Pages

Wednesday, June 24, 2015

Penegakan syariat titik pertarungan

us halim

Menyebarkan aqidah Islam merupakan kewajipan asasi seorang muslim demi kebahagiaan manusia di Akhirat. Namun meluaskan sistem Islam juga adalah wajib demi kebahagiaan seluruh manusia di dunia dan Akhirat. Perjuangan kedua-dua aspek di atas dinamakan اقامة الدين atau “Menegakkan Agama”.

Kerana itu selepas tertegaknya Negara Islam di Madinah, ia tidak berpada terhad sekadar berlegar dan untuk bumi Madinah sahaja. Lantas Khalifah Umar Al-Khattab r.a mengutuskan tentera Islam ke negara-negara jiran untuk mengemukakan 3 pilihan iaitu :
1- mengajak mereka menganut aqidah Islam tanpa paksa,
2-memaksa mereka tunduk dibawah sistem (Syariat) Islam. Diantara tanda ketundukan itu adalah dengan membayar Jizyah,  atau
3- jihad untuk menundukkan mereka dibawah Syariat Islam.

Berterusanlah usaha menegakkan Syariat Islam di satu pihak disamping usaha menjatuhkan Syariat Islam di pihak lain, sepanjang zaman. Ini berlaku di mana-mana termasuk di Andalusia, Negara-negara Arab, Nusantara di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Mengapa PAS masih ingin bersama PR sedang Muktamarnya telah memutuskan hubungan dengan DAP ? Tidak lain ia adalah kerana dengan kekuatan PAS melalui gabungan PR, UMNO terpaksa cuba menambat hati PAS dengan projek penegakan Syariat Islam seperti hudud..

Kenapa DAP segera mengisytiharkan PR telah tiada, sedangkan PRU14 masih jauh beberapa tahun ke hadapan. Ini adalah kerana untuk menafikan kekuatan PAS di depan UMNO, supaya UMNO merasa tidak perlu meneruskan projek hudud untuk memancing PAS, kerana dengan ketiadaan PR, PAS lebih lemah dari UMNO. Ia adalah untuk mengagalkan penegakan Syariat Islam di Malaysia dengan menggagalkan gabungan undi Melayu di Parlimen.

Kesemuanya berkisar pada isu penegakan Agama (اقامة الدين) melalui penegakan Syariat Islam melalui pembentangan Enekman Jenayah Syariah II (Kelantan) di Parlimen yang akan memberi laluan kepada perlaksanaan enekman-enekman jenayah seluruh negeri di Malaysia dengan lebih sempurna dan menyeluruh.

وَأَنِ احْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَنْ يَفْتِنُوكَ عَنْ بَعْضِ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ إِلَيْكَ ۖ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَاعْلَمْ أَنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ أَنْ يُصِيبَهُمْ بِبَعْضِ ذُنُوبِهِمْ ۗ وَإِنَّ كَثِيرًا مِنَ النَّاسِ لَفَاسِقُونَ
“Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik” (Al-Maidah).

أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ ۚ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ حُكْمًا لِقَوْمٍ يُوقِنُونَ
“Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? Padahal – kepada orang-orang yang penuh keyakinan – tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih pada daripada Allah” (Al-Maidah).

Dalam sepanjang seerah Nabi saw, syaitan jin tidak muncul, sebaliknya berpada membisik dan menghasut manusia secara ghaib dan menggunakan syaitan-syaitan manusia di kalangan pembesar dan penduduk Arab untuk memerangi umat Islam.

Namun ketika isu penegakkan Negara Islam dan Syariat Islam, syaitan sendiri terpaksa muncul demi untuk menggagalkannya. Pertama muncul dengan berteriak di Mina sebaik termeteri Bai’ah Aqabah. Kedua, muncul sebagai seorang syeikh dari Najd. Ketiga, muncul berupa Suraqah bin Malik dalam Perang Badar.

Pertama, adalah ketika Baiah Aqabah II berjaya dimeteri untuk menegakkan Negara Islam dan Syariat Islam. Kedua, adalah ketika Hijrah, iaitu pembentukan Negara Islam dan penegakkan Syariat Islam dan ketiga ketika pemantapan Negara Islam dan perlaksanaan Syariat Islam. Demikian penegakan Syariat Islam sentiasa menjadi paksi pertarungan ideologi, strategi dan pertarungan antara kawan dan lawan. 

Justeru, untuk mengenali kawan dan lawan, walak dan barak, agenda penegakan Syariat Islam adalah paling asasi. Ia tidak sesekali boleh ditukarganti dengan agenda “Keadilan Sosial” dan seruan-seruan manusia seumpamanya. Hakikatnya, tiada keadilan hakiki bagi bani insan di luar kerangka Syariat Islam yang rabbani.
Moga Syariat Islam kembali berdaulat di Malaysia dan di seluruh dunia. Allah berkuasa memenangkan hamba-hambaNya, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.

Ustaz Abdul Halim Abdullah
Ketua Penerangan Biro Politik Ikatan Muslimin Malaysia (Isma)

No comments:

Post a Comment