Pages

Sunday, March 3, 2013

Peranan humanisme dan bahayanya kepada jatidiri ummah

Humanisme merupakan satu agenda yang terancang oleh Barat untuk menghapuskan semangat bangsa dan rasa izzah sebagai seorang Islam. Penyerapan fahaman ini ke dalam jiwa dan pemikiran umat Islam berlaku dalam keadaan yang halus dan sistematik. Dalam konteks bangsa Melayu yang hidup dalam masyarakat majmuk di Malaysia, agenda ini perlu difahami dan ditangani dengan bijak dan tegas. Humanisme akan menjadikan orang Melayu manusia tanpa bangsa dan tanpa agama. Manusia yang tanpa bangsa dan agama menjadikan kita manusia yang tiada agenda. Manusia yang tiada agenda sendiri akan sentiasa tunduk dan dipergunakan untuk melaksanakan agenda orang lain. Sehubungan dengan itu, setiap aktivis masyarakat, juru dakwah dan ahli politik perlu peka terhadap permasalahan ini dan tidak terjerat dalam perangkap agenda yang berasaskan humanisme Barat seperti hak asasi manusia, liberalisme dan sebagainya.

PENGERTIAN HUMANISME

Humanisme adalah satu agenda yang berasal dari Eropah. Ia mula berkembang pada zaman Renaissance pada abad ke-15 dan 16 Masihi (Abdul Hadi, 2009). Humanisme adalah satu agenda yang berpusatkan kepada nilai manusia dalam membuat keputusan. Menurut Harun Yahya dalam bukunya Ancaman Global Freemasonary, humanisme merupakan satu ancaman dan serangan ke atas agama. Ini berikutan fahaman ini yang menolak agama dan Tuhan yang mencipta mereka.

Fahaman humanisme ini bukanlah satu fahaman yang baru muncul. Fahaman humanisme ini berasal daripada doktrin Kabbalah yang berasal daripada Mesir Kuno. Fahaman ini telah muncul lebih awal daripada falsafah Yunani yang dibawa oleh Socrates, Plato dan Aristoteles (Abdul Hadi 2009). Humanisme memasuki Eropah melalui sumber Kabbalah. Keyakinan masyarakat Kristian berdasarkan kepada kewujudan Tuhan. Manusia pula adalah hamba ciptaan Tuhan yang bergantung kepada-Nya. Bagaimanapun, pengaruh pemikiran Kabbalah mula menguasai masyarakat Barat. Pada abad ke-15, arus humanisme mula bertapak dalam pemikiran Barat dan Eropah (Harun Yahya, 2009).

Pemikiran humanisme meletakkan kehendak manusia sebagai matlamat dan pusat kehidupan. Kebebasan kehendak dijadikan sembahan. Negara, kerajaan dan ritual agama hanya timbul setelah berlaku pertembungan dalam kehendak-kehendak tersebut. Tetapi dengan kemajuan teknologi, mereka mempromosikan globalisasi dan ianya menuju ke arah mengecilkan kembali kuasa kerajaan dan fungsi agama untuk memberi ruang kembali kepada kehendak manusia (Taha, 2005). “Materialisme, sekularisme, komunisme, sosialisme, kapitalisme, liberalisme, demokrasi, pluralisasi dan globalisasi; semuanya lahir dari kefahaman humanisme. Nampak berbeza, tetapi sebenarnya mempunyai persamaan di satu noktah.
Semuanya lahir dari revolusi hasil tindakan kejam gereja dan golongan bangsawan terhadap para ilmuwan dan rakyat jelata di zaman Feudal Eropah. Penolakan yang amat ekstrem terhadap agama membawa Eropah kepada kecintaan yang tidak terhingga terhadap diri sendiri. Kecintaan yang membawa kepada satu bentuk penyembahan kehendak diri atau apa yang diistilahkan oleh sebahagian pengkaji sebagai humanisme. Kapitalisme amat jelas dalam memberikan ruang kepada kehendak manusia. Persaingan tanpa rahmat membawa kepada jurang yang amat jauh dalam struktur masyarakat. Riba dan monopoli menjadi asas yang tidak boleh ditolak oleh dunia. Komunisme mungkin dilihat lebih adil memberikan hak persamaan kepada semua manusia.

Nampak jauh berbeza dengan kapitalisme tetapi sebenarnya sama dari sudut penyembahan kepada kehendak manusia; cuma dengan cara yang berbeza, iaitu dengan menyamakan kehendak agar semua kehendak dipenuhi. Penagih dadah dibenarkan memiliki sejumlah dadah untuk dirinya sendiri. Melebihi had itu baru dikira salah. Boleh menagih di mana-mana sahaja kerana itu kehendak mereka yang perlu disembah. Apa yang kerajaan mampu lakukan hanyalah menyediakan tong sampah khas untuk picagari dadah agar tidak mengganggu rakyat yang tidak minat dengan dadah.

Arak bukan suatu yang baik untuk manusia. Ia adalah kepala kepada segala kejahatan seperti yang pernah diungkapkan. Tetapi apa yang Barat boleh lakukan untuk mengelakkan rakyatnya dari dicemari dengan najis arak? Kehendak manusia mengatasi segala kebaikan dan maslahah. Seks dianggap sebagai kehendak manusia yang boleh dipenuhi dengan apa-apa juga cara, juga mengikut kehendak manusia. Berdirinya kedai-kedai ‘adult shop’ di celah-celah deretan kedai lain di Barat diterima oleh masyarakat dengan begitu baik. Tidak menjadi kesalahan kerana ianya tidak lebih dari ’serve’ kehendak sebahagian anggota masyarakat (Taha, 2005).

Globalisasi merupakan antara agenda yang dicanangkan oleh Barat ke atas dunia Islam. Ia membawa maksud dunia tanpa sempadan, semua manusia berada dalam ruang alam yang satu, mendapat taujihat yang satu dalam tamadun yang satu (al-Rawi, 2009). Globalisasi telah mencabul kedaulatan sesebuah negara dan bangsa baik dari segi bahasa, budaya, undang-undang, tanah air dan agamanya. (Ghazali 1998; al-Jabiri 1997). Bukan itu sahaja, globalisasi mengakibatkan masyarakat Islam hanyut dalam kehendak diri tanpa batasan agama dan sempadan akhlak. Ini adalah satu pencabulan kepada nilai-nilai kemanusiaan yang dirancang secara sengaja oleh agenda Barat (al-Jamil, t.t). Globalisasi melahirkan bangsa Melayu yang tiada identiti kemelayuan dan ketimurannya.
arusbaru_ustzhnorsaleha2
Hilangnya jatidiri seorang anak Melayu yang berani dan berpegang teguh kepada agama. Globalisasi menjadikan kita bangsa yang ikut dan tunduk kepada agenda dan kehendak orang lain. Jika diteliti kandungan globalisasi, ia mempunyai satu aspek utama iaitu hegemoni atau kekuasaan. Hegemoni bukan sahaja bermaksud kekuatan tentera tetapi juga merangkumi kekuatan ekonomi, idea, agama, etika, peradaban dan lain-lain. Hegemoni Barat bukan sahaja terletak kepada kekuatan tentera, malah menguasai aspek nilai, budaya, termasuk jugalah agama (Ghazali, 1998).

Arus pemikiran humanisme ini bukan sahaja berkembang dalam kalangan masyarakat Barat dan Eropah. Melalui agenda penjajahan, perdagangan dan Kristianisasi Negara Eropah dan Barat ke atas dunia Islam, fahaman ini mula menular dan menyerap masuk ke dalam pemikiran masyarakat Islam. Secara khususnya, bangsa Melayu di Malaysia juga berhadapan dengan ancaman identiti dan jatidiri yang dibawa oleh humanisme dan isme-isme yang lain. Ancaman utama yang dihadapi ialah pemindahan budaya daripada Barat, sekularisme, budaya hedonisme, Islam liberal, pluralisme.

Sekularisme merupakan konsep untuk memisahkan manusia dengan agama. Ia telah menular dengan hebat dan telah menjadi ritual. Sedangkan Islam tidak dapat dipisahkan daripada keseluruhan hidup dan segala kegiatan hidup berkaitan dengan agama, yang dikatakan Islam sebagai ad-din (Harusani, 2009). Sekularisme secara terang-terang memusuhi Islam. Proses sekularisasi memang ditujukan untuk melawan Islam. Istilah-istilah sekularisme, sekularisasi, sekular tidak boleh dihubung-hubungkan dengan Islam (al-Attas, 1978; al-Qardawi, 1977).

Dalam konteks Malaysia, Islam telah dinyatakan dalam perlembagaan sebagai agama rasmi negara. Dalam satu aspek, ini merupakan perlindungan undang-undang kepada Islam itu sendiri. Bagaimanapun, perlu diingat, proses globalisasi yang sedang rancak berjalan, lambat laun akan mencabar undang-undang setiap negara. Apabila kubu pertahanan ini tumbang dan bilangan penduduk Islam di Malaysia tidak menjadi majoriti, sudah tentu kedudukan Islam dan bangsa Melayu akan tergugat (Ugi Suharto, 2007).
Diambil daripada tulisan: Ustazah Norsaleha Mohd Salleh

No comments:

Post a Comment