Pages

Sunday, January 30, 2011

Bangsa Melayu mesti sedari keperluan mendesak untuk kembali kepada keperibadian Islam asal


Tuan Hj. Aminuddin membacakan resolusi konvensyen

Melaka, 30 Januari - Bangsa Melayu di negara ini diseru supaya bangkit dan menyedari keperluan yang mendesak ketika ini untuk kembali kepada keperibadian Islam mereka yang asal.

Seruan ini dikemukakan sebagai salah satu resolusi Konvensyen Memperingati 500 Tahun Kejatuhan Empayar Melayu Islam Melaka yang telah berlangsung di Dewan Utama Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di sini semalam.

Resolusi tersebut dibacakan oleh Tuan Hj. Aminuddin Yahaya, Setiausaha Agung ISMA yang juga pengarah konvensyen.

Konvensyen yang julung-julung kali diadakan ini dianjurkan oleh ISMA dengan kerjasama Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA).

Berikut merupakan teks penuh Resolusi Konvensyen Memperingati 500 Tahun Kejatuhan Empayar Melayu Islam Melaka.

Resolusi Konvensyen Memperingati 500 Tahun Kejatuhan Empayar Melayu Islam Melaka

Konvensyen Memperingati 500 Tahun Kejatuhan Empayar Melayu Islam Melaka (KEMM) telah berlangsung dengan jayanya pada 29 Januari 2011 di UTEM. Tiga kertas kerja telah dibentang dan dibincangkan.

Dengan ini KEMM merumuskan bahawa:

Bangsa Melayu telah menjadi bangsa Islam yang sebaris dengan bangsa-bangsa lain di kalangan umat Islam di serata dunia, memainkan peranan mengembang dan mendaulatkan Islam di rantau ini.

Kedudukan yang hebat itu telah dicapai kerana Islam telah sebati dengan pemikiran serta adab budaya Melayu sehingga melahirkan tamadun bangsa yang agung.

Sejarah mencatatkan kecekalan bangsa Melayu mempertahankan keperibadian dan jatidiri keIslaman mereka dalam siri perjuangan yang panjang menentang penjajah yang bertujuan menjadikan Melayu bangsa yang lemah.

Kesatuan agenda Islam dan semangat kebangsaannya telah berjaya menyatukan orang Melayu sepanjang sejarah.

Kelunturan pegangan umat Melayu kepada Islam telah melemahkan sendi-sendi kekuatan yang menjadi pemangkin untuk agenda penjajah yang berteraskan humanism dan materialism bertapak lalu melemahkan jatidiri bangsa Melayu.

Berdasarkan rumusan tersebut Konvensyen Memperingati 500 Kejatuhan Empayar Melayu Islam Melaka menegaskan bahawa bangsa Melayu mesti:

Menyedari keperluan yang mendesak supaya kembali kepada keperibadian Islam mereka yang asal.

Mengharmonikan kefahaman antara Nasionalis dengan Islamis dalam perjuangan bangsa Melayu di Malaysia.

Menjadikan usaha mengumpul bukti-bukti sejarah yang boleh mengembalikan Melayu kepada jatidiri mereka sebagai agenda nasional.

Mendedahkan fakta-fakta sejarah bagi memberi nafas baru dalam memahami sejarah perjuangan bangsa Melayu.

Mentajdid peradaban Melayu dalam rangka mewariskan kisah kegemilangan, peradaban dan kepahlawanan umat Islam.

Mencari persepakatan atas satu agenda yang boleh mambangunkan sebuah bangsa yang mempunyai agenda yang didukung bersama, “Melayu sepakat Islam berdaulat”.

Memperkasakan institusi yang memperjuangkan dan memartabatkan identiti keperibadian bangsa Melayu.

Wednesday, January 26, 2011

Azizan Saari....sedikit catatan.

Sebelum malam berakhir……tergerak di hatiku untuk mencatatkan tentang ziarahku bersama isteriku siang tadi, ke rumah Azizan Saari di Taman Kempadang Makmur, Jalan Pekan, Pahang.

Beliau ialah kenalan lamaku ketika dia belajar di UPMKT akhir 80an dahulu, dan sekarang sedang menghidapi penyakit barah di kepala, tahap empat.

Sepanjang berada bersamanya, banyak perkara yang diceritakannya kepadaku tentang penyakitnya……, termasuk ramalan dokter bahawa dia hanya mampu bertahan sehingga bulan Julai… nanti.

Itu adalah ramalan dokter, dan ramalan tidak semestinya tepat. Aku berdoa dan berharap agar penyakitnya akan sembuh dengan izin Allah.

