“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal” [Ali ‘Imran 190]
Sunday, March 20, 2011
Jiwa Seorang Muslim
Muslim yang hak, dalam dia membangun jasmani dan akalnya, tidak akan lupa bahawa dirinya tidak sahaja terbentuk daripada tubuh dan akal sahaja. Tetapi dia mestilah menyedari dan memahami bahawa dia mempunyai hati yang berdenyut, roh yang merindu, jiwa yang sensitif dengan berbagai kerinduan dan keinginan yang tinggi, yang mendorongnya mengejar ketinggian, menyelami lautan ibadat, mendesaknya untuk mencari nikmat dan kesenangan yang ada di sisi Allah swt. dan takut kepada segala balasanNya dan neraka jahanam.
Memurnikan Jiwanya Dengan Ibadat:
Oleh kerana itu wajiblah seorang muslim itu memberikan perhatian yang sungguh-sungguh terhadap jiwanya lalu dia berusaha mensucikannya dengan ibadat dan mencintai Allah swt. di sebahagian waktu malam hari dan siang hari, supaya sentiasa sedar dan waspada berjaga-jaga dari putar belit syaitan yang suka menipu. Berjaga-jaga dari was-was dan godaan yang merosakkan. Sekiranya dia terkena godaan syaitan dalam detik-detik kelemahannya, dia digoncang oleh kesedarannya lalu dia terus celik, sedar, taubat dan terus memohon ampun kepada Tuhannya.
Firman Allah yang bermaksud,
“Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa itu apabila mereka terkena godaan syaitan, mereka ingat lalu mereka melihat.” (Al-‘Araaf: 201)
Rasulullah s.a.w bersabda kepada sahabat-sahabat baginda yang bermaksud,
“Perbaharuilah iman kamu,” Dikatakan: “Bagaimana kami memperbaharui iman kami?” Baginda menjawab,”Perbanyakkanlah mengucap Laailaahaillallah, Tiada Tuhan melainkan Allah.”
Muslim itu meminta pertolongan dari Allah, menguatkan jiwanya dan memperbaiki dirinya dengan melakukan berbagai-bagai ibadat seperti membaca Al-Quran, berzikir kerana Allah semata-mata dengan penuh taat setia, takut dan khusyuk. Bersembahyang dengan cara yang betul dan sempurna segala syarat sahnya, khusyuk dan hadir fikirannya, juga dengan melakukan ibadat-ibadat yang lain dan latihan-latihan rohani. Melatih dirinya terus menerus melakukan ibadat ini sehingga menjadi satu kebiasaan.
Lantaran itu jiwanya menjadi segar dan murni, perasaannya menjadi halus, pancainderanya sedar dan selalu waspada, insaf dan beringat-ingat, mencintai Allah di waktu sunyi dan waktu terang. Takut kepada Allah di segala kira bicara dan muamalahnya dengan manusia, tidak khianat, tidak curang, tidak zalim, tidak menyeleweng dari kebenaran dan tidak terpesong dari jalan yang lurus.
Rujukan: Keperibadian Muslim. Mohd Ali Hashimi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment