“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal” [Ali ‘Imran 190]
Saturday, January 15, 2011
Solat Tiang Agama
Muslim yang benar menunaikan segala rukun dan kewajipan Islam dengan sempurna tanpa melalaikannya. Dia tidak akan lupa atau mempermudah-mudahkannya. Dia akan meletakkan segala kewajipan itu sebagai agenda dalam hidupnya yang dia akan laksanakan pada masa-masa tertentu.
Muslim itu sentiasa menegakkan solat fardhu lima kali sehari semalam tepat pada waktunya kerana solat itu tiang agama. Barangsiapa yang menegakkannya sesungguhnya dia telah menegakkan agama dan barangsiapa meninggalkannya sesungguhnya dia telah meruntuhkan agama.
Solat itu adalah sebesar-besar amal dan semulia-mulianya menurut hadith Rasulullah (s.a.w.) yang diriwayatkan oleh Ibn Mas’ud (r.a): “Apakah amal yang paling baik?”, Rasulullah (s.a.w.) menjawab “Solat pada waktunya.” Aku bertanya lagi “Apakah lagi?” Baginda menjawab: “berbuat baik kepada kedua ibubapa.” Aku bertanya lagi: “Apakah lagi?” Baginda menjawab: “berjihad pada jalan Allah.” (Muttafaq-Alaih).
Solat itu adalah perhubungan hamba dengan Tuhannya. Di dalam solat muslim meninggalkan segala kesibukan dunia dan menghadap sepenuhnya kepada Tuhannya untuk memohon hidayah serta taufik dari Allah, memohon supaya istiqamah di atas jalan yang benar.
Solat merupakan sumber yang kaya. Daripadanya seorang muslim mengambil bekalan taqwa. Seorang muslim yang bertaqwa berusaha bersungguh-sungguh menghadiri solat Jemaah di masjid atau surau.
Orang yang mendirikan solat dengan khusyuk akan sentiasa berada dalam perlindungan Allah di mana sahaja mereka berada. Mereka tidak mengeluh dan gelisah apabila ditimpa bencana dan kesusahan. Dia tidak bakhil apabila mendapat kebaikan dan kesenangan hidup.
Amat menyedihkan apabila kita lihat pada hari ini ramai orang mengambil mudah ibadah solat. Ramai yang tidak solat, melengah-lengahkan solat atau tidak pergi solat berjemaah (bagi kaum lelaki).
Sama-samalah kita bermohon kepada Allah supaya Allah berikan kekuatan kepada kita agar kita dapat menunaikan solat dengan cara yang terbaik sebagaimana yang dikehendakiNya.
Sumber rujukan: Keperibadian Muslim, Mohd Ali Hashimi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment