“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal” [Ali ‘Imran 190]
Wednesday, October 1, 2014
Agenda REFORMASI telah memusnahkan pemikiran dan identiti muda mudi Islam
Bimbang pengaruh pemikiran liberal yang melanda golongan muda antara sebab penting kenapa ISMA menolak PR, Anwar Ibrahim dan puak liberal bersama beliau, serta mengkritik tahaluf siasi PAS dengan PKR dan DAP serta badan dakwah yang lain seperti ABIM dan IKRAM.
ISMA melihat keburukan perkara tersebut dari sudut pemikiran, akidah dan juga akhlak selain aspek politik yang juga sangat berbahaya. Kita dapat lihat fenomena umum bagaimana semangat anti UMNO (ABU) telah memberi laluan mudah untuk fahaman sekular, liberal, dan pluralisme agama meresap dalam pemikiran generasi baru Melayu dan Islam.
Bahaya pemikiran-pemikiran tersebut terlindung dan tersembunyi di sebalik syiar-syiar politik yang gemerlapan. Segala nilai dan pegangan kepada agama, intima’ (pertalian) kepada bangsa dan tanah air dilihat buruk dan keji sekeji mereka melihat UMNO. Kesesatan pemikiran-pemikiran tersebut amat sukar dijelaskan oleh kerana penglibatan puak-puak Islam seperti PAS, ABIM dan IKRAM seakan-akan memberi syariyyah (kesahihan) atau sijil halal kepada pemikiran-pemikiran songsang tersebut.
Bertambah celaru lagi apabila wujud di kalangan kelompok Islam tersebut yang mendokong agenda reformasi yang cuba merobek agama seperti mana golongan reformis Kristian merobek agama Kristian sehingga lahirnya kelompok muslim moderat seperti mana sebelum itu munculnya Kristian moderat.
Seperti yang dilakukan oleh Kristian moderat, begitu juga yang dilakukan oleh muslim moderat. Mereka cuba mentafsir agama Islam berasaskan liberalisme dan pluralisme agama. Mereka berjaya membawa anak muda Melayu dan Islam untuk berfikir menggunakan istilah-istilah yang digunakan dalam reformasi Kristian seperti moderat, keterbukaan, harmoni, keamanan, dialog, progresif dan seumpamanya serta melabel mereka yang mempertahankan identiti Islam dan jati diri bangsa sebagai tertutup, rasis, ekstrem, mundur dan sebagainya.
Kepada siapa yang membaca sejarah Eropah zaman pencerahan dengan mudah boleh menilai senario yang sedang berlaku. Puak-puak liberal ini cuba mengimport pengalaman barat Kristian secara membuta tuli ke negara ini. Mungkin mereka direkrut atas dorongan politik tanpa sedar implikasi fahaman-fahaman tersebut kepada akidah dan akhlak muda mudi. Mereka diperdaya bahawa melalui fahaman-fahaman sesat yang disadur Islam liberal itu akan membawa mereka kepada politik baru, harapan baru dan masa depan baru.
Faktor-faktor itu semua telah memberi kesan yang sangat buruk kepada akidah dan pegangan agama generasi muda Islam. Kecairan pegangan akidah itulah yang menyebabkan mereka sanggup menyertai parti DAP. Bahkan menganggap DAP lebih dekat dengan Islam, dan menyertai DAP adalah atas tuntutan Islam walhal jelas bahawa DAP merupakan sebuah parti demokratik sosialis yang bertentangan dengan Islam. Ini menunjukkan satu bentuk kecelaruan pemikiran telah dialami mereka yang menyebabkan kecairan identiti yang teruk.
Sumber: Fb Ustaz Lah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment