Pages

Tuesday, January 4, 2011

ISMA tidak tolak demokrasi

ISMA tidak tolak demokrasi

Adakah ISMA menolak demokrasi atau anti kepada penglibatan dalam pilihanraya? Kadang-kadang sesetengah tulisan saya atau juga sesetengah pimpinan ISMA yang lain ditanggapi secara salah seakan-akan ISMA menolak penglibatan dalam pilihanraya.

Saya ingin berterus terang kepada semua kerana saya tidak mahu isu ini mengelirukan sesiapa termasuk ahli ISMA sendiri.

ISMA tidak menolak elemen-elemen positif yang wujud dalam demokrasi pilihanraya. ISMA menerima:

pertukaran kuasa secara aman
hak rakyat untuk muhasabah pemerintah
hak rakyat untuk sama-sama menentukan masa depan negara
ISMA menganggap demokrasi pilihanraya adalah hasil penemuan manusia. Islam tidak melarang umatnya mengambil faedah dari pengalaman manusia, seperti sabda Rasulullah s.a.w “kebijaksanaan itu adalah barang yang hilang dari orang yang beriman… di mana ia menjumpainya, ia lebih berhak terhadapnya”.

Namun ISMA menolak falsafah demokrasi Barat yang menolak peranan Tuhan dalam pemerintahan dan peranan agama dalam kehidupan, yang menyamaratakan antara orang yang beriman dan tidak beriman, yang menganggap semua agama sama menyeru kepada perkara yang betul. Falsafah liberal yang bolos dari setiap ikatan akhlak dan hukum hakam serta meletakkan kebebasan individu sebagai nilai tertinggi atau rakyat sebagai Tuhan.

Islam ialah yang pertengahan. Yang mahu kita tegakkan ialah kekuasaan Islam. Oleh itu kita bertegas untuk menjadikan Islam sebagai seruan dan penyelesaian.

Kita tidak harus terperangkap dalam seruan demokrasi Barat yang sebenarnya mengingkari agama dan kewujudan Tuhan. Menjadikan agama suatu yang spiritual yang tidak boleh dipertanggungjawabkan. Itu adalah pengalaman Barat yang tidak ada kena mengena dengan masalah masyarakat Islam di Timur.

Sepanjang pemerhatian saya, menyelesaikan masalah dalaman (sesama) umat Islam dengan mengimport formula dan penyelesaian dari luar khususnya Barat tidak pernah membawa keuntungan kepada umat dan negara Islam. Justeru saya menyeru semua pihak agar lebih berhati-hati dalam membuat seruan. Marilah kita selesaikan masalah sesama kita dengan cara kita. Kita ada al-Kitab, kita ada al-Sunnah dan kaya dengan pengalaman yang boleh merawat masalah kita dengan cara kita sendiri.

Kita boleh ambil faedah dari pengalaman Barat tentang demokrasi, kebebasan dan hak rakyat tetapi hendaklah ditegakkan atas asas nilai kita yang tersendiri (nilai tempatan).

Tanah Melayu atau Malaysia sekarang adalah negara umat Islam. Merekalah – atas kehendak agama- seharusnya memiliki al-siyadah atau ketuanan ke atas tanah warisan ini. Merekalah yang berhak menentukan rupa bentuk dan halatuju masa depan negara seperti yang dituntut oleh agama terhadap mereka. Orang bukan Islam harus menerima hakikat ini kalau mereka ingin menjadi warganegara Malaysia.

Menyerahkan hak atau berkongsi milik, hak menentu dan mewarna rupa bentuk negara dengan orang lain yang tidak seagama atas nama demokrasi dan hak kesamarataan adalah satu pengkhianatan terhadap maruah bangsa dan kemerdekaan negara.

Ketuanan Melayu Islam di Malaysia adalah satu nilai tetap (thawabit) yang harus dihormati oleh semua dalam menjalankan proses demokrasi di negara ini. Mereka harus menghormati kedudukan agama Islam, kedudukan raja-raja Melayu, Bahasa Melayu dan budaya Melayu sebagai budaya kebangsaan serta apa-apa yang termaktub dalam perlembagaan sebagai hak orang Melayu Islam.

Orang bukan Islam boleh terlibat dalam politik dan demokrasi, memperjuangkan hak, menyuarakan pandangan tetapi mereka tidak boleh diberi hak menentu atau dibiarkan memiliki kuasa membuat ketentuan atau mempengaruhi keputusan dalam membuat ketentuan. Kedudukan yang dikatakan istimewa selama ini bukanlah satu benteng yang kukuh, jika dibayangkan segalanya itu runtuh dan tertegak asas kenegaraan baru atas asas liberal demokrasi Barat.

Menunggang demokrasi Barat seperti seadanya dalam menyelesaikan krisis antara kita adalah satu perjudian terhadap nasib bangsa dan masa depan negara. Justeru ISMA tidak menolak demokrasi yang disejajarkan dengan nilai tempatan, tetapi yang ditolak oleh ISMA ialah demokrasi yang diimport seperti dalam falsafah dan pengalaman Barat.

“MELAYU SEPAKAT ISLAM BERDAULAT”



Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman,
Presiden,
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Blog: Perjalananku

No comments:

Post a Comment