Pages

Sunday, August 9, 2009

Renung sejenak

' Berfikirlah/kajilah tentang makhluk Allah dan jangan kamu kaji akan zat Allah.'
Maaf, aku sudah lupa kata-kata itu datangnya dari siapa, kerana aku tulis secara spontan tanpa teks rujukan. Tetapi aku yakin kata-kata itu adalah merupakan nasihat/peringatan untuk orang-orang yang terdahulu yang pada satu ketika dahulu mereka asyik membincangkan tentang zat Allah. Lalu datanglah nasihat/larangan tadi, supaya manusia jangan mengkaji tentang zat Allah. Aqal manusia tidak mampu untuk mengkajiNya. Apa yang disuruh kaji ialah tentang makhluk ciptaan Allah. Makhluk ciptaan Allah yang ada di atas muka bumi ini pun belum habis/tidak mampu dikaji.
Cuba kita lihat makhluk Allah yang bernama manusia. Begitu tersusun Allah ciptakan manusia. Bentuk badannya paling baik dibandingkan dengan makhluk yang lain. Kepala di atas, dilengkapi dengan dua telinga, dua mata, hidung, mulut, anggota badan dengan dua tangan, dua kaki, jari jemari tangan dsnya. Dengan bentuk badan yang sebegitu manusia boleh membuat bermacam-macam pergerakan seperti yang kita lihat. Allahlah yang menciptakan ini semua.
Kemudian cuba kita lihat kepada wajah dan tubuh badan manusia pula. Wajah mereka tidak ada yang serupa walaupun datang dari ibubapa yang sama. Allahlah yang menciptakan sedemikian itu. Seterusnya cuba lihat di dalam badan manusia. Ada urat darah, daging, tulang temalang, organ-organ dan sebagainya. Dan lihat pula susunan organ-organ tadi dan peredaran darahnya.....
Itu baru perkara-perkara zahir, belum lagi yang berhubung dengan perkara-perkara batin manusia, yang tidak dapat dilihat, seperti nyawa, fikiran, perasaan, jiwa, nafsu dan sebagainya. Apabila difikirkan tentang perkara ini semua barulah kita akui bahawa Allah itu maha halus ciptaanNya. Amat tersusun ciptaanNya dan kadang-kadang kerana terlalu asyik mempelajari/ mengkaji tentang tubuh badan manusia tadi, kita terlupa kepada Penciptanya...
Aku sekadar ingin mengajak kita semua agar selalu menghadirkan 'ALLAH ' ke dalam ingatan kita. Hubungkan apa yang kita lihat, apa yang berlaku disekeliling kita dengan 'ALLAH'. Seterusnya hubungkan juga apa yang kita buat dengan 'ALLAH'. Kalau apa yang kita buat itu adalah perkara yang Allah perintahkan, Alhamdulillah... Kalau sebaliknya, astaghfirullah...... kita hamba yang lemah. Perlu selalu muhasabah diri dan memperbaiki diri.
Semoga Allah memberikan kekuatan kepada kita agar kita selalu ingat kepadaNya dan dapat meninggalkan larangan-laranganNya serta melaksanakan suruhanNya.

No comments:

Post a Comment