Alhamdulillah… walaupun penyakitnya agak membimbangkan, aku nampak keadaannya tenang. Dia tidaklah duduk diam sahaja. Dia menghantar dan mengambil anak-anaknya dari sekolah. Menguruskan anak-anaknya yang seramai 6 orang. Disamping terus mengajar al Quran, termasuk mengajar al Quran kepada satu keluarga (yang mulanya tidak pandai baca Quran), bermula dari iqra’ dan sekarang ini sudah baca Quran besar. Katanya dia rasa sayang untuk berhenti mengajar.

Masa pelajar dulupun beliau selalu jadi imam. Bacaan Qurannya sedap didengar. Itu semua anugerah Allah……

Yang sebenarnya jarak dan waktu telah memisahkan kami berdua. Sehabis pengajian diplomanya tempuh hari aku berjumpa dengannya sekali sahaja iaitu ketika ziarah rumahnya di Alor Setar sekitar 2005. Tetapi tali persahabatan yang mengikat kemas, Allah menghendaki agar aku masih dapat terus berhubung dengannya.

Alhamdulillah…Itu semua adalah penyusunan Allah.

Sunday, January 23, 2011

Musafir tanpa mahram



Tanya Ustaz


Assalamualaikum ustaz,
Apa hukum wanita bermusafir untuk sambung belajar tanpa mahram? Ada hadith yang mengharamkan bermusafir tanpa mahram dan dalam masa yang sama bidang ilmu tersebut boleh dipelajari dengan meluas di negara asal? Adakah ia dikira dharurat?
Jawapan:

Waalaikum Salam Warahmatullah,

Sememangnya Syariat Islam telah menetapkan bahawa wanita tidak dibenarkan bermusafir sendirian tanpa diiringi oleh suami atau mahramnya.
Antara hujjah bagi perkara diatas ialah hadis berikut:-

فقد روى البخاري عن ابن عباس رضي الله عنهما قال "لا تسافر المرأة إلا مع ذي محرم ولا يدخل عليه رجل إلا ومعها محرم

Imam Bukhari Telah meriwatkan daripada Ibn Abbas Radiallahu anhuma katanya, Rasululallah s.a.w bersabda:-
“ Tidak harus bagi seorang wanita untuk bermusafir kecuali bersama mahram dan tidak harus baginya bersama mana-mana lelaki kecuali bersamanya mahram”

Hadith yang berkaitan perkara ini memang banyak dan membicarakan tentang musafir wanita dalam berbagai suasana yang ditegah untuknya bermusafir bersendirian.

Namun begitu para Fuqaha’ mendapati disana terdapat keadaan tertentu yang susah untuk mendapatkan mahram bagi wanita bermusafir. Dalam situasi sebegini mereka mensyaratkan salah satu dari 2 perkara berikut:-
1. Perjalanannya ditemani oleh sahabat-sahabat dikalangan Wanita yang dipercayai.
2. Perjalanan itu terjamin keselamatan (aman) wanita tersebut tanpa gangguan.

Bahkan Para Fuqaha memberi kelonggaran kepada wanita tua untuk bermusafir bersendirian.

Sebahagiannya pula berpendapat memadai bagi wanita yang ingin bermusafir ditemani oleh seorang wanita yang dipercayai.

Sebahagian lain pula berpandangan cukuplah keamanan perjalanan sebagai syaratnya. Imam Ibn Taimiah berkata: “Seorang wanita yang terjamin keselamatannya harus mengerjakan ibadat haji sekalipun tidak ditemani oleh mahramnya.”

Imam Malik pula berpendapat: Seorang wanita harus bermusafir dengan ditemani oleh sekumpulan wanita lain.

Perjalanan pada zaman kini bukan seperti pada masa silam bahkan kini kita memiliki sistem pengangkutan yang baik dan menjamin keselamatan samada dengan menaiki teksi, bas, kapal terbang mahupun kapal laut. Oleh itu saya berpandangan harus bagi wanita untuk bermusafir menuntut ilmu dan seumpamanya walaupun tanpa di temani mahramnya. Namun begitu adalah lebih baik sekiranya perjalanan tersebut dapat ditemani oleh seorang rakan wanita atau sekumpulan wanita yang dipercayai.

والله أعلم بالصواب ونسأل السداد والثواب

Disediakan oleh:
Ustaz Shaharuzzaman Bistamam
Ahli Panel MUIS
Pensyarah Akademi Ikatan Muslimin, Ipoh, Perak.

