Pages

Sunday, August 30, 2009

Suburkan amalan ziarah-menziarahi

Assalamualaikum wbt.

Syukur kepada Allah swt. kerana mendapat sedikit ruang untuk ku coretkan sesuatu buat sahabat-sahabat. Walaupun belum ada idea yang khusus untuk diperkatakan, namun ini adalah sebagai tanda rasa silaturrohim dan ukhuwwah yang tertanam di sudut hatiku terhadap sahabat, pembaca yang dikasihi. Anggaplah ini sebagai satu ziarah kerana untuk menziarahi dan bertemu secara semuka dengan sahabat semua mungkin satu perkara yang agak sukar.

Ziarah menziarahi dapat mengeratkan ukhuwwah dan silaturrohim. Lebih-lebih lagi di bulan yang mulia ini. Sambil membicarakan perkara-perkara yang berhubung dengan agama, keadaan umat islam dan sebagainya. Selagi perkara-perkara yang diperkatakan bukan perkara yang tidak baik di sudut agama. Berbicaralah tentang keluarga, kerja/pelajaran, kegemaran, isu semasa dan sebagainya. Yang boleh memberikan kebaikan kepada kita bersama.

Apa salahnya berbicara tentang masalah dan kesulitan yang kita hadapi kepada orang yang kita percayai. Sekurang-kurangnya ia boleh meredakan sedikit tekanan perasaan kita. Mengikut pengalaman dan pengamatanku ramai di kalangan kita yang mempunyai masalah yang dipendam. Malu atau mungkin tidak tahu untuk mengongsikan masalahnya dengan orang lain. Kadang-kadang keadaan seperti ini akan memudaratkan diri sendiri juga akhirnya. Sedarilah, di luar sana ada orang yang bersedia membantu kita.

Kita sebagai manusia yang diciptakan oleh Allah swt. perlu bersedia untuk membantu saudara-saudara kita mengikut keperluan mereka dan mengikut kesediaan yang ada pada kita. Terimalah kelemahan dan kekurangan orang lain dengan hati yang terbuka. Berdoalah kepada Allah supaya Allah memberikan kekuatan/kebaikan kepada mereka dan kepada kita semua.

Aku teringat satu hadith yang bermaksud, 'Tidak sempurna iman seseorang kamu selagimana kamu tidak mengasihi saudara seugama kamu sebagaimana kamu mengasihi diri kamu sendiri.'

Perkara ukhuwwah dan silaturrohim ini walaupun nampak kecil tetapi ia adalah satu asas daripada asas kekuatan islam itu sendiri.

Wallahu a'lam. Yang benar daripada Allah. Salah dan silap adalah kelemahan diri saya sendiri.

Wednesday, August 26, 2009

Puasa Membentuk Kesatuan

Salah satu bekalan yang boleh kita ambil daripada ibadah puasa ialah....Puasa membentuk kesatuan umat islam. Apabila telah diisytiharkan bermulanya puasa, umat islam di mana saja mereka berada, di utara, selatan, timur atau barat akan sama-sama berpuasa. Sama-sama tidak makan dan minum di siang hari. Menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa di samping melaksanakan perkara-perkara yang dituntut oleh Allah di sepanjang bulan puasa.

Tidak kira apa bangsa dan warna kulit kita, dan tidak kira samada kita seorang yang miskin atau kaya, berpangkat besar atau kecil, raja atau rakyat, apabila telah cukup syarat-syaratnya, kita wajib berpuasa. Saya melihat inilah satu ibadah yang dilakukan serentak/bersama-sama, oleh semua umat islam. Sama-sama berpuasa dan apabila telah tiba satu syawal sama-sama akan menyambut Hari Raya.

Malangnya dalam kehidupan kita, tidak berapa ketara kesatuan/persaudaraan islam wujud sesama kita. Kita masih dibentengi oleh sifat kenegerian, kebangsaan, perkauman, berbeza fahaman politik, dan sebagainya lagi. Sedangkan kita ini sesama muslim, dan Allah mengingatkan kepada kita bahawa 'Sesungguhnya orang mukmin adalah bersaudara.'

Marilah sama-sama kita menyemai rasa persaudaraan sesama kita sebagai menyahut seruan Allah. Insya Allah kita akan menjadi satu umat yang kuat.

Sunday, August 23, 2009

Ramadhan al Mubarak

Syukur kepada Allah kerana dengan izinNya kita dipertemukan kembali di sini. Hari ini hari ketiga kita berpuasa. Selamat berpuasa ku ucapkan kepada pembaca budiman. Sama-samalah kita berdoa agar Allah menjadikan puasa kita ini dan ibadah-ibadah yang dilakukan di sepanjang bulan Ramadhan ini sebagai ibadah-ibadah yang diberkati dan diredhaiNya. Semoga Allah tingkatkan juga keimanan dan ketaqwaan kita dan menjadikan kita orang-orang yang hampir denganNya.

