19/05/2012 By
Oleh: Muhammad Assiddiq Fauzan, Tahun 2, Kuliah Usuluddin, Universiti Al-Azhar(Kaherah)Ja’far Sodiq meninggal pada tahun 148 H, dan meninggalkan seorang anak bernama Musa Kazim, yang juga seorang ulama’, tetapi tidak mencapai tahap ayahnya, dan beliau meninggal pada tahun 183 H, dan meninggalkan anak-anak dan di antara mereka ada yang bernama Ali Ar-Redha.
Gerakan penentangan Tolibiyyun terhadap Abbasiyyun berlarutan dari Khalifah Abu Abbas As-Saffah hinggalah zaman pemerintahan Khalifah Al-Makmun. Apabila Khalifah Al-Makmun menaiki takhta, beliau bercita-cita untuk menyelesaikan masalah dengan Tolibiyyun ini. Maka beliau mewasiatkan takhtanya kepada Ali bin Musa Ar-Ridha. Maka berlakulah perdebatan yang panjang antara Abbasiyyun yakni kaum kerabatnya, kerena mereka tidak setuju dengan keputusan Al-Makmun tersebut.
Namun begitu, Ali Ar-Ridha meninggal secara mengejut pada tahun 203 H, dan Tolibiyyun menuduh Khalifah Al-Makmun yang merancang pembunuhan tersebut. Maka mereka pun melancarkan revolusi seperti mana yang pernah mereka lancarkan terhadap kerajaan Umayyah dahulu.
Berlalu masa, gerakan revolusi pun menjadi tenang sedikit demi sedikit. Dan sehingga itu, masih belum juga wujud fahaman mazhab agama yang bebas dari mazhab Sunni yang dipanggil Syiah. Yang ada hanyalah gerakan politik yang cuba merampas kuasa dari pemerintah dengan sebab yang pelbagai, bukannya atas dasar aqidah seperti mana yang berlaku sekarang.
Apa yang menarik, ketika mana pangilan-panggilan untuk memberontak terhadap kerajaan Abbasiah ini berkumandang, akhirnya ia sampai ke negeri Parsi (Iran), dan ramai di antara penduduknya telah lama memendam rasa sedih dan kecewa dengan kejatuhan empayar Parsi yang hebat dahulu, yang telah menyertai empayar Islam. Mereka menganggap bahawa keturunan mereka lebih mulia, darah mereka lebih terhormat, dan memiliki sejarah yang lebih agung daripada sejarah Islam.
Dengan itu wujudlah semangat ‘populisme’ yakni ketaatan mereka diberikan kepada bangsa mereka, bukan pada Islam. Mereka juga mula menzahirkan kecintaan mereka kepada warisan temurun Parsi, malah juga api yang mereka sembah dahulu.
Tetapi mereka masih tiada kekuatan untuk membebaskan diri dari kerajaan Islam kerana mereka bersendirian. Seruan golongan Tolibiyyun telah membuka peluang keemasan buat mereka.
Mereka mula menyusun untuk bergabung dengan Tolibiyyun ini untuk menghancukan kerajaan Islam, sepertimana yang telah dilakukan terhadap kerajaan mereka (Parsi) sebelum ini.
Mereka tidak berniat untuk keluar dari agama Islam yang telah mereka anuti sejak sekian lama, tetapi mereka hanya mahu mengasimilasikan Islam dengan beberapa ajaran kuno Parsi. Mereka juga tidak berkehendak untuk menjadi pimpinan, tetapi ia akan diberikan kepada Tolibiyyun kerana mereka adalah cucu cicit kepada Ali bin Abi Talib yang mempunyai kedudukan yang istimewa di hati muslimin.
Begitulah bersatunya semangat golongan populis Parsi dengan pemberontak Tolibiyyun yang akhirnya menghasilkan satu gerakan baru yang bukan sahaja gerakan yang bebas dari segi politik, malah agama.
Kembali kepada kisah Tolibiyyun, selepas kewafatan Ali Ar-Redha yang dipilih sebagai ‘waliyul ahdi’ (pewaris takhta) tadi, beliau meninggalkan seorang anak yang bernama Muhammad Al-Jawwad yang memimpin gerakan pemberontak Tolibiyyun, dan Al-Jawwad meninggal pada tahun 220 H. Kemudian disambung oleh anak Al-Jawwad yang bernama Ali Al-Hadi yang meninggal pada tahun 254 H, kemudian anak Ali Al-Hadi yang bernama Hasan atau pun lebih dikenali sebagai Hasan Al-Askari yang meninggal pada tahun 260 H, dan beliau meninggalkan seorang anak lelaki yang berumur 5 tahun yang bernama Muhammad.
