan akalnya untuk mencari nikmat Allah swt. di dunia ini adalah salah satu perkara yang wajib kerana Rasulullah (s.a.w.) bersabda yang bermaksud,
“Mencari ilmu adalah wajib ke atas setiap muslim.” (Riwayat Ibn Majah).
Oleh itu dia berkewajipan berusaha memelihara akalnya dengan ilmu dan makrifat. Memeliharanya terus menerus selagi nyawa dikandung badan. Allah swt. menyuruh setiap muslim supaya menuntut ilmu dan Dialah yang meninggikan darjat para ‘ulama dan juga orang-orang yang berilmu ke atas orang-orang yang tidak berilmu.
Firman Allah: “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran.” (Az Zumar: 9)
Seorang muslim yang hak ialah seorang yang alim dan berilmu serta terpelajar.
Menuntut Ilmu Berterusan Hinggalah Ke Akhir Hayat.
Belajar yang sebenarnya bukanlah hanya belajar setakat untuk mendapatkan ijazah, diploma atau sijil yang tinggi, dengan harapan untuk mendapatkan pekerjaan yang baik dan hidup senang. Tetapi yang dimaksudklan dengan menuntut ilmu dengan sebenarnya ialah kita mesti terus membaca, mengkaji dan menambah ilmu setiap hari.
Beramallah seperti firman Allah: “Dan katakanlah: “Ya Tuhanku, tambahkanlah kepadaku ilmu pengetahuan.” (Taaha: 114)
Para salafussolih, walaupun telah mencapai darjat ilmiah yang tinggi dan agung namun mereka tidak berhenti-henti berusaha menambah ilmu pengetahuan mereka. Mereka terus menerus mencari ilmu pengetahuan hingga ke akhir hayat mereka. Mereka memandang bahawa ilmu itu akan hidup dan berkembang terus dengan belajar dan membaca. Sebaliknya pula ilmu itu akan menjadi layu dan kering apabila ditinggalkan atau berhenti belajar dan membacanya. Mereka meninggalkan perkataan–perkataan yang masyhur yang menunjukkan bagaimana mereka menghormati ilmu dan memuliakannya.
Al Imam Malik (r.a.) berkata : “Tidak wajar bagi seorang yang mempunyai ilmu meninggalkan pelajarannya.” (Riwayat Muslim).
Telah dikatakan kepada Ibn Al Mubarak: “Sampai bilakah kamu menuntut ilmu?”, Beliau lantas menjawab: “Hingga mati, dan boleh jadi kalimah yang berguna kepadaku belum ku tulis lagi.” (Riwayat Muslim).
Dengan yang demikian jelaslah kepada kita betapa pentingnya kita menggunakan akal yang dikurniakan Allah ini untuk menuntut ilmu. Apa saja ilmu yang boleh memberi menafaat kepada kita baik di dunia mahupun di akhirat.
Ilmu Yang Patut Diketahui Oleh Seorang Muslim.
Ilmu yang patut diketahui dengan baik oleh seorang muslim ialah ilmu pengetahuan terhadap kitab Allah iaitu al-Quran. Dia mesti memperbaiki bacaannya, tajwidnya dan tafsirannya. Kemudian mengetahui pula ilmu-ilmu hadith, ilmu-ilmu sirah sejarah nabi, sejarah sahabat-sahabat, sejarah tabi’en, ‘ulama pewaris nabi sepanjang sejarah umat Islam sehingga ke hari ini, termasuklah ‘ulama mujtahidin dan mujahidin. Dia mesti mengetahui hukum-hukum agamanya di atas asas yang benar dan lurus untuk menegakkan ibadat dan muamalatnya.
Seorang muslim sepatutnya memandang serius terhadap sesuatu pengkhususan bidang, samada pengkhususan bidang itu berupa ilmu dari syariat Islam, ilmu agama ataupun ilmu pengetahuan dunia seperti ilmu sains, matematik, kejuruteraan, falak, kedoktoran, teknik perniagaan dan sebagainya. Dia harus mendalami ilmu itu dengan cukup baik, teliti hingga menjadi pakar yang Berjaya.
Disamping itu seorang muslim perlu berusaha bersungguh-sungguh menguasai bahasa Arab.
Rujukan: Keperibadian Muslim oleh Mohd Ali Hashimi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment