Pages

Saturday, April 30, 2011

Cinta Yang Utama.....


Izinkan saya untuk terus berbicara tentang cinta. Ini bukan kerana saya sedang mabuk cinta. Kerana cinta saya telah bermula sejak lama dahulu… dan sekarang hanya berusaha menyuburkannya.

Menyuburkan cinta kepada isteri, kepada anak-anak, kepada saudara mara, kawan-kawan, jiran tetangga dan semua orang yang satu akidah. Lebih jauh dari itu saya juga sedang menyuburkan cinta saya kepada Yang Maha Pencipta. Kerana itulah cinta yang paling agung dan paling kemuncak.

Saudaraku, bukankah di dalam hidup ini kita mempunyai banyak kecintaan? Cinta kepada isteri, anak-anak, ibubapa, saudara mara, kawan-kawan, cinta kepada kegemaran, cinta kepada hiburan…dan lain-lain lagi. Seterusnya…jangan lupa cinta kita kepada Allah.

Hayatilah makna cinta sedalam-dalamnya. Letakkan cinta kita di tempat yang sesuai.

Cintailah apa saja tetapi jangan melampaui cinta kita kepada yang Maha Pencipta. Kita tidak akan dapat mencintai apa yang kita cintai sekiranya ia tidak diciptakan oleh yang Maha Pencipta. Dan Yang Maha Pencipta tidak menciptakan sesuatu untuk kita cintai lebih daripada kita mencintaiNya.

Mari kita lihat firman Allah di dalam surah At-Taubah [24]:

“Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu dan anak-anak kamu dan saudara-saudara kamu dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu dan kaum keluarga kamu dan harta benda yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka)”.

Manusia tidak akan lepas daripada tarikan Iman dan tarikan hawa nafsu. Apabila kita tidak tunduk kepada tuntutan Iman bermakna kita telah tunduk kepada hawa nafsu. Tunduk kepada tuntutan Iman adalah bukti cinta kita kepada Allah.

Meletakkan cinta kepada Allah di tempat yang paling tinggi boleh menyelamatkan seseorang dari terjebak dengan perkara-perkara maksiat.

Wahai saudara…marilah sama-sama kita suburkan cinta kita kepada Yang Maha Pencipta kita.

No comments:

Post a Comment