Pages

Thursday, August 30, 2012

Realiti Bangsa Melayu…satu pengamatan

                               
Hakikat yang perlu diakui bahawa bangsa Melayu merupakan bangsa tonggak kepada masyarakat majmuk di Malaysia. Bangsa Melayu telah memimpin dan menerajui kepimpinan negara sejak kemerdekaan hingga hari  ini. Hak dan keistimewaan orang Melayu telah dijamin dan termaktub di dalam perlembagaan negara.
Apabila kita membicarakan persoalan Melayu, kita tidak terlepas dari membicarakan persoalan agama Islam. Artikel  3(1)Perlembagaan Malaysia menyebut agama Islam sebagai agama perseketuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.
Hari ini bangsa Melayu berdepan dengan pelbagai ancaman dan gugatan . Ancaman dalaman dan luaran yang menghakis hak dan identiti bangsa Melayu. Sejak 52 tahun kemerdekaan, banyak pencapaian yang telah kita perolehi dalam masa yang sama banyak  juga hak dan kedudukan kita tergadai dan dipersoal.

Mungkin boleh kita renungankan artikel ucapan berikut sebagai iktibar:

Pada 6 Safar 1428H maka genaplah ulangtahun ke 50 kemerdekaan Negara. Dengan ini pelbagai babak perjuangan kemerdekaan yang di rintis oleh pejuang kemerdekaan dari kalangan ulama’, pencinta Islam dan kelompok nasionalis wajar direnung kembali.  Sejarah telah merakam segala babak-babak perjuangan yang kekal abadi untuk dinilai oleh generasi akan mendatang. Sejak jeritan kemerdekaan dikumandangkan kita belum sempat melaksakan sebuah Muhasabah Nasional mengenai apakah kedudukan bangsa dan Islam itu sendiri di tanah air yang tercinta ini. Sejauh manakah martabat Islam dan status bangsa telah dapat di tegakan dan didaulatkan? Apakah yang terkorban dan apakah yang telah bangsa Melayu capai sepanjang usia 50 thaun ini? Apakah yang kita telah milikki dan apakah pula yang telah tergadai? Sejauhmanakah pengisian kemerdekaan Negara telah semakin mendekatkan bangsa Melayu kepada penghayatan dan pelaksanaan Islam selengkapnya ataukah disebaliknya kita sedang menyaksikan penghakisan ciri dan asas Islam pada bangsa Melayu itu sendiri.
 
Secara menyeluruh disaat ini kita sedang menyaksikan pelbagai krisis pada bangsa Melayu  yang sedang melanda. Dahulunya umat bangsa Melayu pernah merasai kekuatan sebuah tamadun Islam yang unggul dan gemilang dirantau ini. Namun kini kita sedang dilanda awan mendung ketika de-Islamisasi (menyahkan Islam) sedang berlansung lewat asakkan faham liberal dan pluralisme agama yang disebarluaskan  melalui faham secular Barat yang semakin menajam. Lebih malang lagi proses penghakisan Islam dari bangsa Melayu ini didalangi sendiri oleh golongan elit dari mereka yang menerajui kepimpinan Negara sekaligus didokongi oleh kelompok bijak pandai dari menara gading yang turut menyebarkan kefahaman sesat dan keliru atas nama kesarjanaan Islam.
Kemalapan bangsa Melayu sangat terasa dalam hampir pelbagai aspek. Kelemahan ekonomi,perpecahan politik,kelunturan daya intelaktual dan kekacauan akhlaq sudah menjadi wajah bangsa yang sangat meruncing. Jika analisis keadaan bangsa Melayu masa kini diteliti ,akan terdedah pelbagai penyakit bangsa yang memperihatinkan Pelbagai punca yang mengakibatkan masyarakat Melayu  berada dalam keadaan yang amat mengkhuatirkan itu tidak dapat disangkal..
Sesungguhnya persoalan membina nasib bangsa bukan persoalan kecil. Malah sebuah bangsa yang di bebankan dengan.amanah mendokong cita-cita Islam adalah sangat  besar dan berat.
Ketika kita membicarakan persoalan nasib bangsa inilah,kita tidak dapat mengenepikan hakikat bahawa kekuatan bangsa bersendikan agama.  Dasar  membangunkan bangsa semestinya terletak pada  pegangan kukuh terhadap landasan agama.
Kami tidak dapat memisahkan isu membela nasib bangsa dengan mendokong Islam dalam konteks bangsa Melayu. Ini adalah kerana keduanya mempunyai hubugan sejarah yang tidak mungkin boleh diperkecilkan. Hijrah besar bangsa Melayu dari sebuah bangsa yang telah di warnai oleh kehidupan multi Tuhan kepada bangsa yang memegang kepada kepercayaan mentauhidkan Tuhan sudah tentu amat besar kesannya.
Bangsa Melayu bertauhidkan Allah inilah yang ingin kita bangunkan sehingga mampu menterjemahkan implikasi  nemperhambakan diri hanya kepada Allah s.w.t  dalam semua aspek kehidupan.
Lantaran itu kami  melihat perjuangan memperkukuhkan nasib bangsa Melayu sebagai bahagian yang sebati dengang perjuangan menegakkan dan mendaulatkan Islam.
Persoalan kita sekarang ialah apakah bangsa Melayu kini masih mampu mengidentitikan dirinya dengan Islam. Realitinya , sesudah 50 tahun kemerdekaan tanah air, perbahasaan Melayu sebagai sinonim dengan  Islam kerap bersandar kepada hujah definasi Melayu mengikut perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan. Sedangkan pada hakikatnya lafaz yang terungkap  dalam peruntukan undang-undang Negara itu tidak semestinya menggambarkan kenyataan sebenar. Bangsa Melayu sebagai sebuah ummah tidak semestinya menjadi Islam setepatnya selagi mana ia tidak menghayati segenap tuntutan Islam seutuhnya.
Akan tetapi kita tetap merasakan tuah yang bangsa Melayu  dapat tumpang berdasarkan hujah Perlembagaan ini. Oleh itu perlu kita pertahankannya kerana ikatan bangsa Melayu sebagai bangsa Muslim secara undang-undang akan memberi kelebihan untuk memastikan hubungan Islam dan bangsa Melayu dapat di perkukuhkan.
 
Namun kita sangat memahami betapa jurang antara ‘keMelayuan’ dan ‘keIslaman’ secara kenyataanya semakin menjarak. Bagi kami sesungguhnya isu yang mendepani kita kini adalah bagaimana gugutan terhadap ‘keIslaman’ bangsa Melayu itu harus di tangani.
Kita sememangnya perlu cemas dan resah dengan apa yang sedang kita saksikan dalam realiti kehidupan bangsa ; dari kacau bilau pemikiran yang sedang dialami hinggalah kepada pengistiharaan keluar Islam ,dari kesesatan pegangan hidup hinggalah kepada keruntuhan akhlaq yang berleluasa, dari konflik kepimpinan sehingga kegoncangan institusi keluarga …………kita sewajarnya memberi perhatian serius terhadap situasi bangsa Melayu ini.
Soalnya apakah faktor yang sedang menyumbang kepada gugatan keiIslaman bangsa Melayu ini. Kita tidak wajar hanya menunding jari tetapi harus jujur menerima kenyataan bahawa sementara ada makar  (rencana) dari pihak luar dan anasir dari dalam yang secara konsisten berusaha-ikhtiar  menguasai umat Islam dan mencemar Islam itu sendiri, kita jangan samasekali leka terhadap kecuaian dan kealpaan bangsa kita sendiri terhadap amanah keIslaman yang kita bebani.
 Ternyata kita masa sarat dengan kelemahan sendiri dalam melaksanakan tanggungjawap kita terhadap Islam.
Lantaran itu seluruh kelemahan seperti bersikap endah tak endah terhadap keilmuan Islam, tidak peduli kepada kerosakan akhlaq, mengambil ringan terhadap masalah pendidikan, tidak kisah dengan kerosakan budaya, memandang sepi terhadap kepincangan kepimpinan, tidak sensitif dengan kemalasan berusaha, kurang upaya dalam hidup berdikari, buta terhadap sejarah dan jatidiri bangsa ……….semua ini harus di banteras
Kita tidak punya jalan lain melainkan melaksanakan sebuah transformasi menyeluruh ke atas bangsa Melayu dalam semua aspek yang disenaraikan tersebut. Kemerdekaan yang bermakna ialah kemerdekaan dari semua kelemahan diri sendiri setelah kemerdekaan tanah air dari penjajah. Perjuangan memerdekakan diri jenis inilah yang jauh lebih berat dari menghalau penjajah. Kerana ia melibatkan kesediaan untuk meyakini apa yang ada pada diri , berpegang kepada apa yang menjadi jatidiri dan menghayati apa yang menjadi pedoman hidup sebagai hamba kepada Illahi.
Sejauhmana kita bersedia melalui transformasi  sejauh itulah darjah kemerdekaan kita. Selagi kita gagal membasmi diri dari penyakit- penyakit bangsa ini, selagi itu kita tidak boleh mendakwa kita telah merdeka.
Secara jujur kemerdekaan 50 tahun ini belum dapat di banggakan jika kita melakukan sebuah “semak-realiti” yang jujur jua. Bukan sahaja kita dapati kemajuan yang kita dakwa telah kita capai belum lagi mencecah tahap yang dapat di banggakan, kita harus juga  gusar betapa pencapaian yang terhasil itu sendiri kini sedang menghadapi penghakisan. Secara ringkas sahaja kita dapat melihat kenyataan berikut sebagai realiti yang menyakitkan.:
1. Dulu Bahasa Melayu di gemilangkan sebagai bahasa ilmu dan bahasa tamadun, kini disisih hanya menjadi bahasa ungkapan malah dirosakan dengan sangat biadap sebagai hanya bahasa murahan. Bahasa Melayu hanya diperkasakan di atas kertas dan ucapan tetapi yang nyata ia tidak lebih dari hanya sebuah retorik tanpa tindakan.
2. Dulu kita punya lebih dari 4 juta hektar Tanah Rizab Melayu kini rekod di dalam daftar milik neger-negeri tidak membayangkan kenyataan sebenar pada zahir diatas tanah milik Melayu yang telah menjadi medan orang lain.
3. Dulu kita punya penempatan orang Melayu sebagai tempat asal di sekitar kawasan Bandar. Kini kita menyaksikan penempatan orang-orang Melayu lenyap di telan pembangunan Bandar yang tidak mengambilkira kesan sosio-budaya,ekonomi dan politik orang Melayu.
4. Dulu kita memiliki pelbagai khazanah dan tradisi kemasyarakatan yang sangat Islami dan murni, kini kita membiarkan warisan kita terhakis dan jikapun di kekalkan hanya menjadi bahan esksotik untuk tuntutan buat pelancong.
5. Dulu kita boleh berbangga dengan instuisi Melayu yang digah sebagai milik melayu seperti UDA,MARA,kini fungsi asal agensi berkenaan telah beralih menjadi badan korporat sehingga asset Melayu sudah dimilik-antarabangsakan atas nama pengkorporatan dan penswastaan yang lebih kompetitif.
6. Dulu kemurniaan pegangaan agama tidak digugat dengan faham sesat dan menyesatkan kini penyebaran faham SEKULARISME , LIBARELISME dan PLURALISME yang bercanggah dengan Islam semakin mendapat tempat dalam media massa dan menerobos sehingga ke pusat pengajian tinggi.
                      

8.Dulu Syariah Islam tidak pernah dipersoal dan dicabar, kini sesiapa sahaja termasuk orang bukan Islam berani mencabar kedudukan undang-undang Islam dalam perundangan Negara.Malah.Instituisi-instituisi Islam di cabar dan kewibawaannya dipersoal dan kedudukan Islam dalam perlembagaan  dipersempitkan.
9. Dulu kita punya  asset  hartanah yang banyak termasuk tanah wakaf, kini kerana ia tidak diurus dengan efisien dan semakin menghakis penguasaan ekonomi bangsa terutama dibandar, orang Melayu kehilangan banyak asset di banyak kawasan bandar dan desa. Kepincangan dan penyelewengan dalam pengurusan ekonomi bangsa melibatkan amalan korupsi ,kronisme dan nepotisme semakin berleluasa.Ekonomi  Melayu dalam pelbagai sektor masih terkebelakang dan bergantung kepada subsidi berterusan dari pihak kerajaan.
10.Dulu bangsa Melayu kaya dengan kesopanan dan kesusilaan serta sangat sensititif kepada kerosakan akhlaq tetapi kini keruntuhan akhlaq dan ketidakstabilan sosial melanda umat Melayu sehingga mencetuskan krisis sahsiah yang semakin parah Penyalahgunaan dadah, Sumbang mahram, Buang anak, Lepak, Bohsia, Arak, Zina, Judi, Penceraian dan penderaaan dalam rumah tangga, Jenayah rogol, Pornografi dan pornoaksi, Metroseksual, Lumba haram, Mat rempit, Black metal, Gaya hidup artis yang liar, Akhlak dalam berpakaian dan bergaul yang keBaratan, Hiburan liar dan melampau, Pondan, lesbian dan gay, Hubungan luar nikah……….semua ini sudah menjadi fenomena tidak terkendali lagi.
11 Dulu kita telah mengujudkan pelbagai agensi pembangunan untuk memastikan pemacuan  pembangunan Melayu berjalan lancar  , namun  banyak agensi tersebut kini menjadi agensi untuk mengawal kesetiaan orang Melayu kepada kehendak pihak tertentu dan banyak pula yang berubah fungsi sehingga agenda Melayu semakin terketepi  hanya kerana pertimbangan politik sempit dan memberi keutamaan kepada  soal keuntungan ekonomi.
12.Dulu kita dapat menikmati penghasilan karya-karya besar umat Melayu ketika memerangi penjajah semada dalam bentuk tulisan agung mahupun journalism kritikal yang membangkitkan kesadaran umat Melayu, kini kita dibanjiri oleh pelbagai tulisan murahan yang menghidangkan bahan yang memancing nafsu rendah manusia Melayu sehingga jatidiri dan pemikiran umat Melayu tidak terbentuk mengikut acuan yang kita harapkan sebagai umat bertamadun tinggi. Kelesuan daya intelektual umat Melayu  keseluruhannya kini sedang menghadapi cabaran pemikiran asing yang di asak dengan agresif dari luar.
13. Dulu kita telah dapat merasa kesegaran dan bercambahnya usaha rakyat sendiri untuk mendirikan institusi pendidikan agama melalui Sekolah Agama Rakyat sehingga menyumbang kepada kelahiran ramai tokoh masyarakat yang disegani, kini kita menyaksikan tekanan kepada institusi tersebut sehingga prasangka negatif dilemparkan ke atasnya. Keberkesanan dan kualiti pendidikan umat Melayu  tidak mencapai prestasi yang di harapkan, malah pembangunan pendidikan Islam tidak berkembang dengan lancar.                         
14. Dulu umat Melayu semuanya akan dibela tanpa pileh kaseh kerana agenda penting memastikan bangsa teras iaitu Melayu di Negara ini tidak tersiseh dari arus pembangunan, kini ternyata polisi pileh bulu yang mengkayakan kaum kerabat serta mereka yang setia menyokong penanung mereka akan menjadi keutamaan. Maka polarisasi ekonomi Melayu antara yang kaya dan yang miskin semakin melebar dan ketara. Umat Melayu terutama dikalangan golongan yang lemah terdedah kepada peminggiran, penyisihan dan alienisasi akibat dari  model pembangunan yang meminggirkan  golongan lemah.
15.Dulu kita memberi mandat supaya umat Melayu benar-benar dapat hidup dalam sebuah sistem yang merealisasikan erti Islam sebagai agama Persekutuan mengikut Perkara 3 (1) dalam Perlembagaan Persekutuan,  akan tetapi kini kita berhadapan dengan isu yang melingkari umat Islam di negara ini . Antaranya:
v      Perumahan dan penampatan penduduk Islam yang  semakin tidak terancang dengan sempurna
v      Etika pemakaian Islam yang masih di persoalkan
v      Penguatkuasaan enakmen syariah tidak dikuatkuasakan
v      Penyeragaman undang-undang Islam masih belum sempurna
v      Isu orang Islam yang,berkerja di sektor yang di haramkan oleh syarak’seperi pusat hiburan ,GRO dan kilang arak dan syarikat judi yang tidak diberi perhatian
v      Penghinaan dan kritikan terhadap agensi-agensi Islam yang tidak di respon dengan berkesan
v      Isu pengurusan tanah wakaf masih tidak berjalan dengan berkesan
v      Perundangan dan penguatkuasaan undang-undang mengenai murtad dan jenayah syariah belum ditangani dengan sempurna
v      Hubungan antara agama belum berlaku dengan harmonis akibat salah faham dan pra sangka terhadap umat Islam
v      Syiar Islam seperti membaca asma’ul husna di sekolah dan azan dikawasan perumahan mula dipersoal.
v      Kewibawaan instituisi fatwa yang belum cukup kukuh untuk mempengaruhi kehidupan umat
Demikianlah gambaran umum yang dapat kami hidangkan mengenai nasib umat Melayu setelah 50 tahun merdeka. Apakah ini menjadi senario selanjutnya untuk 50 tahun mendatang ? Jawapannya sangat bergantung kepada generasi kita pada hari ini.
Benar sekali ingatan Kalamullah dalam Surah Ar-Raad : 11 itu. Bahawa syarat perubahan sangat bergantung kepada unsur ikhtiari walaupun pertolongan dan ketentuan Allah juga tidak terlepas dari pegangan kita.
Dengan itu kita tidak punya pilihan melainkan suatu kebangkitan semula umat Melayu diusahakan. kini kita ingin menjadi mata rantai perubahan tersebut . Kita sedang menggariskan langkah perubahan umat Melayu yang bermula dari pemupukan kesadaran massa Melayu yang meluas terhadap pentingnya kita kembali kepada pengkalan kekuatan kita iaitu Islam. Selagi ini tidak tercapai kami berpendapat hasil yang diinginkan akan terbantut.
Selanjutnya semua gejala negatif dikalangan umat Melayu disemua peringkat akan cuba ditangani. Perubahan untuk melihat sebuah umat Melayu yang unggul akan hanya dapat kita jayakan dengan menggerakkan tarnsformasi berikut:
Transformasi tassawur (pandangan hidup) umat Melayu
Transformasi dan kesadaran dan penghayatan Islam umat Melayu
Transformasi minda dan jiwa Melayu
Transformasi kepimpinan Melayu
Transformasi pendidikan Melayu
Transformasi budaya Melayu
Transformasi sistem pentadbiran Melayu
Transformasi pengurusan institusi-institusi Melayu
Transfromasi ekonomi dan pengurusan asset orang Melayu
Transformasi kesatuan dan perpaduan Melayu
Jika agenda teransformasi semua ini menuju kepada satu arah iaitu membina umat Melayu yang merealisasikan semua perintah Allah S.W.T kami yakin bahawa senario wajah Melayu akan berubah. Jika ada komitmen sejati dan konsisten untuk menjayakan seluruh transfromasi ini kami cukup yakin generasi Melayu mendatang akan menghargai erti kemerdekaan yang sebenar.
 
(Ucapan Tn. Hj. Mohd Azmi Abdul Hamid Presiden TERAS dalam satu seminar anjuran TERAS )

Meneliti ucapan tersebut, jelaslah bahawa tugas memartabat dan mengangkat harakat bangsa Melayu amat berat dan kritikal. Sebagai organisasi dakwah, kita mestilah berusaha membangun dan memulih semula fungsi bangsa Melayu sebagai bangsa tonggak dan bangsa dakwah . Ia amat memerlukan kesedaran yang tinggi, semangat cinta yang mendalam terhadap bangsa disamping pelan induk pembangunan bangsa Melayu secara holistik dan bersepadu.
Menyorot pemikiran Hasan Al- Bana tentang konsep ketuanan bangsa, beliau menyatakan :
“ Arab adalah bangsa Islam yang pertama dan menjadi bangsa pilihan. Tepat sekali sabda Rasul s.a.w yang bermaksud :
“Apabila Arab lemah Islam juga akan lemah”
Islam tidak akan mampu disatukan dan dibangunkan.Setiap inci bumi Arab ini kita anggap sama seperti bumi dan tanahair sendiri. Sempadan geografi dan pecahan politik yang ada kini tidak mampu memisahkan kita selama-lamanya dengan kesatuan Arab Islam..
Islam yang suci ini lahir dalam budaya Arab dan sampai ke bangsa-bangsa lain melalui orang Ara. Kitab suci Islam juga berbahasa Arab. Seluruh bangsa bersatu di bawah nama Islam..” (dakwatuna fi thaurin jadid )
Dalam penyataan ini dirumuskan bahawa :
         i.            Sesiapa yang berbahasa  Arab dia adalah Arab.
       ii.            Apabila lemah Arab lemahlah Islam.
      iii.            Arab adalah bangsa Islam yang awal dan bangsa terilih.
    iv.            Kebanggaan dengan Arab bukan bertitik tolak daripada semangat taksud, takbur dan memusuhi bangsa lain.
Prof. Dr.Abd. Hamid al-Ghazali membuat kajian, komentar dan ulasan baik tentang pemikiran Hasan Al-Bana mengenai isu ketuanan bangsa ( patriotisme & nasionalisme) di dalam bukunya  Perkara Asas dalam Agenda Kebangkitan Ummah – mukasurat 230-236 edisi terjemahan, penerbit Teras Bakti.
Berdasarkan pemikiran Al-Bana dan perkaitannya dengan isu bangsa saya simpulkan seperti berikut  :
  1. Memperjuangkan agenda Melayu  merupakan sebahagian dari tuntutan agama  tanpa mengabaikan tuntutan menegakkan keadilan pada kaum-kaum lain. Ia bukan semata-mata isu perkauman.
  2. Mempertahankan bangsa dan ketuanannya adalah alat mempertahankan ketuanan Islam. Ini kerana termaksud dalam perlembagaan Malaysia  yang ditakrifkan Melayu itu adalah seorang yang beragama islam.
  3. Kelangsungan Islam bergantung kepada sejauh mana usaha memperkasa bangsa Melayu sebagai bangsa tonggak dakwah.
  4. Perlu ada reformasi dan transformasi secara besa-besaran bagi memartabatkan semula paksi kekuatan umat Melayu dalam semua aspek samada kepemimpinan, ekonomi, politik, pendidikan, sosial, agama dan institusi-institusi Melayu.
  5. Mewujudkan semula jatidiri dalam jiwa orang Melayu Islam supaya ada semangat kasih dan bangga terhadap bangsa dan warisan sejarah keagungan mereka. Sejarah keagungan mereka adalah mata rantai rentetan sejarah keagungan umat Islam silam sebelum kedatangan penjajah menakluk bumi mereka.
  6. Memperjuangkan  Agenda Melayu adalah satu strategi dan  wahana pembinaan Daulah Islam.

Tuesday, August 28, 2012

Politik ‘common sense’



Satu tulisan yang menarik perhatian saya dan di sini saya kongsikan dengan saudara-saudara.
 
Saya seorang muslim, rakyat Malaysia, kakitangan kerajaan dan ahli ISMA yang berdaftar.

Namun, saya menolak politik lucah dan kelucahan yang dipaparkan oleh media arus perdana. Saya juga benci pada kezaliman terhadap rakyat awam, sabotaj terhadap kerajaan negeri, memilih bulu dalam projek pembangunan, salah guna kuasa, rasuah, penipuan dalam pilihanraya, pembaziran wang kerajaan dan akta yang membolehkan sesiapa sahaja ditahan dan didakwa tanpa bicara.

Namun kebencian saya ini tidaklah menjadikan saya buta, menafikan jasa-jasa dan menolak apa jua kebaikan yang dilakukan oleh kerajaan sedia ada, apatah lagi menjadikan saya penyokong buta Pakatan Rakyat.

Andai saya bukan ahli mana-mana NGO pun, saya juga akan berpendirian begini.

Pada masa yang sama, kerana saya seorang muslim, berbangsa melayu, saya sangat ingin melihat kesepakatan antara dua parti terbesar melayu muslim di Malaysia yang ahli-ahlinya dihubungkan dengan ikatan syahadah, iaitu PAS dan UMNO dalam isu-isu yang melibatkan kepentingan umat ISLAM dan bangsa melayu seperti isu aqidah, isu undang-undang Islam, penguatkuasaan terhadap ajaran sesat seperti Syiah, isu bahasa, hiburan keterlaluan dan banyak lagi.

Bila mana saya inginkan kesepakatan ini, tidaklah bermakna saya ingin keduanya bergabung atau keluar dari pakatan masing-masing, namun cukuplah agar keduanya dapat menunjukkan kesepakatan dalam membela maruah dan nasib ummah.

Apakah dengan sikap seperti ini, bermakna saya tertipu dengan strategi UMNO untuk mengekalkan kuasa, atau menjadi ‘kaki kipas’ kerajaan untuk menggagalkan hasrat Pakatan Rakyat ke Putrajaya, apatah lagi menjadikan saya penyokong tegar kerajaan hingga menafikan kebaikan-kebaikan yang banyak oleh Pakatan Rakyat khususnya kerajaan PAS di Kelantan. Tidak sama sekali! ‘I am not that stupid!’

Saya inginkan politik damai, politik matang, politik kasih sayang dari kedua belah parti untuk memartabatkan ISLAM dan memberi keadilan kepada semua kaum. Bukan keadilan yang menggunakan sifir sama rata, tapi keadilan yang menggunakan sifir meletakkan sesuatu sesuai dengan tempatnya.

Amat aneh mereka yang menyangka bahawa bila mana saya mengkritik kerajaan saya adalah penyokong dan pendokong pembangkang, lebih aneh lagi bila saya mengkritik dan bimbang dengan beberapa tindakan Pakatan Rakyat, secara khususnya PAS, terus dilabel tali barut UMNO atau pencacai kerajaan.

Kefahaman kolot seperti ini adalah mirip politik George Bush ketika ingin menyerang Afghanistan, politik yang berasaskan, “either you are with us or against us”.

Kita harus segera keluar dari kepompong sempit politik seperti ini menuju politik yang lebih cerdik. Politik untuk memenangkan maslahat ummah, bukan hanya untuk meraih undi sewaktu pilihanraya.

Kalaupun generasi pemimpin hari ini tidak mampu melakukannya, jangan kita terjebak mewarisi perselisihan berpanjangan yang hanya akan merugikan umat Islam.

Tidak praktikal? Pelambat kemenangan? Kita harus berjiwa lebih besar untuk merealisasikannya. Tidak ada muslim yang waras yang ingin agar ummah terus berpecah.

JOM! Mulakan dengan diri kita sendiri.

Mohd Hisham Mohd Sharif,
Timbalan Ketua,
ISMA South Australia

Sunday, August 26, 2012

Amalan Memurahkan Rezeki



Amalan-amalan ini menjadi sebab Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya. Berdasarkan konsep rezeki yang telah diperkatakan, Allah memberi jalan buat setiap hamba-Nya untuk memperolehi rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi punca kebaikan dunia dan akhirat. Di antaranya:

1. Menyempatkan diri beribadah

Allah tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis qudsi:
“Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu.” (Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.).

2. Memperbanyak istighfar

Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah , yang menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba.
Sabda Nabi s.a.w.:
“Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah s.w.t akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.” (Riwayat Ahmad,Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a.).

3.Tinggalkan perbuatan dosa

Istighfar tidak laku di sisi Allah jika masih buat dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Nabi s.a.w.: “… dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.” (Riwayat at-Tirmizi).

4. Sentiasa ingat Allah

Banyak ingat Allah buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah beri kepada orang beriman. Firman-Nya: “(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah . Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” (Ar-Ra’d: 28)

5. Berbakti dan mendoakan ibu bapa

Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w. berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Baginda s.a.w. juga bersabda: “Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.” (Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani,al-Asybahani dan al-Hakim).

Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Nabi s.a.w.:
“Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah ) daripadanya.” (Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami).

6. Berbuat baik dan menolong orang yang lemah

Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi s.a.w.:
“Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.” (Riwayat Bukhari).

7. Tunaikan hajat orang lain

Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi s.a.w.: “Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya…” (Riwayat Muslim).

8. Banyak berselawat

Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat. Wallahu a’lam.

9. Buat kebajikan banyak-banyak

Ibnu Abbas berkata: “Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”

10. Berpagi-pagi

Menurut Rasulullah s.a.w., berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.

11. Menjalin silaturrahim

Nabi s.a.w. bersabda: “Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya.” (Riwayat Bukhari).
 

