Pages

Sunday, January 23, 2011

Musafir tanpa mahram



Tanya Ustaz


Assalamualaikum ustaz,
Apa hukum wanita bermusafir untuk sambung belajar tanpa mahram? Ada hadith yang mengharamkan bermusafir tanpa mahram dan dalam masa yang sama bidang ilmu tersebut boleh dipelajari dengan meluas di negara asal? Adakah ia dikira dharurat?
Jawapan:

Waalaikum Salam Warahmatullah,

Sememangnya Syariat Islam telah menetapkan bahawa wanita tidak dibenarkan bermusafir sendirian tanpa diiringi oleh suami atau mahramnya.
Antara hujjah bagi perkara diatas ialah hadis berikut:-

فقد روى البخاري عن ابن عباس رضي الله عنهما قال "لا تسافر المرأة إلا مع ذي محرم ولا يدخل عليه رجل إلا ومعها محرم

Imam Bukhari Telah meriwatkan daripada Ibn Abbas Radiallahu anhuma katanya, Rasululallah s.a.w bersabda:-
“ Tidak harus bagi seorang wanita untuk bermusafir kecuali bersama mahram dan tidak harus baginya bersama mana-mana lelaki kecuali bersamanya mahram”

Hadith yang berkaitan perkara ini memang banyak dan membicarakan tentang musafir wanita dalam berbagai suasana yang ditegah untuknya bermusafir bersendirian.

Namun begitu para Fuqaha’ mendapati disana terdapat keadaan tertentu yang susah untuk mendapatkan mahram bagi wanita bermusafir. Dalam situasi sebegini mereka mensyaratkan salah satu dari 2 perkara berikut:-
1. Perjalanannya ditemani oleh sahabat-sahabat dikalangan Wanita yang dipercayai.
2. Perjalanan itu terjamin keselamatan (aman) wanita tersebut tanpa gangguan.

Bahkan Para Fuqaha memberi kelonggaran kepada wanita tua untuk bermusafir bersendirian.

Sebahagiannya pula berpendapat memadai bagi wanita yang ingin bermusafir ditemani oleh seorang wanita yang dipercayai.

Sebahagian lain pula berpandangan cukuplah keamanan perjalanan sebagai syaratnya. Imam Ibn Taimiah berkata: “Seorang wanita yang terjamin keselamatannya harus mengerjakan ibadat haji sekalipun tidak ditemani oleh mahramnya.”

Imam Malik pula berpendapat: Seorang wanita harus bermusafir dengan ditemani oleh sekumpulan wanita lain.

Perjalanan pada zaman kini bukan seperti pada masa silam bahkan kini kita memiliki sistem pengangkutan yang baik dan menjamin keselamatan samada dengan menaiki teksi, bas, kapal terbang mahupun kapal laut. Oleh itu saya berpandangan harus bagi wanita untuk bermusafir menuntut ilmu dan seumpamanya walaupun tanpa di temani mahramnya. Namun begitu adalah lebih baik sekiranya perjalanan tersebut dapat ditemani oleh seorang rakan wanita atau sekumpulan wanita yang dipercayai.

والله أعلم بالصواب ونسأل السداد والثواب

Disediakan oleh:
Ustaz Shaharuzzaman Bistamam
Ahli Panel MUIS
Pensyarah Akademi Ikatan Muslimin, Ipoh, Perak.

No comments:

Post a Comment