Pages

Tuesday, June 30, 2015

IKRAM Sokong Penubuhan Parti Islam Baharu



AIDCNews – 30/6/15 – Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) hari ini menyatakan pendirian bahawa pihak mereka menyokong penubuhan parti Islam baharu di Malaysia.

Perkara itu dinyatakan Ustaz Haji Hasanuddin Mohd Yunus, Timbalan Presiden IKRAM dalam perutusan khas kepada seluruh Ahli Aktif (AA) dan Ahli Teras (AT) NGO itu.


“Telah berlaku satu perubahan besar dalam pentas politik negara. Ketika kita masih kekal menuntut satu sistem demokrasi adil, bebas dan telus, kita tetap menghormati parti-parti politik besar mahupun kecil.
“PAS, UMNO, PKR, DAP dan parti-parti lainnya mempunyai amanah dan peranan mereka dalam pentas demokrasi negara.

“Sehubungan dengan itu, satu jawatankuasa telah dibentuk di peringkat pusat untuk merancang dan melaksanakan tindakan yang bersesuaian ke arah menangani perubahan tersebut. Jawatankuasa ini akan mengadakan siri-siri lawatan ke negeri-negeri untuk memberi penjelasan lanjut serta bagi menyusun penglibatan ahli-ahli IKRAM ke arah usaha tersebut.
“IKRAM mengalu-alukan kemunculan sebuah parti baru yang ingin memainkan peranannya yang tersendiri; demi memastikan sistem dwi-parti dapat terus diperkukuhkan.

“Justeru, semua ahli-ahli IKRAM di pelbagai peringkat dinasihati agar peka dengan perkembangan terkini dan sentiasa memberi pandangan membina untuk memastikan negara sentiasa terpelihara dan diurus dengan baik, amanah dan adil, bertepatan dengan cita-cita Malaysia Menuju Negara Rahmah (MMNR).

“Semua AT dan AA adalah digesa untuk hadir ke siri-siri lawatan ke negeri masing-masing bagi mengikuti perkembangan dan arahan terkini,” kenyataan Hasanuddin dipetik.

Selain itu, Facebook IKRAM juga turut mengeluarkan kenyataan rasmi NGO mereka berkaitan dengan perkembangan politik semasa : 
IKRAM ILTIZAM CAKNA PERKEMBANGAN POLITIK SEMASA
Mengikuti perkembangan politik dan pembangunan semasa negara, Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO ) yang prihatin dan cakna kepada keadilan sejagat, keharmonian masyarakat dan kesatuan umat selaras dengan perjuangan IKRAM untuk memastikan ‘Malaysia Menuju Negara Rahmah’, ingin menegaskan pendirian-pendirian berikut untuk kebaikan bersama warga Malaysia:

IKRAM meyakini bahawa sistem pemerintahan berteraskan konsep dwiparti merupakan satu keperluan demi memastikan proses tatakelola kerajaan yang baik berteraskan akauntabiliti, ketelusan dan proses semak dan imbang sentiasa menepati prinsip-prinsip ‘Siyasah Syar’iyyah’ (politik berinspirasikan Syariah)
IKRAM yang bergerak atas dasar prinsip menyuruh yang maaruf mencegah yang mungkar (amar makruf nahi munkar) akan terus menjadi kumpulan pendesak dan pengimbang kepada semua pihak samada dari pihak pemerintah atau pembangkang, agensi kerajaan atau swasta terutamanya yang melibatkan organisasi yang mengendalikan amanah kepentingan awam dan yang melibatkan penyalahgunaan kuasa pentadbiran, ketirisan dalam penggunaan wang awam dan seumpamanya.

IKRAM sentiasa terbuka tetapi berpandangan kritis terhadap sebarang usaha kolektif untuk mewujudkan arus baru gerakan rakyat selagimana ianya tidak bertentangan dengan hukum-hakam Syarak dan Maqasid al-Shariah.

Di atas pendirian ini, IKRAM menyatakan kesediaan untuk menjadi sebahagian dari gelombang harapan baru untuk membina Malaysia yang lebih rahmah, demokratik dan sejahtera.

Ustaz Haji Hasanuddin Mohd Yunus
Timbalan Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia

No comments:

Post a Comment