Pada tahun-tahun yang sebelumnya, gerakan antara pemberontak dan populis Parsi ini berjuang secara berasingan, setelah dua puak ini bergabung, mereka menyerahkan kepimpinan kepada setiap anak lelaki sulung daripada golongan Tolibiyyun. Bermula dengan Ali bin Musa Ar-Redha dan berakhir dengan Hasan Al-Askari.
Setelah kewafatan Hasan Al-Askari, gerakan pemberontak ini berada dalam keadaan kebingungan kerana tidak tahu kepada siapa kepimpinan harus diserahkan. Keadaan kucar-kacir ini ditambah lagi dengan kematian anak kecil ini (Muhammad, anak kepada Hasan Al-Askari). Situasi ini menyebabkan gerakan ini terpecah menjadi kelompok-kelompok kecil yang berlainan dari segi prinsip, cara fikir, malah syariat dan aqidah!
Antara fikrah yang paling terkenal, yang dipopularkan oleh gerakan pemberontak ini adalah ‘Imam Dua Belas’, dan fikrah ini wujud hingga sekarang di Iran, Iraq dan Lubnan. Malah ia adalah mazhab Syiah yang terbesar pada zaman kini.
Kumpulan ini telah menambah beberapa bid’ah ke dalam Islam, dan mereka mendakwa ia adalah sebahagian daripada Islam, dan bid’ah ini akhirnya menjadi sebahagian dari aqidah mereka.
Antara bid’ah yang paling besar adalah pengakuan terhadap “Imam Dua Belas”. Mereka mendakwa masalah umat tidak akan selesai tanpa kepimpinan Imam Dua Belas ini dan menegaskan bahawa Imam Dua Belas sahaja yang layak memimpin umat Islam. Tertib Imam Dua Belas adalah seperti berikut:
1. Ali bin Abi Talib
2. Hasan bin Ali
3. Hussein bin Ali
4. Ali Zainal Abidin bin Hussein
5. Muhammad Baqir bin Zainal Abidin
6. Ja’far Sodiq bin Muhammad Baqir
7. Musa Kazim bin Ja’far Sodiq
8. Ali Al-Ridha bin Musa Kazim
9. Muhammad Al-Jawwad bin Ali Al-Ridha
10. Ali Al-Hadi bin Muhammad Al-Jawwad
11. Hasan Al-Askari bin Ali Al-Hadi
12. Muhammad bin Hasan Al-Askari
Menjadi kepercayaan kumpulan ini bahawa anak kecil Muhammad bin Hasan Al-Askari ini tidak mati, tetapi bersemayam di bawah tanah di antara gunung-ganang, dan beliau hidup hingga sekarang (lebih dari 1000 tahun hingga sekarang), dan beliau akan kembali memerintah bumi sebagai Imam Mahdi. Mereka juga mendakwa Rasulullah SAW pernah mengkhabarkan para sahabat tentang berita ini namun mereka menyembunyikannya. Atas alasan itulah mereka mengkafirkan kebanyakan sahabat, dan sebahagian mereka menghukum sahabat sebagai fasik, bukan kafir.
Kemudian masuklah sistem pewarisan yang dahulunya adalah sistem dalam Kerajaan Parsi ke dalam sistem pemerintahan Syiah. Mereka mendakwa pemimpin umat Islam mestilah dipilih daripada anak lelaki sulung dari keturunan Ali bin Abi Talib dan seterusnya. Ini tidak pernah menjadi ajaran Islam. Malah, kerajaan khilafah Islam Sunni dahulu seperti Ummayah, Abbasiah, Saljuk, Ayyubiah, dan Uthmaniah tidak pernah mendakwa kepimpinan umat Islam dari keturunan mereka adalah termasuk ajaran Islam walaupun mereka mengamalkannya yakni sistem Monarki. (Sistem Monarki adalah ijtihad sahaja untuk mengelakkan perebutan takhta dan perang saudara, ia bukan ketetapan daripada Allah, tetapi Syiah mendakwa sedemikian).
Bid’ah yang seterusnya adalah berlebihan dalam mengagungkan Imam Dua Belas. Mereka mendakwa Imam Dua Belas adalah maksum dari kesalahan dan kata-kata mereka boleh dijadikan hukum seperti mana Al-Quran dan Hadith. Malah, kebanyakan kaedah fiqh dan syariah Syiah adalah berpaksikan kata-kata Imam Dua Belas sama ada yang benar atau yang direka-reka.
Pemimpin Revolusi Iran, Khomeini pernah menyebut dalam bukunya, ‘Kepimpinan Islam’: “Antara ajaran yang terpenting dalam mazhab kita adalah kedudukan Imam Dua Belas adalah lebih tinggi daripada Raja dan Nabi”
Mereka juga sangat memusuhi hampir kesemua sahabat, kecuali sebilangan kecil yang tidak mencecah 13 orang. Dan termasuk dalam permusuhan ini adalah golongan Ahli Bait sendiri yakni pakcik Rasulullah, Abbas RA dan anaknya, Abdullah bin Abbas RA. Mereka juga tidak menyembunyikan kecaman dan tuduhan kafir untuk keduanya, kerana pertembungan Imam Dua Belas (Tolibiyyun) dengan kerajaan Abbasiah.
Termasuk dalam bid’ah mereka juga adalah menganggap kebanyakan kawasan orang Islam sebagai negara kuffar, yakni mereka menuduh penduduk Madinah, Mekah, Mesir dan Syam sebagai kafir. Dan mereka mendakwa perkara ini ada disebut oleh Rasulullah SAW sendiri dan menjadikan ia sebahagian daripada pegangan mereka. Semua dakwaan ini ada dalam rujukan utama mereka seperti Kitab Al-Kafi, Bihar Al-Anwar, Tafsir Al-Qumi, Tafsir Al-Iyasyi wa Burhan dan lain-lain.
Oleh kerana itu, mereka menolak semua ulama’ di kalangan Sunni, dan menolak semua kitab hadith-hadith sohih seperti Sohih Bukhari, Sohih Muslim, Sunan Tarmizi dan Sunan An-Nasaie.
Mereka juga menolak keempat-empat ulama’ mazhab yakni Imam Hanafi, Imam Syafie, Imam Malik dan Imam Ibn Hanbal. Juga menolak ramai sahabat dan tokoh Islam seperti Khalid Al-Walid, Saad bin Abi Waqqas, Umar Abdul Aziz, Musa bin Nusair, Nuruddin Mahmud, Solahudeen Al-Ayubi, Qutuz, Muhammad Al-Fateh, dan lain-lain.
Kesan daripada penolakan mereka terhadap para ulama’ Sunni dan semua kitab tafsir dan hadith, mereka hanya berpegang dengan kata-kata Imam Dua Belas sahaja, dan para perawinya pula berada pada tahap sangat dhoif(lemah) dari segi rawi. Ini menjadikan ajaran Syiah penuh dengan Bid’ah Munkar, sama ada dalam aspek aqidah, ibadah, muamalat dan sebagainya.
Tetapi ini bukanlah hakikat bid’ah di dalam Syiah Dua Belas secara keseluruhannya, kerana di sana terdapat beribu-ribu lagi bid’ah yang mereka praktikkan seperti Taqiyyah, penyelewengan Al-Quran, i’tikad yang buruk terhadap Allah SWT, bid’ah pada amalan di makam-makam, bid’ah pada hari memperingati Saidina Hussein RA, dan banyak lagi dan tulisan ini akan menjadi panjang andai disebutkan satu per satu. Tetapi cukuplah di sini saya menulis tentang dasar-dasar kepada bid’ah tersebut.
Apa yang saya sebutkan di sini hanyalah sebahagian daripada peyelewengan yang berlakudalam Syiah Dua Belas. Di sana terdapat banyak lagi kelompok-kelompok pecahan darinya, terutama setelah kematian Muhammad bin Hussein Askari yang membawa kepada perpecahan dan kucar-kacir di kalangan mereka.
Bermula dari peristiwa itu, muncullah tulisan-tulisan dan kitab-kitab yang mengukuhkan lagi aqidah dan fahaman Syiah mereka, dan tersebarlah manhaj ini ke seluruh negera Parsi(Iran) dan negera-negera Islam yang lain, tetapi tanpa tertegaknya negara yang mendokong fahaman Syiah ini secara rasmi. Namun begitu, pada akhir kurun ketiga hijrah dan pada awal kurun keempat hijrah, berlakulah perkembangan-perkembangan yang dahsyat sehingga membawa kepada tertubuhnya pemerintahan Syiah di beberapa tempat.Dan ini membawa implikasi yang menggerunkan untuk seluruh ummat Islam.
Tulisan ini adalah sambungan daripada artikel ini: http://ismamesir.com/v2/2012/05/syiah-hakikat-sejarah/
No comments:
Post a Comment