Diambil daripada http://ustazhazizi.wordpress.com
Mukadimah
Kertas ini adalah koleksi petikan-petikan penulisan dan kertas kerja, yang saya himpunkan (dari pelbagai sumber yang dinyatakan) pada tahun 2007, yang cuba mengulas tentang topik yang tertera di atas, yang merupakan satu siri kelencongan pemikiran yang menyesatkan, didokong oleh orang-orang Islam yang terpegun dengan kemajuan palsu Barat, atau yang berfikiran menurut acuan pendidikan Barat yang diterimanya. Siri teori dan pemikiran yang menyesatkan di atas bukan lagi dalam bentuk kecenderungan-kecenderungan intelek yang dihamburkan ke dalam majlis-majlis eksklusif dan ditulis dalam buku-buku yang tidak diendahkan kebanyakan orang. Sebaliknya, pada masa kini, ia telah mengambil bentuk perjuangan berorganisasi dan terancang, selain menarik sokongan orang bukan Islam yang selama ini ”menikus” di bumi Melayu / Islam ini. Sesungguhnya tikus-tikus itu telah keluar dari tempat persembunyiannya kerana kucing yang ada telah kehilangan taring dan jati diri.
Sesungguhnya institusi dan agensi keagamaan atau yang diharapkan melindungi agama ini tidak akan selamanya dapat bertahan jika tidak ada di sana sekelompok umat yang mempunyai jati diri sebagai muslim penyelamat, yang bekerja dalam satu saf yang mantap, diikat dengan akidah yang suci dan dijalin dengan perasaan kasih sayang sejati.
Pencerahan dan Modernisme
”Masyarakat Eropah mempunyai sejarah hidup dan pemikiran mereka sendiri. Selama 1000 tahun (abad ke 5– ke 15) mereka dicengkam kuat oleh agama Kristian Katholik. Kristian kontrol kepercayaan, ilmu, dasar dalam dan luar negeri. Kristian Katholik yang berpegang pada dasar bahawa mereka adalah wakil Tuhan di bumi, memaksa semua lapisaan masyarakat agar patuh kepada kuasa agama dan gereja. Hak asasi gereja ialah meletakkan dasar-dasar kehidupan, pentadbiran, ekonomi hinggalah kepada akhlak dan kehidupan individu. Kumpulan bangsawan, ahli perniagaan, ilmuan dan orang awam dikongkong dan tugasnya ialah patuh dan turut ketentuan gereja. Kitab Injil tidak boleh dibaca, apalagi untuk mentafsir. Perempuan adalah najis, tidak boleh baca atau pegang Bible. Akhirnya semua kumpulan masyarakat bangun memberontak.
Dari dalam Kristian sendiri timbul protes yang serius dan akhirnya lahir Mazhab Protestan. Injil perlu ditafsir semula. Tafsiran lama tidak boleh dipakai lagi. Intelektual pun bangun menulis buku-buku menentang fatwa-fatwa gereja. Nicolai Copenicus, Kepler, Brehe dan Galileo Galilee adalah antara tokoh yang mengkritik otonomi dan tafsiran-tafsiran Gereja Khatolik. Sehubungan dengan penglibatan intelek mengkritik agama, kumpulan-kumpulan feudal, kemudian kapitalis, kumpulan sosioalis-marxis juga muncul dengan teori dan gerakan yang menentang otonomi Gereja Katholik. Karl Marx menganggap agama adalah candu-masyarakat! Ahli-ahli fikir moden Eropah mempersoal agama dan kriteria kebenaran. Akibat dari gerakan itu, agama dibenci. Kitab agama dikatakan perlu dinilai semula. Kebenaran itu relatif. Semua orang bebas mentafsir agama, atau tuhan! Eropah akan terus berada dalam kemunduran jika masih kuat berpegang pada agama.”
(Idris bin Zakaria. 2006. Kertas Kerja: Ancaman Akidah Liberalisma / Pluralisma)
”Kita boleh mengatakan bahawa Pencerahan (التنوير atau Illumination) adalah isu Barat semata-mata, di dalam persekitaran Barat dan akibat suasana yang menyelubungi masyarakat Barat. Ia adalah suatu tindak balas terhadap penguasaan gereja ke atas akal, pemikiran dan budaya orang-orang Barat. Oleh sebab itu, pengertian Pencerahan di sisi orang Barat yang membawa maksud menghapuskan peranan agama dalam kehidupan merupakan satu perkara tabii, memandangkan kongkongan dan penindasan yang diamalkan oleh gereja, selain ajaran dan kepercayaan karut yang disebarkannya. Eropah pada masa itu hidup dalam zaman kegelapan, sedangkan alam Arab dan Islam pada masa yang sama sedang menikmati kemajuan dan perkembangan tamadun yang pesat yang menerangi alam sejagat.
Sesungguhnya Pencerahan menurut kefahaman orang Barat merujuk kepada pencerahan kepada Kurun Pertengahan yang merupakan zaman kegelapan yang mereka lalui. Elok kita sedar di sini bahawa istilah Kurun Pertengahan tidak ada kena mengena dengan kita, tetapi sebaliknya ia berkenaan masyarakat Eropah dan Barat, selepas kejatuhan Rome pada kurun keempat sehingga kebangkitan semula pada kurun keempat belas. Adapun kita orang-orang Islam, kita telah membawa cahaya yang terang benderang kepada seluruh alam, sejak munculnya Islam pada kurun keenam dan berlanjutan selama lebih kurang seribu tahun. Semasa Kurun Pertengahan Eropah itu, umat Islam telah bangkit membangunkan semula tamadun dan kemajuan manusia yang telah hampir pupus, di segenap negara timur dan barat, sehingga ke Konstantinople.
Ringkasnya, gerakan Pencerahan di Barat merupakan tindak balas tabii terhadap kezaliman yang diamalkan oleh gereja ke atas akal dan kemanusiaan. Itu merupakan satu situasi yang tidak berlaku langsung di dalam tamadun Islam, satu suasana yang tidak pernah dialami oleh muslimun.”
(Dr. Abdul Aziz et-Tuweijeri. 2001. Kertas Kerja: Pengertian Pencerahan Menurut Perspektif Islam)
”Aliran modenisme sebagai satu kerangka berfikir muncul dari latar sejarah yang kompleks dan tersendiri yang dialami oleh masyarakat Barat sekitar abad ke 16 hingga 18 masihi. Ia adalah natijah dari reaksi penentangan sekelompok manusia di Barat terhadap sistem budaya dan struktur berfikir masyarakatnya yang dianggap mengongkong.
Institusi gereja yang mewakili kelompok penguasa dianggap sebagai penghalang kepada kemajuan hidup dan kebejatan masyarakat. Tafsiran-tafsiran sempit penguasa agama tentang realiti, hukum dan kebenaran mengekang perkembangan ilmu dan kreativiti manusia. Untuk itu, masyarakat perlu dibebaskan dari tradisi ini iaitu monopoli satu kelompok masyarakat (penguasa agama dari institusi gereja) dalam menentukan kebenaran.
Di sinilah bermulanya idea dan gerakan modenisme. Ia adalah satu kepercayaan bahawa untuk mencapai kemajuan hidup, masyarakat harus dibebaskan dari tradisinya. Dari asas kepercayaan ini, ia berkembang sebagai satu gerakan intelektual dan kebudayaan berusaha merombak segala sistem kepercayaan dan struktur sosial yang dianuti dan diamalkan oleh tradisi. Secara khusus, aliran modenisme ialah gerakan protes yang berasa kecewa dengan kongkongan, monopoli dan manipulasi kelompok agama terhadap kebebasan dan hak-hak asasi individu dan masyarakat.
Apakah bentuk kepercayaan baru yang cuba untuk digantikan oleh aliran modenisme setelah mereka menolak tradisinya? Kepercayaan baru itu dikenali sebagai `sekularisme’. Bagi golongan modenis, sekularisme dianggap sebagai agamanya.”
(Muhamad Razak Idris. 2006. Aliran Islam Liberal: Cabaran Baru Umat Islam. www.abim.org.my/minda_madani/modules/news/index.php?storytopic=6)
Sekularisme
”Sebenarnya fahaman sekularisme menganjurkan agar umat Islam berpegang kepada suatu prinsip dan nilai baru yang berasaskan skeptisisme terhadap semua bentuk pengetahuan objektif. Skeptisisme atau keraguan terhadap kebenaran juga merupakan asas yang mencorakkan budaya dan pemikiran golongan sekularis.
Akibat langsung dari minda skeptik ini, sekularis melihat agama bersama kitabnya tidak lebih dari suatu bentuk naratif besar (grand-narrative) yang tandus sifat kekudusannya dan dapat dipersendakan dalam permainan bahasa dan imaginasi kreatif yang mencampur-adukkan realiti dan fantasi. Persoalan kebenaran dan kebolehan untuk bersikap objektif akan diketepikan sebagai suatu yang mustahil untuk dicapai. Golongan sekularis telah menggantikan prinsip-prinsip kebenaran dengan beberapa prinsip baru, di antaranya prinsip ketiadaan suatu yang benar (no truth), kehampaan realiti (no reality), kegersangan makna (no meaning), kepelbagaian (multiplicities), kesamarataan (equal representation) dan keraguan yang menyeluruh (total doubt).
Apa yang lebih menyedihkan lagi ialah apabila prinsip ini meminggirkan nilai ketuhanan dan menggantikannya dengan sesuatu bentuk pergantungan mutlak kepada rasional. Tegasnya ta’akul rasional dijadikan sebagai pusat gravitinya.”
(Hj. Abdul Ghani Shamsudin. 2001. Membina Kekuatan Umat Menangkis Sekularisme. http://www.e-ulama.org/Artikel/Default.asp?mode=0&ID=25)
Berikut adalah tulisan Luthfi Assyaukanie, pengarang laman web Islam Liberal. Dalam tulisannya ini, beliau cuba menyerlahkan kebaikan sekularisme, yang bukan sahaja dianggap telah berjaya menghapuskan otoriti agama (gereja sebetulnya) bahkan sebagai penyelamat situasi persengketaan antara agama.
”Sekularisme sebetulnya adalah sebuah istilah neutral untuk merujuk konsep tentang pemisahan agama dan negara. Istilah ini pertama kali diperkenalkan oleh George Jacob Holyoake (1817-1906), seorang sarjana Inggris, sebagai sebuah gagasan alternatif untuk mengatasi ketegangan panjang antara otoritas agama dan otoritas negara di Eropah. Dengan sekularisme, masing-masing agama dan negara memiliki otoritasnya sendiri-sendiri: negara mengurusi politik sedangkan agama mengurusi gereja.
Dalam perkembangannya, sekularisme menjadi konsep yang sangat efektif, bukan hanya dalam meredakan konflik dan ketegangan antara kuasa agama dan negara, tapi juga dalam memberikan landasan pada demokrasi dan persamaan hak.
Sebuah demokrasi yang baik hanya bisa berjalan jika ia mampu menerapkan prinsip-prinsip sekularisme dengan benar. Sebaliknya, demokrasi yang gagal atau buruk adalah demokrasi yang tidak menjalankan prinsip-prinsip sekularisme secara benar.
Sekularisme sesungguhnya adalah berkat bagi agama-agama. Di Turki, para aktivis Islam yang tergabung dalam Partai Kebajikan yang berorientasi Islam, menuntut negara agar menerapkan sekularisme secara adil. Merve Kavacki, anggota parlimen Turki berjilbab yang pernah membuat heboh pada tahun 2000 dengan tegas mengatakan bahwa dia dan partainya tak pernah ada masalah dengan sekularisme. “Yang kita inginkan adalah penerapan sekularisme secara adil dan benar, seperti negara-negara Barat melaksanakannya.”
Sama seperti di Turki, di India, kaum Muslim menginginkan sekularisme dan mencemaskan kalau-kalau BJP, partai fundamentalis Hindu, mengganti sekularisme dengan Hindutva, syariah-nya orang-orang Hindu. Buat kaum Muslim di sana, sekularisme adalah berkat yang tak ternilai harganya.
Alangkah tidak adiljika kita mengecam sekularisme semata-mata karena kita merujuk pada praktik sekularisme yang salah.”
