Pages

Monday, May 7, 2012

Lagi Tentang Bersih......

Fitnah BERSIH


Menjawab kenyataan saya di facebook ;

“BERSIH adalah antara FITNAH yang besar, yang berlaku di bumi Melayu.”

Beberapa pengomentar meminta ulasan berkenaan apa yang saya timbulkan ini. Sebelum itu, ingin saya kongsikan pendapat saya berkenaan BERSIH. Tuntutan pilihanraya yang bersih sememangnya dibolehkan dalam Islam. Saya menyokong tuntutan-tuntutan BERSIH tetapi tidak bersetuju dengan cara dan perlaksanaan BERSIH yang dilihat terikut-ikut semangat “revolusi” Arab Spring. Saya berpandangan tidaklah salah, jika kita meminjam semangat-semangat perubahan ini, tetapi hendaklah kita pastikan semangat itu kembali semula pada Islam, iaitu kembali kepada neraca Al-Qur’an dan Sunnah dan bukanlah merujuk pada HRW (Human Right Watch) semata-mata.

Di mana agenda Islam?

Selain itu, perlaksanaan BERSIH yang dilihat kurang jelas pihak mana yang mendominasi perhimpunan tersebut menimbulkan tandatanya bagi saya.

Adakah agenda Islam yang dominan atau agenda puak Humanist?

Apakah agenda Islam dapat dimenangkan dengan BERSIH?

Percampuran Haq dan Batil dan berlaku percampuran agenda yang tidak jelas dominasinya. Adakah dominasi agenda Islam melebihi Jahiliyyah? Atau sebaliknya. Hal ini menimbulkan keraguan pada status BERSIH itu sendiri.

Semua ini tak lain tak bukan ialah persoalan-persoalan yang berlegar di kepala saya. Mungkin ada yang akan menjawab “rakyat” atau “masyarakat madani” yang mendominasi demonstrasi ini. Hendaklah kita ingat perhitungan terhadap sesuatu bukanlah bergantung pada kehendak rakyat dan masyarakat semata-mata tetapi perlu juga merujuk kepada al-Qur’an dan Sunnah. Tidak dapat tidak, dominasi agenda Islam dalam masyarakat adalah perlu bagi menjamin hak-hak Islam dan mengelakkan pihak-pihak musuh menggunakan semangat rakyat ini sebagai batu loncatan untuk melaksanakan idea –idea busuk dan jijik mereka.

Fitnah Yang Besar

FITNAH 1.0, 2.0, 3.0…

Jika kita imbau kembali peristiwa Fitnah Pertama iaitu Fitnah Pembunuhan Uthman yang membawa kepada pertelingkahan antara Sayyidina Ali r.a dan Sayyidatina ‘Aisyah r.anha. ia juga merupakan perang saudara pertama dalam sejarah Islam. Peristiwa ini dikenali sebagai Perang Jamal.

Peperangan antara Pasukan Sayyidina Ali bin Abi Talib r.a dan Pasukan Sayyidatina ‘Aisyah r.anha dalam Perang Jamal telah memecahkan kesatuan ummat pada ketika itu. Perang Jamal terjadi akibat daripada perbezaan pendapat orang-orang pada masa itu tentang penuntutan balas atas terbunuhnya Uthman dan pendapat Ali yang lebih mendahulukan untuk menyatukan kembali negara yang telah berpecah setelah terjadinya Fitnah Pembunuhan Uthman.

Jika diteliti sejarah, kedatangan Pasukan Ali ke Basrah pada awalnya ialah untuk menyatukan saf-saf umat pada awalnya dan bukanlah berniat untuk memerangi Pasukan ‘Aisyah tetapi untuk mengukuhkan kembali kesatuan Umat Islam.

Para pembunuh Sayyidina Uthman r.a mengetahui khabar tersebut dan menjadi cemas lalu mereka menyusun strategi bagi menimbulkan kekacauan antara kedua-dua pasukan.

Mereka menyerang Pasukan ‘Aisyah dan Pasukan ‘Aisyah menyangka Pasukan Ali yang menyerang mereka, lalu pasukan ‘Aisyah membalas kerana cuba pertahankan diri, lalu berlakulah peperangan besar antara mereka. Semuanya disebabkan oleh fitnah yang dicetuskan oleh pembunuh-pembunuh Uthman bagi memecahkan kesatuan Muslimin.

