Assalamualaikum dan salam perjuangan.
Dakwah, ialah satu kerja yang sangat mulia. Bahkan,ia antara ibadah utama yang menjanjikan ganjaran yang besar disisi-NYA.
Namun, dalam melaksanakan kerja yang mulia ini, kadang-kadang ramai juga yang terlepas pandang pada beberapa poin-poin penting yang perlu diberikan perhatian, kerana mereka lebih cenderung kepada menumpukan kepada poin-poin sampingan sahaja.
Dengan itu, kadar keberhasilan dan mutu dakwahnya akan berkurangan akibat keciciran poin-poin tersebut.
Ini merupakan kesilapan umum para pendakwah, yang hanya akan melahirkan masyarakat yang jumud dan tidak berkembang. Maka, kita harus sedar akan apa yang patut didahulukan dan apa yang patut dikemudiankan.
Namun, bukanlah saya disini mahu menghuraikan tentang fiqh dakwah, kerana jelas tiada kelayakan bagi saya untuk itu. Cuma ingin berkongsi beberapa poin penting dalam kita sama-sama menggerakkan jentera dakwah ini, agar lancar, selamat dan tidak terpesong jalannya. :)
Bagaimana peribadi seorang da`ie.?
Da`ie ialah seorang yang menyeru manusia kepada ALLAH. Bukan kepada dirinya, bukan kepada persatuannya, dan bukan kepada partinya. Hanya kepada ALLAH.!
Apabila telah jelas matlamat seseorang da`ie, iaitu membawa orang yang diserunya kepada ALLAH s.w.t, maka hendaklah dia melepaskan dirinya dan bersih dari impian-impian yang murah dan rendah seperti, ingin disanjung dan disebut-sebut, mendapat harta kekayaan, pangkat dan pengaruh. Ikhlaskan niat kerana mencari keredhaan ALLAH s.w.t semata-mata dan bukan selainnya.
Selain itu, janganlah seorang da`ie itu bersifa t kedekut `ilmu kerana takutkan orang lain menjadi lebih pandai daripadanya. Ini adalah satu sifat yang tercela dan tidak patut wujud dalam hati kita.
Bahkan, seorang da`ie yang bersifat murabbi itu, akan mendidik setiap mad`unya sehingga menjadi seorang yang lebih hebat daripadanya, tanpa ada suatu ilmu pun yang disembunyikannya.
Juga, janganlah seorang da`ie itu berasa bahawa dirinya lebih baik dan lebih bagus daripada mad`unya. Boleh jadi, mad`unya itu lebih dekat dengan ALLAH berbanding diri da`ie itu sendiri. Maka, haruslah da`ie itu membuang egonya sejauh-jauhnya dan bersikap dengan rendah diri agar disayangi ALLAH dan Rasul-NYA.
Ini merupakan poin penting yang perlu ada pada peribadi kita, sebagai da`ie dalam menyeru manusia kepada ALLAH.
Beza `ubudiyyah dengan ibadah.
Menyeru kepada ALLAH s.w.t bermaksud, menyeru manusia kepada perasaan `ubudiyyah kepada ALLAH.
Syeikh Sa`id Ramadhan Al-Bouti HafizahuLLAH dalam menerangkan maksud `ubudiyyah berkata :
" 'Ubudiyyah itu adalah hal, manakala ibadah itu adalah terjemahan kepada hal tersebut. "
Makna kata, `ubudiyyah ialah perasaan yang tunduk menghambakan diri kepada ALLAH s.w.t dengan sepenuh jiwa, maka yang menunjukkan adanya `ubudiyyah didalam hati seseorang itu ialah ibadahnya, seperti solat, puasa, zakat dan lain-lain.
Jadi, `ubudiyyah semestinya akan disertai ibadah. Dan ibadah tidak semestinya disertai dengan `ubudiyyah.
Kerana, seseorang yang bersolat, berpuasa, berhaji dalam keadaan terpaksa dan tidak rela pada perlakuannya, tidak memiliki `ubudiyyah dalam hatinya.
Da`ie yang pandai, menyeru kepada `ubudiyyah sebelum ibadah.
Da`ie yang cerdik, ialah da`ie yang tidak tercicir poin-poin penting dalam berdakwah. Antara poin-poin penting dalam berdakwah ialah, menyeru manusia kepada `ubudiyyah sebelum menyeru mereka kepada ibadah.
Ada yang menyeru.,
" Jom solat.! Solat itu wajib, siapa yang meninggalkannya akan terima siksa kubur yang dahsyat.! "
" Jom puasa di bulan Ramadhan.! Siapa yang tidak puasa akan masuk neraka.! "
Seruan-seruan sebegini tidaklah salah, namun ketahuilah, bahawa ia hanya lahir daripada da`ie yang kurang mahir dalam seni berdakwah, yang akhirnya hanya melahirkan masyarakat yang jumud dan keras hati.
Sebaliknya, seorang da`ie yang pandai, dia akan menanam kukuh dahulu perasaan `ubudiyyah dan mewujudkan rasa pergantungan kepada ALLAH semata-mata. Dengan itu, mudahlah langkah seterusnya disusuli dengan seruan-seruan kepada ibadah tanpa perlu meninggikan suara atau menakut-nakutkan mereka dengan azab sengsara.
Mereka, akan bergerak sendiri tanpa dipaksa. Itu manifestasi `ubudiyyah . ^__^
Konklusi : Mari jadi da`ie yang cerdik.!
Ayuh, kita sama-sama menjadi da`ie yang cerdik. Yang tahu apa yang harus didahulukan dan apa yang perlu dikemudiankan.
Jangan memberatkan, jika sudah ada yang ringan. Jangan menyusahkan, jika sudah ada yang senang.
ALLAH s.w.t berfirman :
" Dan serulah kepada jalan TUHAN-mu dengan berhikmah... "
Surah An-Nahl, ayat 125.
Jadi, berhikmahlah.!
Naqiuddin AnsaruLLAH
.Al-Azhar, Kaherah.
Sumber: http://addhaif.blogspot.com
No comments:
Post a Comment