(Luthfi Assyaukanie. 2005. Berkah Sekularisme. http://islamlib.com/id/index.php?page=article&id=799)
Liberalisme dan Pluralisme
`Islam liberal’ ialah istilah baru dalam dunia pemikiran Islam semasa. Kemunculannya dilihat sebagai sebahagian dari produk pemikiran yang diasaskan dari kerangka modenisme. Islam sebagai satu tema pemikiran diperdebatkan menerusi perspektif moden berasaskan dasar dan kerangka berfikir modenisme yang tersendiri. Natijahnya ialah, kelahiran satu citra berfikir baru yang berusaha untuk menyesuaikan Islam dengan realiti kehidupan moden yang sedang berkembang hari ini. Untuk memahami `Islam liberal’, masyarakat harus memahami latar dan dasar modernisme terlebih dahulu.
(Muhamad Razak Idris. 2006. Aliran Islam Liberal: Cabaran Baru Umat Islam. www.abim.org.my/minda_madani/modules/news/index.php?storytopic=6)
Penentangan besar diambil oleh kumpulan cendekiawan. Mereka mula mengkritik agama Kristian dari segenap penjuru. Kitab Injil, yang asalnya juga banyak diubah, dikritik lagi dan lebih mendasar. Kitab Injil sudah jadi macam buku sastera yang dikritik oleh semua peminat. Kandungannya tidak lagi relevan. Mazhab protestatan terus mendapat sokongan. Akhirnya timbul Renaissance. Agama dan Tuhan sudah kehilangan kuasa dan daulat. Kebenaran boleh didapati dari manusia sendiri berasaskan akal rasional atau pengalaman dan bukan teks-teks agama. Ahli falsafah Barat yang memimpin tentangan dan fikiran bebas ini antaranya Rene Descartes (1592-1650), John Locke (1632-1704), Immanuel Kant (1724-1804), David Hume (1711-1776), Auguste Comte (1798-1857), Jeremy Bentham (1748-1832), John S.Mill (1806-1873), Frederich Nietzsche (1844-1900) dan ramai lagi.
Terdapat tiga jenis fikiran asas yang diperjuang oleh pemikir-pemikir ini; Pertama, Tuhan itu tidak wujud atau diragui kewujudannya; Kedua, alam ini wujud secara mekanistik, iaitu hukum alam bukan hukum Tuhan; Ketiga, akal manusia mampu memahami semua masalah manusia, fenomena alam dan lain-lain. Di sini, otoriti agama ditolak. Berkaitan dengan agama secara khusus, pemikir Barat W.C. Smith memperkenalkan slogan “Universal Theologi of Religion”. Idea ini menarik pemikir-pemikir Eropah yang lain dalam kerangka dan semangat menolak otoriti agama. Muncul John Hick dan Hans Kung tokoh pemikir Barat sekular dan terus mempopularkan gagasan ini.
Gagasan ini memperjuangkan bahawa semua agama boleh diterima dan benar, sebab tujuannya adalah satu, hanya jalannya sahaja berlainan. Maka popularlah ‘Pluralisme ’. Tuhan cipta banyak agama menurut mereka untuk kepentingan berbagai bangsa di pelbagai masa dan wilayah. Semua ajaran betul belaka dan semua orang boleh sampai pada Tuhan dengan mengikut jalan mana pun. Oleh itu semua agama di dunia ini menyeru pada Tuhan dan benar belaka. Siapa pun tidak boleh dakwa agama mereka sahaja yang benar dan betul! Apabila berlaku interaksi Islam-Barat melalui penjajahan dan pembaratan, gagasan liberalisma ini turut sama masuk dan ia subur berkembang dibawah payung sekularisma. Keadaan ini berjalan hingga kini serata dunia Islam.
Idea-idea Utama Liberalisma-Pluralisma
Disini diperturunkan sebahagian idea-idea LP ini.
- Mengkritik teks al-Quran.
Bagi para pemikir LP ini, metod di atas adalah metod lama dan salah. Umpamanya professor pemikiran Islam di Universiti Sorbone, Perancis iaitu Prof. Muhammad Arkoun membawa pendekatan “Makna Teks ”.Perkara ini ada ditulis oleh beliau dalam beberapa buah bukunya seperti The Unthought in Comtemporary Thought (2002) dan Min al-Ijtihad ila Naqd al-Aqli al-Islami (1992). Menurutnya kajian kritis terhadap al-Quran adalah bentuk ijtihad, (sama seperti pemikir Barat bersifat kritis terhadap Bible). Arkoun berpendapat wahyu perlu dilihat dalam kontek umum. Ia juga termasuk kitab-kitab agama lain seperti kitab agama Hindu, Buddha, Injil Perjanjian Lama dan Baru. Ini bermakna kebenaran agama dimiliki semua. Teori mereka ini memberi maksud (i) Muhammad itu pengarang al-Quran (ii) Syariat juga dicipta oleh Muhammad (iii) al-Quran tidak suci lagi (iv) semua kitab-kitab tafsir di dunia Islam tidak boleh dipakai lagi (v) al-Quran perlu ditafsir semula. (seperti laungan terhadap Bible)
- Idea Theologi Pluralis
- Penolakan Syariat Islam
Perlaksanaan hukum Islam hanya memberi impak counter-productive. Hukum-hukum Islam melanggar Hak Asasi Manusia dan tidak sesuai dengan perkembangan zaman. Abdullah terpengaruh kuat dengan orientalis Barat yang bencikan Islam iaitu antaranya Goldziher, Schacht dan Coulsan yang lama menyebut bahawa syariat Islam adalah ciptaan fuqaha selama 300 tahun. Abdullah juga turut bersetuju dan menyebut
hal berkenaan. Kumpulan Islam liberal menggunakan idea ini untuk menolak hukum Islam. Oleh itu Negara Islam pun tidak ada. Mereka sebenarnya gagal membezakan antara Syariat dan Fiqh, Qat’iyyat dan Ijtihadiyat, Thabat dan Mutaghaiyirat dan sebagainya dalam sistem Ilmu-ilmu Islam. Konsep Ijtihad dalam Islam membuka ruang untuk umat Islam menyusun keputusan baru menurut masalah-masalah semasa.
Golongan Liberal ini tidak berminat berpegang kepada hadis nabi. Mereka mempertikaikan kesahihan hadis dan menolak otoritinya. Di Malaysia kumpulan ini telah menolak hadis. Hadis menurut mereka hanyalah rakaman sejarah masa lalu. Ia boleh dibaca jika perlu. Sedangkan dalam Islam, Allah SWT telah memerintahkan hambanya taat kepada Tuhan melalui patuh kepada al-Quran turut dan patuh kepada Rasulullah SAW sebagai Nabi dan juga Rasul. Ijmak para ulamak juga telah diinstitusikan. Kumpulan liberal ini menolak ijmak. Malah menurut mereka ijmak-ijmak itu adalah ijmak Pak Arab! Kebebasan berijtihad dan penolakan Otoriti Agama. Gologan Liberal ini menolak otoriti agama. Mereka menekankan kebebasan memberi dan menentukan fikiran. Apa pun permasalahan agama, semua orang berhak memberi pendapat. Semua orang boleh berijtihad. Otoriti agama hanya diada-adakan. Oleh itu ulamak pun tidak perlu. Mereka merujuk kepada analisa-analisa orientalis-Kristian, sebab mereka lebih pandai dan lebih kritis. Sedangkan dalam apa ilmu pun ada pakarnya. Dalam agama ada ulamak dan cendiakawan-cendiakawan Islam. Mereka bukan monopoli hal-hal Islam, tetapi ahli atau pakar.
Liberalisma-Pluralisma di Alam Melayu
Indonesia
Di Indonesia, gerakan Islam liberal ini sudah meluas. Ia diperjuang oleh para sarjana yang mendapat pendidikan Islam dan Institusi Pengajian Islam iaitu Institusi Agama Islam Negeri(IAIN), Universitas Islam Negeri (UIN), Sekolah Tinggi Agama Islam Negeri (STAIN), dan Sekolah Tinggi Agama Islam Swasta (STAIS). Mereka ini kebanyakan mendapat pendidikan tinggi agama Islam dalam negara, Mesir, Amerika dan Canada. Bermula dengan Prof. Dr Harun Nasution, diikuti pula oleh Prof. Dr. Nurcholis Madjid yang pernah melancarkan gagasan sekularisasi untuk kemajuan umat, maka sekarang ini, sarjana-sarjana yang lebih junior memperjuangkan gagasan Islam liberal ini. Terdapat ramai cendiakawan yang berlatarbelakang agama, mendukung Liberal-Plural ini. Antaranya: Budhy Munawar Rachman, Alwi Shibab, Luthfi Assyaukanie (editor Jaringan Islam Liberal), Taufik Adnan Amal, Ahmad Baso, Khoirul Muqtafa, Munawar Rahman, Mahrus el-Mawa, Hamami Zada, Ala’i Nadjid (P), Umi Khusnul Khotimah (P), Sri Mulyati (P), Siti Musda Mulia (P), Marzuki Wahid, Abd A ’la, Ab Rahman Wahid, Azyumadi Azra, Jalaluddin Rahmat, Nasamuddin Umar dan Ade Armanda.
Alwi Shibab (bekas Menteri Agama) menyatakan bahawa pluralisma agama sangat penting. Ia boleh pupuk hidup rukun damai. Alwi mengatakan syariat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW itu tidak menghapus syariat-syariat sebelumnya. Dakwanya al-Quran itu mendukung pluralisma. Islam tidak hanya diperuntukkan kepada muslim sahaja, tetapi bagi segenap mereka yang percaya pada Tuhan sepanjang sejarah umat manusia. Ini disebabkan oleh makna istilah ISLAM itu ialah berserah diri dan ini berlaku dalam semua agama. Jadi siapa sahaja yang menyerah diri pada Tuhan, bagaimanapun caranya, adalah Islam. Bukanlah orang Islam sahaja.
Di Barat hal ini sudah lama terjadi. Idea ini pernah dikembangkan oleh Frithjof Schuon dan Syed Hosein Nasr. Mereka merujuk idea kesatuan seperti ini di tahap tinggi (The Transcendent Unity Of Religions) dan penekanan kepada agama Ibrahimiyyah. Di Indonesia hal ini diaktifkan. Alwi terus menggunakan al-Quran untuk mengukuhkan dakwaan beliau. Ayat 62 surah al-Baqarah dan ayat 69 al-Maidah dijadikan alasan mengukuhkan teori mereka.
Ayat ini bermaksud begini:
Sesungguhnya orang yang beriman, orang-Yahudi, Sabi’in dan orang Nashara, barangsiapa yang beriman kepada Allah, hari kemudian, dan beramal soleh, maka tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak pula mereka bersedih hati. (al-Maidah:69)
Pendapat Alwi Shihab dalam hal ini ada ditulis dalam bukunya Islam Inklusif: Prinsip lain yang digariskan oleh al-Quran adalah pengakuan eksistensi beragama dan dengan begitu, layak memperolehi pahala dari Tuhan. Lagi-lagi prinsip ini memperkokoh idea mengenai pluralisma keagamaan dan menolak eksklusivisme. Dalam pergertian lain, eksklusivisme keagamaan tidak sesuai dengan semangat al-Quran sebab al-Quran tidak membeza-bezakan antara satu komunitas agama dengan lainnya. Prinsip ini digariskan oleh dua ayat al-Quran, sebuah eksposisi yang jarang sekali terjadi sebuah ayat al-Quran tampil dua kali dan hampir mirip kata perkata, yang mengatakan:
“Sesungguhnya mereka telah beriman, Yahudi, Kristian dan kaum Sabiin. Mereka yang percaya pada Tuhan dan hari akhirat dan berbuat kebaikan, akan menerima pahala dari Tuhan mereka. Mereka tidak akan rugi dan tidak akan berdukacita ”.
(al-Baqarah:62, al-Maidah :69)
Prof Dr. Nurcholis Madjid.
Terdesak kepada masalah hubungan antara kaum dan agama yang menyesakkan di Indonesia, Nurcholis Madjid merujuk al-Quran bagi mendapat jalan penyelesaian. Beliau telah merujuk kepada (surah al-Ankabut 29;46), (al-Maidah 44,45,46,47,66) seterusnya (al-Nahl 16;28) bagi mengesahkan bahawa memang Allah SWT cipta kepelbagaian dan semuanya, katanya (muslimun), menggunakan pelbagai cara dan kaedah menuju Tuhan. Dia amat yakin terhadap ketulinan kitab Taurat dan Injil hari ini, tulin/asli seperti yang benar-benar terjadi sewaktu diturunkan dahulu!? Kelihatan Nurcholis terlalu konfiden yang dua kitab itu serta suruhan-suruhannya itu asli dan tulin betul! Soalnya apakah kita memiliki rekod catatan sebenar kitab-kitab sebelum al-Quran tu?
Akhirnya menurut beliau “Oleh kerana itu, mari kita sambut hari esok dengan kepala tegak, bibir tersenyum sambil menyapa tanah air yang kita cintai bersama-sama dengan lambaian kasih sejati. Kita tunjukkan kepada dunia bahawa bangsa beradab, bangsa yang berperikemanusiaan dan berperikeadilan. Lupakan permusuhan dan pertikaian yang menganjal di dada. Hapuskan dendam dan kebencian yang tersimpan di hati. Tegakkan perdamaian abadi dalam kekudusannya”. (Pendahuluan untuk buku Pluralitas AGAMA: Kerukunan dalam keagamaan. 2001. Jakarta. Kompas. 1-88) Editor: Nur Ahmad.
Mengapa hal-hal yang menggugat aqidah ini bertapak di institusi pengajian Islam di Indonesia? Hartono Ahmad Jaiz dalam bukunya Ada Pemurtadan di IAIN (2005) ada menyebut bahawa ”…mengesakan Allah SWT, metodnya sudah ada, tinggal mengikuti Rasulullah SAW. Pendidikan Islam hakikatnya adalah mengajak kepada Tauhid itu sendiri, tidak diajarkan. Hanya ilmu kalam, yang itu termasuk dalam sejarah pemikiran Islam. Pada hal Tauhid inilah landasan paling utama. Bila landasannya ini salah, akan rosaklah agamanya”.(xxxxi)
Al-Quran sendiri pun diajar metod baru untuk tafsirnya. Cara baru itu disebut “hermeneutika” iaitu metod yang digunakan untuk tafsir Bible oleh pemikir Kristian. Metod ini diajar di Universitas Islam Negeri Jakarta dan IAIN Yogyakarta. Jika metod mengkritik Bible sudah diajar kepada Mahasiswa di IAIN, sudah tentu bertambah luaslah kritikan terhadap Al-Quran dan Rasulullah SAW, dan bertambah luaslah sikap ragu-ragu (skeptis) terhadap Al-Quran. Al-Quran bukan lagi kalam Allah sebaliknya teks dari Muhammad SAW.
Perkara-perkara pelik diamal di Indonesia.
- Prof Dr Nurcholis Majid, Prof di IAIN Jakarta, pengasas Yayasan Paramadina Jakarta, telah kahwinkan anaknya (perempuan), Nadia dengan lelaki Yahudi di Amerika pada 30 September 2001, tidak dengan Islam, tetapi akad universal iaitu anak manusia dan anak manusia.
- Dr. Kautsar Azhari Noer, pensyarah IAIN Jakarta (kini UIN) menikahkan Ahmad Nurcholish (muslim) iaitu anggota pengurus YISC (Youth Islamic Study Club) Masjid al-Azhar Kebayoran Baru Jakarta dengan wanita kunghuchu Ang Mei Yong pada Ahad 8 Jun 003.
- Dr Zainun Kamal pensyarah UIN Jakarta telah menikahkan wanita muslimah Suri Anggteni Alias Fithri dengan lelaki Kristian Alfin Siagan di Hotel Kristal Pondok Indah Jakarta Selatan. Pengantin diberkati pendeta Kristian. Ijab qabul cara Islam. Dr. Zainun sendiri membimbing mereka. Munawir Sjadzali, bekas menteri agama (11983-11993) memperjuang penyamaan bahagian waris harta antara lelaki dan wanita. Lelaki dan wanita perlu sama banyak. Sedangkan al-Quran jelas memperuntukan 1/3 untuk perempuan dan 2/3 untuk lelaki justeru tanggungjawab lelaki adalah diri sendiri dan tanggungannya. al-Quran menyebut (al-Nisa’:11)
- Dr. Siti Masdah Mulia, pensyarah UIA Jakarta menyuarakan agar poligami diharamkan sebaliknya menghalalkan nikah berbeza gama.
Malaysia
Di Malaysia, apabila institusi-institusi agama, pihak berkuasa dan rakyat terbanyak masih kukuh pegangan agama, kumpulan minoriti ini tidak berani membuat pengisytiharan terbuka. Kerajaan sendiri mengambil berat dalam soal ini?! Ada idea-idea yang menggambarkan mereka, umpamanya al-Quran mesti diolah semula. Tafsir al-Quran banyak ditafsir oleh lelaki. Perempuan perlu tafsir al-Quran menurut cara berfikir wanita, poligami tidak lagi relevan, lelaki “superior” dalam keluarga juga sudah out of date. Hukum Faraid perlu penafsiran baru, sebab hukum itu lebih memihak kepada kepentingan lelaki. Mereka itu menggunakan medium tulisan khasnya dalam bahasa Inggeris untuk mengembangkan idea mereka. Fokus mereka ialah golongan elit berpendidikan tinggi dan mahir berbahasa Inggeris. Mereka ini mempunyai jaringan dengan gerakan-gerakan luar negara. Mereka juga mengkritik Islam dengan membandingkan dengan gagasan hak asasi manusia. Perlembagaan Negara pun dikritik khasnya hal-hal yang menyentuh Islam. Kumpulan Sister in Islam adalah pendukung kuat gerakan ni.
Liberalisma-Pemodenan dan Warisan Mazhab Silam
Ada yang mendakwa liberalisme ini adalah juga pemodenan dalam Islam. Ini amatlah salah. Pemodenan fikiran Islam yang digerakkan oleh Muhd Abduh, Rashid Rida, Iqbal dan lain-lainnya bukan mahu menyoal keotoritian al-Quran, Rasulullah SAW, Rukun Islam dan Rukun Iman. Mereka mahu aplikasi Islam dalam tuntutan dunia semasa supaya umat Islam maju tetapi bertolak dari gagasan Islam. Demikian juga mazhab Islam dahulu seperti Jabariah, Khawarij dan sebagainya, mereka mentafsirkan ayat-ayat al-Quran dan hadith tetapi tidak bertindak mengkritik otoriti al-Quran atau kerasulan Nabi Muhammad SAW, hukum-hakam faraid dan sebagainya. Kumpulan Liberalisma ini sangat radikal. Mereka mahu menolak al-Quran, Syariah, menyamakan akidah Islam dengan lain-lain agama, menentang superiority lelaki ke atas wanita, menolak ketentuan faraid dalam al-Quran dan lain-lain lagi. Gerakan kumpulan ini wajib dihapuskan.
