“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal” [Ali ‘Imran 190]
Wednesday, May 9, 2012
Realiti Bangsa Melayu…satu pengamatan
Mari kita amati tulisan azizeehasan di dalam blongnya 'Petunjuk Sepanjang Jalan'
Hakikat yang perlu diakui bahawa bangsa Melayu merupakan bangsa tonggak kepada masyarakat majmuk di Malaysia. Bangsa Melayu telah memimpin dan menerajui kepimpinan negara sejak kemerdekaan hingga hari ini. Hak dan keistimewaan orang Melayu telah dijamin dan termaktub di dalam perlembagaan negara.
Apabila kita membicarakan persoalan Melayu, kita tidak terlepas dari membicarakan persoalan agama Islam. Artikel 3(1)Perlembagaan Malaysia menyebut agama Islam sebagai agama perseketuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.
Hari ini bangsa Melayu berdepan dengan pelbagai ancaman dan gugatan . Ancaman dalaman dan luaran yang menghakis hak dan identiti bangsa Melayu. Sejak 52 tahun kemerdekaan, banyak pencapaian yang telah kita perolehi dalam masa yang sama banyak juga hak dan kedudukan kita tergadai dan dipersoal.
Mungkin boleh kita renungankan artikel ucapan berikut sebagai iktibar :
Pada 6 Safar 1428H maka genaplah ulangtahun ke 50 kemerdekaan Negara. Dengan ini pelbagai babak perjuangan kemerdekaan yang di rintis oleh pejuang kemerdekaan dari kalangan ulama’, pencinta Islam dan kelompok nasionalis wajar direnung kembali. Sejarah telah merakam segala babak-babak perjuangan yang kekal abadi untuk dinilai oleh generasi akan mendatang. Sejak jeritan kemerdekaan dikumandangkan kita belum sempat melaksakan sebuah Muhasabah Nasional mengenai apakah kedudukan bangsa dan Islam itu sendiri di tanah air yang tercinta ini. Sejauh manakah martabat Islam dan status bangsa telah dapat di tegakan dan didaulatkan? Apakah yang terkorban dan apakah yang telah bangsa Melayu capai sepanjang usia 50 thaun ini? Apakah yang kita telah milikki dan apakah pula yang telah tergadai? Sejauhmanakah pengisian kemerdekaan Negara telah semakin mendekatkan bangsa Melayu kepada penghayatan dan pelaksanaan Islam selengkapnya ataukah disebaliknya kita sedang menyaksikan penghakisan ciri dan asas Islam pada bangsa Melayu itu sendiri.
Secara menyeluruh disaat ini kita sedang menyaksikan pelbagai krisis pada bangsa Melayu yang sedang melanda. Dahulunya umat bangsa Melayu pernah merasai kekuatan sebuah tamadun Islam yang unggul dan gemilang dirantau ini. Namun kini kita sedang dilanda awan mendung ketika de-Islamisasi (menyahkan Islam) sedang berlansung lewat asakkan faham liberal dan pluralisme agama yang disebarluaskan melalui faham secular Barat yang semakin menajam. Lebih malang lagi proses penghakisan Islam dari bangsa Melayu ini didalangi sendiri oleh golongan elit dari mereka yang menerajui kepimpinan Negara sekaligus didokongi oleh kelompok bijak pandai dari menara gading yang turut menyebarkan kefahaman sesat dan keliru atas nama kesarjanaan Islam.
Kemalapan bangsa Melayu sangat terasa dalam hampir pelbagai aspek. Kelemahan ekonomi,perpecahan politik,kelunturan daya intelaktual dan kekacauan akhlaq sudah menjadi wajah bangsa yang sangat meruncing. Jika analisis keadaan bangsa Melayu masa kini diteliti ,akan terdedah pelbagai penyakit bangsa yang memperihatinkan Pelbagai punca yang mengakibatkan masyarakat Melayu berada dalam keadaan yang amat mengkhuatirkan itu tidak dapat disangkal..
