BOKIA bermaksud ‘tidak/jangan takut’. Ia adalah istilah yang dicadangkan oleh Dr Yamin Cheng, yang pernah mengajar perbandingan agama di universiti Barat dan Islam.

Mudah untuk berslogan “Islam Untuk Semua” tetapi fobia terhadap budaya lain dan taksub kepada budaya diri sendiri menjadi penghalang utama. Islam bukan agama fobia. Ia adalah agama bokia. Agama yang mendidik jiwa untuk melawan perasaan ‘kia’ (takut) atau fobia yang negatif.

Islam adalah agama yang mendidik umatnya untuk tidak takut bertaaruf dalam konteks masyarakat multikultural. Inilah wacana yang dibawa oleh Dr Yamin apabila mengemukakan istilah bokia.

Pada 12-15 Jun 2015, Macma, iaitu pertubuhan Cina Muslim yang terbesar di Malaysia dan mempunyai 19 cawangan seluruh Malaysia telah melangsungkan pilihan raya AGM yang ke-21 tahun. Pilihan raya kali ini adalah yang paling penting sehingga salah seorang pengasas Macma kembali ke tanah air demi menghadiri pilihan raya kali ini.

Beliau ialah Haji Tan Wah Guan/Haji Muhammad iaitu seorang rakyat Malaysia yang berjiwa global khalifah dan sedang berusaha membangunkan sebuah kampung di Filipina.

“Bila orang tanya saya siapa nama saya, saya jawab saya ada dua nama selepas peluk Islam. Nama saya Tan Wah Guan dan Haji Muhammad. Kedua-dua nama sangat bermakna bagi saya. Kita Cina Muslim tak perlu tukar nama.

Nama Cina kita yang baik wajib dikekalkan sepenuhnya. Kita hanya tambah satu nama lagi!” Inilah kata-kata bokia daripada salah seorang pengasas Macma. Tidak takut (bokia) mengekalkan identiti Cina, bangga sebagai seorang Muslim, dan berfikir global.

Pilihan raya Macma kali ini adalah paling penting memandangkan krisis ummah yang sedang melanda negara. Ia bermula dengan mesyuarat yang emosional, luahan hati warga 69 tahun Halim Kuek dan panas, luahan hati belia Fadzil Ng. Tetapi berakhir dengan semangat ukhuwah yang tinggi bermula dengan ketokohan Datuk Mustapha Ma.

Mustapha yang telah menjadi Presiden Macma melebihi 15 tahun mengundurkan diri dari bertanding untuk memberi peluang kepada generasi baharu. Ini adalah langkah seorang pemimpin yang mengutamakan maslahat ummah dari kepentingan diri sendiri. Beliau juga menderma RM10,000 sempena pengundurannya.

Haji Sharin Low, seorang ahli perniagaan yang berjaya telah dicalonkan melawan Prof Tawfiq Yap, seorang saintis dunia, untuk kedudukan presiden. Tetapi dewan tergamam melihat Haji Sharin bangun menolak pencalonan kerana yakin Tawfiq Yap lebih layak daripadanya!

Begitu juga Adam Lee menolak pencalonan walaupun pasti mempunyai sokongan yang ramai. Beliau berkata, “Halim Shin lebih layak daripada saya!”

Kita lihat bagaimana pencalonan untuk kedudukan-kedudukan lain yang glamor ditolak hanya kerana calon-calon ingin fokus dakwah kepada cawangan masing-masing. Datin Seri Utama Nafesah, seorang Cina Muslim yang juga isteri bekas menteri Raja Nong Chik juga menolak pencalonan tetapi begitu bersemangat menghadiri AGM selama dua hari berturut-turut.

Datuk Razali, Timbalan Pengarah Jakim juga begitu memahami perjuangan Macma. Razali memberi ucapan yang begitu menyentuh hati setiap Cina Muslim. Ramai hairan bagaimana beliau nampak dunia realiti seorang Cina Muslim di Malaysia.

Rakyat Malaysia biasanya dibutakan oleh gambaran yang salah hasil daripada budaya yang mendramatiskan rencana Mengapa Aku Peluk Islam.

Jarang yang benar-benar peduli tentang apa yang berlaku selepas memeluk Islam kerana wujud isu-isu multikultural yang sangat kontroversial dan sensitif. Rupanya isteri Razali juga adalah seorang Cina Muslim yang pernah menghadapi pelbagai cabaran dan prejudis sejak memeluk Islam.

Ketua Pengarah Jawi, Datuk Paimuzi juga memberi dorongan kepada Macma untuk menangani isu-isu yang Jawi tidak mampu tangani. NGO memainkan peranan yang mampu menjadi lebih berpengaruh daripada jabatan kerajaan dan parti politik. Pertubuhan Dong Zong adalah contoh di mana ia mampu menjatuhkan satu parti politik.

Cina Muslim bukan tuan mana-mana bumi kerana setiap Cina Muslim perlu berkata dalam imannya, “Aku adalah khalifah di muka bumi”. Dengan pandangan ini, barulah menepati tajuk buku Ann Wan Seng, Biar Cina Pimpin Islam.
 
* Abdul Naser Tun Rahman tokoh pendakwah Perak/AJK Macma
 
Sumber: http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/xifu-naser/pilihan-raya-macma-tsunami-bokia-1.401407