Pages

Sunday, March 3, 2013

Kenyataan ADUN Taman Medan tidak berasas


u lah
BANGI, 2 Mac – Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan ADUN Taman Medan, Haniza Talha berhubung penglibatan ISMA dalam PRU-13 nanti sebagai dangkal dan tidak berasas.
Menurut Ustaz Abdullah Zaik, kenyataan Haniza itu seolah-olah cuba menyempitkan penglibatan politik kepada persaingan dua parti dominan sahaja.
“Haniza perlu menghormati sistem demokrasi yang memberi peluang kepada setiap rakyat untuk mengundi calon yang boleh membela masa depan dirinya, agama, bangsa dan negara.
“Kenyataan yang beliau keluarkan dilihat cuba menyempitkan penglibatan politik kepada persaingan antara dua parti sahaja. Ini menghalang mana-mana pihak untuk terlibat secara sihat dan mengambil hak rakyat Malaysia untuk terlibat dalam proses demokrasi,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa penglibatan ISMA dalam PRU-13 salah satunya bertujuan untuk memberi pilihan kepada masyarakat memilih masa depan mereka sendiri dan mengundi calon yang benar-benar memperjuangkan aspirasi mereka.
“Saya melihat sistem dua parti yang diperjuangkan tidak menguntungkan perjuangan agama, bangsa dan negara. Sekiranya beliau tidak mahu sebarang perpecahan undi berlaku, lebih baik satu parti sahaja yang bertanding.
“Tiada sebab mereka perlu merasa risau dan bimbang dengan penglibatan pihak lain sekiranya mereka yakin dengan manifesto yang mereka keluarkan,” ujar Ustaz Abdullah Zaik.
Mengulas dakwaan yang mengatakan penglibatan ISMA hanya sebagai kuda tunggangan Barisan Nasional, beliau menyatakan bahawa perkara ini membuktikan kedangkalan pemikiran politik ADUN Taman Medan itu yang mudah menolak pandangan baru tanpa usul periksa dan mengkaji perkara sebenar terlebih dahulu.
“Ini merupakan strategi lama orang politik, adakah dia berfikir dengan mengaitkan ISMA dengan Barisan Nasional dia telah berjaya membina perpsepsi negatif masyarakat terhadap ISMA?
“Tuduhan itu adalah satu pembohongan orang politik yang mahu menutup kelemahan sendiri,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment