Mei 20, 2012 oleh azizeehasan
“Hai orang-orang yang beriman, jadilah
kamu penolong-penolong (agama) Allah sebagaimana Isa putra Maryam telah
berkata kepada pengikut-pengikutnya yang setia: “Siapakah yang akan
menjadi penolong-penolongku (untuk menegakkan agama) Allah?”
Pengikut-pengikut yang setia itu berkata: “Kamilah penolong-penolong
agama Allah”, lalu segolongan dari Bani Israil beriman dan segolongan
(yang lain) kafir; maka kami berikan kekuatan kepada orang-orang yang
beriman terhadap musuh-musuh mereka, lalu mereka menjadi orang-orang
yang menang”. (QS. As Shaff: 14)
Pernah seorang Mutarobbi mengadu hal
berkaitan dakwahnya di sebuah institusi “Ana ikut program dakwah dan
tarbiyah, namun ana rasa kering, ana tidak dapat menambahkan bilangan
mad’u ana, tajmik ana gagal..”
Ada pula bertanya kepada saya : “ Ustaz,
bermacam-macam program sudah ana buat namun belum nampak hasilnya, mad’u
belum merasakan tannggungjawab dakwah dan kepentingan tarbiyah, apa
yang perlu ana buat?..”
Keluhan-keluhan ini sering kali
dilontarkan ketika saya memberikan daurah-daurah peningkatan
murobbi-murobbi muda atau sesi-sesi perbincangan dengan mutorobbi
berkaitan usaha tajmik yang mereka lakukan. Di dalam pengalaman dakwah
yang saya ikuti sejak tahun 1990 hingga sekarang, banyak pengalaman
terkumpul, ada yang tetap bersama dakwah dan ada pula yang kecundang
sepanjang perjalanan. Memang sukar untuk mengajak orang kepada dakwah
dan tarbiyah. Kalau ada yang berminat maka itu berkat usaha dan
inisiatif kesungguhan yang tidak henti-henti. Itu sudah menjadi lumrah
dan asam garam mereka yang bergelar seorang Murobbi.
Persis di dalam benak hati sebagai
seorang Murobbi mengharapkan anak-anak binaannya menjadi, bersemangat,
menyambung risalah dan melanjutkan dakwah ini. Impiannya hanya satu mahu
melahirkan rijal, kader, daie yang jauh lebih baik dari dirinya. Tidak
ada anugerah yang paling menggembirakan dan membahagiakannya melainkan
melihat anak-anak didiknya menjadi kader-kader dakwah.
Saya telah melalui pengalaman ini, pernah
menjelajah dari satu tempat ke satu tempat, ceruk kampung , desa dan
bandar. Pejabat menjadi markaz tidur, markaz bertemu mad’u,
bermesyuarat, tempat liqo yang kadang-kadang waktu kita di sana lebih
banyak daripada kita berada di rumah kita. Itulah rencah pejuang dakwah.
Di sebalik perjalanan itu, kita menemui anak-anak binaan yang
meneruskan dakwah ini. Kita merasa syukur dan semua ini mengembalikan
semangat untuk terus kita melaju dan melonjak ke depan. Ia adalah berkat
istiqomah dan thabat atas jalannya.
Namun kadang-kadang timbul kekhuatiran di
dalam diri kita bahawa kedengaran anak-anak binaan ini mengadu bahawa
mereka tidak mampu membina mad’u sebagaimana yang telah murobbi mereka
membina mereka. Mereka belum ada keyakinan diri untuk membina anak-anak
binaan mereka dengan memberikan pelbagai alasan.
Harus diingat bahawa proses tarbiyah adalah proses pembinaan dan pewarisan generasi (taurith ajyal]
.Ia adalah bahagian yang urgen di dalam dakwah. Tanpa proses ini
seorang da’ie tidak akan dapat memahami islam, memahami fiqh dakwah,fiqh
jamaie dan juga fiqh harokah. Kegagalan ini menjadikan jamaah atau
gerakan dakwah tidak berkembang dan tumbuh subur dari aspek kualiti dan
kuantiti bagi melalui fasa-fasa dakwah yang menuntut kepada kekuatan
stamina dakwiy dan stamina tarbawiy.
