Pages

Friday, January 27, 2012

Aku Cinta Allah



Andaikan diriku bisa
Seperti yang lain
Yang Kau sayang
Yang Kau rindukan
Yang Kau cintai


Aku lemah tanpaMu aku lelah
Aku sungguh tak berdaya
Tolongku
Tolongku
Yaa Allah


Setiap air mataku mengalir
Allah aku lemah dan tak berarti
Setiap derai tangis membasahi
Allah jangan tinggalkan aku lagi


Aku sayang Allah
Aku rindu Allah
Aku Cinta Allah

Sunday, January 15, 2012

Kesihatan dan Kebaikan jiwa.

Sahabat-sahabat yang dikasihi.

Mari kita lihat satu nasihat Luqman.

Kata-kata Luqman..."Wahai anakku! Tiada kekayaan yang lebih bernilai daripada KESIHATAN dan tiada nikmat yang lebih utama daripada KEBAIKAN JIWA."


Apa yang boleh kita pelajari daripada kata-kata beliau?

Dua perkara penting yang disebut oleh Luqman ialah KESIHATAN dan KEBAIKAN JIWA.





Kesihatan bersandarkan kepada jasad atau jasmani dan kebaikan jiwa pula bersandarkan kepada rohani seseorang. Itulah dua unsur yang membentuk seorang insan, yang kewujudannya adalah sebagaimana yang kita dapat lihat.

Nikmat serta kekayaan adalah dua perkara yang sentiasa menjadi perhatian utama kebanyakan manusia. Manusia sanggup melakukan apa saja untuk mendapatkan nikmat dan kekayaan.

Tetapi apakah ertinya kekayaan bagi individu yang berpenyakit? Yang mempunyai masalah kesihatan? Sampai makan minum dan untuk bergerak pun terpaksa mengharapkan orang lain. Sebaliknya individu yang sihat boleh melakukan apa sahaja dengan bebas. Bekerja, beramal dan sebagainya dan hidup dengan penuh ceria.

Seterusnya, kebaikan jiwa adalah nikmat yang paling besar. Apa ertinya kenikmatan mempunyai harta kekayaan, pangkat, isteri yang cantik jelita bagi seorang individu yang mempunyai jiwa yang rosak atau jiwa yang tidak baik.

Rumahtangga, masyarakat dan negara boleh hancur akibat manusia-manusia yang jahat jiwanya.





Kesimpulannya...kita perlu sentiasa menjaga kesihatan tubuh badan dan jiwa kita supaya ianya sentiasa berada di dalam keadaan baik. Nikmat kesihatan tubuh badan dan nikmat mempunyai jiwa yang baik adalah nikmat yang tidak ternilai harganya.

Marilah kita kembali menekuni apa yang telah digariskan dan ditunjukkan dalam al Quran dan sunnah Rasulullah SAW dan menjadikan kedua-duanya sebagai panduan hidup kita.

Wallahua'lam..

Saturday, January 14, 2012

Semoga aku tidak lebih lemah dari ayam jantan.


Malam menghampiri ke separuh usia.... Entah apa yang akan ku nukilkan? Aku baru masuk ke 'new posts'. Harapannya ingin memasukkan post baru.

Fikiran masih menerawang....berada di medan khayalan.

Memang benar kata-kata yang berbunyi: 'Medan khayalan tidak sama dengan medan bercakap. Atau medan tulisan'. Terasa sukar untuk menulis sesuatu sebab idea agak kabur.

Aku lantas mengambil sebuah buku yang bertajuk 'Surah Luqman, mendidik anak cemerlang', yang berada di depanku. Aku belek-belek...dan di bahagian akhir buku itu terkumpul kata-kata hikmah Luqman.

Aku petik salah satu kata-katanya...yang berbunyi: "Wahai anakku,janganlah engkau menjadi lebih lemah daripada seekor ayam jantan yang berkokok pada waktu pagi hari, sedangkan engkau masih berbaring di katilmu".

Luqman memang terkenal dengan kata-kata hikmahnya. Kata-kata yang ringkas tetapi penuh makna.

Malam terus merangkak dan mula melewati ke pertengahan malam. Aku perlu membuat persiapan untuk memulakan tidurku. Aku takut akan menjadi lebih lemah daripada ayam jantan.

Wednesday, January 4, 2012

Satu kisah buat renungan


Mari kita baca satu kisah:



Pada suatu hari, seorang ahli sufi yang masyhur
bernama Syaqiq Al-Balkhir telah membeli sebiji
tembikai. Kemudian dia membawa tembikai itu pulang
dan diberikan kepada isterinya. Apabila isterinya
membelah tembikai itu untuk dimakan, ternyata buah
tembikai itu tidak elok, maka marah-marahlah isteri
Syaqiq dengan keadaan tersebut.


Maka bertanyalah Syaqiq kepada isterinya: "Kepada
siapa engkau tujukan marahmu itu, adakah kepada
penjual, pembeli, penanam atau Pencipta buah
tembikai itu?." Terdiam isterinya mendengar
pertanyaan tersebut.


Kemudian Syaqiq teruskan lagi kata-katanya:
"Adapun si penjual, sudah tentu mahu jualannya
terdiri daripada barangan yang terbaik. Adapun si
pembeli juga sudah tentu mahu membeli barang yang
terbaik juga. Bahkan si penanam juga sudah tentu
berharap hasil tanamannya yang terbaik juga. Maka
ternyatalah marahmu ini engkau tujukan kepada
Pencipta buah tembikai ini".

Maka bertaqwalah engkau kepada Allah dan redhalah dengan segala
ketentuan-Nya."


Maka menangislah isteri Syaqiq. Lalu bertaubat dan
iapun redhalah dengan apa yang telah ditentukan
oleh Allah SWT.


Apakah yang boleh kita pelajari dari kisah di atas?

Memang menjadi kebiasaan bagi kita, apabila terdapat sesuatu perkara yang tidak menyenangkan hati, kita akan luahkan perasaan marah. Suami marah isteri, isteri marah suami, ayah marah anak, kawan marah sesama kawan dan sebagainya. Tanpa kita mengkaji apakah punca berlakunya perkara tersebut. Kadang-kadang hasil dari kemarahan itu berlakulah perkara-perkara yang tidak diingini.

Kadang-kadang tidak sepatutnya kita marah kerana apa yang berlaku di luar perancangan manusia. Ianya adalah ketentuan Allah swt. untuk menguji atau mendidik kita.

Perasaan marah seseorang perlu ditangani dengan penuh hikmah, untuk melembutkan hati dan menyedarkan mereka yang mungkin telah silap membuat tanggapan. Akhirnya kita menerima apa yang telah berlaku dengan redha.





Waalahua'lam.

Tuesday, January 3, 2012

BESI

Bermulanya Sejarah Ini (BESI) 2011
Montaj rasmi sempena program ‘Bermulanya Sejarah Ini’ atau singkatannya BESI yang telah dianjurkan oleh Biro Dakwah, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Jordan.




Apa yang ingin saya bicarakan bukan BESI, sebagaimana yang kita tonton di atas, tetapi ialah besi, sejenis logam yang senang kita jumpai di mana-mana sahaja.

Perkataan besi disebut oleh Rasulullah SAW di dalam sebuah hadis Baginda yang bermaksud,“sesungguhnya hati itu berkarat seperti besi yang berkarat”. Ketika seorang sahabat bertanya: “Bagaimana menghilangkannya?” Beliau menjawab, “Mengingat mati dan membaca Al Qur’an”


Hadis di atas mengumpamakan hati manusia seperti besi, yang boleh bertukar daripada bersih berkilat, menjadi berkarat. Siapa yang tidak mengenal besi? Bagaimana besi boleh berkarat?


Besi yang ada harapan untuk digilap kembali



Besi yang tidak ada harapan untuk kembali ke bentuknya yang asal




Besi akan mudah berkarat apabila ianya terdedah dengan persekitaran yang berhabuk, hujan dan panas, apa lagi jika ianya terdedah dengan udara laut atau air laut.

Amat tepat sekali apabila Rasulullah mengumpamakan hati manusia adalah seperti besi. Besi yang pada asalnya bersih, berkilat dan tidak ada karat, boleh berkarat sebagaimana hati seorang mukmin yang pada mulanya bersih, bertukar menjadi kotor, berselaput, berpenyakit dan sebagainya.

Kalau besi berkarat adalah kerana faktor luaran, hati juga boleh berkarat disebabkan faktor luaran, iaitu melalui apa yang seseorang muslim itu dengar dan lihat, jelasnya pengaruh suasana di sekelilingnya. Sesuatu yang dilihat dan didengari, itulah yang akan masuk ke dalam hati dan memberi kesan kepada hati itu.

Oleh sebab itu Islam menganjurkan kepada kita supaya memilih kawan-kawan yang baik dan mencari suasana dan persekitaran yang baik.

Penting sangat ke hati itu?

Untuk mengetahui betapa pentingnya hati itu, mari kita lihat hadith-hadith Rasulullah SAW berhubung dengan hati.

Maksud hadith: "Allah tidak menilik rupa paras kamu bahkan Allah menilik kepada hati kamu".

"Ketahuilah bahwa di dalam tubuh ada seketul daging, apabila daging itu baik maka seluruh tubuh itu baik. Dan apabila daging itu rosak maka seluruh tubuh itupun rosak. Ketahuilah, itulah hati". – Hadis riwayat Bukhari.

Sejauh mana kita menjaga hati kita? Sejauh mana kita cuba pastikan supaya hati kita tidak berkarat, atau diselaputi dengan titik hitam akibat masiat atau dosa yang kita lakukan? Kita sendiri lebih mengetahui tentang hati kita.

Marilah sama-sama kita menjaga hati kita agar ianya sentiasa terhindar daripada ditutupi oleh debu-debu maksiat dan mendapat perlindungan Allah swt.

Marilah selalu kita berdoa dengan doa: "Wahai tuhan yg membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di dalam agamaMU dan dalam ketaatan kepadaMu".



Firman Allah: “Orang-orang yang beriman itu hati mereka menjadi tenteram kerana mengingat Tuhan. Ingatlah, bahwa dengan mengingat Tuhan itu, hati menjadi tenteram. Orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebaikan, mereka memperoleh untung baik dan tempat kembali yang utama.” [Ar-Ra’du ayat 28-29]