Apakah bahayanya pada Islam dan muslim
Konsep dan falsafah hidup manusia yang benar ditukar. Eksistensialisma etheis Barat yang dipopularkan oleh Jean-Paul-Sartre (1905-1980) menobatkan manusia begitu tinggi. Menurut J.P.S tujuan dan objektif hidup manusia ditentukan oleh manusia sendiri bukan kitab-kitab agama. Tuhan tiada apa-apa peranan dalam kehidupan manusia. Manusia mempunyai kebebasan penuh untuk berbuat apa sahaja atas dunia ini. Kebenaran itu subjektif dan relatif. Baik buruk sesuatu itu manusia yang tentukan. Keputusan-keputusan yang baik adalah keputusan yang dibuat tanpa tekanan agama dan budaya. Maka tidak heranlah kepada masyarakat Barat kini budaya seks bebas, pornografi, homoseksual, bersekedudukan tanpa ikatan kahwin dan lain-lain dianggap sah dan boleh diamalkan.
- Penghinaan Terhadap Al-Quran
- Liberalisma mahu membuang syariah.
Aliran pemikiran Islam liberal adalah bertentangan dengan prinsip aqidah Islam. Pemikiran Islam liberal boleh menjadikan seorang Muslim menjadi murtad, kufur, syirik dan fasiq. Pokoknya ia berlawanan dengan doktrin Ahli Sunnah Wa al-Jamaah.
Adalah jelas bahawa gerakan pemikiran Islam liberal telah mulai berhasil menimbulkan keraguan akidah dan seterusnya memecah-belahkan umat Islam seperti yang kini sedang berlaku di Indonesia sehingga Majlis Ulama Islam (MUI) di Indonesia telah mengeluarkan fatwa bahawa pemikiran Islam liberal itu adalah HARAM pada 25 Julai yang lalu.
Kehadiran Muslimin liberalis yang kini menjadi ”celebrities” di dunia telah memberi peluang dan ruang untuk musuh-musuh Islam seperti Zionis, Buddha, Bahai, Sikh dan lain-lain menyusup masuk secara langsung dan tidak langsung bagi merialisasikan cita-cita jahat mereka untuk melemahkan status agama Islam dan masyarakatnya supaya terus terpinggir dari arus perdana masyarakat.
Golongan Muslim liberalis kini mendapat dokongan moral dan material dari pelbagai individu terutamanya dari Dunia Barat. Ini dapat dilihat dari persidangan, seminar, bengkel yang dianjurkan di dunia Islam. Di Malaysia, pada tahun 2003 telah diadakan satu persidangan antarabangsa mengenai Islam dan cabaran madeniti yang dinamakan KALIF. Dalam seminar tersebut telah dihadirkan ramai tokoh-tokoh liberal Muslim dengan tujuan untuk mempengaruhi inteligensia Muslim di Malaysia supaya bersikap kritis terhadap warisan Islam. (al-Turath al-Islami).
Atas nama “moderat Islam/Muslim”, kehadiran Muslim liberal telah menyebabkan doktrin Islam yang syumul dalam world viewnya sebagai “ad-din” sedang diturunkan statusnya untuk menjadi agama sivil atau agama peribadi semata-mata. Konsep “moderat” tidak lagi diukur dengan skala al-Quran dan al-Sunnah yang hakiki seperti konsep kaitannya dengan keadilan (ummatan wasatan). Pada masa ini beberapa konsep dan institusi asas Islam serta pemeluknya seperti jihad, syariat, dakwah, madrasah dan sebagainya sedang dicairkan dengan Islam dalam bijana Barat seperti Islam Amerika.
Justeru, terlalu banyak “think-tank” Barat yang mengakui tentang Islam seperti projek Rand Corporation, SIM di Leiden, Belanda, Institut Brooke, Washington. D.C. dan yang lain-lain.
Mutakhir ini masyarakat bukan Muslim di Malaysia dan di lain-lain tempat semakin berani melontarkan fikiran mereka mengenai agama Islam termasuklah mempersoalkan kewibawaan Majlis Fatwa Kebangsaan dan otoriti ulama. Gagasan penubuhan Suruhanjaya Antara Agama-Agama (IFC) adalah satu usaha nekad pimpinan bukan Islam untuk mencari jalan melemahkan status Islam dan umat di Malaysia ketika umat Islam kuat mengukuhkan diri mereka dengan identiti Islam bagi menghadapi cabaran dalaman dan luaran yang semakin menyemarak.
Di Malaysia, beberapa NGO, antaranya, Sister In Islam, adalah antara pendukung Islam liberal yang kuat mempromosikan isu kesetaraan kaum jenis lelaki dan perempuan. Ia mendapat dokongan moral dari beberapa figure politik nasional dan media massa serta begitu akrab jaringannya dengan beberapa agensi di dunia Barat. (Dr. Muhammad Nur Manuty. 2005. Kertas kerja: “IDEA-IDEA ISLAM LIBERAL” yang dibentang di wacana bulanan YPU dengan kerjasama Y3K (Kelantan) di PJ pada 2 Sept 2005)
(Idris bin Zakaria. 2006. Kertas Kerja: Ancaman Akidah Liberalisma / Pluralisma)
Feminisme (Gender)
Faham feminisme turut menjadi agenda penting dalam minda liberal Islam. Walaupun isu kesetaraan antara lelaki dan perempuan wajar diberi perhatian seperti yang terpapar perbahasannya dalam al-Qur’an dan Sunnah, tetapi adalah penting untuk menggarap isu feminisme atau gender dengan lebih teliti dan cermat.
Di Barat, pemikiran dan gerakan feminisme telah membina sebuah keyakinan sehingga ia menjadi satu dogma bahawa “tidak ada apa pun yang membezakan antara lelaki dengan wanita, sekalipun secara semula jadi.” Dengan terdapatnya keyakinan sedemikian, pola-pola pemikiran feminisme dapat disimpulkan dalam perkara-perkara berikut:
(a) perbezaan jantina adalah satu ketentuan masyarakat, bukannya berlaku secara tabi’i.
(b) wanita hendaklah diberi peluang semaksima dengan hak lelaki dalam semua bidang pekerjaan tanpa berlaku sebarang diskriminasi
(c) lelaki dianggap sebagai golongan “pembenti wanita” atau lebih dikenali dengan istilah “misogynist”
(d) sistem kekeluargaan yang berasaskan bapa sebagai ketua keluarga (patriarchal system) dicemuh oleh golongan feminis sebagai sistem kekeluargaan zalim yang direncana untuk menzalimi wanita
(e) para ideolog feminis mendakwa bahawa asal muasal pemimpin utama dalam sistem kekeluargaan adalah milik wanita
(f) feminisme berjuang supaya ada kebebasan pengguguran kandungan (aborsi)
(g) kerana dorongan marah yang amat bersangatan terhadap kaum lelaki, maka pemikiran radikal feminisme membenarkan supaya batang tubuh mereka hanya boleh dinikmati oleh kaum wanita sahaja. Justeru “lesbianisme” adalah satu protes kaum feminis radikal terhadap kaum lelaki (Md Sidin Ahmad Ishak, Madaniyyat, 2005, ms.9).
Di dunia Islam, pemikiran feminisme telah disebarkan oleh ideolog-ideolog terkenal seperti Fatimah Mernisi (Maghrib), Aminah Wadud (Amerika Syarikat), Nawal Sa’adawi (Mesir), Rifaa’t Hassan (Pakistan), Zainah Anwar (Malaysia) dan lain-lain. Sisters In Islam, umpamanya, telah menuduh para tafsiran al-Qur’an oleh para ‘ulama’ “bias” gender dan merendahkan martabat wanita. Golongan liberalis juga mendakwa bahawa bahkan al-Qur’an sendiri adalah “bias” terhadap wanita. Cak Nur turut menjadikan persoalan gender sebagai salah satu agenda besar pemikiran Islam dewasa ini. Ketika mengalu-alukan penerbitan sebuah buku khus yang berjudul Argumen Kesetaraan Gender- Perspektif al-Qur’an (2001), karangan Dr. Nasaruddin Umar, katanya buku tersebut”.. .menggugah kita bahawa realitas pemikiran Islam dewasa ini harus dibebaskan dari bias-bias gender.” (Narasuddin Umar, 2001).
Rang Undang-Undang Kekeluargaan (Wilayah Persekutuan, 2005) yang begitu hangat dibahaskan baru-baru ini di dalam Dewan Rakyat dan Dewan Negara adalah satu lagi manifestasi keaktifan gerakan feminisme di dalam negara ini. Dengan menggunakan jaringan sebahagian ahli-ahli politik, penggubal undang-undang dan media, Sisters in Islam, adalah antara NGO wanita yang paling kuat menentang penggubalan rang undang-undang tersebut. Meskipun Dato’ Dr. Abdullah Mohd. Zin, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri telah mengeluarkan kenyataan meminta supaya orang ramai dapat memahami undang-undang tersebut bukan untuk mendiskriminasi wanita Islam. (Utusan Malaysia, 23 Disember, 2006). Meskipun, ada perkara-perkara yang perlu diperbaiki dalam UUKI di Negara ini, namun jalan penyelesaian bukanlah menuduh para penggubal undang-undang Islam di Malaysia sebagai anti wanita dan hanya ingin menegakkan kelelakian.
Sisters in Islam mendakwa bahawa penggubalan undang-undang Islam di dalam negara ini bermotif “missiogyni”, ada motif politik dan sentiasa berlindung di belakang tabir “agama”. Ramai yang yang mempunyai wibawa kuasa dan kedudukan mengambil sikap “berdiam diri” kerana takut, jahil, taksub dengan kepercayaan diri atau sengaja ingin meraih keuntungan ideologi dan kepentingan politik jangka pendek. Zainah Anwar sekali lagi melihat bahawa rang Undang UUKI yang telah diluluskan di dalam Dewan Rakyat baru-baru ini, selain dari Undang-Undang Hudud di Kelantan dan Terengganu dan Undang-Undang Jenayah Islam mepersoalkan proses pembuatan undang-undang Islam pada hari ini bukan dapat dikategorikan sebagai “Undang-Undang Ilahi” tetapi sebaliknya adalah pembuatan manusia. Merekalah sebenarnya penyusun undang-undang yang telah melakukan pendrafan undang-undang. Jadi, Zainah menuntut atas nama keadilan supaya ada perdebatan terhadap undang-undang Islam di kalangan orang awam sebelum ianya dikanunkan di parlimen. (New Straist Times, Mac 24,2006).
(Muhamad Nur Manuty. Fenomena Pemikiran Islam Liberal dan Implikasinya kepada Kedudukan Islam dan Penganutnya di Malaysia: Beberapa Refleksi. http://www.darulkautsar.com/pemurnianaqidah/liberal/liberal.htm)
Demokrasi
Secara ringkas, “mazhab” Islam Liberal ini sebenarnya berakar pada idea demokrasi. Pemikiran-pemikiran lain sebagai asal-usulnya (derive) akan terlihat sangat bertumpu di atas fahaman demokrasi ini; seperti gagasan pemisahan negara dengan agama, hak-hak wanita dalam kepemimpinan politik dan kekuasaan, kebebasan penafsiran teks-teks agama, kebebasan berfikir dan berpendapat, toleransi beragama, dialog dan keterbukaan antara agama, pluralisme, demokrasi religious, dll.
Pemikiran mengenai hubungan negara dengan agama (Islam) merupakan persoalan kritikal yang paling banyak mendapat penolakan dan tantangan dari pendokong Islam Liberal. Pemahaman yang sering dipakai:
(1) Negara Islam tak pernah dikenal dalam sejarah;
(2) Negara adalah kehidupan duniawi, berdimensi rasional, dan kolektif; sedangkan agama berdimensi spiritual dan peribadi;
(3) Masalah kenegaraan tidak menjadi sebahagian hubungkait (integral) dari Islam;
(4) Islam tidak menggariskan konsep asas pemerintahan (definitive), misalnya dalam bab kekuasaan;
(5) Rasulullah SAW hanya menjadi penyampai risalah, tidak mengepalai suatu institusi politik;
(6) Al Quran dan Sunnah tidak pernah menyebut, “Dirikanlah negara Islam!” dan sebagainya.
