Oleh Ridhuan Tee Abdullah
June 1 2015
"CAPTURE their minds and their hearts and souls will follow". Inilah strategi ultra kiasu untuk mendapat kuasa.
Psywar atau perang saraf adalah satu proses komunikasi, saling melakukan kegiatan propaganda antara satu watak politik dengan watak politik yang lain, antara kelompok dengan kelompok yang lain, antara satu negara dengan negara yang lain, bertujuan saling memberikan tekanan, bagi menjatuhkan nama orang, kelompok atau negara tersebut.
Manakala psyop atau perang gerak saraf adalah suatu operasi komunikasi yang terancang dan sistematik melalui media, yang berupaya mempengaruhi emosi, mengubah sikap, pendapat atau perilaku kelompok tersebut, bagi meraih kemenangan atau mencapai sesuatu matlamat.
Ultra kiasu bukan sahaja menggunakan strategi ini berperang dengan Putrajaya (Umno), tetapi juga dengan Pas. Inilah juga taktik digunakan oleh Sun Tzu dan Hitler. Dahulu ultra kiasu marah saya apabila memetik kata-kata Hitler. Hari ini mereka menggunakan strategi Hitler.
Mereka akan gunakan apa jua cara, supaya kerajaan nampak buruk. Nak tunjuk ikhlas konon. Bila ada isu yang merugikan mereka cepat-cepat beri alasan.
Misalnya, cadangan penempatan pelarian Rohingya di Pulau Pinang. Mendengar sahaja cadangan tersebut, dengan pantas mereka menolak, di pulau tidak sesuai tetapi di Tanah Besar.
Isu-isu lain yang melibatkan kepentingan mereka akan disenyapkan seperti isu arak, judi, kelab hiburan, zina, pelacuran dan lain-lain.
Kita lihat apa yang mereka lakukan terhadap Pas. Mereka menggunakan Islam yang diperjuangkan Pas untuk menentang dan menjatuhkan pemimpin Pas, Haji Hadi.
Katanya, agama Islam pentingkan sifat ramah, bukan marah. Apakah kita tidak boleh marahkan langsung?
Apakah benar hudud tidak sesuai dalam masyarakat berbilang kaum? Kenapa tidak melawat ke Brunei yang mempunyai hampir 30 peratus bukan Islam?
Kenapa hanya fokus kepada Jordan dan Mesir? Tidakkah mereka tahu siapa pemimpin di sana?
Pas meletakkan agenda Islam melebihi PR. Tidak salah jika benar Pas ‘mungkir janji’. ‘Mungkir janji Pas’ dibenarkan jika memberi ancaman dan memudarat kepada Islam.
Apakah ultra kiasu tidak mungkir janji dengan merobek kontrak sosial dan perlembagaan? Mempertikaikan perkara sensitif, apabila kerakyatan telah diberikan?
Ultra kiasu mempertikaikan, kenapa Haji Hadi tidak marah kepada orang lain yang turut menentang hudud? Kenapa sasarkan ultra kiasu sahaja? Jawapannya, sebab ultra kiasu musuh tegar Islam. Setelah diberi penerangan, masih tegar menentang Islam.
Malah, ultra kiasu melalui psywar dan psyop, memberikan enam hujah supaya khalayak nampak keburukan Pas. Pertama, dalam PRU13 Pas, bertanding di kawasan yang telah diperuntukkan kepada PKR.
Tidakkah ultra kiasu sedar bahawa semua kerusi tersebut adalah kerusi yang ditandingi Pas sebelum ini? Kenapa PKR yang baharu setahun jagung begitu ghairah untuk bertanding?
Kedua, penolakan pimpinan Pas terhadap Wan Azizah untuk menjadi MB Selangor adalah hak Pas. Kenapa perlu dipertikaikan? Strategi Kajang tidak dibawa berbincang dengan Pas. Hanya dipersetujui dalam kalangan ultra kiasu.
Ketiga, siapakah ultra kiasu untuk memberi pandangan terhadap Enakmen Jenayah Syariah Kelantan 1995 yang mesti terlebih dahulu dibentangkan kepada PR sebelum dibentangkan di Parlimen? Adakah ia akan diterima sekalipun dibentangkan kepada pucuk pimpinan PR? Adakah dalam ultra kiasu ada ulama?
Keempat, apakah Kerajaan Negeri Pulau Pinang mahu pun Selangor, membentangkan perancangan mereka kepada pucuk pimpinan Pas.
Pernahkah pucuk pimpinan ultra kiasu mengambil kira sensitiviti Pas apabila mengadakan pesta arak, October Fest? Minum di khalayak dan menunjuk-nunjuk? Adakah kemaksiatan itu dirujuk kepada PR?
Kelima dan keenam, adakah cadangan pemilihan ahli majlis melalui pilihan raya tempatan dibawa berbincang dengan Pas? Begitu juga dengan pembentukan Kabinet Bayangan, adakah pendapat Pas diambil kira?
Ultra kiasu tidak perlulah mengingatkan Pas bahawa mereka sedang dipermainkan Umno. Pas sangat matang.
Pas cuma mengambil pendekatan berhemah seperti yang dikehendaki Islam. Pas ada perkiraan syurga neraka dalam sebarang tindakan, berbanding ultra kiasu yang melanggar kesemuanya. Apa yang penting adalah matlamat menumbangkan Putrajaya. Inilah kelicikan.
Inilah psywar dan psyop ultra. Mereka tahu, kedudukan mereka dalam Kabinet Bayangan. Kabinet Bayangan akan menimbulkan kemarahan rakyat. Biarkan kemarahan itu semakin meluap, mereka akan tampil memberi kenyataan bahawa itu bukan idea mereka tetapi PKR. Berwaspadalah.
Jika hudud Kelantan bertentangan dengan Perlembagaan, biarlah mahkamah yang tentukan bukan ultra kiasu. Ultra kiasu bukan hakim.
* Profesor Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, INSPIRE/PPI, UNISZA
Sumber: Fb Ridhuan Tee Abdullah
No comments:
Post a Comment