Ikatan Muslimin Malaysia
Bantahan ahli ISMA terhadap berita dalam Utusan Malaysia:
Submitted to Editor Utusan Malaysia:
___________________________________________________________________________________________________________________
BANTAHAN PAPARAN GAMBAR BERUNSUR LUCAH DI UTUSAN MALAYSIA
. Saya merujuk kepada surat khabar Utusan Malaysia bertarikh 26hb April 2012, dan hari ini 2hb May 2012 yang kedua-duanya ada memaparkan beberapa gambar yang berunsur lucah kepada bacaan umum. Pada minggu lepas pihak editor telah membenarkan paparan beberapa gambar yang mengaitkan salah laku seks seorang ahli Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia yang pelakunya telah menafikan sekeras-kerasnya melalui surat akhbar tempatan dan berita di Jakarta. Manakala hari ini pula pihak editor dengan tanpa rasa ‘bersalah’ memaparkan gambar dalam keadaan lelaki dan perempuan sedang melakukan beberapa aksi lucah.
Saya sebagai ahli pengamal perubatan yang sah di Malaysia dan sebagai bapa kepada anak-anak saya merasa terpanggil untuk membuat bantahan secara terbuka kepada pihak Editor Utusan Malaysia kerana adalah tidak wajar membenarkan gambar sedemikian untuk tontonan umum. Sebagai sebuah akhbar tempatan yang berpengaruh dan bertanggungjawab, etika dalam penyiaran melalui media perlu dihormati dan garis panduan tersebut diikuti sewajarnya. Pihak Utusan Malaysia sewajarnya menjadi contoh untuk menggalakkan perkara yang baik dalam masyarakat Malaysia dan menutup keaiban merentasi fahaman politik, bangsa dan perbezaan ideologi.
Saya juga membantah sekeras-kerasnya paparan gambar tersebut, tanpa mengira siapa aksi pelaku sebenarnya kerana ini boleh menyebabkan pihak masyarakat umum berusaha untuk mencari video yang ada dimuatnaikan dalam laman sesarang tertentu. Gambar-gambar tersebut bukan sahaja mempengaruhi pemikiran golongan dewasa yang faham maksud disebaliknya, tetapi golongan generasi muda dan pelajar-pelajar juga akan mudah terdedah dengan contoh-contoh kerosakan sosial masyarakat semasa.
Kita telah maklum bahwa tidak mudah membangun masyarakat yang bertamadun, beragama dan mengamalkan tatasusila yang baik sekiranya saban hari masyarakat kita didedahkan dengan gambar-gambar sedemikian rupa dalam media cetak dan elektronik. Fikirkanlah bahawa kebaikan dan kerosakan masyarakat juga adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial pihak pengamal media. Pihak Utusan Malaysia seharusnya lebih peka dan sensitif dalam mengendalikan isu sebegini supaya masyarakat tidak memandang serong niat sebenar media cetak dan peranan sebenarnya dalam mendidik masyarakat tidak disalahertikan.
Dr Azizi Ayob
Bandar Baru Bangi
No comments:
Post a Comment