Amal dakwah dipandang produktif bila
melahirkan kader-kader yang menjadi estafeter dakwah. Munculnya pewaris
dakwah untuk ikut terlibat aktif dalam memikul amanah dakwah ini menjadi
salah satu kunci kejayaan dakwaah. Peranan da’ie tidak terhenti sekadar
menebar luas dakwah ini tetapi juga meningkatkan mutu interaksi mad’u
ini terhadap ajaran Islam.
Peranan ini telah difahami benar oleh
para pendahulu dakwah. Mereka mempunyai rasa tanggung jawab yang besar
terhadap eksistensi dakwah. Ada rasa penyesalan yang dalam apabila
mereka tidak dapat menunaikannya dengan baik. Berbeza dengan apa yang
telah dilaksanakan oleh Rasulullah SAW dan para sahabatnya dalam masa
yang singkat dakwah berkermbang luas dan kuantiti qaedah sulbahnya
meningkat mutunya.
Ini terbukti dari dialog antara
Rasulullah SAW dengan Hudzaifah Ibnu Yaman RA. Dia menginformasikan
baginda data-data yang terukur tentang siapa yang telah masuk Islam,
keluarga mana saja dan dari kabilah mana?. Dari informasi tersebut dapat
difahami bahawa amal dakwah mengalami perkembangan yang pesat waktu
itu.
Rahsia keberhasilan dakwah mencapai
sasaran tersebut terletak pada peranan murabbi. Murobbi yang sentiasa
memberikan taujih, melaksanakan pembinaan yang berterusan sehingga
melahirkan daie baru yang ikut terlibat aktif dalam amal dakwah. Besarnya peranan murabbi dan tanggung
jawabnya pada dakwah sering kali menjadi momokan bagi para du’at.
Situasi ini yang menyebabkan mereka kekok untuk membina orang lain.
Apalagi bila dilihat kemampuan dan kondisi dirinya yang belum memadai
dan mampu.
Sebenarnya asumsi semacam ini kurang
tepat, sebab banyak kemampuan para murabbi diawal sumbangannya dalam
dakwah sama seperti yang dimiliki oleh ramai kader. Namun mereka
memiliki dorongan yang kuat untuk terjun dalam dakwah ini. Apa lagi
ketika mengingatkan doktrin dakwah yang berbunyi: Inna al akhs ash shadiq laa budda an yakuna murabbiyan (seorang al akh sejati tidak boleh tidak menjadi murabbi).
Untuk menghilangkan momokan yang menjadi
penghambat produktiviti dakwah, kita mesti memiliki bekalan-bekalan
sebagai seorang Murobbi. Bekalan itu bukanlah setumpuk catatan bahan
tetapi ia adalah perkara-perkara yang dapat membangunkan kekuatan
seorang Murobbi. Antara bekalan-bekalan berikut:
1. Dawafi’ al imany (Motivasi imaniyah)
Untung rugi di dalam dakwah tidak sama
ukurannya dengan untung rugi di dalam bisnes. Sebesar apa pun yang anda
berikan pada dakwah ia adalah kecil di sisi allah , namun sekecil apa
pun yang anda berikan untuk dakwah ini ia adalah besar buat diri anda.
Dakwah kerja ubudiyah. Maka peranan
Murobbi ialah menjalankan kerja ubudiyah iaitu kerja mentarbiyah, kerja
membina, kerja mengkader , keuntungannya tidak kontan. Pada perkiraan
manusia nampak macam rugi kerana Sang Murobbi terpaksa rugi masa, rugi
harta dan lain-lainnya. Namun dawafi’ imaniyahlah
menjadi obor yang menjadikan sang Murobbi itu sanggup berkorban rasa,
berkorban masa dan berjasa untuk dakwah dan tarbiyah ini
Hanya orang yang mempunyai keimanan kuat
yang mampu menunaikannya. Sebab itu Imam Nawawi Rahimahullah menempatkan
hadits keikhlasan sebagai hadits pertama dalam kitabnya lantaran fungsi
motivasi keimanan ini menjadi pendorong besar.