Sesungguhnya persoalan membina nasib bangsa bukan persoalan kecil. Malah sebuah bangsa yang di bebankan dengan.amanah mendokong cita-cita Islam adalah sangat besar dan berat.
Ketika kita membicarakan persoalan nasib bangsa inilah,kita tidak dapat mengenepikan hakikat bahawa kekuatan bangsa bersendikan agama. Dasar membangunkan bangsa semestinya terletak pada pegangan kukuh terhadap landasan agama.
Kami tidak dapat memisahkan isu membela nasib bangsa dengan mendokong Islam dalam konteks bangsa Melayu. Ini adalah kerana keduanya mempunyai hubugan sejarah yang tidak mungkin boleh diperkecilkan. Hijrah besar bangsa Melayu dari sebuah bangsa yang telah di warnai oleh kehidupan multi Tuhan kepada bangsa yang memegang kepada kepercayaan mentauhidkan Tuhan sudah tentu amat besar kesannya.
Bangsa Melayu bertauhidkan Allah inilah yang ingin kita bangunkan sehingga mampu menterjemahkan implikasi nemperhambakan diri hanya kepada Allah s.w.t dalam semua aspek kehidupan.
Lantaran itu kami melihat perjuangan memperkukuhkan nasib bangsa Melayu sebagai bahagian yang sebati dengang perjuangan menegakkan dan mendaulatkan Islam.
Persoalan kita sekarang ialah apakah bangsa Melayu kini masih mampu mengidentitikan dirinya dengan Islam. Realitinya , sesudah 50 tahun kemerdekaan tanah air, perbahasaan Melayu sebagai sinonim dengan Islam kerap bersandar kepada hujah definasi Melayu mengikut perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan. Sedangkan pada hakikatnya lafaz yang terungkap dalam peruntukan undang-undang Negara itu tidak semestinya menggambarkan kenyataan sebenar. Bangsa Melayu sebagai sebuah ummah tidak semestinya menjadi Islam setepatnya selagi mana ia tidak menghayati segenap tuntutan Islam seutuhnya.
Akan tetapi kita tetap merasakan tuah yang bangsa Melayu dapat tumpang berdasarkan hujah Perlembagaan ini. Oleh itu perlu kita pertahankannya kerana ikatan bangsa Melayu sebagai bangsa Muslim secara undang-undang akan memberi kelebihan untuk memastikan hubungan Islam dan bangsa Melayu dapat di perkukuhkan.
Namun kita sangat memahami betapa jurang antara ‘keMelayuan’ dan ‘keIslaman’ secara kenyataanya semakin menjarak. Bagi kami sesungguhnya isu yang mendepani kita kini adalah bagaimana gugutan terhadap ‘keIslaman’ bangsa Melayu itu harus di tangani.
Kita sememangnya perlu cemas dan resah dengan apa yang sedang kita saksikan dalam realiti kehidupan bangsa ; dari kacau bilau pemikiran yang sedang dialami hinggalah kepada pengistiharaan keluar Islam ,dari kesesatan pegangan hidup hinggalah kepada keruntuhan akhlaq yang berleluasa, dari konflik kepimpinan sehingga kegoncangan institusi keluarga …………kita sewajarnya memberi perhatian serius terhadap situasi bangsa Melayu ini.
Soalnya apakah faktor yang sedang menyumbang kepada gugatan keiIslaman bangsa Melayu ini. Kita tidak wajar hanya menunding jari tetapi harus jujur menerima kenyataan bahawa sementara ada makar (rencana) dari pihak luar dan anasir dari dalam yang secara konsisten berusaha-ikhtiar menguasai umat Islam dan mencemar Islam itu sendiri, kita jangan samasekali leka terhadap kecuaian dan kealpaan bangsa kita sendiri terhadap amanah keIslaman yang kita bebani.
Ternyata kita masih sarat dengan kelemahan sendiri dalam melaksanakan tanggungjawap kita terhadap Islam.
