Jul 14,2014 - by 1
Apabila ISMA mengkritik penubuhan Negara-Ku sebaik ia dilancarkan, Ambiga membuat kenyataan balas.
“He will have to explain how that is so. Why is he so nervous about the movement?”
Tambah Ambiga lagi,
“The movement is based on the Federal Constitution, Malaysian Agreement and the Rukunegara. What is his problem with that?”
Pada
hari pelancaran Negara-Ku, ISMA mengatakan bahawa ISMA kenal siapa
Ambiga, NGO beliau dan semua yang berada di sebalik tabir. Wajar sahaja
kenyataan itu dibuat kerana sejarah penglibatan Ambiga dan
rakan-rakannya dengan membawa agenda asing juga dibantu pendanaan luar
sudah bermula seawal tahun 2000 lagi. Ia bukan sesuatu yang asing
sebenarnya.
AGENDA YANG BERUSIA 10 TAHUN
Seperti
di atas, saya mengatakan penglibatan Ambiga dan golongan seangkatannya
sudah bermula sejak tahun 2000 lagi. Bermula dengan penubuhan IFC
(2001), Gerakan Artikel 11, BERSIH 1.0 (2007) sehingga 2.0, Festival
Seksualiti Merdeka (2008), COMANGO (2009), COMANGO (2013) dan terkini
adalah Negara-Ku (2014). Begitulah konsistennya Ambiga dan rakannya
walaupun sudah lebih 10 tahun. Agenda mereka tidak lari daripada 4 paksi
ini:
1)
Hak kebebasan beragama dengan mafhum kebebasan untuk keluar daripada
Islam dan kebebasan untuk mengiktiraf fahaman Islam sesat seperti Syiah
dan tidak tertakluk kepada kebebasan dalam Artikel 11 Perlembagaan
Persekutuan.
2) Pengiktirafan hak samarata dengan cara menghapuskan hak istimewa orang Melayu.
3)
Atas dasar “Freedom for All” mereka mengiktiraf hak manusiawi songsang
seperti hak LGBT tetapi bukan dalam soal diskriminasi pekerjaan. Ia
lebih kepada pengiktirafan kepada identiti songsang dan cara hidup
mereka.
4)
Merubah fahaman dan struktur dalam negara serta Perlembagaan
Persekutuan supaya selari dengan idea negara sivil (konsep
Liberal-Demokratik acuan Barat).
Memang
ia tidak jauh berbeza dengan demokrasi yang diamalkan di barat
terutamanya Amerika. Sekularisasi agama yang berlaku, kebebasan yang
tanpa batas, penafian hak bumi dan penolakan kepada struktur dan
identiti negara berasaskan tradisi dan fundamental agama adalah antara
ciri mudah yang boleh diketengahkan. Biarpun mereka menggunakan
perkataan dan ayat yang diplomatik dalam mengaburi mata rakyat daripada
memahami agenda mereka namun begitu sejarah yang sudah lebih 10 tahun
panjangnya mustahil boleh dikaburi. Konsep demokrasi inilah yang sedang
mereka usahakan.
AGENDA NEGARA LIBERAL DEMOKRATIK BARAT
Ia
mula diperkenalkan ketika zaman Presiden Ronald Reagan (Republican,
1981-1989) yang mula-mula memposisikan ideologi demokrasi sebagai
rujukan kepada dasar luar Amerika. Seterusnya, merangka strategi
mempromosikan demokrasi ala Amerika dengan menubuhkan segala
infrastruktur seperti National Endowment of Democracy (NED) dan
menghubungkannya dengan Research And National Defense (RAND Corp) untuk
melakukan reformasi di negara-negara serantau. NED selepas penubuhannya
pada 1983 telah berjaya melakukan lebih 1000 projek non-government di
hampir 90 buah negara termasuk Malaysia.
Bagaimana
projek mempromosi demokrasi ala Amerika/Barat ini dilakukan? Ia
dilakukan dengan menjalinkan kerjasama yang luas dalam hal berkaitan
polisi ekonomi, sosial dan budaya. Bagi menterjemahkan polisi ini,
strategi yang digunakan ada sebahagian kaedahnya adalah dengan membuat
infiltrasi melalui gerakan sivil. Gerakan sivil telah menjadi nadi utama
dalam program ini. Seperti apa yang disebut oleh William I. Robinson
dalam tulisan beliau bertajuk Globalization, the World System, and
“Democracy Promotion” in U.S Foreign Policy menyebut “..penetrate not just the state, but the civil society… and from therein exercise control.” Satu
perubahan strategi yang beransur-ansur berubah daripada pendakatan
Top-down, kepada perubahan dari dalaman menggunakan gerakan sivil dan
mengesani masyarakat serta negara. Ini juga apa yang dilakukan di
Malaysia. Pendanaan dan latihan merupakan antara perkara-perkara yang
mereka sediakan.
