Pages

Friday, October 10, 2014

Projek Islami: Di mana ianya bermula?

October 10, 2014 Featured, Kolumnis, Majlis Ulama ISMA

ottoman logo

Syeikh Dr. Solah Abdul Fattah Al-Khalidi ketika mentahqiq kitab Ma’alim fi At-Tariq (Petunjuk Sepanjang Jalan) dalam tajuk “Tabiat Manhaj Qurani” karya Imam As-Syahid Syed Qutub rhm ada menyatakan beberapa persoalan berkaitan manhaj Nabi saw dalam membawa perubahan.

Persoalan-persoalan ini sangat penting untuk diteliti untuk kita fahami dasar politik Islam, sekaligus memandu segala tindakan politik gerakan Islam di Malaysia agar tidak tersasar jauh dari tujuan atau Maqasid Siyasah Syar’iyyah iaitu menegakkan Syariah Allah di muka bumi ini dan menundukkan segala sistem dan kekuasaan kepada Allah swt semata-mata.

Mengapa Rasulullah tidak bermula dengan laungan islah sistem politik?

Fasa awal dakwah Nabi, utara tanah arab (kawasan Bumi Syam) dikuasai Rom dan selatannya, Yaman dikuasai Parsi. Maka hanya tinggal tanah gersang padang pasir yang dikuasai arab.

Mengapa Rasulullah tidak memanfaatkan ‘modal’  kedudukan yang tinggi dan pengaruh yang kuat dalam qabilah Arab yang dimilikinya (kisah perletakan hajar aswad sebagai contoh), bagi melaungkan kesatuan seluruh qabilah Arab dan seruan berjuang mengembalikan hak-hak mereka dari Rom dan Parsi?  Malah Baginda s.a.w menolak segala tawaran hebat untuk menduduki takhta pemerintah.

Tetapi yang dibuat adalah sanggup bersusah payah, melaungkan isu Aqidah, yang mencabar kedudukan pembesar-pembesar Arab.

Mengapa Rasulullah tidak bermula dengan islah sistem sosial?

Sistem sosial dunia arab ketika itu sangat teruk. Pembahagian harta kekayaan dalam masyarakat Arab berlaku dengan penuh kezaliman.  Harta kekayaan dimiliki oleh minoriti yang punya kedudukan dan kemuliaan. Manakala majoriti rakyat hidup miskin lagi terhina.

Maka mengapakah Rasulullah yang terkenal dengan sifat Al-Amin tidak saja mengangkat bendera ‘kebajikan’, ‘keadilan sosial’ bagi mendapat pengaruh rakyat yang membolehkannya mendapat kuasa politik? Sedangkan baginda mampu sahaja untuk mengambil kesempatan dengan kelebihan yang dimiliki untuk melaungkan sedemikian?

Mengapa Rasulullah tidak bermula dengan laungan islah Akhlak?

Tahap akhlak Arab jahiliyyah teramat runcing. Zina, arak, bunuh, sudah menjadi lumrah kehidupan arab jahiliyyah.

Rasulullah yang terkenal dengan akhlak yang mulia boleh saja melaungkan slogan pemulihan akhlak bagi mendapatkan sokongan dan pengaruh untuk menjalankan projek-projek selepas itu, tetapi mengapa isu Aqidah yang penuh halangan juga dilaungkan? Malah para Sahabat r.a sanggup diseksa dipulau demi mempertahankan Aqidah.
 + + + +
Cuba kita kaitkan dengan apa sedang berlaku di Malaysia hari ini.
Apakah keutamaan gerakan Islam di Malaysia dalam melaungkan perjuangan mereka? Adakah terlebih dahulu melaungkan Negara Berkebajikan, Good Governance, Human Right, malah bertahaluf dengan musuh Islam, kemudian hari baru sama-sama berusaha menegakkan syariah Allah di Malaysia?

Untuk menjawab segala persoalan ini, marilah sama-sama kita fahami apakah rahsia disebalik tindakan politik atau siyasah Nabi saw terutama di awal dakwahnya di Makkah selama 13 tahun.

Kenapa saya fokuskan pada fasa 13 tahun di Makkah?

Kerana  fasa di Makkah adalah fasa awal dakwah di mana umat Islam ketika itu tidak punya negara untuk mempertahankan Aqidah dan menyebarkannya ke seluruh alam. Dan kita hari ini seolah-olah –dari sudut marhalah dakwah- masih lagi berada di fasa Makkah iaitu fasa awal dakwah ataupun disebut marhalah at-taksis (peringkat pengasasan), semenjak jatuhnya khilafah Islam yang terakhir satu abad yang lalu. Umat Islam seluruh dunia wajib bangkit mengikut manhaj yang sama sepertimana Nabi saw dan para sahabat dahulu bangkit membawa perubahan.

Tidakkah kita mahu menjadi golongan yang dimaksudkan dalam hadith Ar-Rasul saw berkenaan Khilafah ‘ala minhaj An-Nubuwwah di akhir zaman?
تكون النبوة فيكم ما شاء الله أن تكون، ثم يرفعها الله إذا شاء أن يرفعها، ثم تكون خلافة على منهاج النبوة فتكون ما شاء الله أن تكون، ثم يرفعها الله إذا شاء أن يرفعها، ثم تكون ملكًا عاضًا فيكون ما شاء الله أن يكون، ثم يرفعها إذا شاء الله أن يرفعها، ثم تكون ملكًا جبرية فتكون ما شاء الله أن تكون، ثم يرفعها الله إذا شاء أن يرفعها، ثم تكون خلافة على منهاج النبوة، ثم سكت
“Adalah Kenabian (nubuwwah) itu ada di tengah-tengah kamu sekalian, yang ada atas kehendak Allah. Kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia berkehendak mengangkatnya. Kemudian akan ada Khilafah yang berdiri di atas manhaj kenabian (Khilafah ‘ala minhajin nubuwwah), yang ada atas kehendak Allah. Kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia berkehendak mengangkatnya. Kemudian akan ada Kekuasaan yang menggigit (Mulkan ‘Aadhdhon), yang ada atas kehendak Allah. Kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia berkehendak mengangkatnya. Kemudian akan ada Kekuasaan yang memaksa (diktator) (Mulkan Jabariyah), yang ada atas kehendak Allah. Kemudian Allah mengangkatnya, apabila Dia berkehendak mengangkatnya. Kemudian akan ada Khilafah yang berdiri atas manhaj Kenabian (Khilafah ‘ala minhajin nubuwwah). Kemudian beliau (Nabi) diam.
(HR Ahmad)
Hadith ini dinilai hasan oleh Syeikh Albani dan Syeikh Syu’aib Arna’uth

Hikmah bermula dengan isu Aqidah.
1-Imam As-Syahid Syed Qutub telah menerangkan dengan penuh jelas akan hikmah bermulanya dakwah Nabi saw dengan laungan Aqidah. Menurutnya, Allah tidak mahu membersihkan bumi ini daripada taghut Rom dan Parsi dan menggantikannya kepada taghut Arab.

2-Allah mahu menghapuskan segala kuasa taghut di bumi ini. Bumi ini adalah hak milik Allah. Maka semua urusan dan kekuasaan wajib tunduk pada Allah. Jalannya tidak lain tidak bukan adalah dengan mengangkat bendera “La Ilah illa Allah”. Kerana Allah mahu seluruh manusia mengiktiraf bahawa Al-Hakimiyyah Lillah (الحاكمية لله), bermaksud kuasa tertinggi adalah milik Allah. Inilah yang ditanam dalam hati umat Islam di Makkah selama 13 tahun !

3-Syeikh Dr. Solah Al-Khalidi menyatakan bahawa hanya permulaan dengan isu Aqidah dapat merealisasikan matlamat (البدء بقضية العقيدة يتحقق الهدف). Ya, inilah hakikatnya, sebab kita jelas matlamat akhir kita adalah membawa manusia kesuruhannya tunduk kepada sistem Islam, maka jalannya wajib jelas dan berterus terang sejak dari langkah pertama demi menjamin tercapainya matlamat. Jika kita asyik pusing-pusing dengan idea human right, good governance, dan sebagainya, sampai satu masa ia akan terbatas, tidak akan mampu mencapai matlamat menegakkan syariah Allah kerana manusia ketika itu hanya bertuhankan human right yang tidak punya apa-apa asas yang kukuh, tidak mengerti apa itu hakikat Aqidah Tauhid.

4-Rasulullah amat memahami bahawa semua sistem kehidupan (kebajikan, keadilan sosial, ekonomi dan lain-lain) tidak dapat tertegak melainkan berdiri atas asas Aqidah. Aqidah lah yang menetapkan pertimbangan dan nilai tersebut. Tanpa akidah, segala idea hebat yang dilaungkan tadi hanya kosong tidak bernilai bagaikan habuk yang beterbangan.

5-Allah dan Rasul-Nya mahu semua ‘bendera’ dan laungan berdiri atas dasar Aqidah. Atas kesedaran manusia akan keesaan Allah dan hak Allah mentadbir bumi ini secara mutlak. Sehingga apabila umat Islam memiliki aqidah yang kuat dan rasa ‘muraqabah Allah’, segala sistem ataupun syariat yang ditaklifkan ke atas mereka selepas itu bukanlah satu benda yang berat !

Satu contoh bukti yang terhasil adalah apabila disyariatkan hukuman hudud, ia bukanlah satu bebanan ke atas para Sahabat. Kita boleh dapati dalam sirah nabi, para sahabat yang dikenakan hukuman  hudud amatlah sedikit.

6-Hikmah lain juga adalah supaya manusia mengimani “la Ilah illa Allah” dalam apa jua situasi dan masa. Bukan hanya beriman apabila ditawarkan manfaat-manfaat duniawi dan dipamerkan kecantikan serta kehebatan sistem negara Islam. Tidak, sama sekali tidak. Allah inginkan manusia beriman kepada-Nya dengan penuh keikhlasan yang datang dari lubuk hati yang murni dengan kesedaran aqidah yang tertanam dalam diri dalam apa jua situasi dan masa.
+ + + +
Inilah serba ringkas yang dapat saya simpulkan dalam tulisan kali ini. Tulisan ini dalam masa yang sama menolak idea liberalisme , sekularisme, dan sewaktu dengannya yang tidak mempunyai asas Aqidah, malah hanya menjadi senjata ampuh pihak musuh bagi menutup segala kezaliman dan keganasan mereka terhadap umat Islam sepanjang sejarah hingga hari ini di samping memancing umat Islam untuk terus bekerjasama menjayakan agenda mereka.

Hanya orang yang naïf sahaja akan terpedaya dengan segala idea tersebut dan tanpa disedari sedang menjayakan agenda halus musuh memerangi pemikiran umat Islam. Semoga Allah merahmati dan terus menunjukkan kepada kita jalan lurus yang menyampaikan kita hingga ke Syurga Firdaus-Nya, insya Allah.
Saya yakin, ramai pemimpin gerakan Islam sudah pernah membaca tulisan Syed Qutub ketika berbicara tentang perkara yang disebutkan di atas. Namun, adakah dapat diimplementasikan dalam alam realiti ketika sibuk dengan segala macam sepak terajang politik Malaysia hari ini?

ahmad k
 
Ust Ahmad bin Khairuddin
BA (Hons) Syariah, Fiqh & Usul Fiqh

Rujukan :
  1. Ma’alim fi At-Tariq, Syed Qutub
  2. Ma’alim fi At-Tariq, Tahqiq & Ta’liq Syeikh Dr. Solah Abdul Fattah Al-Khalidi
  3. Manhaj Haraki fi Zilal Al-Quran, Syeikh Dr. Solah Abdul Fattah Al-Khalidi
Sumber : http://www.ismaweb.net/2014/10/projek-islami-di-mana-ianya-bermula/

No comments:

Post a Comment