12. Melazimi kekal berwuduk

Seorang Arab desa menemui Rasulullah s.a.w. dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah . Baginda s.a.w. bersabda: “Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki.” (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid).

13. Bersedekah

Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam: “Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.” (Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.).

14. Melazimi solat malam (tahajud)

Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah.

15. Melazimi solat Dhuha

Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah dalam hadis qudsi: “Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.” (Riwayat al-Hakim dan Thabrani).

16. Bersyukur kepada Allah

Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah . Lawannya adalah kufur nikmat. Allah berfirman:   “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras.” (Ibrahim: 7).  Firman-Nya lagi: “… dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (Ali Imran: 145)

17. Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran tertentu

Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma’ul husna selain menenangkan, menjenihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki. Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki. Salah satu nama Allah , al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu; dibaca “Ya Allah ya Fattah” berulang-ulang, diiringi doa: “Ya Allah , bukalah hati kami untuk mengenali-Mu,bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya `Alim.” Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi’ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu a’lam.

18. Berdoa

Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah , penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah suruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.

19. Berikhtiar sehabisnya

Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah beri kepada orang yang dicintai-Nya saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim)

Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya,hendak tenang dibacanya Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak anak dalam rahim lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang baik dan halal, hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi baik, hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.

20. Bertawakal

Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah . Firman-Nya:
“Barang siapa bertawakal kepada Allah , nescaya Allah mencukupkan(keperluannya) .” (At-Thalaq: 3)

Nabi s.a.w. bersabda: “Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.” (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattabr.a.)

Kesemua yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa. Dengan takwa, Allah akan beri “jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan) , dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.” (At-Talaq: 2-3)

Pendek kata, bagi orang Islam, untuk murah rezeki dalam ertikata yang sebenarnya, kuncinya adalah buat amalan-amalan takwa. Amalan-amalan ini menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah , lalu Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.


Sumber:  http://mr-tazkirah.blogspot.com/

Friday, August 24, 2012

Satu kisah untuk direnungi...

Sambung bicara tentang kehilangan....

Saudara yang dikasihi....
Izinkan saya meneruskan bicara tentang kehilangan.

Kehilangan sesuatu.... adalah satu perkara lumrah yang dialami oleh kebanyakan orang di dalam hidup ini. Kita mungkin telah kehilangan sesuatu dan akan kehilangan sesuatu di masa-masa akan datang. Mungkin sesuatu yang kita hilang itu berupa barang, wang ringgit, maklumat atau orang-orang yang kita kasihi.

Semakin bernilai barang yang seseorang itu hilang semakin besar kesan yang berlaku ke atas dirinya. Bayangkan kalau seseorang itu hilang kereta mewah yang dia miliki, atau rumah besarnya hangus terbakar atau barang kemasnya yang bernilai puluhan ribu dilarikan pencuri.... Sudah tentu pemilik atau tuan punya barang-barang tersebut akan menanggung duka nestapa yang amat sangat.

Begitu juga kalau seseorang itu kehilangan suami yang disayangi, isteri yang dicintai, ibubapa tempat bergantung, kekasih yang sentiasa di hati......  hilang terus disebabkan kematian individu-individu tersebut atau sebagainya. Sudah tentu kesannya akan berpanjangan.
(Gambar ini menunjukkan seorang kanak-kanak perempuan bernama Syaima' kehilangan sebelah kakinya akibat terkena bom yang digugurkan oleh tentera rejim Basyar la'natullah)

Kehilangan juga boleh berlaku kepada anggota tubuh badan kita. Hilang kaki, hilang tangan, hilang penglihatan, pendengaran, hilang selera makan dan sebagainya. Kira-kiranya banyak sekali perkara-perkara yang boleh hilang dari diri seseorang.

Jelasnya... apa sahaja yang kita miliki tidak semestinya akan berterusan sampai bila-bila menjadi milik kita. Bila sampai waktunya kita akan berpisah dengannya.

Berpisah atau kehilangan orang yang sangat kita sayangi  sudah tentu amat menyedihkan...... Adakah kita bersedia menghadapinya? Samada bersedia atau tidak ianya telah berlaku dan akan terus berlaku. Hanya kekuatan yang perlu kita ada apabila berhadapan dengan situasi tersebut.

Namun saya terfikir, ada satu perkara yang sepatutnya kita perlu takut hilang dari diri kita. Perkara itu ialah kasih sayang dan rahmat dari Allah swt. Apakah perkara lain yang lebih bernilai daripada itu?

Apabila kita mendapat kasih sayang dan rahmat daripadaNya, sudah tentu apa saja yang berlaku ke atas diri kita, kita akan mendapat pertimbangan dan pembelaanNya. Mendapat jaminan keselamatan atau perlindungan daripadaNya. Sudah pasti Allah tidak akan menzalimi hamba-hamba yang dikasihiNya.

Mungkin pada zahirnya kita melihat ada orang yang hidup sengsara, menderita, kehilangan harta benda atau orang-orang yang mereka kasihi, tetapi selagi mereka mempunyai hubungan yang baik dengan Allah, dan Allah mengasihi dan meredhai mereka, sudah tentu mereka akan diselamatkan oleh Allah swt. dan tidak akan dibiarkan begitu sahaja. Segala kesusahan dan penderitaan mereka akan dibalas dengan sesuatu pembalasan yang baik yang Allah sendiri lebih mengetahui tentangnya.

Saudara-saudara yang dikasihi....

Marilah sama-sama kita memperbetulkan hubungan kita dengan Allah swt. Mendidik hati kita untuk mematuhi segala perintah dan laranganNya. Melaksanakan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarangNya. Agar kasih sayang dan rahmat Allah sentiasa bersama kita.

Semoga sedikit coretan ini memberikan kekuatan kepada saya untuk sama-sama melaksanakan apa yang saya serukan kepada saudara-saudara semua.

Wallahua'lam.....

Firman Allah SWT, "Dan katakanlah, 'Ya Tuhanku berilah ampun dan berilah rahmat, dan Engkau adalah Pemberi rahmat Yang Paling baik." (QS. al-Mu'minun: 118).



Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa...
                                                                                                                           (Ali Imran 3: 133)

Sunday, August 19, 2012

Kehilangan sesuatu...

Aku kehilangan sesuatu dari blogku.... Walaupun ianya tidaklah besar sangat tetapi kehilangan itu mengganggu sedikit keselesaanku.

 Bagi saudara yang selalu berkunjung ke blogku mungkin akan perasan... beberapa potong maksud ayat-ayat al Quran dan nama-nama blog dan laman web yang terdapat di bahagian kanan blogku. Kerana cuba mengedit sesuatu akhirnya ianya terdelete....




Wednesday, August 15, 2012

Bilakah kali terakhir anda menangis?



Posted on May 29, 2011 by Dr. Zainur Rashid

Tidak semua tangisan itu negatif dan tidak semua insan yang menangis itu lemah.

Bilakah tangisan ini membawa erti kekuatan dan kehebatan?

1. Menangis kerana rasa cinta dan takut kepada Allah
2. Menangis kerana menginsafi kelemahan diri dan ahli keluarga & berusaha untuk memperbaikinya.
3. Menangis apabila melihat saudara seaqidah dizalimi & berusaha untuk membantu.
4. Menangis apabila melihat tatasusila umat Islam yang telah melampau.
5. Menangis kerana berasa syukur dengan rahmat Allah yang terlalu banyak walaupun dirinya ditimpa bencana.
6. Menangis kerana menyesali dosa dan menyedari kesilapannya
7. Menangis apabila dia menemui kebenaran setelah sekian lama hanyut di dalam kesesatan.

