Sebaliknya Liberalisme cuba melampaui kepelbagaian dan menyatukan manusia atas nilai kemanusian (Humanisme).
Dalam sistem Islam, Allah s.w.t memberikan orang yang beriman hak sebagai pemimpin, kerana...mereka yang membawa hidayah kepada manusia. Tiada kesamaan antara orang yang beriman dengan orang yang tidak beriman.
Manakala mengikut fahaman Liberal, semua dianggap sama rata. Sama sahaja orang yang beriman dengan orang yang tidak beriman. Tiada beza dari segi agama, bangsa dan budaya.
Isu Integrasi (masalah majmuk) ini bukan isu baru dalam sejarah manusia, ia telah berlaku tak silap saya di zaman Tatar yang cuba menyatukan antara agama-agama, pernah berlaku di zaman pemerintahan Raja Islam di rantau ini (Jawa) yang menggunakan fahaman Wehdatul Wujud.
Berbagai kaedah telah dicuba oleh manusia seperti Pancasila di Indonesia, Asimilasi seperti di Selatan Thai dan ada yang melakukan secara ganas dengan penghapusan etnik seperti di Burma hari ini.
Humanisme adalah satu kaedah berdasarkan pengalaman barat yang cuba dipromosikan ke seluruh dunia hari ini. Ia telah menjadi senjata yang ampuh untuk menjatuhkan mana-mana dominasi kaum atau agama dalam pemerintahan negara.
Memahami perkara ini, membantu kita memahami tabiat percaturan politik yang berlaku dalam negara kita pada hari ini. Ia akan membantu kita membuat pendirian yang betul. Saya selalu ingatkan agar kita sentiasa mengambil kira aspek ideologi pihak-pihak yang terlibat dalam menganalisa isu.
Hari ini, gerakan Liberal ini sedang bertapak di negara kita, didokong oleh pemimpin politik, parti-parti berhaluan kiri, NGO-NGO hak asasi, puak-puak Muslim Moderate (muktazilah moden) dan sebagainya.
Saya tidak pasti para fuqaha' siasah memahami perkara ini atau tidak.
Tidak ganjil jika aliran ini disokong kuat oleh bangsa non-muslim di negara ini kerana ia menjanjikan hak sama rata yang akan memberikan taraf yang lebih baik bagi mereka serta membuka luas ruang untuk mereka mencapai ketamakan politik di negara ini.
Malangnya, ramai dalam kalangan kita yang naif kefahaman Islamnya, lemah intima'nya kepada agama dan bangsa, juga yang tertipu, mendokong kuat fahaman ini. Mereka keliru antara mafhum Universal Islam yang berteraskan Aqidah dengan mafhum kesatuan atas nilai kemanusiaan (Humanisme) sehingga menganggapnya sebagai Ukhuwwah Insaniah mengatasi Ukhuwwah Islamiah.
Mereka keliru dengan dakyah keadilan yang dibawa oleh Liberal yang sebenarnya semata-mata untuk kepentingan manoriti dengan keadilan Islam yang berasaskan perlaksanaan Syariat.
Mereka cuba menyamakan nilai "Good Governance" dengan Maqasid Syarak kononnya mengambil pendekatan "Substance" dalam perlaksanaan Syariah. Ada yang mungkin faham percaturan ini, tetapi dikelabukan dengan oleh ketamakan politik atau terperangkap dalam ekstrim politik kepartian.
Konsep kenegaraan Malaysia Alhamdulilah pada umumnya, lebih hampir kapada Piagam Madinah yang memberi kelebihan kepada Islam dan orang Islam. Adakah kita akan mengubahnya demi kononnya keadilan sejagat yang berteraskan Liberal Barat yang palsu ?
Kalaulah benar barat beriman dengan fahaman Humanisme nescaya tiada bangsa yang miskin dan lapar di atas muka bumi ini. Namun lihatlah bagaimana fahaman yang karut itu telah membawa penjajahan dan kesengsaraan yang berterusan kepada umat dan dunia Islam.
Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia
No comments:
Post a Comment