Pages

Wednesday, November 18, 2015

Mari Kenali Kecelaan Diri

Akhlak dalam Islam, lahir dari hati yang beriman. Ia sebati dengan diri seseorang dan menjadi pakaian hidupnya. Ianya kekal dan berterusan sepanjang hayat sama ada ketika susah atau senang, ketika di tengah ramai atau perseorangan, ketika dalam kelapangan atau kesempitan, ketika aman atau dharurat, ia tetap berakhlak di mana saja dan pada bila-bila masa sekalipun.

Jika seseorang boleh berakhlak pada tempat dan ketika tertentu sahaja, ia mungkin hanya lakonan atau hipokrit semata-mata. Ia berpura-pura berakhlak kerana kepentingan tertentu. Contohnya seorang ketua pejabat boleh berlembut, menjaga wibawa, jaga percakapan dan lain-lain sifat yang baik semasa di pejabat tetapi apabila pulang ke rumah tidak lagi begitu. Ia berubah menjadi seorang yang pemberang, kasar terhadap anak dan isteri.

Boleh bersikap baik di pejabat kerana faktor suasana di sana, disiplin yang perlu dipatuhi atau takut pekerja mogok. Berubah sikap di rumah kerana merasakan anak dan isteri adalah miliknya yang boleh dibuat sesuka hati. Ini bukan akhlak. Ia adalah kepura-puraan.

Di sinilah perbezaan antara akhlak dan moral. Moral didorong oleh persekitaran dan peraturan setempat sementara akhlak berlaku atas dorongan iman dan fitrah.

Al-Khalqu (kejadian) dan al khulqun (akhlak atau tingkah laku) adalah dua perkataan yang dipakai bersama-sama dalam mentafsirkan definasi akhlak. Yang dimaksudkan dengan al-khalqu adalah bentuk zahir dan al khulqun berbentuk batin. Kerana manusia terdiri jasad lahir dan roh atau jiwa.

Jadi tingkah laku manusia mencerminkan hatinya. Kerana gerak laku jasad manusia adalah di dorong oleh hatinya. Hati yang baik mengarahkan anggota-anggota lahir melakukan kebaikan. Sebaliknya hati yang jahat mengarahkan anggota lahir membuat kejahatan.

Akhlak adalah penentu kesejahteraan hidup individu dan masyarakat untuk dunia dan akhirat. Oleh itu usaha dan kaedah-kaedah ke arah tercapainya akhlak mulia wajib ditempuh oleh setiap orang.

Pembentukan akhlak sepatutnya bermula di peringkat bayi malah sejak dari dalam kandungan ibu.

Menurut Al Ghazali, akhlak mulia terjadi kerana dua sebab.

1.   Kurnia Ilahi - dipermudahkan bagi sesetengah manusia seperti nabi-nabi dan rasul-rasul. Sesuai dengan ujian berat dan tugas besar yang dipikul di atas bahu mereka.

2.   Dengan usaha - yakni dengan melakukan mujahadah dan riadhah. Membuang sifat-sifat mazmumah (negatif) dan diganti dengan sifat-sifat mahmudah (positif). Contohnya, seorang yang sedar dirinya bersifat bakhil atau kedekut maka hendaklah membiasakan dirinya dengan bersedekah hingga bersedekah itu menjadi kebiasaannya hinggalah ia menjadi pemurah. Seorang yang sombong dan ego mengubat hatinya dengan membiasakan diri membuat kerja-kerja yang dipandang rendah seperti mencuci tandas, menyapu longkang dan bergaul dengan orang-orang kelas bawahan hingga perasaan tawadhuk dan menghargai orang lain menghiasi dirinya. Begitulah seterusnya dengan sifat-sifat yang lain.

Selanjutnya Al Ghazali membentangkan empat jalan yang dapat membantu seseorang itu dapat mengenal cacat cela dan kekurangan dirinya, dengan itu mudahlah ia membaiki dirinya.

Pertama: Dengan tunjuk ajar dan pimpinan guru mursyid.