Lantaran itu seluruh kelemahan seperti bersikap endah tak endah terhadap keilmuan Islam, tidak peduli kepada kerosakan akhlaq, mengambil ringan terhadap masalah pendidikan, tidak kisah dengan kerosakan budaya, memandang sepi terhadap kepincangan kepimpinan, tidak sensitif dengan kemalasan berusaha, kurang upaya dalam hidup berdikari, buta terhadap sejarah dan jatidiri bangsa ……….semua ini harus di banteras.
Kita tidak punya jalan lain melainkan melaksanakan sebuah transformasi menyeluruh ke atas bangsa Melayu dalam semua aspek yang disenaraikan tersebut. Kemerdekaan yang bermakna ialah kemerdekaan dari semua kelemahan diri sendiri setelah kemerdekaan tanah air dari penjajah. Perjuangan memerdekakan diri jenis inilah yang jauh lebih berat dari menghalau penjajah. Kerana ia melibatkan kesediaan untuk meyakini apa yang ada pada diri , berpegang kepada apa yang menjadi jatidiri dan menghayati apa yang menjadi pedoman hidup sebagai hamba kepada Illahi.
Sejauhmana kita bersedia melalui transformasi sejauh itulah darjah kemerdekaan kita. Selagi kita gagal membasmi diri dari penyakit- penyakit bangsa ini, selagi itu kita tidak boleh mendakwa kita telah merdeka.
Secara jujur kemerdekaan 50 tahun ini belum dapat di banggakan jika kita melakukan sebuah “semak-realiti” yang jujur jua. Bukan sahaja kita dapati kemajuan yang kita dakwa telah kita capai belum lagi mencecah tahap yang dapat di banggakan, kita harus juga gusar betapa pencapaian yang terhasil itu sendiri kini sedang menghadapi penghakisan. Secara ringkas sahaja kita dapat melihat kenyataan berikut sebagai realiti yang menyakitkan.:
1. Dulu Bahasa Melayu di gemilangkan sebagai bahasa ilmu dan bahasa tamadun, kini disisih hanya menjadi bahasa ungkapan malah dirosakan dengan sangat biadap sebagai hanya bahasa murahan. Bahasa Melayu hanya diperkasakan di atas kertas dan ucapan tetapi yang nyata ia tidak lebih dari hanya sebuah retorik tanpa tindakan.
2. Dulu kita punya lebih dari 4 juta hektar Tanah Rizab Melayu kini rekod di dalam daftar milik neger-negeri tidak membayangkan kenyataan sebenar pada zahir diatas tanah milik Melayu yang telah menjadi medan orang lain.
3. Dulu kita punya penempatan orang Melayu sebagai tempat asal di sekitar kawasan Bandar. Kini kita menyaksikan penempatan orang-orang Melayu lenyap di telan pembangunan Bandar yang tidak mengambilkira kesan sosio-budaya,ekonomi dan politik orang Melayu.
4. Dulu kita memiliki pelbagai khazanah dan tradisi kemasyarakatan yang sangat Islami dan murni, kini kita membiarkan warisan kita terhakis dan jikapun di kekalkan hanya menjadi bahan esksotik untuk tuntutan buat pelancong.
5. Dulu kita boleh berbangga dengan instuisi Melayu yang digah sebagai milik melayu seperti UDA,MARA,kini fungsi asal agensi berkenaan telah beralih menjadi badan korporat sehingga asset Melayu sudah dimilik-antarabangsakan atas nama pengkorporatan dan penswastaan yang lebih kompetitif.
6. Dulu kemurniaan pegangaan agama tidak digugat dengan faham sesat dan menyesatkan kini penyebaran faham SEKULARISME , LIBARELISME dan PLURALISME yang bercanggah dengan Islam semakin mendapat tempat dalam media massa dan menerobos sehingga ke pusat pengajian tinggi.