Kemudian berlaku pula Perang Siffin yang terus memecahkan ummat ini kepada Sunni dan Syiah dan fitnah tersebut berterusan hinggalah ke zaman Bani Umayyah dan seterusnya.

BERSIH 1.0, 2.0, 3.0…

Adakah BERSIH menyatukan saf umat Islam?

Adakah BERSIH mengurangkan sengketa yang menimpa umat?

Adakah semakin terjalin ukhuwwah dan persefahaman antara kita?

Jika kita lihat situasi BERSIH2.0 dan BERSIH3.0 berlaku sengketa antara Demonstrator dan Polis, Pembangkang dan Kerajaan, PAS dan UMNO.

Si Demonstrator dan Si Polis

Si Demonstrator memanggil Si Polis sebagai Anjing UMNO/Kerajaan. Si Polis pula memanggil Si Demonstrator sebagai Anjing Ambiga dan sebagainya.

Si Polis memukul Si Demonstrator dan Si Demonstrator memukul Si Polis.

Siapakah Si Polis dan Si Demonstrator?

Tak lain tak bukan, mereka ialah saudara kita sendiri, berdarah Melayu dan beragama Islam.

Tidakkah perkara-perkara yang berlaku ini membentuk bibit kebencian yang mendalam terhadap satu sama lain?

Sampaikan ada mahasiswa yang mahu polis dibunuh kerana ibunya dicederakan semasa BERSIH 3.0. Inilah suatu FITNAH yang membawa kepada perpecahan. Sedangkan umat ini dituntut untuk saling berkasih sayang, bersepakat dan bersatu atas isu-isu bersama dan berlapang dada dalam pendapat yang berbeza.

Saya memahami pihak terbabit inginkan keadilan dalam pilihanraya, media yang telus dan sebagainya. Tetapi adakah wajar 8 tuntutan tersebut dibayar dengan harga perpecahan umat?

Apa yang hendak saya utarakan di sini ialah bukan semata-mata berkenaan Si Polis dan Si Demonstrator. Tetapi mereka hanyalah sebagai wakil daripada golongan mayarakat iaitu pemimpin, penguasa dan rakyat, yang mana masing-masing mempunyai tugas dan amanah yang dipikul sebagai khalifah untuk memakmurkan bumi ini.

Kesimpulan

Mengapa saya sebutkan kisah Perang Jamal dan BERSIH?

Fitnah Pembunuhan Uthman dan Perang Jamal merupakan permulaan titik perpecahan ummat Islam kepada kelompok-kelompok tertentu dan fitnah ini semestinya didalangi musuh Islam yang berusaha memecahkan kesatuan umat.

Jika kita lihat situasi di Tanah Melayu sekarang ini. Sudahlah orang Melayu Islam terpecah kepada dua parti(parti besar yang mewakili umat Melayu) , iaitu PAS dan UMNO, dan usaha untuk menyatukan mereka pada isu-isu umat sangat sukar, diadakan pula BERSIH yang penuh dengan syubhah dan fitnah yang mana menyukarkan lagi kesatuan ummat ini. Jangan kita menang sorak, kampung tergadai.

Solusinya, perlulah kita mengenali siapa musuh kita

Musuh Pasukan Ali bukanlah Pasukan ‘Aisyah dan begitu juga sebaliknya.

Musuh Si Demonstrator bukanlah Si Polis dan begitu juga sebaliknya.

Maka siapa musuh kita?

Tentunyalah anasir-anasir kafir dan jahiliyyahlah musuh kita, baik dalam jelmaan manusia, ideologi, pertubuhan dan sistem.

Umat ini wajib bersatu, kenang kembali kegemilangan kita yang lampau. Lihatlah, kesatuan kita dahulu merentas lautan, Empayar Melayu Melaka, Empayar Islam Acheh dan bermacam-macam empayar Islam di Nusantara yang mana dikepalai oleh orang Melayu. Pegang kembali jati diri kita yang asal, satukan AGENDA kita dan sentiasa berhati-hati dalam setiap tindakan yang mungkin boleh memecahbelahkan kita.

Ingatlah, apa pun keputusan kita,

Jagalah Maqasid Syara’ yang lima,

Elakkan perpecahan sesama kita.

Oleh: Muslim bin Abdullah Zaik,

Aktivis ISMA

Sumber Ismaweb.net





No comments:

Post a Comment