Guru yang baik itu sentiasa memberi ilmu kepada murid-muridnya dalam mengenal sifat-sifat tercela dan mampu pula memimpin dalam mengungkai sifat-sifat tercela itu. Kemudian memberi ilmu dan memimpin dalam mengenal dan dan memiliki sifat-sifat terpuji. Guru ini membawa murid-muridnya mencintai Allah dan Rasul. Di kenalkan Allah kepada murid-muridnya, hingga muridnya rasa cinta dan rindu kepada Allah, lalu berlaku taat kepadaNya. Ia mendidik muridnya hingga amat kasih kepada Rasulullah ﷺ. Tetapi guru jenis ini sangat sukar didapati di zaman ini.

Imam al-Ghazali r.m menulis dalam kitabnya أيها الولد  (Wahai Anak) nasihat yang ke enam belas tentang "Carilah Guru Yang Mursyid", katanya:

Wahai anak ku yang tercinta :

1) Seseorang yang berjalan menuju akhirat itu hendaklah ada padanya seorang guru yang mursyid lagi pandai mendidik supaya guru itu dapat mengikis perangai-perangai yang jahat dengan tarbiyahnya. Guru yang mursyid itu pula akan menunjukkan bagaimana menggantikan perangai-perangai yang jahat itu dengan akhlak yang mulia.

2) Kerja seorang Guru yang mursyid tidak ubah seperti seorang petani yang sentiasa membuang duri dan mencabut rumput yang tumbuh dicelahan tanamannya. Maka dengan itu tanaman akan hidup segar dan menghasilkan pendapatan yang baik.

3) Justeru, murid yang mencari jalan ke negeri akhirat perlulah baginya seorang guru yang boleh menta'dibnya, mentarbiyahnya, dan menunjukkannya kepada jalan Allah SWT yang sebenar.

Sifat guru yang mursyid menurut Imam Al Ghazali:

1) Guru yang mursyid itu ialah guru yang berpaling dari mencintai dunia dan mencintai pangkat.

2) Wujud silsilah atau sanad yang berangkai antara guru yang mursyid itu dengan gurunya yang mursyid juga dan berterusan guru kepada guru yang mursyid itu juga merupakan seorang guru yang mursyid dan berterusan silsilah guru yang mursyid itu sehingga sampai kepada penghulu sekalian Rasul dan Nabi.

3) Guru yang mursyid itu mestilah orang yang telah berjaya mendidik dirinya terlebih dahulu dengan menyedikitkan makan, sedikit bercakap, sedikit tidur, dan banyak solat, banyak bersedekah dan banyak berpuasa.

4) Guru yang mursyid itu telah mampu menjadikan akhlak yang mulia sebagai cara hidupnya yang sempurna seperti sabar, sembahyang, syukur, tawakkal, yakin, qana'ah (merasa cukup dengan apa yang ada), tenang jiwanya, penyantun, tawadhuk, banyak ilmu, benar, malu, menyempurnakan janji, tenang pendirian, tenang pembawaan, berhati-hati dalam segala urusan, dan sebagainya. Maka apabila ia telah bersifat dengan sifat-sifat yang mulia ini , sebenarnya ia adalah NUR daripada ANWAR Nabi ﷺ yang layak untuk diikuti.

Kewujudan guru yang mempunyai sifat-sifat ini sangat jarang sekali malah sukar untuk ditemui, lebih sukar wujudnya daripada الكبريت الأحمر (belerang merah).

Secara umumnya, paling tidak guru yang mursyid, atau murabbi atau rabbani itu, beberapa sifat yang perlu ada padanya iaitu mesti berilmu, beramal, berakhlak mulia, menghayati syariat, boleh mendidik manusia serta boleh dicontohi.

Kedua: Melalui sahabat yang benar

Sahabat yang benar-benar sahabat ialah yang ikhlas menegur cacat cela sahabatnya dan mahu pula meneladani kebaikan-kebaikan sahabatnya. Biasanya seorang kawan kerana kepentingan tertentu mendiamkan sahaja kecelaan kawannya dan sukar pula untuk meniru kebaikan-kebaikan kawannya. Ini bukan sahabat namanya.