Tangisan-tangisan ini adalah kehebatan kerana orang yang menitiskan air matanya kerana Allah, adalah orang yang cukup tinggi rasa keimanan & taqwanya seperti yang ditunjukkan melalui sabdaan Rasulullah yang telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a, “Tidak akan masuk neraka seorang laki-laki yang menangis kerana takut pada Allah Swt. sehingga air susu kembali masuk ke dalam puting…” (H.R Tirmidzi)

Pada satu ketika Rasulullah saw. berkhutbah di hadapan para sahabat, beliau bersabda,” Seandainya kalian mengetahui apa yang aku ketahui sungguh kalian akan sedikit tertawa dan banyak menangis.” Kemudian para sahabat menutup wajah mereka dan mereka menangis. (Muttafaq `Alaihi)

Pada suatu hari Rasulullah saw telah mendengar seorang sahabat Baginda yang sedang membaca al Quran. Apabila sampai ke ayat yang bermaksud: “Maka apabila langit terbelah dan menjadi merah seperti kulit yang merah” Surah ar Rahman – 37

Bulu roma si pembaca itu berdiri tegak dan dia menangis tersedu-sedu sambil bertanya:”Aduh, apakah yang akan berlaku pada diriku apabila langit terbelah? Malang sungguh nasibku ini.” Rasulullah saw berkata kepadanya:” Tangisanmu telah menyebabkan para malaikat menangis bersama-sama.”

Jawapan yang sama telah diberikan oleh Rasulullah saw kepada seorang Ansar yang duduk menangis selepas menunaikan sembahyang Tahajjud.

Abdullah bin Rawahah telah menangis pada suatu hari. Isterinya melihat keadaannya turut menangis bersama-sama, dia bertanya kepada isterinya itu:”Mengapa kamu menangis?” Kata Abdullah:”Apabila aku teringat yang aku terpaksa menyeberangi neraka melalui titian sirat, aku menangis.”Aku tidak tahu sama ada aku akan berjaya menyeberanginya atau tidak.”

Subhanallah, kehebatan yang terserlah dengan linangan air mata yang membuktikan kekuatan seseorang insan.

Malah di antara tanda-tanda yang menunjukkan seseorang ini keras hatinya ialah apabila dia sukar untuk menangis di hadapan Ilahi.



Bilakah kali terakhir daku menitiskan air mata keranaMu ya Ilahi?


Sumber: http://zainurrashid.com

--------------------------------------------------------------------------------

Tuesday, August 14, 2012

Satu isu untuk sama-sama kita renungi





Antara isu pertembungan utama antara Islam dan Liberalisme ialah isu integrasi. Islam berdasarkan Piagam Madinah, mengiktiraf kepelbagaian dan menjamin setiap kaum dengan khususiah/keunikan mereka.

Sebaliknya Liberalisme cuba melampaui kepelbagaian dan menyatukan manusia atas nilai kemanusian (Humanisme).

Dalam sistem Islam, Allah s.w.t memberikan orang yang beriman hak sebagai pemimpin, kerana...mereka yang membawa hidayah kepada manusia. Tiada kesamaan antara orang yang beriman dengan orang yang tidak beriman.

Manakala mengikut fahaman Liberal, semua dianggap sama rata. Sama sahaja orang yang beriman dengan orang yang tidak beriman. Tiada beza dari segi agama, bangsa dan budaya.

Isu Integrasi (masalah majmuk) ini bukan isu baru dalam sejarah manusia, ia telah berlaku tak silap saya di zaman Tatar yang cuba menyatukan antara agama-agama, pernah berlaku di zaman pemerintahan Raja Islam di rantau ini (Jawa) yang menggunakan fahaman Wehdatul Wujud.

Berbagai kaedah telah dicuba oleh manusia seperti Pancasila di Indonesia, Asimilasi seperti di Selatan Thai dan ada yang melakukan secara ganas dengan penghapusan etnik seperti di Burma hari ini.

Humanisme adalah satu kaedah berdasarkan pengalaman barat yang cuba dipromosikan ke seluruh dunia hari ini. Ia telah menjadi senjata yang ampuh untuk menjatuhkan mana-mana dominasi kaum atau agama dalam pemerintahan negara.

Memahami perkara ini, membantu kita memahami tabiat percaturan politik yang berlaku dalam negara kita pada hari ini. Ia akan membantu kita membuat pendirian yang betul. Saya selalu ingatkan agar kita sentiasa mengambil kira aspek ideologi pihak-pihak yang terlibat dalam menganalisa isu.

Hari ini, gerakan Liberal ini sedang bertapak di negara kita, didokong oleh pemimpin politik, parti-parti berhaluan kiri, NGO-NGO hak asasi, puak-puak Muslim Moderate (muktazilah moden) dan sebagainya.
Saya tidak pasti para fuqaha' siasah memahami perkara ini atau tidak.

Tidak ganjil jika aliran ini disokong kuat oleh bangsa non-muslim di negara ini kerana ia menjanjikan hak sama rata yang akan memberikan taraf yang lebih baik bagi mereka serta membuka luas ruang untuk mereka mencapai ketamakan politik di negara ini.

Malangnya, ramai dalam kalangan kita yang naif kefahaman Islamnya, lemah intima'nya kepada agama dan bangsa, juga yang tertipu, mendokong kuat fahaman ini. Mereka keliru antara mafhum Universal Islam yang berteraskan Aqidah dengan mafhum kesatuan atas nilai kemanusiaan (Humanisme) sehingga menganggapnya sebagai Ukhuwwah Insaniah mengatasi Ukhuwwah Islamiah.

Mereka keliru dengan dakyah keadilan yang dibawa oleh Liberal yang sebenarnya semata-mata untuk kepentingan manoriti dengan keadilan Islam yang berasaskan perlaksanaan Syariat.

Mereka cuba menyamakan nilai "Good Governance" dengan Maqasid Syarak kononnya mengambil pendekatan "Substance" dalam perlaksanaan Syariah. Ada yang mungkin faham percaturan ini, tetapi dikelabukan dengan oleh ketamakan politik atau terperangkap dalam ekstrim politik kepartian.

Konsep kenegaraan Malaysia Alhamdulilah pada umumnya, lebih hampir kapada Piagam Madinah yang memberi kelebihan kepada Islam dan orang Islam. Adakah kita akan mengubahnya demi kononnya keadilan sejagat yang berteraskan Liberal Barat yang palsu ?

Kalaulah benar barat beriman dengan fahaman Humanisme nescaya tiada bangsa yang miskin dan lapar di atas muka bumi ini. Namun lihatlah bagaimana fahaman yang karut itu telah membawa penjajahan dan kesengsaraan yang berterusan kepada umat dan dunia Islam.


Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia




Monday, August 13, 2012

AIR MATA MENITIS KETIKA MENDENGAR CERAMAH Ustaz Don Daniyal (Anak Asset ...

