Sebelum malam berakhir……tergerak di hatiku untuk mencatatkan tentang ziarahku bersama isteriku siang tadi, ke rumah Azizan Saari di Taman Kempadang Makmur, Jalan Pekan, Pahang.
Beliau ialah kenalan lamaku ketika dia belajar di UPMKT akhir 80an dahulu, dan sekarang sedang menghidapi penyakit barah di kepala, tahap empat.
Sepanjang berada bersamanya, banyak perkara yang diceritakannya kepadaku tentang penyakitnya……, termasuk ramalan dokter bahawa dia hanya mampu bertahan sehingga bulan Julai… nanti.
Itu adalah ramalan dokter, dan ramalan tidak semestinya tepat. Aku berdoa dan berharap agar penyakitnya akan sembuh dengan izin Allah.
Alhamdulillah… walaupun penyakitnya agak membimbangkan, aku nampak keadaannya tenang. Dia tidaklah duduk diam sahaja. Dia menghantar dan mengambil anak-anaknya dari sekolah. Menguruskan anak-anaknya yang seramai 6 orang. Disamping terus mengajar al Quran, termasuk mengajar al Quran kepada satu keluarga (yang mulanya tidak pandai baca Quran), bermula dari iqra’ dan sekarang ini sudah baca Quran besar. Katanya dia rasa sayang untuk berhenti mengajar.
Masa pelajar dulupun beliau selalu jadi imam. Bacaan Qurannya sedap didengar. Itu semua anugerah Allah……
Yang sebenarnya jarak dan waktu telah memisahkan kami berdua. Sehabis pengajian diplomanya tempuh hari aku berjumpa dengannya sekali sahaja iaitu ketika ziarah rumahnya di Alor Setar sekitar 2005. Tetapi tali persahabatan yang mengikat kemas, Allah menghendaki agar aku masih dapat terus berhubung dengannya.
Alhamdulillah…Itu semua adalah penyusunan Allah.
No comments:
Post a Comment