Sahabat yang baik membawa hati kita dekat kepada Allah. Melihat wajahnya boleh menguatkan iman. Mendengar nasihat dan kata-katanya boleh menyejukkan hati.

Sayidina Ali k.w.j pernah berkata:
"Sahabat yang sebenar ialah orang yang sentiasa berada di sampingmu. Ia sanggup membahayakan dirinya demi kemaslahatanmu. Orang yang setiap masa bekerja untuk keperluanmu. Sanggup mengorbankan segala-galanya untuk kepentinganmu."

Sahabat seperti inilah yang akan menguatkan iman dan semangat untuk mengamalkan Islam. Mereka adalah orang  yang patut dijadikan rakan seperjuangan dalam menegakkan Islam. Inilah cara bersahabat yang diamalkan oleh sahabat-sahabat Rasulullah dan salafussoleh.

Ketiga: Melalui kritikan musuh (orang yang tidak suka dengan kita).

Berusahalah untuk mengetahui aib dan kecelaan diri dari ucapan musuh-musuh. Sebab pandangan yang penuh kebencìan musuh itu akan menyingkapkan keburukan kita. Mari kita positifkan kata-kata musuh, kerana mereka akan berkata yang benar tentang kelemahan-kelemahan diri kita.

Sekalipun kadangkala datangnya fitnah (buhtan-tuduhan yang tidak betul) dari musuh-musuh, itu juga boleh menjadi pendorong untuk kita baiki diri dan lebih berwaspada.

Sebenarnya manfaat yang boleh diperoleh seseorang dari musuh yang sangat membencinya dan suka mencari-cari kesalahannya adalah lebih banyak dari teman atau kawan yang suka bermanis muka, memuji dan menyembunyikan aib-aibnya.

Namun, sudah menjadi perangai manusia untuk menidakkan ucapan musuhnya dan menganggap sebagai ungkapan kedengkian. Tetapi orang yang memiliki mata hati jernih mampu memetik pelajaran dari berbagai keburukan dirinya yang di sebutkan oleh musuhnya.

Kalau kita bersikap positif dengan musuh kita akan dapat manfaat. Kerana musuh hanya suka menyebut cacat cela kita sahaja. Kalau ia benar-benar berlaku dapatlah kita membaikinya.

Keempat: Melalui pergaulan dengan manusia.

Melalui pergaulan, kita akan melihat berbagai-bagai perangai dan karenah manusia. Setiap orang ada kelemahan dan kelebihannya. Setiap kebaikan kita contohi dan keburukan kita jauhi. Jadikan masyarakat atau komuniti yang berhubung dengan kita setiap hari itu sebagai cermin, agar dapat kita melihat biasannya dalam diri kita. Dari sana akan terlihat berbagai-bagai kelemahan yang kemudiannya boleh menyuluh kelemahan diri. Malanglah orang yang telah Allah perlihatkan kelemahannya melalui kelemahan dan aib orang lain, tetapi ia hanya sibuk dengan keaiban orang itu, lupa membaiki diri.

Apabila kita telah mengenal kelemahan diri, mudahlah untuk kita berusaha membaikinya. Walaupun ianya sukar, ia mesti diusahakan kerana ia penentu nasib di akhirat kelak. Sedangkan binatang liarpun boleh dijinakkan, apatah lagi manusia yang mempunyai akal fikiran.

محمد فضلي بن يوسف
25 Jamadil Awwal 1432H
29 April 2011

Silakan tag@share
(Jika ingin kongsikan di blog, atau di copy paste ke nota anda, sila nyatakan nama saya dan buat pautan ke FB saya, agar saya mudah menjawab segala persoalan yang timbul dari artikel ini. Link terus ke FB saya: http://facebook.com/mfadli11 atau ke note ini, http://www.facebook.com/note.php?note_id=10150117680956719)

No comments:

Post a Comment