NEGARAKU, COMANGO dan IFC
Terdapat
juga NGO yang menjadi tulang belakang BERSIH turut sama menjadi tulang
belakang kepada perjuangan COMANGO dan Negara-Ku. Daripada 68 NGO yang
berada di dalam Negaraku ini, 18 daripadanya terdiri daripada NGO
koaliasi COMANGO. Daripada 54 NGO yang berkoaliasi di dalam COMANGO
sebanyak 29 NGO menerima dana asing antaranya daripada NED, NDI, Asean
Foundation, Global Fund For Woman, Human Right Watch (berpangkalan di
Washington) dan Open Society yang diasaskan oleh George Soros.
Dalam
lambakan NGO di dalam COMANGO dan Negara-Ku, tidak kurang juga terdapat
NGO seperti HAKAM dan MCCBHST yang setelah sekian lama memperjuangkan
pluralisme agama di dalam Interfaith Council (IFC) turut sama bergabung
di dalam Negara-Ku. Menurut portal AIDC, Malik Imtiaz (peguam bagi IFC)
merupakan Presiden HAKAM. Antara pengasas awal HAKAM adalah dua orang
aktivis pelajar hak asasi Australia yang sekarang ini berkecimpung di
dalam PKR iaitu Tian Chua dan Elizabert Wong.
Sifirnya mudah sahaja, apa
yang dilakukan mereka sejak dahulu lagi adalah konsisten, sama tetapi
hadir dengan pelbagai entiti dan organisasi yang berbeza. IFC, BERSIH,
COMANGO dan Negara-Ku adalah sama walaupun tidak serupa. Mereka sejak
dahulu lagi tidak pernah berputus asa menentang Islam dan cuba merubah
elemen kenegaraan. Kerana itu tidak pelik pada hari pelancaran NGO
Negara-Ku, Dr. Kua Kia Song (Pengerusi SUARAM) menuntut kajian semula
terhadap Rukunegara dengan sengaja mempersoalkan kerelevenan elemen
“Kepercayaan kepada tuhan” supaya mengambil kira pandangan golongan
atheis dan pantheis.
Aksesori
yang dipakai Negara-Ku dengan mengetengahkan beberapa NGO yang
menggunakan label Islam tidak merubah apa-apa. NGO seperti Islamic
Renaissance Front (IRF), Lingkaran Islam Traditional (LIT), Muslim
Profersional Forum (MPF), Sisters In Islam (SIS) dan IKRAM turut sama
bergabung dalam Negara-Ku. Keterlibatan gerakan-gerakan ini masih tidak
mampu merubah hakikat bahawa agenda yang dibawa oleh golongan ini
bukanlah agenda yang selari dengan kedaulatan Islam di Malaysia. Bahkan
mereka bertujuan mensekularkan peranan Islam yang sudah sekian lama
tertegak sebagai agama negara supaya ia dikecilkan hanya pada ruang
peribadatan individu sahaja. Ia juga cenderung merubah ruh keluhuran
perlembagaan yang sedia ada. Saya sarankan kepada NGO Islam ini supaya
segera bertaubat dan menelaah buku semula.
KESIMPULAN
Sebelum
melanjutkan cerita tentang membina keharmonian negara, Ambiga sendiri
perlu memberi justifikasi bahawa beliau dan NGO Negara-Ku serta NGO-NGO
yang beliau terlibat sebelumnya tidak membawa apa-apa agenda asing yang
sebenarnya berhasrat melakukan proses hegemoni terhadap jiwa rakyat
Malaysia dalam bentuk kolonialisasi yang baru, mengubah struktur
perlembagaan yang dihormati, merubah status negara Islam Malaysia,
mengecilkan kedaulatan Islam di dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan
dan tidak sesekali mengiktiraf Syiah, LGBT, murtad dan lain-lain.
Di
satu sisi lain, inilah yang ditentang oleh ISMA dan keseluruhan rakyat
Malaysia. ISMA berhasrat tinggi untuk melihat Malaysia menjadi negara
yang lebih baik dan maju namun begitu ia merupakan hasil yang diusahakan
oleh jiwa rakyat sendiri yang penuh ikhlas dan merdeka. Ia bukan
terhasil daripada campur tangan kuasa asing ataupun dengan mengambil
celupan yang berbeza daripada konsep yang dibawa oleh syariat Islam.
Muhammad Aiman Ahmad Faudzi
Aktivis ISMA
ismaweb.netAktivis ISMA
Sumber: http://www.anwaraidc.com/?p=48333
No comments:
Post a Comment