Kekuatan iman menjadi daya dorong yang
besar dalam melakukan perbagai aktiviti ubudiyah. Oleh karena itu
menjadi kewajiban para Murobbi Dakwah untuk menambah bekal keimanan.
Agar dengannya amal dakwah yang besar dapat ditunaikan dengan keringanan
hati. Sehingga Allah SWT. akan memudahkan dirinya dalam mentarbiyah
orang lain. Bahkan memberinya pengetahuan untuk melaksanakan amal
tarbiyah yang ia lakukan.
“Dan bertakwalah kepada Allah, niscaya Allah akan mengajarkanmu dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu”. (QS. Al Baqarah: 282)
2. At Tafaul (Optimistik)
Optimistik sebahagian dari buah kejayaan,
bahkan kemenangan. Dengan optimistik, manusia dapat membangun harapan
besarnya. Ia menjadi penyejuk hati ketika mendapatkan rintangan. Dalam
dakwah optimis ini dapat mengukuh bangunan harapan dan dambaan. Lihatlah
Rasulullah SAW. dalam menyampaikan dakwahnya. Beliau sangat optimis
sekalipun berhadapan dengan cubaan dan rintangan.
Ketika Rasulullah SAW pergi ke Thaif,
beliau mendapatkan intimidasi dan cemuhan masyarakat di sana. Perlakuan
mereka kepada Nabi Utusan Allah sudah menjadikan Malaikat penjaga gunung
Thaif meminta untuk menghancurkan penduduk Thoif. Akan tetapi beliau
masih memiliki harapan besar pada mereka. Sebagaimana ucapan beliau
ketika itu, “Bila mereka tidak menerima seruanku, aku berharap dari keturunan mereka aka nada yang menyambut dakwahku”.
Ternyata, sepuluh tahun sesudah peristiwa itu berbondong-bondonglah
mereka menjumpai Rasulullah SAW. untuk menjadi pengikutnya.
Begitulah Rasulullah SAW. mengajarkan
kepada kita untuk selalu optimis dalam menyebar luaskan dakwah, walaupun
menghadapi tentangan. Dalam kerja mentarbiyah, membina manusia ke jalan
Allah SWT banyak rintangan dan ujian, kerananya persediaan optimis
harus dalam keadaan meningkat.
“Dan jangan kamu berputus asa dari rahmat
Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah, melainkan
kaum yang kafir”. (QS. Yusuf: 87)
3. At Tsiqah bil qudratidz Dzatiyah (Percaya terhadap kemampuan diri)
Seringkali faktor kegagalan Murobbi di
dalam amal tarbiyah ialah kurang keyakinan pada diri sendiri. Faktor
kemampuan tidak boleh menjadi halangan besar untuk menjadi murabbi.
Kemampuan akan memadai bila sering terasah. Mengasah kemampuan menjadi
Murobbi melalui keberanian untuk menyampaikan apa saja yang telah dia
perolehi dan dapati. Meskipun dalam tema-tema sederhana. Sering kali
menyampaikan dakwah akan mempertajam kemampuannya sebagai murabbi.
Mulakan membina usrah dengan kelompok yang biasa sebelum membina
kelompok yang berkualiti.
Apabila kita melihat perjalanan dakwah
para sahabat, mereka tidak memenuhi kadar kemampuannya terlebih dahulu.
Melainkan dengan rasa tanggungjawabnya mereka menyebar luaskan dakwah.
Syu’ur mas’uliyah mereka memberikan kemampuan besar untuk membina
manusia yang selanjutnya terlibat aktif dalam amal dakwah. Walaupun
mereka jauh dari komuniti kaum muslimin lantaran mereka dilantik menjadi
duta Rasulullah ke berbagai-bagai wilayah. Diantaranya sahabat nabi
yang bernama Mu’adz bin Jabal RA. yang dikirim ke Yaman.
Ketika Muadz bin Jabal akan dikirim ke
Yaman. Dia mengharapkan Rasulullah SAW. memberikan banyak bekalan.
Ternyata Rasulullah SAW hanya memberikan 3 bekalan. Pertama,
meningkatkan komitmen akhlak. Kedua, pembersihan jiwa. Ketiga, interaksi
sosial. Sebagaimana sabdanya pada Mu’adz: “Bertaqwalah
kepada Allah di mana saja kamu berada, ikutilah perbuatan buruk dengan
perbuatan baik niscaya akan menghapusnya dan berbuat baiklah pada
manusia” (HR. Bukhari dan Muslim). Lalu apakah bekalan itu kurang buat dirinya?. Jawabnya tidak, buktinya dakwah yang beliau lakukan berkembang di sana.
Permasalahannya kita adalah kepercayaan
pada kemampuan diri. Ingatlah setiap manusia akan tajam kemampuannya
bila sering dipergunakan, termasuk juga kemampuan menjadi murabbi. Oleh
sebab itu para du’at perlulah memperbaiki sekaligus meningkatkan
kepercayaan dirinya terhadap kemampuannya sebagai murabbi.
4. Al Ibrah wa ta’birul akhorin (Mengambil Pelajaran dan Pengalaman orang lain)
Dakwah dan tarbiyah merupakan universiti
pengalaman yang paling berharga.Pengalaman merupakan guru yang terbaik.
Di sinilah kita belajar pelbagai sikap, ilmu dan kemahiran. Kita belajar
seni DF, seni tajmik, seni takween, seni tawasul ijtimaie, seni amal
institusi, amal siasi dan sebagainya. Pengalaman yang baik menjadi
contoh sedangkan pengalaman buruk menjadi pelajaran berharga.
Untuk mendapatkan pengalaman pelbagai
cara boleh dilakukan. Diantaranya terjun langsung ke medan amal. Di sana
bermacam-macam titik bengit tarbiyah akan mudah kita temukan. Kiat
boleh memimpin haloqah atau menyertai haloqah orang lain untuk melihat
dinamika tarbiyahnya dan mencari solusinya. Berdiskusi dan menziarahi
para Qudamak dakwah untuk mengutip pengalamannya dalam mentarbiyah
orang. Semua ini menjadi souvernir dakwah yang tak ternilai harganya.
Perbanyakkanlah mengambil pelajaran dan pengalaman dari orang lain,
begitu kata orang yang bijak. Pesan Syeikh Umar al-Telmisani Mursyid
Ikhwan Muslimin Ke 3 sebagai mengimbangi antara Hamasah syabab wa
Hikmatus syuyukh . [ semangat orang muda dan hikmah orang lama]
5. Do’a
Kedudukan do’a bagi seorang mukmin sangat
berarti. Ia menjadi senjata baginya. Melalui do’a, ia menjadi penawar
hati yang kelu, penyejuk jiwa yang panas. Dalam mentarbiyah, peranan
do’a tidak boleh diabaikan. Baik sebelum mahupun sesudah menunaikannya.
Ia akan menjadi penghantar hidayah Allah SWT. Nabi Musa AS. telah
mencontohkannya pada kita sekalian. Tatkala akan mendakwahkan Fir’aun,
beliau memunajatkan do’a pada Allah SWT.:
“Berkata Musa: “Ya Tuhanku, lapangkanlah
untukku dadaku, dan mudahkanlah untukku urusanku, dan lepaskanlah
kekakuan dari lidahku, supaya mereka mengerti perkataanku”. (QS.
Thaahaa: 25 – 28)
Amat penting seorang Murobbi berdoa untuk
mutorabbinya dikala sunyi dan bersendirian. Bermunajatlah agar
mutorabbinya terbuka hati untuk menerima penyampaian yang
disampaikannya. Oleh itu, sebelum dan sesudah menyampaikan bahan
tarbiyah janganlah lupa berdo’a. Berdoalah semoga Allah SWT memudahkan
mad’u kita untuk menyebarluaskan dakwah yang akan menebarkan
hidayah-Nya kepada orang lain.
Sumber: http://maalimfitariq.wordpress.com/
No comments:
Post a Comment