8.Dulu Syariah Islam tidak pernah dipersoal dan dicabar, kini sesiapa sahaja termasuk orang bukan Islam berani mencabar kedudukan undang-undang Islam dalam perundangan Negara.Malah.Instituisi-instituisi Islam di cabar dan kewibawaannya dipersoal dan kedudukan Islam dalam perlembagaan dipersempitkan.
9. Dulu kita punya asset hartanah yang banyak termasuk tanah wakaf, kini kerana ia tidak diurus dengan efisien dan semakin menghakis penguasaan ekonomi bangsa terutama dibandar, orang Melayu kehilangan banyak asset di banyak kawasan bandar dan desa. Kepincangan dan penyelewengan dalam pengurusan ekonomi bangsa melibatkan amalan korupsi ,kronisme dan nepotisme semakin berleluasa.Ekonomi Melayu dalam pelbagai sektor masih terkebelakang dan bergantung kepada subsidi berterusan dari pihak kerajaan.
10.Dulu bangsa Melayu kaya dengan kesopanan dan kesusilaan serta sangat sensititif kepada kerosakan akhlaq tetapi kini keruntuhan akhlaq dan ketidakstabilan sosial melanda umat Melayu sehingga mencetuskan krisis sahsiah yang semakin parah Penyalahgunaan dadah, Sumbang mahram, Buang anak, Lepak, Bohsia, Arak, Zina, Judi, Penceraian dan penderaaan dalam rumah tangga, Jenayah rogol, Pornografi dan pornoaksi, Metroseksual, Lumba haram, Mat rempit, Black metal, Gaya hidup artis yang liar, Akhlak dalam berpakaian dan bergaul yang keBaratan, Hiburan liar dan melampau, Pondan, lesbian dan gay, Hubungan luar nikah……….semua ini sudah menjadi fenomena tidak terkendali lagi.
11 Dulu kita telah mengujudkan pelbagai agensi pembangunan untuk memastikan pemacuan pembangunan Melayu berjalan lancar , namun banyak agensi tersebut kini menjadi agensi untuk mengawal kesetiaan orang Melayu kepada kehendak pihak tertentu dan banyak pula yang berubah fungsi sehingga agenda Melayu semakin terketepi hanya kerana pertimbangan politik sempit dan memberi keutamaan kepada soal keuntungan ekonomi.
12.Dulu kita dapat menikmati penghasilan karya-karya besar umat Melayu ketika memerangi penjajah semada dalam bentuk tulisan agung mahupun journalism kritikal yang membangkitkan kesadaran umat Melayu, kini kita dibanjiri oleh pelbagai tulisan murahan yang menghidangkan bahan yang memancing nafsu rendah manusia Melayu sehingga jatidiri dan pemikiran umat Melayu tidak terbentuk mengikut acuan yang kita harapkan sebagai umat bertamadun tinggi. Kelesuan daya intelektual umat Melayu keseluruhannya kini sedang menghadapi cabaran pemikiran asing yang di asak dengan agresif dari luar.
13. Dulu kita telah dapat merasa kesegaran dan bercambahnya usaha rakyat sendiri untuk mendirikan institusi pendidikan agama melalui Sekolah Agama Rakyat sehingga menyumbang kepada kelahiran ramai tokoh masyarakat yang disegani, kini kita menyaksikan tekanan kepada institusi tersebut sehingga prasangka negatif dilemparkan ke atasnya. Keberkesanan dan kualiti pendidikan umat Melayu tidak mencapai prestasi yang di harapkan, malah pembangunan pendidikan Islam tidak berkembang dengan lancar.
14. Dulu umat Melayu semuanya akan dibela tanpa pileh kaseh kerana agenda penting memastikan bangsa teras iaitu Melayu di Negara ini tidak tersiseh dari arus pembangunan, kini ternyata polisi pileh bulu yang mengkayakan kaum kerabat serta mereka yang setia menyokong penanung mereka akan menjadi keutamaan. Maka polarisasi ekonomi Melayu antara yang kaya dan yang miskin semakin melebar dan ketara. Umat Melayu terutama dikalangan golongan yang lemah terdedah kepada peminggiran, penyisihan dan alienisasi akibat dari model pembangunan yang meminggirkan golongan lemah.