Saturday, January 15, 2011

Solat Tiang Agama


Muslim yang benar menunaikan segala rukun dan kewajipan Islam dengan sempurna tanpa melalaikannya. Dia tidak akan lupa atau mempermudah-mudahkannya. Dia akan meletakkan segala kewajipan itu sebagai agenda dalam hidupnya yang dia akan laksanakan pada masa-masa tertentu.

Muslim itu sentiasa menegakkan solat fardhu lima kali sehari semalam tepat pada waktunya kerana solat itu tiang agama. Barangsiapa yang menegakkannya sesungguhnya dia telah menegakkan agama dan barangsiapa meninggalkannya sesungguhnya dia telah meruntuhkan agama.

Solat itu adalah sebesar-besar amal dan semulia-mulianya menurut hadith Rasulullah (s.a.w.) yang diriwayatkan oleh Ibn Mas’ud (r.a): “Apakah amal yang paling baik?”, Rasulullah (s.a.w.) menjawab “Solat pada waktunya.” Aku bertanya lagi “Apakah lagi?” Baginda menjawab: “berbuat baik kepada kedua ibubapa.” Aku bertanya lagi: “Apakah lagi?” Baginda menjawab: “berjihad pada jalan Allah.” (Muttafaq-Alaih).
Solat itu adalah perhubungan hamba dengan Tuhannya. Di dalam solat muslim meninggalkan segala kesibukan dunia dan menghadap sepenuhnya kepada Tuhannya untuk memohon hidayah serta taufik dari Allah, memohon supaya istiqamah di atas jalan yang benar.

Solat merupakan sumber yang kaya. Daripadanya seorang muslim mengambil bekalan taqwa. Seorang muslim yang bertaqwa berusaha bersungguh-sungguh menghadiri solat Jemaah di masjid atau surau.

Orang yang mendirikan solat dengan khusyuk akan sentiasa berada dalam perlindungan Allah di mana sahaja mereka berada. Mereka tidak mengeluh dan gelisah apabila ditimpa bencana dan kesusahan. Dia tidak bakhil apabila mendapat kebaikan dan kesenangan hidup.

Amat menyedihkan apabila kita lihat pada hari ini ramai orang mengambil mudah ibadah solat. Ramai yang tidak solat, melengah-lengahkan solat atau tidak pergi solat berjemaah (bagi kaum lelaki).

Sama-samalah kita bermohon kepada Allah supaya Allah berikan kekuatan kepada kita agar kita dapat menunaikan solat dengan cara yang terbaik sebagaimana yang dikehendakiNya.

Sumber rujukan: Keperibadian Muslim, Mohd Ali Hashimi.

Sunday, January 9, 2011

Fikrah Kehidupan


Fikrah Islam atau fikrah kita ialah ajaran Allah, yang lengkap yang sempurna, syumul dan merangkumi seluruh kehidupan mukmin. Inilah Islam, Addeen yang ditanzilkan atau diturunkan oleh Allah dan dibawa oleh Rasulullah S.A.W dan dilaksanakan di zaman awal. Allah Taa’la telah menjelaskan dan menegaskan tentang kesempurnaan Islam di dalam al-Quran 5:3.

Oleh kerana Dienul Islam telah sempurna maka kita tidak boleh menambah atau mengurangkannya, begitu juga kita tidak boleh mengambil sebahagian dan meninggalkan sebahagian yang lain. Hendaklah kita sedar bahawa kita adalah pengikut dan penganut Dienul Islam dan kita bukannya pencipta Dien. Oleh yang demikian kitalah yang perlu menyesuaikan diri dengan Islam dan bukannya Islam itu harus bersesuaian dengan selera kita, kehendak kita dan kemahuan masyarakat, seperti firman Allah:
“Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang yang di muka bumi ini ,nescaya mereka akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanya mengikuti prasangka dan mereka tidak lain hanyalah berdusta terhadap Allah.” (Al-an’am 6:116)

Nilai kita ialah nilai Islam, iaitu nilai yang telah ditetapkan Allah dan dilaksanakan oleh Rasulullah S.A.W. Oleh yang demikian kita tidak boleh tidak, mestilah redha dengan syariat Islam. Tasawwur Islami hendaklah difahami dengan betul. Kita hendaklah bersifat jiddiah di dalam memahami Islam dan tidak mencampur adukkan dengan isme-isme lain.

Untuk itu kita hendaklah mengenal Islam dan mengenali jahiliyyah, mengenal Islam untuk dihayati dan mengenali jahiliyyah untuk dijauhi. Kita hendaklah mengenal setiap rupa, bentuk dan tektik jahiliyyah untuk dijauhi. Dengan itu barulah kita dapat membezakan yang mana Islam dan yang mana bukan Islam. Kata Sayyidina Omar ra: "Ikatan Islam akan terungkai apabila lahir dalam Islam orang-orang yang tidak mengenal jahiliyyah."

Kita juga mesti mengenal realiti agar kita tidak salah faham, seperti mengatakan loteri kebajikan itu halal. Di dalam memahami Islam dan realitinya kita sememangnya kurang ilmu, oleh itu kita perlu berjama’ah. Kita sememangnya tidak mempunyai ilmu yang serupa. Tetapi dengan harakah kita mampu mengatasinya. Satu lagi sikap yang mesti ada ialah kita jangan mudah menerima sesuatu yang bukan Islam, jangan mudah terpengaruh dengan istilah dan teknik atau slogan yang menarik seperti. Demi pembangunan, demi kemajuan dan Malam ‘Amal. Dalam hal ini kita hendaklah mengenegahkan fikrah Islam dengan jelas dan pendirian Islam yang teguh kepada masyarakat.

Kita juga mesti mempunyai ‘kesedaran Islam’. Ianya bukan sama dengan ilmu Islam. Dalam usaha memperolehi ‘kesedaran Islam’ perlu kepada kesabaran, tekun dan gigih dalam usaha. Seorang yang mempunyai ‘kesedaran Islam’ akan mudah terasa dan sensitif terhadap apa jua yang bercanggah dengan Islam. Untuk itu kita perlu kepada didikan atau ‘tarbiyyah’. ’Tarbiyyah’ yang boleh melahirkan syakhsiyyah atau keperibadian muslim sejati.

Seorang mujahid Islam, Al-Ustaz Fathi Yakan menyatakan pembentukan syakhsiyyah itu hanyalah dapat dibentuk di dalam suasana yang tertentu, yang jauh dari tarikan jahiliyyah. Umpamanya dengan mengadakan halaqah, usrah, ijtima’ dan sebagainya.

Keaslian Islam hanyalah boleh dilihat dari sumber asalnya iaitu Al-Quran dan Al-Hadith dan juga dari ulama’ dan mujahid Islam yang mu’tabar.
Allah telah memberi kata putus dan memberi pilihan samada beriman atau tidak, sebagaimana firmannya :
Ertinya : “Dan katakanlah: kebenaran itu datangnya dari Tuhanmu maka barangsiapa yang ingin (beriman) hendaklah ia beriman, dan barangsiapa yang inginkan (kafir) biarlah ia kafir. Sesungguhnya kami telah menyediakan bagi orng-orang zalim itu neraka ,yang gejoloknya mengepung mereka”.

Iltizam kita pada Islam hendaklah pada setiap masa dan tidak pada majlis rasmi sahaja. Untuk ini juga kita perlu ‘kesedaran Islam yang jelas’ dan bukannya ilmu semata-mata. Ilmu sahaja tanpa kesedaran tidak dapat membawa kepada Islam. Dalam konteks masyarakat ialah yang menghayati Islam sepenuhnya. Ilmu-ilmu Islam hendaklah diproses dan diolah melalui acuan iman/tarbiyyah iman sehingga lahir kesedaran dan ingin melaksanakan Islam, dengan patuh. Kesedaran fikiran sahaja tidak mencukupi tetapi haruslah iltizam dengan Islam. Ertinya di mana sahaja kita berada, kita membawa Islam. Ini juga bererti peribadi kita menterjemahkan Islam .... Islam menjadi darah daging.

Namun begitu kita tidak dapat nafikan dalam proses tersebut masih terdapat lagi saki baki jahiliyyah. Pernah Abu Zarr memanggil Bilal dengan panggilan ‘Ibnu Assauda’( anak orang hitam). Bilal memberitahu Rasulullah S.A.W dan Nabi kemudiannya berkata kepada Abu Dzar bahawa ia masih ada saki baki jahiliyyah. Abu Zarr meminta dibalas supaya dipijak pipinya.

“Proses tarbiyyah imaniyyah ,adalah amat penting bagi membentuk insan mu’min”
walallahua'lam..

Dikutip dari: Perspektif Kita

Tuesday, January 4, 2011

ISMA tidak tolak demokrasi

ISMA tidak tolak demokrasi

Adakah ISMA menolak demokrasi atau anti kepada penglibatan dalam pilihanraya? Kadang-kadang sesetengah tulisan saya atau juga sesetengah pimpinan ISMA yang lain ditanggapi secara salah seakan-akan ISMA menolak penglibatan dalam pilihanraya.

Saya ingin berterus terang kepada semua kerana saya tidak mahu isu ini mengelirukan sesiapa termasuk ahli ISMA sendiri.

