Pages

Sunday, October 26, 2014

Resolusi Simposium Pemikiran Politik Islam

October 25, 2014 Berita Utama #2, Utama 0

Pengarah simposium, Dr Mohd Isa Hamzah membacakan resolusi di akhir majlis. Gambar oleh Muhammad Asyraf Badhrulhisham.
Pengarah simposium, Dr Mohd Isa Hamzah membacakan resolusi di akhir majlis. 
Gambar oleh Muhammad Asyraf Badhrulhisham.

RESOLUSI SIMPOSIUM POLITIK ISLAM
SIMPOSIUM PEMIKIRAN POLITIK ISLAM: GAGASAN PEMIKIRAN POLITIK ISLAM BERDASARKAN SIYASAH SYAR’IYYAH DALAM REALITI MALAYSIA

Di Auditorium Abu Zarim, Institut Latihan Sultan Ahmad Shah (ILSAS), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), 25 Oktober 2014 bersamaan 1 Muharram 1436H.
  1. Kewajiban melaksanakan Siyasah Syar`iyyah yang melibatkan sistem, peraturan dan undang-undang dalam negara ini yang bertepatan dengan asas-asas agama dan dapat mencapai kemaslahatan kepada manusia dan menunaikan segala keperluan mereka.
  2. Tujuan Siyasah Syar’iyyah ialah untuk melaksanakan Maqasid Syariah iaitu yang terkandung di dalam perkara yang berkaitan dengan ‘jalb al-masalih’ (mendapatkan kemaslahatan kepada manusia) dan dar’ al-mafasid’ (menghilangkan kemudaratan daripada mereka).
  3. Ketuanan Syarak (Siyadah al-Syar’ie) adalah intipati Islam. Oleh itu, perlu dipastikan kepelbagaian parti dan aliran parti politik berada dalam kerangka Islam; tidak membawa dasar dan pendekatan perjuangan yang bertentangan dengan ajaran Islam dan yang menyesatkan umat Islam.
  4. Pemikiran sekular memisahkan agama dan negara perlu ditolak dan tidak boleh diamalkan di Malaysia. Sekularisme telah menyempitkan peranan agama kepada hal-hal peribadi dan ia bertentangan dengan tujuan Siyasah Syar’iyyah dan Siyadah Syar’iyyah (Ketuanan Syarak).
  5. Meletakkan kebenaran sebagai paksi komitmen mengatasi paksi kepartian; menghindarkan ketaksuban parti sebagai neraca dalam membuat keputusan.
  6. Partisipasi politik ummah mesti memastikan syawkah (wewenang) dan sultah (kekuatan) agama Islam kekal suara tertinggi dan terulung di Malaysia.
  7. Bidang politik perlu dilihat daripada aspek yang lebih luas, merangkumi segala aspek partisipasi, sama ada secara langsung atau tidak langsung, melalui perlibatan parti politik dan pilihan raya, atau dalam bentuk-bentuk lain seperti NGO, gerakan masyarakat sivil dan kumpulan pendesak. Ummat perlu libatkan diri dalam aspek-aspek tersebut untuk menjaga kekuasaan Islam di negara ini.
  8. Kedudukan Islam di Malaysia sebagai agama persekutuan perlu diperkasakan untuk menjaga maslahat ummah. Begitu juga dengan peruntukan-peruntukan yang memberi kelebihan kepada agama Islam di dalam perlembagaan.
  9. Politik Islam di Malaysia perlu lebih luas dari hanya sekadar melihat kepada sudut urus tadbir bahkan meliputi aspek yang lebih luas dan mendasar dalam memastikan masa depan Melayu dan Islam dan dominasi kuasa politik orang Melayu dan Islam. Ia perlu melihat dari aspek bagaimana umat Islam boleh memenangi agenda Islam dan memastikan survival umat Islam.
  10. Mempertahankan identiti dan jati diri keIslaman dan keMelayuan di dalam negara ini perlu diletakkan dalam keutamaan agenda politik Islam dan ini memerlukan kepada kesatuan umat kerana hanya dengan kesatuan umat akan dapat menyelamatkan kuasa politik mereka.
Disahkan oleh:
Prof Madya Dr Aznan Hasan
Pengerusi Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Dr Mohd Isa Hamzah
Pengarah Simposium Pemikiran Politik Islam
Majlis Ulama ISMA

No comments:

Post a Comment