15.Dulu kita memberi mandat supaya umat Melayu benar-benar dapat hidup dalam sebuah sistem yang merealisasikan erti Islam sebagai agama Persekutuan mengikut Perkara 3 (1) dalam Perlembagaan Persekutuan, akan tetapi kini kita berhadapan dengan isu yang melingkari umat Islam di negara ini . Antaranya:
v Perumahan dan penampatan penduduk Islam yang semakin tidak terancang dengan sempurna
v Etika pemakaian Islam yang masih di persoalkan
v Penguatkuasaan enakmen syariah tidak dikuatkuasakan
v Penyeragaman undang-undang Islam masih belum sempurna
v Isu orang Islam yang,berkerja di sektor yang di haramkan oleh syarak’seperi pusat hiburan ,GRO dan kilang arak dan syarikat judi yang tidak diberi perhatian
v Penghinaan dan kritikan terhadap agensi-agensi Islam yang tidak di respon dengan berkesan
v Isu pengurusan tanah wakaf masih tidak berjalan dengan berkesan
v Perundangan dan penguatkuasaan undang-undang mengenai murtad dan jenayah syariah belum ditangani dengan sempurna
v Hubungan antara agama belum berlaku dengan harmonis akibat salah faham dan pra sangka terhadap umat Islam
v Syiar Islam seperti membaca asma’ul husna di sekolah dan azan dikawasan perumahan mula dipersoal.
v Kewibawaan instituisi fatwa yang belum cukup kukuh untuk mempengaruhi kehidupan umat
Demikianlah gambaran umum yang dapat kami hidangkan mengenai nasib umat Melayu setelah 50 tahun merdeka. Apakah ini menjadi senario selanjutnya untuk 50 tahun mendatang ? Jawapannya sangat bergantung kepada generasi kita pada hari ini.
Benar sekali ingatan Kalamullah dalam Surah Ar-Raad : 11 itu. Bahawa syarat perubahan sangat bergantung kepada unsur ikhtiari walaupun pertolongan dan ketentuan Allah juga tidak terlepas dari pegangan kita.
Dengan itu kita tidak punya pilihan melainkan suatu kebangkitan semula umat Melayu diusahakan. kini kita ingin menjadi mata rantai perubahan tersebut . Kita sedang menggariskan langkah perubahan umat Melayu yang bermula dari pemupukan kesadaran massa Melayu yang meluas terhadap pentingnya kita kembali kepada pengkalan kekuatan kita iaitu Islam. Selagi ini tidak tercapai kami berpendapat hasil yang diinginkan akan terbantut.
Selanjutnya semua gejala negatif dikalangan umat Melayu di semua peringkat akan cuba ditangani. Perubahan untuk melihat sebuah umat Melayu yang unggul akan hanya dapat kita jayakan dengan menggerakkan tarnsformasi berikut:
Transformasi tassawur (pandangan hidup) umat Melayu
Transformasi dan kesadaran dan penghayatan Islam umat Melayu
Transformasi minda dan jiwa Melayu
Transformasi kepimpinan Melayu
Transformasi pendidikan Melayu
Transformasi budaya Melayu
Transformasi sistem pentadbiran Melayu
Transformasi pengurusan institusi-institusi Melayu
Transfromasi ekonomi dan pengurusan asset orang Melayu
Transformasi kesatuan dan perpaduan Melayu
Jika agenda teransformasi semua ini menuju kepada satu arah iaitu membina umat Melayu yang merealisasikan semua perintah Allah S.W.T kami yakin bahawa senario wajah Melayu akan berubah. Jika ada komitmen sejati dan konsisten untuk menjayakan seluruh transfromasi ini kami cukup yakin generasi Melayu mendatang akan menghargai erti kemerdekaan yang sebenar.