Marilah kita menyemaikan sifat sabar sempena bulan ini kerana puasa melatih kesabaran. Sabar untuk tidak makan dan minum di siang hari, sabar untuk bangun awal ketika sahur, sabar untuk bersolat tarawih dan menghabiskan solat kita bersama imam walaupun imam buat 8 atau 20 rokaat. Bersabar untuk menahan pandangan, pendengaran dan tindakan kita yang mana kalau tidak kerana bulan Ramadhan mungkin kita agak bebas menggunakannya walaupun ianya tidak baik di sudut agama.

Sabar satu sifat yang terpuji. 'Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.' Begitulah kita diperingatkan oleh Allah melalui firmanNya di dalam Al Quran. Bersabarlah saudara-saudaraku. Di dalam hidup ini kita tidak boleh lari dari berhadapan dengan dua perkara. Perkara yang dimurkai dan perkara yang di sukai oleh Allah. Kesabaran perlu agar kita tidak melakukan perkara yang dimurkai Allah begitu juga kita perlu sabar untuk melakukan perkara-perkara yang disukaiNya. Bersabar menahan kemarahan, kebencian, kedengkian, ketamakan, keliaran nafsu yang mengajak kepada kejahatan dan sebagainya.

Cukup di sini dulu buat diriku dan saudara-saudaraku. Akhir kata... rebutlah peluang untuk melakukan kebaikan di bulan yang mulia ini, yang jumlah harinya makin menyusut, sebelum dia meninggalkan kita.....

Sunday, August 9, 2009

Renung sejenak

' Berfikirlah/kajilah tentang makhluk Allah dan jangan kamu kaji akan zat Allah.'
Maaf, aku sudah lupa kata-kata itu datangnya dari siapa, kerana aku tulis secara spontan tanpa teks rujukan. Tetapi aku yakin kata-kata itu adalah merupakan nasihat/peringatan untuk orang-orang yang terdahulu yang pada satu ketika dahulu mereka asyik membincangkan tentang zat Allah. Lalu datanglah nasihat/larangan tadi, supaya manusia jangan mengkaji tentang zat Allah. Aqal manusia tidak mampu untuk mengkajiNya. Apa yang disuruh kaji ialah tentang makhluk ciptaan Allah. Makhluk ciptaan Allah yang ada di atas muka bumi ini pun belum habis/tidak mampu dikaji.
Cuba kita lihat makhluk Allah yang bernama manusia. Begitu tersusun Allah ciptakan manusia. Bentuk badannya paling baik dibandingkan dengan makhluk yang lain. Kepala di atas, dilengkapi dengan dua telinga, dua mata, hidung, mulut, anggota badan dengan dua tangan, dua kaki, jari jemari tangan dsnya. Dengan bentuk badan yang sebegitu manusia boleh membuat bermacam-macam pergerakan seperti yang kita lihat. Allahlah yang menciptakan ini semua.
Kemudian cuba kita lihat kepada wajah dan tubuh badan manusia pula. Wajah mereka tidak ada yang serupa walaupun datang dari ibubapa yang sama. Allahlah yang menciptakan sedemikian itu. Seterusnya cuba lihat di dalam badan manusia. Ada urat darah, daging, tulang temalang, organ-organ dan sebagainya. Dan lihat pula susunan organ-organ tadi dan peredaran darahnya.....
Itu baru perkara-perkara zahir, belum lagi yang berhubung dengan perkara-perkara batin manusia, yang tidak dapat dilihat, seperti nyawa, fikiran, perasaan, jiwa, nafsu dan sebagainya. Apabila difikirkan tentang perkara ini semua barulah kita akui bahawa Allah itu maha halus ciptaanNya. Amat tersusun ciptaanNya dan kadang-kadang kerana terlalu asyik mempelajari/ mengkaji tentang tubuh badan manusia tadi, kita terlupa kepada Penciptanya...
Aku sekadar ingin mengajak kita semua agar selalu menghadirkan 'ALLAH ' ke dalam ingatan kita. Hubungkan apa yang kita lihat, apa yang berlaku disekeliling kita dengan 'ALLAH'. Seterusnya hubungkan juga apa yang kita buat dengan 'ALLAH'. Kalau apa yang kita buat itu adalah perkara yang Allah perintahkan, Alhamdulillah... Kalau sebaliknya, astaghfirullah...... kita hamba yang lemah. Perlu selalu muhasabah diri dan memperbaiki diri.
Semoga Allah memberikan kekuatan kepada kita agar kita selalu ingat kepadaNya dan dapat meninggalkan larangan-laranganNya serta melaksanakan suruhanNya.