Pages

Sunday, August 30, 2009

Suburkan amalan ziarah-menziarahi

Assalamualaikum wbt.

Syukur kepada Allah swt. kerana mendapat sedikit ruang untuk ku coretkan sesuatu buat sahabat-sahabat. Walaupun belum ada idea yang khusus untuk diperkatakan, namun ini adalah sebagai tanda rasa silaturrohim dan ukhuwwah yang tertanam di sudut hatiku terhadap sahabat, pembaca yang dikasihi. Anggaplah ini sebagai satu ziarah kerana untuk menziarahi dan bertemu secara semuka dengan sahabat semua mungkin satu perkara yang agak sukar.

Ziarah menziarahi dapat mengeratkan ukhuwwah dan silaturrohim. Lebih-lebih lagi di bulan yang mulia ini. Sambil membicarakan perkara-perkara yang berhubung dengan agama, keadaan umat islam dan sebagainya. Selagi perkara-perkara yang diperkatakan bukan perkara yang tidak baik di sudut agama. Berbicaralah tentang keluarga, kerja/pelajaran, kegemaran, isu semasa dan sebagainya. Yang boleh memberikan kebaikan kepada kita bersama.

Apa salahnya berbicara tentang masalah dan kesulitan yang kita hadapi kepada orang yang kita percayai. Sekurang-kurangnya ia boleh meredakan sedikit tekanan perasaan kita. Mengikut pengalaman dan pengamatanku ramai di kalangan kita yang mempunyai masalah yang dipendam. Malu atau mungkin tidak tahu untuk mengongsikan masalahnya dengan orang lain. Kadang-kadang keadaan seperti ini akan memudaratkan diri sendiri juga akhirnya. Sedarilah, di luar sana ada orang yang bersedia membantu kita.

Kita sebagai manusia yang diciptakan oleh Allah swt. perlu bersedia untuk membantu saudara-saudara kita mengikut keperluan mereka dan mengikut kesediaan yang ada pada kita. Terimalah kelemahan dan kekurangan orang lain dengan hati yang terbuka. Berdoalah kepada Allah supaya Allah memberikan kekuatan/kebaikan kepada mereka dan kepada kita semua.

Aku teringat satu hadith yang bermaksud, 'Tidak sempurna iman seseorang kamu selagimana kamu tidak mengasihi saudara seugama kamu sebagaimana kamu mengasihi diri kamu sendiri.'

Perkara ukhuwwah dan silaturrohim ini walaupun nampak kecil tetapi ia adalah satu asas daripada asas kekuatan islam itu sendiri.

Wallahu a'lam. Yang benar daripada Allah. Salah dan silap adalah kelemahan diri saya sendiri.

No comments:

Post a Comment