“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal” [Ali ‘Imran 190]
Sunday, December 2, 2012
Padah dibuai hawa nafsu
Hawa nafsu ialah istilah yang banyak digunakan dalam al-Quran dan sunnah bagi menggambarkan adanya musuh tegar dalam diri manusia yang mesti dihadapi.
Firman Allah SWT: “Terangkan kepadaku perihal orang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya, maka apakah kamu dapat menjadi pemelihara atasnya?” (Surah Al-Furqan, ayat 43)
Rasulullah SAW juga menzahirkan kebimbangan Baginda terhadap umat Islam iaitu hawa nafsu yang menghalang daripada menerima kebenaran dan gemar berangan-angan yang akan menyebabkan seseorang melupakan hari akhirat.
Saidina Ali mengingatkan umat bahaya dua perkara ini: “Sesungguhnya yang paling aku khuatir pada kalian (umat Islam) dua perkara iaitu taat hawa nafsu dan berangan-angan.”
Ketepikan hal peribadi
Mengikut Said Hawa dalam Al-Asas fit Tafsir, secara dasarnya melawan hawa nafsu bermaksud menundukkan nafsu supaya mengikut kehendak Allah dalam setiap perkara. Maknanya, apabila nafsu dapat dikalahkan, seseorang akan mengutamakan perkara yang dicintai Allah dan mengetepikan kehendak peribadi.
Imam Al-Ghazali dalam kitab Ihya Ulumuddin menjelaskan, antara tanda kecintaan hamba kepada Allah ialah dia mengutamakan perkara disukai Allah daripada kehendak nafsu serta peribadi sama ada dari aspek zahir atau batin.
Ilmuwan Islam tersohor di nusantara, Prof Dr Hamka pernah diajukan soalan bagaimana akal memerangi krisis akhlak dalam masyarakat sekarang ini. Beliau menjawab: “Adakan satu panitia besar, seluruh orang jadi anggotanya dan tiap-tiap seorang hanya diberi tugas satu saja iaitu memperbaiki dirinya sendiri.”
Sebenarnya seseorang itu akan menilai diri hanya berdasarkan apa yang ingin dilakukan berasaskan keinginan diri dan hati, manakala orang lain menilai berdasarkan apa yang dilakukan seseorang itu berhubung tindak tanduknya.
Perjuangan melawan hawa nafsu bukan sesuatu yang mudah. Imam Al-Ghazali berkata: “Berhati-hatilah kamu dengan hawa nafsu. Ia musuh kita yang paling ketat dan yang paling sukar untuk dikalahkan. Hal ini disebabkan ia berada dalam tubuh dan diri kita.”
Apabila berdepan dengan musuh dalam diri yakni musuh batin, kita seolah-olah hilang kuasa untuk mengawal diri, semacam ada kuasa lebih kuat membentuk serta mengendalikan diri kita.
Sebenarnya, kita sentiasa diburu serta dibelenggu musuh yang berselindung dalam diri iaitu syaitan dan hawa nafsu.
Syeikh Ibn Ata’illah dalam kitab Al-Hikam meninggalkan persoalan besar berkaitan perkara ini. Katanya, bagaimana akan terang hati seseorang yang gambaran dunia itu terpahat dalam hatinya atau bagaimanakah dia akan mengembara menuju kepada Allah padahal ia terbelenggu nafsu syahwatnya.
Imam Al Ghazali pernah berpesan, nafsu itu tidak dapat dikalahkan dengan tergesa-gesa. Kehendaknya tidak boleh ditekan sekali gus melainkan perlu ditahan secara berperingkat seperti sabda Rasulullah SAW: “Amalan yang baik ialah amalan yang berterusan sekalipun sedikit.”
Sukar lawan nafsu
Melawan hawa nafsu memang sukar. Nafsu sentiasa menjalar dalam diri kita, mengalir bersama aliran darah dan menguasai seluruh tubuh.
Rasulullah SAW menggambarkan bagaimana besarnya bahaya hawa nafsu: “Bukanlah orang yang gagah berani itu lantaran dia cepat menyerang musuhnya dalam pertempuran, tetapi orang yang berani ialah yang boleh menahan dirinya daripada kemarahan.” (Riwayat Abu Daud)
Ulama sufi terkemuka, Al-Junaid Al-Baghdadi berkata: “Sesiapa memerangi hawa nafsu mereka melalui taubat, nescaya Allah akan memberi petunjuk kepadanya jalan keikhlasan. Manusia tidak mampu memerangi musuh yang zahir melainkan selepas memerangi musuh batin. Siapa yang mengalahkan nafsunya maka sesungguhnya dia berjaya mengalahkan musuhnya, dan jika dia kalah melawan nafsunya, maka dia tewas di tangan musuhnya.”
Justeru, setiap Muslim perlu melihat diri sendiri dalam hal berkaitan melawan hawa nafsu bagi menyempurnakan diri sebagai seorang hamba. Usah mencari kelemahan dan keaiban orang lain kerana diri kita sendiri memiliki kelemahan.
Allah merahmati seseorang yang berhenti sejenak sebelum melakukan sesuatu, lalu memerhatikan niatnya. Seandainya jika amalan itu dilakukan kerana inginkan ganjaran makhluk, maka segeralah perbaiki niat itu, barulah dibolehkan meneruskan amalan berkenaan.
Renungkan kata-kata Khalifah Islam kedua, Saidina Umar: “Hisablah (nilai) diri kalian sendiri sebelum kalian dihisab.”
Sumber: Amran Zakaria
Berita harian: Agama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment