SHAH ALAM: Kerjasama di antara Umno dan PAS tidak semestinya memerlukan
kedua-dua parti besar itu bergabung, sebaliknya apa yang lebih penting
adalah menggunakan kekuatan politik masing-masing untuk kepentingan
agama, bangsa dan negara.
Menurut Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Abdullah Zaik Abdul
Rahman, kedua-dua parti itu perlu melihat matlamat kerjasama berkenaan
memanfaatkan umah melebihi tujuan politik semata-mata.
"Dari segi mekanisme pula, pada pandangan ISMA, tak perlu bergabung
tetapi kita perlu persefahaman dan mengambil sikap strategik secara
bersama.
"Yang penting sekali ialah menggunakan kekuatan politik masing-masing
secara strategik untuk merealisasi matlamat, tujuan atau kepentingan
umum umat Islam dan juga negara secara amnya yang melibatkan pelbagai
lapisan masyarakat, bangsa dan kaum," katanya kepada Antarapos.
Ujar Abdullah Zaik, jika kerjasama PAS dan Umno lebih bermatlamatkan
politik, akan timbul situasi di mana satu pihak menggunakan pihak lain
yang mana akhirnya membuatkan kerjasama tidak berjaya.
"Apa yang kita nak pastikan di sebalik kerjasama antara parti-parti itu.. itu yang lebih penting.
"Apa yang kita mahu realisasi daripada kerjasama tersebut bukan
semata-mata dari sudut politik. Jangan dilihat dari sudut politik
semata-mata, lebih daripada itu ialah untuk menjamin kepentingan umah,
merealisasi kepentingan umah.
"Dan ini memerlukan kepada keikhlasan, kejujuran dan keinsafan daripada
semua pihak," katanya sambil menambah, ISMA sendiri adalah antara yang
terawal menyeru kepada kerjasama di antara umat Islam dan parti politik
Islam.
Dalam pada itu kata beliau, jika PAS dan Umno merasakan kerjasama itu
adalah langkah terbaik sama ada di peringkat pusat atau negeri, maka
kedua-dua parti wajar melakukan persediaan ke arah usaha itu.
"Contohnya dari segi Umno, mesti mengambil sikap atau langkah yang
memberikan mesej yang ia boleh dipercayai dan bersedia untuk
bekerjasama. Persediaan itu penting untuk ditunjukkan.
"Kadang-kadang kita katakan secara am bekerjasama untuk kepentingan
ummah, Islam dan orang Melayu tapi tingkah laku kita tak ada tanda-tanda
atau sikap proaktif bahawa mereka berbalik kepada landasan, buat
pembetulan, dan apa yang dihasratkan itu betul sebagaimana yang mereka
sedang usahakan," kata beliau.
Tambah Abdullah Zaik, Umno mahupun PAS perlu menunjukkan keikhlasan dan
mengambil langkah yang jelas yang boleh meyakinkan rakan kerjasama
masing-masing agar usaha kerjasama tersebut berjaya.
Semalam, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berpandangan
kerjasama antara Umno dan PAS mungkin dapat direalisasikan kerana
idealisme kedua-dua parti itu tidak jauh berbeza.
Ujar Mohd Asri, jika kedua-dua parti itu bekerjasama, ianya dilihat akan memberi banyak manfaat kepada rakyat dan juga negara.
Sementara itu, Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din berkata parti itu
tiada masalah untuk bekerjasama asalkan ia boleh mencapai dan memerlukan
kepada pertolongan kerana ia merupakan suruhan Allah.
Namun ujar Haron, buat masa ini kerjasama secara khusus antara
kedua-dua pihak masih belum dimuktamadkan dan ia bergantung kepada
keadaan dan masa yang menentukannya.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini juga berkata, PAS
sedia bekerjasama dengan semua pihak termasuk Barisan Nasional (BN)
selagi tindakan itu menguntungkan parti tersebut dan demi menegakkan
Islam.
Sumber: http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7WmcJRmZQ==
No comments:
Post a Comment