Pages

Tuesday, November 3, 2015

14 cadangan daripada ISMA untuk PAS dan UMNO




14 cadangan daripada ISMA untuk PAS dan UMNO dalam konteks seruan penyatuan Islam Melayu:

1. Pemikiran politik Islam hendaklah meneruskan usaha menyokong agenda pembangunan umat dari sudut sahsiah, ekonomi dan juga politik.

2. Pemikiran politik Islam hendak memusatkan tumpuan kepada kesatuan umat kerana kesatuan umat akan dapat menyelamatkan kuasa politik Islam.

3. Usaha mempertahankan identiti dan jatidiri keislaman dan kemelayuan negara perlu diletakkan dalam keutamaan agenda politik Islam. Hasrat mengekalkan kuasa politik Islam tidak akan kekal jika identiti negara lebur dalam sistem liberal.

4. Berikhtiar dengan apa cara untuk memastikan kuasa masih kekal berada di tangan orang Islam demi menjaga maqsud syarak seperti kestabilan, keamanan dan intizam urusan muslimin pada setiap masa.

5. Dalam realiti Malaysia, sistem kenegaraan masih memihak kepada Islam jika ia ditafsir dengan betul mengikut syariat. Usaha boleh dilakukan untuk memperkasa sistem yang sedia ada ke arah menepati kehendak syarak. Pemikiran politik Islam menolak pentafsiran perlembagaan mengikut liberal barat atau piagam hak asasi manusia sejagat yang bertesakan sekular dan humanism.

6. Pemikiran politik Islam sepatutnya menjurus ke arah memperkasa fungsi Raja-Raja melalui Majlis Agama bagi menasihati eksekutif dalam hal pentadbiran seperti dalam resolusi konvensyen MAIN seluruh Malaysia.

7. Yang Dipertuan Agong menepati fungsi khalifah dari segi menjaga kesucian agama dan kedaulatan negara melalui kuasa tentera.

8. Perdana Menteri sebagai “wazir tafwidh” sepatutnya mejalankan dasar berdasarkan sumpah Yang Dipertuan Agong yakni memastikan segala dasar bertepatan dengan agama Islam dan memihak kepada kepentingan kaum muslimin.

9. Sistem kehakiman negara mesti diperbetulkan supaya mahkamah syariah mejadi lebih tinggi kedudukanya berbanding mahkamah sivil, yakni dengan mensejajarkan undang-undang sivil dengan undang-undang syariah. Dengan itu kita dapat memastikan rujukan hukum dalam perundangan kita adalah kepada al-Quran dan Sunnah.

10. Kerajaan hendaklah membangunkan ekonomi yang bebas daripada pergantungan kepada orang bukan Islam.

11. Membangun hubungan antarabangsa berdasarkan prinsip menang-menang, bukannya berdasarkan tabiyyah yang hanya menguntungkan pihak asing. Kerajaan mesti mempertahankan dasar yang independen dari sudut acuan dan jatidiri.

12. Kepelbagaian parti dan aliran politik hendaklah dipandu oleh kedaulatan perlembagaan. Kerajaan tidak boleh membenarkan aktiviti politik yang mencabar kontrak sosial bahkan mengubah identiti negara.

13. Polarisasi kaum adalah antara isu yang kritikal dan sensitif pada waktu ini. Perlembagaan masih memihak kepada integrasi ala Islam seperti yang termaktub dalam Piagam Madinah. Oleh itu pemikiran politik Islam hendaklah mendokong perlembagaan dan mentafsirkannya mengikut Piagam Madinah.

14. Islam mengiktiraf peranan umat dalam politik dan menentukan dasar dan masa depan negara. Oleh itu pilihan raya boleh diterima dengan cadangan pembaikan supaya meletakkan syarat-syarat kelayakan tertentu untuk menjadi calon dan calon hendaklah mewakili umat, bukan mewakili parti.

ISMA melihat ruang lingkup politik secara menyeluruh dan tidak melihat kepada kepentingan mana-mana pihak yang tertentu. Kita melihat semata-mata kepada kepentingan ummah. Bukan matlamat asas kita untuk mendesak semua orang mengikut ISMA tetapi apa yang kita inginkan adalah semata-mata supaya orang Melayu Islam bersatu. Sekiranya PAS dan UMNO serta pihak-pihak lain boleh menerima perkara ini (14 cadangan seperti yang disenaraikan di atas), saya yakin insya Allah kita semua boleh bersatu.

Abdullah Zaik Abd Rahman
Presiden ISMA

No comments:

Post a Comment