Penolakan gagasan ini, pada akhirnya menerima secara total atas idea demokrasi dalam urusan kekuasaan, politik, dan pemerintahan. Hasilnya, menolak kebolehan seorang wanita terlibat dalam urusan kekuasaan adalah bertentangan dengan prinsip demokrasi. Menolak keterlibatan warga negara berdasarkan perbezaan prinsip agama adalah tidak sesuai dengan demokrasi. “Memasung” fikiran dan pendapat bertentangan dengan hak kebebasan dan demokrasi. Mengambil peraturan dan hukum-hukum kemasyarakatan dari satu agama saja (baca: Islam) merupakan diskriminasi atas agama lain, yang bererti sama sahaja dengan tidak demokratik. Kebebasan dan kebolehan beragamanya dengan menafsirkan teks-teks agama (dalil-dalil) menjadi imbas dari gagasan liberalisasi dan kebebasan berfikir serta berpendapat. Demikianlah, semua pemikiran asal ini akan berlindung di balik induknya: pemikiran “demokrasi”.
Demokrasi merupakan wacana paling dominan yang sekaligus melahirkan sejumlah pemikiran asas (derivation) seperti kebebasan berpendapat dan berfikir, persamaan kedudukan agama, kesetaraan jantina, pergaulan antara budaya dan peradaban, dan seterusnya. Membetulkan kerosakan idea demokrasi ini akan menjadi akar penyelesaian bagi persoalan-persolan lain. sebabnya, idea ini menjadi pintu masuk dan prasyarat berdirinya idea-idea asasnya. Kurzman sendiri mengungkap, “The first trope of liberal Islam holds that the shari`a requires democracy, and the second trope holds that the shari`a allows democracy.”
Demokrasi merupakan kata yang memiliki bayangan (connotation) istilah yang khas. Ia sengaja dipergunakan bagi gambaran untuk menyebut sistem pemerintahan tertentu, yang dibangunkan berdasarkan asas: rakyat merupakan sumber kekuasaan. Dengan itu, rakyat diberi hak untuk membuat undang-undang dan sistem sesuka dan semahu hatinya, tanpa memerhatikan pertimbangan lain. Demokrasi menegaskan bahawa rakyat mempunyai kedaulatan dalam segala aspek, antara lain memberikan hak kepada orang yang ditunjuknya sebagai wakil dalam masalah pemerintahan, baik lelaki mahupun wanita, Muslim mahupun non-Muslim; juga memberikan kebebasan dalam berakidah, berpendapat, kepemilikan, dan berperilaku. Inilah makna-makna dari istilah (term) demokrasi. Ketika kata demokrasi disebut, maka bayangan makna-makna itulah yang terkandung di dalamnya.
Makna-makna ini tentu sangat berbeza dan bertentangan secara diametral dengan hukum-hukum Islam. Bahkan, demokrasi itu sendiri merupakan idea mustahil (absurd) yang tidak pernah ada kenyataannya. Bukankah mustahil menuntut seluruh rakyat berkumpul di satu tempat secara terus-menerus untuk memberikan pendapat, pertimbangan dan usulan dalam berbagai urusan, kemudian mengambil suatu keputusan?
Plato sendiri menilai betapa mustahilnya idea ini. Pemerintahan demokrasi dianggap sebagai bentuk pemerintahan yang tak sempurna, penuh dengan keragaman dan kekacauan, yang secara alamiah akan menjadi tirani. Jika rakyat diizinkan untuk membuat keputusan secara kolektif, mereka pasti hanya akan membesar-besarkan kepentingan mereka sendiri.
Akibat politiknya, hal itu tidak lebih dari sekadar pembahagi terendah dari ketamakan individu dan keinginan untuk mendapatkan keamanan peribadi. Inilah fenomena yang terjadi dan dapat kita saksikan di seluruh negara yang menjalankan demokrasi.
Parti-parti berkuasa dalam sistem demokrasi telah menjadi “Tuhan” bagi rakyatnya. Mereka menentukan halal dan haramnya suatu perkara semahu mereka.
Berbagai kesimpulan pemikiran mahupun hukum yang masuk dalam Mazhab Islam Liberal, jika dicermati, tidak cukup adil dalam melakukan approach atas teks-teks ayat Quran, Sunnah, serta pendapat-pendapat para imam mujtahid dan para ulama ushul fekah. Teks-teks Al Quran dan Sunnah, misalnya, diperlakukan selayaknya teks-teks lain yang dapat didekati dengan pendekatan hermeunetika. Sementara itu, pendapat para imam mujtahid terdahulu pun dikesankan seolah-olah sebagai tafsir belaka atas teks-teks syariat yang dipengaruhi oleh sosio-culturalnya.
Adakah wajar jika sejumlah kaedah baku yang telah establish dan disepakati para mujtahid acapkali didekonstruksi demi mengembangkan wacana pemikiran tertentu. Adakah wajar pula kemudian jika muncul logikal yang aneh. Misalnya, mengapa alur logikal “tidak dijumpai perintah: dirikanlah negara Islam” dalam Al Quran, tidak diberlakukan bagi demokrasi? Pernahkah kita menjumpai perintah “dirikan dan tegakkan demokrasi” dalam teks-teks agama (Islam)?
Intinya adalah: mengapa ketika berbicara tentang negara Islam kita dituntut untuk berfikir substantive dan “haram”, sementara ketika berbicara tentang demokrasi kita dipaksa untuk berfikir literalistik/tekstualistik? Padahal, jika kita menggunakan logik berfikir yang sama (baca:substantive), bukankah substansi demokrasi—yakni kedaulatan rakyat—kontradiktif dengan konsep Islam yang hanya mengenal kedaulatan Tuhan?
Dengan logik berfikir yang sama pula, bukankah sistem Islam, sebagaimana sistem demokrasi, tidak akan pernah boleh ditegakkan kecuali di dalam sebuah institusi negara? Dengan kata lain, bukankah sistem Islam hanya dapat ditegakkan di dalam struktur negara Islam, sebagaimana sistem demokrasi hanya dapat ditegakkan di dalam struktur negara sekular?
(http://web.islam.gov.my/forum/mesej.php?10.0000000440)
No comments:
Post a Comment