“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal” [Ali ‘Imran 190]
Thursday, August 2, 2012
Terbanglah Setinggi-tingginya
Ibnul Qaiyim, rahimahullah, pernah membuat satu perumpamaan yang menarik mengenai hati. Hati ini umpama burung yang terbang. Semakin tinggi ia terbang semakin jauh ia daripada mara bahaya di tanah. Semakin merendah, semakin hampir ia pada musuh dan kesilapan.
Saya ingin menambah. Semasa mula-mula hendak terbang, burung menggunakan banyak tenaga untuk mengepak demi merenggangkan jasadnya dari tanah. Tetapi apabila sudah melangit di udara, ia hanya perlu mendepakan kepaknya, terbang melayang dan meluncur di laluan angin. Sesekali ia menjunam ke bawah juga, kerana makanannya berada di tanah, ataupun di air. Tetapi jika tidak jadi mendarat, sekali lagi ia akan mengerah kudrat mengepak, sehingga stabil semula bermain angin.
Kita hidup di bumi, tetapi nilai kehidupan dan prinsip perjuangan ini kita ambil dari langit. Kita berasal daripada tanah, tetapi ruh kita berasal daripada alam yang tinggi. Kita makan minum di dunia ini, tetapi kerinduan kita di syurga Firdaus yang tertinggi.
Sebagaimana bumi ini mempunyai graviti yang menyebabkan jasad kita “melekat” di tanah, begitu juga dunia ini mempunyai tarikan yang menyebabkan jiwa kita “melekat” pada fatamorgana kehidupan.
Untuk merenggangkan jiwa daripada “graviti” fatamorgana kehidupan ini, kita perlu mengerah kudrat, bermujahadah. Umpama musafir berkelana berjauhan daripada keluarga tersayang, agar mudah mengendalikan perasaan dengan kesabaran dan ketabahan. Umpama memegang kukuh tali kekang, biar dibanting dilambung, sementara kuda yang liar itu menjinak. Itulah peraturan yang ditentukan Allah, sebelum burung boleh meluncur bermain angin di ketinggian melangit itu, sebelum kita boleh bebas merdeka di alam perjuangan ini, jauh daripada perangkap nafsu yang membelenggu.
Bagi yang telah lama terbang tinggi, setelah melalui tahun-tahun mujahadah, jangan pula leka bermain angin, sehingga kadang-kadang kita tidak sedar sedang menjunam ke bawah. Fatamorgana itu mungkin lebih indah pemandangannya dari ketinggian yang melangit itu. Bahkan di ketinggian itu, sasaran tampak terlalu kecil dan mudah disambar.
Isteri, karier, harta dan kedudukan. Kalau ditambah, bermakna bertambah beban. Daya melawan tarikan graviti perlu semakin kuat. Adakah kita sedang terbang di ketinggian yang sudah cukup selamat? Atau adakah kita cukup yakin dengan kekuatan kudrat untuk mengepak bersama beban baru itu ke arah ketinggian yang asal? Jika jawapannya ya, silakan, kerana yang demikian itu menggambarkan kegagahan, keberanian dan keunggulan, ibarat burung helang yang merajai awan biru. Jika jawapannya tidak, maka jangan mengundang nahas.
Bagi yang baru mula hendak mengepak, masih berusaha merenggangkan diri, masih bermujahadah, masih berada dalam zon berbahaya, tumpukan fokus ke arah alam yang tinggi. Isteri, karier, harta dan kedudukan. Perlu bermakna sekadar perlu. Jangan terlebih, nanti tersungkur. Buruk padahnya.
Dunia ini bagi pejuang Islam, bukan setakat tidak di hatinya, bahkan hanya diurus oleh tangan kirinya sahaja (bagi yang bukan kidal). Diurus dengan cekap, melalui minda separa sedar. Seperti pemandu yang mengawal tombol gear dan pedal klac dengan tangan dan kaki kirinya, tanpa fikir, tetapi lancar tanpa sebarang masalah. Tangan dan kaki kanannya digunakan untuk tugas yang lebih kritikal; hala tuju, kelajuan dan keselamatan.
Jika dunia di tangan kanan, ia mengundang rasa bimbang. Itulah gambaran keadaan apabila masalah-masalah kehidupan peribadi mengambil alih tumpuan dan perhatian, sehingga merencatkan peningkatan dan pencapaian perjuangan. Belum apa-apa lagi, sudah konflik. Tidak bersyukur dengan apa yang ada. Tidak sedar diri yang serba kekurangan. Ego yang melupakan asal usul dan arah tujuan.
Jika dunia sudah di hati, mala petakalah maknanya itu.
Kesimpulannya, dua perkara yang perlu ditilik kembali. Diamat-amati betul-betul. Apakah yang kita mahu sebenarnya? Dan apakah benar-benar itu yang kita mahu?
Kalau betul kita mahu mati selaku pejuang, dan kalau betul kita sudah nekad begitu, maka terbanglah setinggi-tingginya, kerana pemangsa syaitan dan perangkap nafsu itu tidak pernah mengenal erti simpati dan kasihan. Terbanglah setinggi-tingginya, agar layak menjadi teladan yang memimpin generasi demi generasi di sepanjang zaman. Jika tidak, kita akan ditelan zaman, ibarat buih-buih di tengah lautan. Pilihan di tangan kita.
Sumber: http://ustazhazizi.wordpress.com/
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment