Artikel ini adalah hasil terjemahan
daripada buku ‘Syiah: Perjuangan atau Kesesatan’ yang dikarang oleh Dr
Raghib Sarjani. Tujuan saya menterjemah beberapa petikan daripada buku
ini adalah untuk mendedahkan isu Syiah yang sedang menyerang negara
kita. Kefahaman kepada sesuatu masalah adalah langkah pertama dalam
merawatnya. Diharapkan usaha kerdil ini dapat membantu para pendakwah di
luar sana dalam usaha membanteras fahaman Syiah yang sedang menular
ditengah masyarakat.
Dr Raghib Sarjani adalah nama yang tidak
asing lagi dalam dunia dakwah. Beliau lahir pada tahun 1964 di Mesir.
Merupakan graduasi kuliah perubatan dari Cairo University pada 1988 dengan pangkat Mumtaz. Beliau tamat menghafal quran pada tahun 1991. Berjaya menyiapkan Masters di universiti yang sama dengan pangkat Mumtaz
pada tahun 1992. Kemudian berjaya mendapat Ph.D dengan pantauan
kerjasama antara Mesir dan Amerika ( Surgery of Urinary Track and Kidney
) pada tahun 1998.
Walaupun mempunyai Ph.D dalam bidang perubatan dan menjadi pensyarah di Cairo University
dalam bidang tersebut, beliau sangat minat mendalami ilmu sejarah dan
telah menghasilkan puluhan buku seperti Kisah Andalus, Kisah Tunis,
Kisah Tartar, Kisah Perang Salib, Kewajipan Umat Terhadap Palestin,
Antara Sejarah dan Realiti, Kisah Erdogan, dan lain-lain. Beliau
merupakan salah seorang tokoh dakwah Ikhwan Muslimin dan menghoskan
laman web sendiri di www.islamstory.com.
Dasar-dasar Syiah
Para Sejarawan berbeza pendapat tentang
asal-usul permulaan Syiah. Pendapat pertama dan yang paling terkenal
adalah kemunculan mereka bermula apabila berlaku khilaf antara Ali RA
dan Muawiyah RA ketika Perang Siffin. Jika mengikut pendapat ini, maka
pengikut Ali RA diiktibarkan sebagai Syiah dan pengikut Muawiyah RA
diiktibarkan sebagai Sunnah wal Jamaah. Tetapi, pada hakikatnya ia bukan
seperti itu.
Pendapat Ahli Sunnah mengatakan
kebenaran antara perselisihan antara dua sahabat mulia ini berada di
pihak Ali RA dan Ahli Sunnah berpendapat bahawa Muawiyah telah
berijtihad dalam hal ini tetapi ijtihad itu didapati tidak benar. Maka
kecenderungan Ahli Sunnah kepada pihak Ali RA sangat jelas.
Tambahan pula, yang dikatakan dengan
fahaman, prinsip, dan aqidah yang dilaung-laungkan oleh Syiah, semua itu
jauh dari fahaman, prinsip dan aqidah yang diimani oleh Ali RA. Maka
dengan itu jelas bahawa pendapat yang mengatakan Syiah bermula sebagai
pengikut Ali pada peristiwa ini adalah salah sama sekali.
Pendapat kedua pula mengatakan Syiah
muncul setelah kematian Husain bin Ali RA yang mana beliau telah keluar
dari pemerintahan Yazid bin Muawiyah. Dalam peristiwa ini, penduduk Iraq
memanggil Husain RA untuk menyertai mereka di Iraq dan menjanjikan
sokongan dan pertolongan kepada beliau. Tetapi pada saat akhir mereka
mengkhianati beliau dan akhirnya beliau dibunuh di Karbala.
Maka bangkitlah sekelompok Muslimin
menyeru agar pembunuhan ini dituntut bela. Tetapi di pihak satu lagi
menghukum kelompok ini kafir kerana telah keluar dari pemerintahan Bani
Umayyah. Maka berlakulah pergaduhan, dan terbunuhlah beberapa orang dari
kalangan penyokong Husain dan mereka digelar sebagai Syiah.
Ini dapat menjelaskan kepada kita
hubungan yang kuat antara Syiah dan Husain RA, malah lebih kuat daripada
Ali RA sendiri. Sepertimana yang dapat dilihat, mereka merayakan hari
kematian Husain tetapi tidak merayakan hari kematian Ali.
Kesan daripada peristiwa ini, wujud
kelompok yang menentang pemerintahan Umayyah dari segi politik sahaja,
sedangkan aqidah, dan mazhab fiqh tidak bertentangan dengan Ahli Sunnah.
Dan kita dapat perhatikan sendiri, mereka yang digelar sebagai pemimpin
awal Syiah adalah mereka yang bermazhab Sunni.
Setelah berlalunya masa dan keadaan
menjadi stabil, muncul seorang tokoh bernama Ali Zainal Abidin bin
Husain, iaitu anak kepada Husain RA. Beliau adalah seorang lelaki yang
soleh, ulama yang zuhud, dan langsung tidak membawa ajaran aqidah atau
fiqh yang bertentangan dengan para sahabat dan tabi’en.
Ali Zainal Abidin mempunyai dua orang
anak lelaki yang soleh dan tinggi darjat wara’ dan taqwa. Mereka bernama
Muhammad Baqir dan Zaid. Keduanya mempunyai pandangan yang bertepatan
dengan Ahli Sunnah yakni dengan para sahabat dan tabi’en kecuali
pandangan Zaid bin Ali Zainal Abidin yang mempunyai padangan yang
berbeza. Beliau berpendapat bahawa Ali Abi Talib RA lebih layak menjadi
khalifah berbanding Abu Bakar As-Siddiq RA.
Walaupun pendapat ini bertentangan
dengan ijma’ seluruh umat, dan bertentangan dengan hadith-hadith yang
menceritakan kelebihan-kelebihan Abu Bakar, Umar dan Uthman berbanding
Ali, namun ia bukanlah permasalahan aqidah. Dan beliau mengakui
keutamaan Abu Bakar, Umar dan Uthman, cuma berpendapat Ali RA lebih
layak. Malah beliau mengakui keharusan imamah mafdhul, iaitu mengiktiraf imamah(kepimpinan) Abu Bakar, Umar dan Uthman.
Hanya pada satu titik ini beliau
berselisih dengan pendapat Ahli Sunnah, tetapi pada semua titik yang
lain beliau sependapat dengan mazhab Ahli Sunnah.
Maka dengan itu, keluarlah Zaid dari
pemerintahan Umayyah, mengulangi sejarah datuknya, Hussain RA pada zaman
Hisyam bin Abdul Malik. Dan berakhirlah perkara ini dengan terbunuhnya
Zaid pada tahun 122 H. Lalu bangkitlah para pengikut beliau dan
mengasaskan mazhab di atas pendirian Zaid ini dan dikenali oleh sejarah
dengan nama Zaidiyyah bersempena dengan nama beliau.
Mazhab ini, walaupun dikira sebagai
Syiah, ia bertepatan dengan mazhab Ahli Sunnah dalam semua perkara,
kecuali dalam bab mengutamakan Ali RA berbanding tiga khalifah
sebelumnya. Pengikut mazhab ini banyak tersebar di Yaman, dan inilah
mazhab Syiah yang paling dekat dengan Ahli Sunnah dan hampir tidak
berpecah dengan Ahli Sunnah dalam kebanyakan perkara.
Satu peristiwa yang perlu disebut di
sini bahawa pada suatu hari terdapat segolongan dari pengikut Zaid bin
Ali Zainal Abidin ini yang pernah bertanya pada Zaid tentang pendapat
beliau terhadap Abu Bakar dan Umar. Zaid menyatakan bahawa beliau
menghormati mereka berdua. Tetapi golongan ini bukan sahaja tidak setuju
dengan beliau, malah menolak kepimpinan beliau dan keluar dari kumpulan
Zaid. Golongan ini dikenali oleh sejarah sebagai ‘golongan
Rafidah’(penolak), kerana mereka menolak imamah(kepimpinan) dua
khalifah yang awal dan menolak pendapat Zaid tentang mereka berdua.
Golongan Rafidah inilah yang menjadi pengasas ‘Syiah 12’ yang menjadi
mazhab Syiah yang terbesar sekarang.
Setelah Muhammad Baqir meninggal dunia
pada tahun 114 H (adiknya Zaid meninggal lapan tahun selepas itu),
beliau meninggalkan seorang anak lelaki yang alim dan wara’ bernama
Ja’far Sodiq. Beliau adalah seorang ulama yang terulung pada masa beliau
dan menguasai ilmu fiqh dengan sebenar-benar penguasaan, dan beliau
menyelusuri aqidah sahabat, tabi’en dan ulama muslimin yang lain.
Pada penghujung era pemerintahan
Khilafah Umayyah, wujud satu gerakan dari keluarga Abbas (yakni dari
keturunan pakcik Rasulullah yang bernama Abbas bin Abdul Mutalib) yang
mengajak manusia membuat revolusi terhadap kerajaan Umayyah. Maka
gerakan Abbasiah ini saling bekerjasama dengan pengikut Zaid bin Ali
Zainal Abidin.
Akhirnya pada tahun 132 H, tumbanglah
kerajaan Umayyah dan kerajaan Abbasiah dibentuk dengan Abu Abbas
As-Saffah sebagai pemimpinnya. Maka pengikut Zaid kecewa kerana tidak
dilantik menjadi pimpinan walaupun mereka merupakan cucu cicit kepada
Ali bin Abi Talib, anak saudara kepada Abbas bin Abdul Mutalib. Lalu
mereka merancang untuk mengadakan revolusi terhadap kerajaan Abbasiah
pula. Golongan ini dikenali sebagai Tolibiyyun (yang dinasabkan kepada
Ali bin Abi Talib) yakni bertentangan dengan Abbasiyyun (nasab kepada
Abbas bin Abu Mutalib)
Dan sehingga ketika ini, masih tiada
penyelewengan dari sudut aqidah mahupun fiqh, kecuali dalam isu Abu
Bakar dan Umar. Ini adalahkerana pecahan dari pengikut Zaid yang menolak
imamah(kepimpinan) mereka berdua, malah tidak malu untuk mengkritik secara terang-terangan.
Ja’far Sodiq meninggal pada tahun 148 H.
Beliau meninggalkan seorang anak bernama Musa Kazim, yang juga seorang
ulama, tetapi tidak mencapai tahap ayahnya, dan beliau meninggal pada
tahun 183 H. Beliau meninggalkan beberapa orang dan di antara mereka ada
yang bernama Ali bin Musa Ar-Redha.
Artikel ini akan bersambung pada siri-siri yang seterusnya.
Sumber: Laman Web ISMA Mesir
No comments:
Post a Comment