Kenyataan PEMBELA Membantah Cubaan Menghakis Kedaulatan Islam Sebagai Agama Negara Dengan Mendakwa Malaysia Adalah Negara Sekular August 12, 2012

Posted by membelaislam in Artikel 3, Constitution, Hina Islam.
trackback

  1. Islam adalah ‘Agama Negara’, bukan sekadar Agama Rasmi untuk tujuan upacara (ceremonial purposes) sahaja. Undang-Undang Tertinggi Negara seawal Perkara 3 Fasal (1) memartabatkan – Islam is the religion of the Federation;
  2. Tiada sepatah pun ungkapan ‘sekular’ termaktub dalam undang-undang tertinggi Negara. Aspirasi masyarakat bukan Islam mahupun sebahagian kecil umat Islam untuk menjadikan Persekutuan Negeri-Negeri Melayu sebagai sebuah Negara sekular tidak kesampaian apabila Raja-Raja Melayu memperkenankan Perlembagaan Persekutuan yang ada pada hari ini tanpa ungkapan “sekular”.
  3. Kesinambungan kedaulatan (sovereignity) Kesultanan Melayu Islam tetap kekal teguh dengan pembentukan Persekutuan Tanah Melayu dan kemudiannya Malaysia jelas membuktikan Malaysia bukan lahir atas ihsan penjajah British semata-mata, malah atas perkenan Raja-raja Melayu untuk bersekutu.
  4. Perlembagaan Perseketuan mewajibkan Pemerintah dan rakyat keseluruhannya memelihara kesucian dan kedaulatan Agama Islam – melalui Perkara 37 – dengan mewajibkan Ketua Utama Negara- Yang di-Pertuan Agong untuk bersumpah atas nama suci Allah bagi memlihara agama Islam pada semua masa.
  5. Semua cabang Pemerintahan Negara – Eksekutif, Legislatif dan Kehakiman terikat dengan sumpah Yang di-Pertuan Agong untuk memastikan kesucian dan kedaulatan Agama Islam setiap masa.
  6. Pendirian mana-mana parti politik (sama ada DAP, PKR, MCA, MIC hatta PAS atau UMNO) yang mendokong unsur menentang kedaulatan Islam sebagai agama Negara adalah bercanggah dengan prinsip-prinsip Rukun Negara – Kedaulatan Undang-undang, Keluhuran Perlembagaan dan Kesetiaan kepada Raja dan Negara.
  7. Mana-mana parti politik yang meletakkan prinsip sekular dan liberalisme mengatasi prinsip Islam wajib memperbetulkan fahaman politik masing-masing kerana sebagai warga Malaysia, rakyat Malaysia tiada pilihan lain selain dari menghormati prinsip Islam sebagai agama Negara dan memartabatkannya.
  8. Karpal Singh membuat kenyataan yang mengelirukan seluruh rakyat apabila mengatakan Tun Salleh Abbas memutuskan Malaysia adalah Negara sekular dalam kes Che Omar B. Che Soh. Sedangkan pada hakikatnya Tun Salleh dalam kes tersebut hanya berpendapat undang-undang yang dilaksanakan Negara ini pada waktu itu, tahun 1988, adalah undang-undang sekular. TUN SALLEH TIDAK SAMA SEKALI MEMUTUSKAN MALAYSIA NEGARA SEKULAR.
  9. Suara-suara sumbang dan pandangan menyeleweng pelbagai pihak terutama dari kalangan para peguam, ahli politik, yang menjulang prinsip hak asasi manusia hingga menjejaskan kesucian dan kedaulatan Agama Islam adalah ancaman utama terhadap kestabilan politik Negara dan telah mengakibatkan terjejasnya kedudukan Islam sebagai agama Negara.
  10. Tindakan menuntut hak kebebasan dari pengaruh kawalan prinsip Islam termasuk hak orientasi seks, hak kebebasan menghina agama Islam, hak kebebasan untuk murtad, hak kebebasan seks, hak kebebasan untuk menyelewengkan agama Islam, hak untuk bebas dari pengaruh Syariah adalah bukti jelas betapa sebahagian besar rakyat Negara ini terpengaruh dengan di’ayah kononnya Malaysia sebuah Negara sekular.
BAGI MENGELAKKAN SALAH TANGGAPAN SEBEGINI TERUS MENULAR DI KALANGAN RAKYAT DAN PENTADBIR NEGARA, PEMBELA MEMOHON PERKENAN RAJA-RAJA MELAYU UNTUK –
  1. MENUBUHKAN SURUHANJAYA KEDAULATAN AGAMA NEGARA (SKAN) SEBAGAIMANA YANG TELAH DILULUSKAN DALAM RESOLUSI KONGRES MAJLIS-MAJLIS AGAMA ISLAM SELURUH NEGARA SETAHUN LALU.
  2. MENGENAKAN TINDAKAN PENDAKWAAN TERHADAP MANA-MANA PIHAK YANG SENGAJA MENCETUSKAN PERASAAN TIDAK MENGHORMATI AGAMA NEGARA.

Saturday, August 4, 2012

Sekadar Renungan.....





Assalamualaikum wbt. sdr/i yang dikasihi....Bersyukur kerana masih dipanjangkan usia oleh Allah swt dan dapat bertemu dengan sdr/i di bulan Ramadhan, bulan yang penuh barokah ini. Semoga Allah terus melimpahkan rahmat dan kasih sayangNya kepada kita semua.

Saya baru terbaca satu post di facebook pada 'wall' seorang sahabat. Satu tulisan berupa nasihat dan saya fikir ianya bermenafaat untuk semua orang. Sebagai satu peringatan agar kita lebih berhati-hati di dalam kehidupan yang banyak tipu daya ini. Saya kongsikan tulisan tersebut di bawah.....

---------------***-----***-------------****--------------------****----------------****-------------

post dr IIUM online, dari salah seorang lecturer uia, serious terbaik, WAJIB baca! :)



Assalamualaikum dan salam Ramadhan.

Dua semester lepas, seorang pelajar saya (perempuan), pernah mengirimkan sms kepada saya, "Madam, terima kasih di atas segala2nya.Betapa saya ingin memeluk madam seperti memeluk ibu saya, tapi saya malu." Saya membalas sms dia, " Tak pe..insyaAllah, masih ada peluang utk kita berjumpa semester depan. Dan kalau jumpa nanti, peluklah saya kalau awak nak."

...Semalam
, dia datang datang ke ofis saya, dengan wajah suram dan inai masih dijari.Belum sempat berbual panjang, dia memeluk saya dengan erat dan disulam dengan tangisan. basah bahu saya dengan airmatanya. Saya bertanya, "Kenapa? awak sepatutnya gembira sebab baru saja bernikah dengan pilihan hati awak." Dalam sedu dia menjawab, "Madam, saya nak bercerai, saya dah tak boleh nak teruskan hidup dengan dia. Dia sangat berbeza dgn dia yang saya kenal sewaktu bercinta dulu"

Astaghfirullah...hancur luluh hati saya waktu itu bagai kaca terhempas ke batu. Tak perlulahsaya sebut kenapa dan mengapa dia hendak bercerai ketika inai masih di jari. Saya cuma ingin menasihati pelajar2 saya, dan rakan2 FB saya yang masih muda, ingatlah pernikahan bukannya trial and error. Pernikahan bukannya ujian amali atau ujian praktikal. Janganlah hanya kerana kawan2 kamu telah bertunang, maka kamu rasa kamu juga perlu bertunang. janganlah hanya kerana kawan2 kamu telah bernikah, maka kamu rasa kamu juga perlu bernikah. Pernikahan adalah sesuatu yang sangat suci dan ianya memerlukan pengertian, pengorbanan dan kesabaran. Kesabaran bukan bertahan utk seminggu dua atau sebulan atau setahun. tapi kesabaran itu perlu utk membuktikan kamu beriman kepada Allah dan RasulNYA.

Kepada pelajar2 yg telah bernikah di usia muda dan masih belajar, saya merayu kepada kamu semua hari ini...tolong jangan terlalu dipaparkan kemesraan kamu di facebook. jangan terlalu menunjukkan kesronokan bernikah di facebook. saya mohon dengan setulus hati saya. tolong kurangkan posting2 romantik kamu di FB. Saya tidak mahu lebih ramai pelajar yang merasakan seronoknya bernikah.Tapi mereka lupa bahawa di sebalik keseronokan pernikahan itu dipenuhi dengan tanggungjawab yg amat berat.

Dan bukan semua orang bernasib baik mendapat pasangan hidup yang baik. Jadi, cukup2lah kamu berposting tenatng bulan madu kamu, hentikan dialog2 romantik kamu di FB, ucapan sayang dan cinta itu simpan utk tatapan kamu dan pasangan kamu saja.TOLONGLAH....saya merayu daripada kamu. Dan kepada pelajar2 yg masih berfikir tentang bakal suami atau isteri, berjumpalah dengan mereka yg lebih arif tentang hidup.Mintalah pendapat mereka tentang mencari pasangan hidup. Ingatlah anak2ku, adik2ku..pernikahan bukan satu percubaan, tapi satu tanggungjawab yang amat berat. Saya tidak sanggup melihat kamu menangis...tidak sanggup sebab saya sangat sayangkan kamu. jaga diri kamu baik2.

*peringatan untuk diri sendiri dan sesiapa yg membaca.

Thursday, August 2, 2012

Terbanglah Setinggi-tingginya



Ibnul Qaiyim, rahimahullah, pernah membuat satu perumpamaan yang menarik mengenai hati. Hati ini umpama burung yang terbang. Semakin tinggi ia terbang semakin jauh ia daripada mara bahaya di tanah. Semakin merendah, semakin hampir ia pada musuh dan kesilapan.

Saya ingin menambah. Semasa mula-mula hendak terbang, burung menggunakan banyak tenaga untuk mengepak demi merenggangkan jasadnya dari tanah. Tetapi apabila sudah melangit di udara, ia hanya perlu mendepakan kepaknya, terbang melayang dan meluncur di laluan angin. Sesekali ia menjunam ke bawah juga, kerana makanannya berada di tanah, ataupun di air. Tetapi jika tidak jadi mendarat, sekali lagi ia akan mengerah kudrat mengepak, sehingga stabil semula bermain angin.


Kita hidup di bumi, tetapi nilai kehidupan dan prinsip perjuangan ini kita ambil dari langit. Kita berasal daripada tanah, tetapi ruh kita berasal daripada alam yang tinggi. Kita makan minum di dunia ini, tetapi kerinduan kita di syurga Firdaus yang tertinggi.


Sebagaimana bumi ini mempunyai graviti yang menyebabkan jasad kita “melekat” di tanah, begitu juga dunia ini mempunyai tarikan yang menyebabkan jiwa kita “melekat” pada fatamorgana kehidupan.


Untuk merenggangkan jiwa daripada “graviti” fatamorgana kehidupan ini, kita perlu mengerah kudrat, bermujahadah. Umpama musafir berkelana berjauhan daripada keluarga tersayang, agar mudah mengendalikan perasaan dengan kesabaran dan ketabahan. Umpama memegang kukuh tali kekang, biar dibanting dilambung, sementara kuda yang liar itu menjinak. Itulah peraturan yang ditentukan Allah, sebelum burung boleh meluncur bermain angin di ketinggian melangit itu, sebelum kita boleh bebas merdeka di alam perjuangan ini, jauh daripada perangkap nafsu yang membelenggu.


Bagi yang telah lama terbang tinggi, setelah melalui tahun-tahun mujahadah, jangan pula leka bermain angin, sehingga kadang-kadang kita tidak sedar sedang menjunam ke bawah. Fatamorgana itu mungkin lebih indah pemandangannya dari ketinggian yang melangit itu. Bahkan di ketinggian itu, sasaran tampak terlalu kecil dan mudah disambar.


Isteri, karier, harta dan kedudukan. Kalau ditambah, bermakna bertambah beban. Daya melawan tarikan graviti perlu semakin kuat. Adakah kita sedang terbang di ketinggian yang sudah cukup selamat? Atau adakah kita cukup yakin dengan kekuatan kudrat untuk mengepak bersama beban baru itu ke arah ketinggian yang asal? Jika jawapannya ya, silakan, kerana yang demikian itu menggambarkan kegagahan, keberanian dan keunggulan, ibarat burung helang yang merajai awan biru. Jika jawapannya tidak, maka jangan mengundang nahas.


Bagi yang baru mula hendak mengepak, masih berusaha merenggangkan diri, masih bermujahadah, masih berada dalam zon berbahaya, tumpukan fokus ke arah alam yang tinggi. Isteri, karier, harta dan kedudukan. Perlu bermakna sekadar perlu. Jangan terlebih, nanti tersungkur. Buruk padahnya.


Dunia ini bagi pejuang Islam, bukan setakat tidak di hatinya, bahkan hanya diurus oleh tangan kirinya sahaja (bagi yang bukan kidal). Diurus dengan cekap, melalui minda separa sedar. Seperti pemandu yang mengawal tombol gear dan pedal klac dengan tangan dan kaki kirinya, tanpa fikir, tetapi lancar tanpa sebarang masalah. Tangan dan kaki kanannya digunakan untuk tugas yang lebih kritikal; hala tuju, kelajuan dan keselamatan.


Jika dunia di tangan kanan, ia mengundang rasa bimbang. Itulah gambaran keadaan apabila masalah-masalah kehidupan peribadi mengambil alih tumpuan dan perhatian, sehingga merencatkan peningkatan dan pencapaian perjuangan. Belum apa-apa lagi, sudah konflik. Tidak bersyukur dengan apa yang ada. Tidak sedar diri yang serba kekurangan. Ego yang melupakan asal usul dan arah tujuan.


Jika dunia sudah di hati, mala petakalah maknanya itu.


Kesimpulannya, dua perkara yang perlu ditilik kembali. Diamat-amati betul-betul. Apakah yang kita mahu sebenarnya? Dan apakah benar-benar itu yang kita mahu?


Kalau betul kita mahu mati selaku pejuang, dan kalau betul kita sudah nekad begitu, maka terbanglah setinggi-tingginya, kerana pemangsa syaitan dan perangkap nafsu itu tidak pernah mengenal erti simpati dan kasihan. Terbanglah setinggi-tingginya, agar layak menjadi teladan yang memimpin generasi demi generasi di sepanjang zaman. Jika tidak, kita akan ditelan zaman, ibarat buih-buih di tengah lautan. Pilihan di tangan kita.

Sumber:  http://ustazhazizi.wordpress.com/