“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal” [Ali ‘Imran 190]
Friday, June 24, 2011
Catatan Lawatan ke Utara.
Alhamdulillah pada pukul 4.45 pagi tadi saya dan peserta rombongan yang mengadakan lawatan ke utara tanah air telah selamat sampai di UMT. Rasa agak penat kerana kurang dapat tidur dalam perjalanan. Lebih-lebih lagi kerana sepanjang satu minggu yang lepas aktiviti saya agak padat dan melibatkan fisikal.
Lawatan yang agak santai dan menyeronokkan kerana isteri saya turut serta dalam rombongan. Jumlah peserta adalah 22 orang termasuk 6 pasangan suami isteri. Lawatan dianjurkan oleh Kelab Kakitangan Fakulti Sains dan Teknologi Malaysi,UMT.
Tempat-tempat yang sempat kami lawati ialah Kilang HR Manufacturing Sendirian Berhad , yang mengeluarkan produk susu kambing Hi Goat di Mergong, Buffalo Park dan makam Mahsuri di Langkawi serta singgah di Muzium Padi dan Pekan Rabu semasa perjalanan pulang dari Langkawi.
Rasa bangga dan bersyukur apabila melihat orang Melayu dapat mendirikan kilang sepertimana kilang HR Manufacturing Sdn. Bhd. yang begitu besar, jumlah pekerja yang ramai, mengeluarkan produk yang berbagai dan mempunyai alat-alat dan mesin yang lengkap.
Di Buffalo Park kami diberi penerangan oleh En. Nordin tentang sejarah penubuhan Buffalo Park serta aktiviti yang dijalankan. Di sini terdapat kerbau sapi yang diternak di dalam kandang dan susunya diproses untuk dijadikan produk-produk makanan seperti yougart, ais krem dan juga cheese.
Seterusnya kami melawat makam mahsuri dan saya tidak melepaskan peluang untuk masuk ke dalamnya walaupun dikenakan bayaran sebanyak lima ringgit seorang. Kali terakhir saya datang ke sini lebih kurang duapuluh tahun yang lepas.
Saya berada di dalamnya agak lama untuk menikmati keunikan rumah-rumah lama yang masih dikekalkan untuk tatapan jenerasi kemudian, juga muzium yang mempamerkan berbagai kelengkapan orang dahulu kala, juga kisah sejarah Mahsuri. Mengingatkan kepada saya bahawa orang Melayu mempunyai sejarah sendiri yang perlu diingati. Yang baik dijadikan tauladan dan yang buruk dijadikan sempadan.
Di dalam perjalanan pulang kami melawat Muzium Padi, berdekatan Gunung Keriang, di daerah Alor setar, Kedah. Untuk masuk kami dikenakan bayaran tiga ringgit seorang dan dua ringgit tambahan apabila membawa kamera.
Yang menariknya di Muzium Padi ini adalah di tingkat 3. Di mana kita akan dapat melihat keindahan pemandangan tanaman padi dalam bentuk ‘mural’ dan landskap. Lukisan 3D yang hidup membuatkan kita seperti melihat pemandangan yang sebenar.
Lukisan tersebut merupakan mural yang terbesar dan tercantik di Malaysia. Kita boleh menghayati panorama tersebut di atas platform berputar. Satu pusingan lengkap mengambil masa lebih kurang 15 minit. Sangat menarik…….
Di dalam perjalanan pulang saya amat tertarik dengan sawah padi yang subur menghijau, sayup mata memandang dan boleh dikatakan dapat dilihat di sepanjang perjalanan di Negeri 'Rice Bowl Of Malaysia'.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment