Pages

Friday, February 24, 2012

Siapa musuh?

Saudara yang dikasihi...Satu tulisan Saudara Aminudin untuk dikongsikan.



Siapa musuh?

Satu perkara yang membimbangkan saya apabila membaca komen-komen dan tulisan-tulisan orang Melayu Islam terhadap isu politik negara masa kini ialah :-

i. Mereka seolah-olah tidak kenal siapa musuh sebenarnya;

ii. Oleh itu maka mereka gagal untuk memberikan penyelesaian.

Ini menjadikan perbahasan-perbahasan yang berlaku lebih kepada emosi yang tidak ada titik penghujungnya. Akhirnya bukan saja penulis itu yang keliru malah yang membaca juga menjadi bertambah keliru.

Setiap kali saya menulis, isu yang saya ingin bawakan ialah :-

- bukan isu UMNO vs PAS kerana kedua-duanya Melayu Islam

- bukan isu siapa patut menang, UMNO atau PAS, kerana kedua-duanya terikat dengan tahaluf

- bukan isu rasuah, nepotism, kronism, atau segala salah laku kerana Islam bukan setakat hal-hal ini

- bukan isu Melayu vs Non Muslim kerana Islam tidak menghina atau menekan agama lain

Tetapi yang perlu kita semua fahami ialah negara sedang berdepan dengan serangan dunia barat yang menekan dan mendesak supaya segala budaya dan pemikiran mereka diterima pakai di negara ini. Liberalism, pluralism, demokrasi ala barat dan yang seumpamanya adalah antara desakan yang mereka buat supaya negara mengiktiraf.

Mereka juga menuduh Malaysia tidak ada toleransi agama dengan tidak membenarkan LGBT, pendakyahan kristianisasi (murtad), penghakiman mahkamah syariah dan lain-lain lagi. Mereka menggunakan segala ruang samada NGO, parti politik dan penguasaan ekonomi yang menjadi agen kepada dakyah mereka. Semua ini dibuat atas nama HUMAN RIGHTS.

Malangnya masyarakat Melayu Islam masih tenggelam dengan pertelingkahan.

Maka apakah penyelesaiannya?

Setiap orang Melayu Islam WAJIB MEMPERJUANGKAN KE ARAH MENDAPATKAN KUASA WEWENANG dalam menentukan keputusan dan dasar negara. Inilah matlamat akhir perjuangan setiap gerakan Islam kerana tanpanya tidak ada erti kejayaan. Selagi tidak ada wewenang ini maka selagi itu negara tidak akan terlepas dari cengkaman barat dan selagi itu Islam tidak akan dapat memainkan peranan yang sewajarnya dalam pemerintahan negara. Nah, persoalannya sekarang ;

- Adakah dengan UMNO terus menang akan menjanjikan wewenang Melayu? ATAU

- Adakah jika PAS menang akan menjanjikan wewenang Melayu?

Melihat keadaan politik yang ada sekarang ia adalah sesuatu yang MUSTAHIL kerana kedua-dua pihak sudah terikat dengan tahaluf dengan parti bukan Islam. Tidak mungkin Melayu Islam akan dapat menjalankan pentadbiran negara dengan bebas tanpa merujuk kepada rakan politik bukan Islam. Ertinya apapun outcome PRU13 nanti ia tidak membawa apa-apa makna yang besar kepada Islam.

Kalau begitulah keadaannya, apa erti UMNO terus berkuasa, apa ertinya PAS memerintah? Bolehkah UMNO bertindak tanpa merujuk kepada MCA atau MIC? Bolehkah PAS membuat keputusan tanpa terlebih dulu berbincang dengan DAP? Jangankan keputusan yang besar-besar malah nak cakap pasal Melayu pun semua pemimpin Melayu samada dalam UMNO atau PAS sangat-sangat takut. Berani saya katakan bahawa mereka semua sudah hilang JATIDIRI. Ini persoalan yang harus bermain dalam fikiran kita maka barulah kita dapat menilai dengan lebih matang dan rasional.

Bagi saya, jalan penyelesaiannya, jika pemimpin-pemimpin Melayu ini benar-benar ikhlas untuk memperjuangkan Islam, ialah mereka MESTI BERSATU dalam bentuk apa sekalipun. PAS tidak harus melihat UMNO musuh segala-galanya dan begitulah sebaliknya. Yang menjadi musuh ialah serangan-serangan barat ini dan mereka yang menjadi agennya.

Aminuddin Yahaya,
Timbalan Presiden,
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Blog: Suara Dari Gunung

No comments:

Post a Comment