(Ucapan Tn. Hj. Mohd Azmi Abdul Hamid Presiden TERAS dalam satu seminar anjuran TERAS ).
Meneliti ucapan tersebut, jelaslah bahawa tugas memartabat dan mengangkat harakat bangsa Melayu amat berat dan kritikal. Sebagai organisasi dakwah, kita mestilah berusaha membangun dan memulih semula fungsi bangsa Melayu sebagai bangsa tonggak dan bangsa dakwah . Ia amat memerlukan kesedaran yang tinggi, semangat cinta yang mendalam terhadap bangsa disamping pelan induk pembangunan bangsa Melayu secara holistik dan bersepadu.
Menyorot pemikiran Hasan Al- Bana tentang konsep ketuanan bangsa, beliau menyatakan :
“ Arab adalah bangsa Islam yang pertama dan menjadi bangsa pilihan. Tepat sekali sabda Rasul s.a.w yang bermaksud :
“Apabila Arab lemah Islam juga akan lemah”
Islam tidak akan mampu disatukan dan dibangunkan. Setiap inci bumi Arab ini kita anggap sama seperti bumi dan tanahair sendiri. Sempadan geografi dan pecahan politik yang ada kini tidak mampu memisahkan kita selama-lamanya dengan kesatuan Arab Islam..
Islam yang suci ini lahir dalam budaya Arab dan sampai ke bangsa-bangsa lain melalui orang Arab. Kitab suci Islam juga berbahasa Arab. Seluruh bangsa bersatu di bawah nama Islam..” (dakwatuna fi thaurin jadid )
Dalam penyataan ini dirumuskan bahawa :
i. Sesiapa yang berbahasa Arab dia adalah Arab.
ii. Apabila lemah Arab lemahlah Islam.
iii. Arab adalah bangsa Islam yang awal dan bangsa terilih.
iv. Kebanggaan dengan Arab bukan bertitik tolak daripada semangat taksud, takbur dan memusuhi bangsa lain.
Prof. Dr.Abd. Hamid al-Ghazali membuat kajian, komentar dan ulasan baik tentang pemikiran Hasan Al-Bana mengenai isu ketuanan bangsa ( patriotisme & nasionalisme) di dalam bukunya Perkara Asas dalam Agenda Kebangkitan Ummah – mukasurat 230-236 edisi terjemahan, penerbit Teras Bakti.
Berdasarkan pemikiran Al-Bana dan perkaitannya dengan isu bangsa saya simpulkan seperti berikut :
1.Memperjuangkan agenda Melayu merupakan sebahagian dari tuntutan agama tanpa mengabaikan tuntutan menegakkan keadilan pada kaum-kaum lain. Ia bukan semata-mata isu perkauman.
2.Mempertahankan bangsa dan ketuanannya adalah alat mempertahankan ketuanan Islam. Ini kerana termaksud dalam perlembagaan Malaysia yang ditakrifkan Melayu itu adalah seorang yang beragama islam.
3.Kelangsungan Islam bergantung kepada sejauh mana usaha memperkasa bangsa Melayu sebagai bangsa tonggak dakwah.
4.Perlu ada reformasi dan transformasi secara besa-besaran bagi memartabatkan semula paksi kekuatan umat Melayu dalam semua aspek samada kepemimpinan, ekonomi, politik, pendidikan, sosial, agama dan institusi-institusi Melayu.
5.Mewujudkan semula jatidiri dalam jiwa orang Melayu Islam supaya ada semangat kasih dan bangga terhadap bangsa dan warisan sejarah keagungan mereka. Sejarah keagungan mereka adalah mata rantai rentetan sejarah keagungan umat Islam silam sebelum kedatangan penjajah menakluk bumi mereka.
6.Memperjuangkan Agenda Melayu adalah satu strategi dan wahana pembinaan Daulah Islam.
Sumber: Blog 'Petunjuk Sepanjang Jalan'.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment