Pages

Monday, June 29, 2015

TPPA ‘pintu’ AS kuasai pentadbiran negara: MTEM


June 29, 2015 Berita Utama, Utama 0


MTEM-Nizam

BANGI, Isnin – Persetujuan Malaysia untuk menyertai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) bukan sahaja meletakkan risiko ekonomi, malah bakal membuka pintu kepada Amerika Syarikat (AS) mencatur pentadbiran negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Mohd Nizam Mahshar berkata, perkara itu dapat dilihat di bawah bab Kesepaduan Peraturan TPPA itu.
“Bab ini mencadangkan semua kerajaan negara TPPA wajib menubuhkan agensi koordinasi yang akan berhubung antara satu sama lain bagi memastikan setiap peraturan dan dasar dibuat menepati ‘amalan terbaik’ yang ditetapkan mengikut acuan AS.

“Nyata sekali TPPA akan meletakkan pelbagai kekangan kepada keupayaan Malaysia untuk membuat keputusannya sendiri berhubung sebarang peraturan dan dasar,” katanya.


Malaysia, katanya, perlu membuka minda dan melihat TPPA dalam konteks lebih besar iaitu sebahagian daripada rancangan politik, ekonomi dan ketenteraan AS di rantau ini.

TPPA katanya, bukanlah untuk mempertingkatkan dagangan negara peserta seperti yang dicanangkan, tetapi semata-mata untuk menjaga ego AS yang mahu mengekalkan pengaruhnya dan menjadi polis dunia.

Mohd Nizam berkata, Malaysia mempunyai pilihan lebih baik berbanding TTPA, iaitu Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang sedang dirundingkan ASEAN sebagai sebuah blok dengan enam negara rakan dagangnya iaitu China, India, Jepun, Korea Selatan, New Zealand dan Australia.

RCEP katanya, menekankan kepada penubuhan satu rangka kerja ekonomi serantau.
Perjanjian itu juga memastikan objektif dan komitmen setiap negara peserta dijalankan secara konsensus iaitu persetujuan bersama.

“RCEP juga mengambil kira tahap pembangunan berbeza di setiap negara anggota dan memberikan kelonggaran diperlukan dalam usaha mencapai matlamat akhirnya.

“Berbeza dengan TPP yang menuntut komitmen tidak munasabah tanpa mengambil kira kedudukan ekonomi, latar belakang politik atau budaya sesebuah negara,” katanya.

Sumber:  http://www.ismaweb.net/2015/06/tppa-pintu-as-kuasai-pentadbiran-negara-mtem/

No comments:

Post a Comment