ISMA tidak menolak elemen-elemen positif yang wujud dalam demokrasi pilihanraya. ISMA menerima:

pertukaran kuasa secara aman
hak rakyat untuk muhasabah pemerintah
hak rakyat untuk sama-sama menentukan masa depan negara
ISMA menganggap demokrasi pilihanraya adalah hasil penemuan manusia. Islam tidak melarang umatnya mengambil faedah dari pengalaman manusia, seperti sabda Rasulullah s.a.w “kebijaksanaan itu adalah barang yang hilang dari orang yang beriman… di mana ia menjumpainya, ia lebih berhak terhadapnya”.

Namun ISMA menolak falsafah demokrasi Barat yang menolak peranan Tuhan dalam pemerintahan dan peranan agama dalam kehidupan, yang menyamaratakan antara orang yang beriman dan tidak beriman, yang menganggap semua agama sama menyeru kepada perkara yang betul. Falsafah liberal yang bolos dari setiap ikatan akhlak dan hukum hakam serta meletakkan kebebasan individu sebagai nilai tertinggi atau rakyat sebagai Tuhan.

Islam ialah yang pertengahan. Yang mahu kita tegakkan ialah kekuasaan Islam. Oleh itu kita bertegas untuk menjadikan Islam sebagai seruan dan penyelesaian.

Kita tidak harus terperangkap dalam seruan demokrasi Barat yang sebenarnya mengingkari agama dan kewujudan Tuhan. Menjadikan agama suatu yang spiritual yang tidak boleh dipertanggungjawabkan. Itu adalah pengalaman Barat yang tidak ada kena mengena dengan masalah masyarakat Islam di Timur.

Sepanjang pemerhatian saya, menyelesaikan masalah dalaman (sesama) umat Islam dengan mengimport formula dan penyelesaian dari luar khususnya Barat tidak pernah membawa keuntungan kepada umat dan negara Islam. Justeru saya menyeru semua pihak agar lebih berhati-hati dalam membuat seruan. Marilah kita selesaikan masalah sesama kita dengan cara kita. Kita ada al-Kitab, kita ada al-Sunnah dan kaya dengan pengalaman yang boleh merawat masalah kita dengan cara kita sendiri.

Kita boleh ambil faedah dari pengalaman Barat tentang demokrasi, kebebasan dan hak rakyat tetapi hendaklah ditegakkan atas asas nilai kita yang tersendiri (nilai tempatan).

Tanah Melayu atau Malaysia sekarang adalah negara umat Islam. Merekalah – atas kehendak agama- seharusnya memiliki al-siyadah atau ketuanan ke atas tanah warisan ini. Merekalah yang berhak menentukan rupa bentuk dan halatuju masa depan negara seperti yang dituntut oleh agama terhadap mereka. Orang bukan Islam harus menerima hakikat ini kalau mereka ingin menjadi warganegara Malaysia.

Menyerahkan hak atau berkongsi milik, hak menentu dan mewarna rupa bentuk negara dengan orang lain yang tidak seagama atas nama demokrasi dan hak kesamarataan adalah satu pengkhianatan terhadap maruah bangsa dan kemerdekaan negara.

Ketuanan Melayu Islam di Malaysia adalah satu nilai tetap (thawabit) yang harus dihormati oleh semua dalam menjalankan proses demokrasi di negara ini. Mereka harus menghormati kedudukan agama Islam, kedudukan raja-raja Melayu, Bahasa Melayu dan budaya Melayu sebagai budaya kebangsaan serta apa-apa yang termaktub dalam perlembagaan sebagai hak orang Melayu Islam.

Orang bukan Islam boleh terlibat dalam politik dan demokrasi, memperjuangkan hak, menyuarakan pandangan tetapi mereka tidak boleh diberi hak menentu atau dibiarkan memiliki kuasa membuat ketentuan atau mempengaruhi keputusan dalam membuat ketentuan. Kedudukan yang dikatakan istimewa selama ini bukanlah satu benteng yang kukuh, jika dibayangkan segalanya itu runtuh dan tertegak asas kenegaraan baru atas asas liberal demokrasi Barat.

Menunggang demokrasi Barat seperti seadanya dalam menyelesaikan krisis antara kita adalah satu perjudian terhadap nasib bangsa dan masa depan negara. Justeru ISMA tidak menolak demokrasi yang disejajarkan dengan nilai tempatan, tetapi yang ditolak oleh ISMA ialah demokrasi yang diimport seperti dalam falsafah dan pengalaman Barat.

“MELAYU SEPAKAT ISLAM BERDAULAT”



Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman,
Presiden,
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Blog: Perjalananku