Pages

Thursday, May 26, 2011


Surat jemputan kahwin datang mencurah-curah dalam beberapa hari kebelakangan ini.. Sudah menjadi kebiasaan, bila tiba musim cuti persekolahan, banyaklah majlis perkahwinan diadakan.

Maka ‘ujian perkahwinan’ pun bermula….

Mungkin kita jarang berjumpa dengan ungkapan ‘ujian perkahwinan’. Yang biasa kita dengar ujian memandu, ujian akhir tahun, ujian bertulis, ujian kecerdasan dan ujian-ujian lain yang seumpamanya.

Apakah rasionalnya saya mengatakan ‘ujian perkahwinan’?

Di dalam setiap ujian, semua orang yang menghadapi ujian akan berusaha bersungguh-sungguh untuk berjaya dengan cemerlang, atau sekurang-kurangnya lulus. Sudah tentu mereka semua membuat persedian awal sebelum menghadapi ujian dan semasa ujian pula mereka akan memberikan tumpuan sepenuhnya untuk memastikan semua jawapan yang diberikan adalah betul.

Biasanya begitulah caranya bila disebut ujian..

Apabila saya menyebut ‘ujian perkahwinan’, maka saya mengharapkan situasi yang sama akan berlaku, di mana pasangan yang memasuki alam perkahwinan akan sama-sama merasakan bahawa mereka sedang menghadapi ujian. Tempuh ujian itu adalah sepanjang mereka bergelar suami isteri. Sudah tentu mereka sama-sama berharap untuk lulus ‘ujian’ itu.

Dalam erti kata yang lain, mereka yang berkahwin sudah pasti mengharapkan agar perkahwinan mereka berjaya, bahagia, jodoh berpanjangan sehingga ajal yang memisahkan mereka.

Ujian sepanjang perkahwinan pula boleh datang dalam berbagai-bagai bentuk. Ada ujian yang menguji pihak isteri, ada ujian yang menguji pihak suami, ada ujian yang menguji kedua-duanya sekali.

Rempah ratus, asam garam, pahit maung dalam kehidupan berumah tangga adalah ujian. Ujian semasa senang, ujian ketika kesusahan, ujian bila mempunyai anak, ujian daripada pihak mertua, ujian daripada pihak ketiga, dan berbagai-bagai ujian lagi kalau hendak diperincikan. Termasuk juga ujian di bilik tidur..

Ujian-ujian beginilah yang saya fikir, kalau tidak disedari dari awal boleh menyumbang kepada gagalnya sesebuah perkahwinan.

Beberapa hari yang lepas saya menerima satu e-mail daripada seorang ‘kawan internet’ menyatakan kegusarannya tentang kadar penceraian yang semakin meningkat sejak akhir-akhir ini. Beliau mencadangkan supaya saya menghantarkan komen-komen dan cadangan kepadanya berupa penyelesaian kepada masalah tersebut. Oleh kerana beliau seorang yang berperanan di dalam bidang motivasi, mungkin beliau memerlukan idea-idea tersebut.

Saya bukanlah mahir untuk memperkatakan permasalahan ini. Cuma apa yang saya boleh curahkan adalah melalui pengalaman hidup saya sendiri dan juga apa yang saya lihat berlaku dalam masyarakat.

Secara tidak langsung saya juga turut sama mencari idea-idea berhubung dengan soal perkahwinan dan perceraian. Dan..mungkin idea itu datang sedikit demi sedikit. Sebagaimana yang saudara dapat baca tulisan saya kali ini.

Untuk kali ini setakat ini dulu idea saya. Sekiranya saya ada idea-idea baru akan saya sambung lagi lain kali insya Allah.

Wallahua’lam..

Sunday, May 22, 2011

Muhasabah Diri.


Muhasabah diri

Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab.

Pernahkah kita menghisab diri kita, sebagaimana seorang peniaga yang sentiasa mengira untung ruginya. Kemudian sentiasa berusaha menjaga perniagaannya supaya sentiasa untung dan tidak mengalami kerugian?

Pernahkah kita memerhatikan dan menilai kedudukan kita untuk memastikan kita berada di atas landasan yang benar supaya sampai kepada tujuan atau matlamat hidup ini?

Sebagaimana seorang jurumudi atau kapten sebuah kapal yang sentiasa memerhatikan kepada pedoman atau kompas untuk memastikan kapalnya sampai ke destinasi atau pelabuhan yang ditujunya.

Pernahkah dengan terbenamnya matahari dan berakhirnya hari siang, kita menghitung amal kebajikan yang telah kita lakukan sepanjang hari?

Kalau kita diberikan soalan-soalan dalam satu peperiksaan, dan perlu menjawabnya dalam jangkamasa yang telah ditetapkan, sudah tentu kita akan cuba untuk menjawab semua soalan untuk memastikan kita berjaya dengan cemerlang.

Tidak ada orang yang hanya menjawab separuh soalan sahaja kemudian termenung atau berkhayal sambil menunggu masa peperiksaan tamat. Tetapi masih mengharapkan untuk mendapat markah yang cemerlang.

Muhasabahlah diri kita..

Setiap kita diberikan peruntukan masa untuk hidup. Yang perlu diisi dengan sebaik-baiknya. Masa itu adalah kehidupan.

Allah tidak ciptakan Jin dan Manusia melainkan untuk mereka beribadat kepadaNya.

Beribadah adalah ketika kita hidup. Hidup adalah sepanjang masa yang berjalan sehinggalah seseorang itu mati. Masa adalah kehidupan.

Muhasabahlah diri kita……

Sepanjang kita hidup ini berapa banyak masa telah kita gunakan untuk beribadah.
Dalam satu hari apakah ibadah yang kita lakukan?

Adakah setimpal ibadah yang kita lakukan dengan nikmat-nikmat yang kita kecapi di atas dunia ini? Nikmat penglihatan, nikmat pendengaran, nikmat makan minum, dan nikmat-nikmat lain yang tidak terhitung oleh kita.

Adakah setimpal ibadah yang kita lakukan dengan nikmat syurga yang kita sama-sama harapkan di akhirat nanti?

Sama-samalah kita fikir dan renungkan,

Marilah kita mempertingkatkan amal kebajikan kita.

Sunday, May 15, 2011

Gembira dan Bahagiakanlah Orang Tuamu!

“Ibu Oh Ibu.. Engkaulah Ratu Hatiku!”



Saudara-saudara yang saya kasihi. Saya ingin kongsikan satu tulisan yang menarik perhatian saya yang saya temukannya di dalam satu blog, ditulis oleh Muhtar suhaili. Semoga ia memberikan sesuatu suntikan kepada saudara yang masih muda remaja...

Beliau menulis....
Entri ini sebenarnya saya tujukan khusus buat ibu dan ayah saya yang tercinta. Meskipun entri ini istimewa buat mereka, saya yakin dan percaya mereka tidak akan membacanya. Bukan kerana tidak ada akses internet, tetapi kerana ibu dan ayah saya buta huruf, tidak tahu menulis, tidak tahu membaca! Ibu saya belajar setakat Darjah 2 sebelum berhenti sekolah kerana kemiskinan. Ayah saya pula tidak pernah menjejakkan kaki ke bangku sekolah kerana telah menjadi yatim piatu sejak usia 5 tahun dan selepas itu tidak mampu ke sekolah, semuanya kerana kemiskinan.

Ayah dan ibu saya dulunya merupakan pengait kelapa sawit dengan gaji bulanan kasar kedua-dua ibu dan ayah keseluruhannya hanya antara RM150 – RM300 sebulan. Di dalam ceramah motivasi yang saya sampaikan, saya selalu memberitahu kepada peserta, sekiranya program ‘Bersamamu’ ada pada ketika itu maka keluarga kami lebih daripada layak masuk ke dalam program tersebut. Apapun, alhamdulillah, kehidupan keluarga kemudiannya lebih selesa sedikit setelah ayah diberi peluang mengusahakan sebidang tanah pertanian yang diberikan oleh pihak kerajaan.

Namun sejarah yang saya ceritakan ini bukan satu perkara yang membuat ibu dan ayah berasa malu tetapi inilah yang sesungguhnya membuat mereka gembira dan bahagia. Walaupun hidup dalam kemiskinan, ibu dan ayah saya bekerja keras dan berusaha gigih untuk memenuhi segala keperluan dan permintaan kami adik beradik dengan semampu mungkin. Ibu saya selalu berpesan: “Anak, biarlah ibu dan ayah sahaja yang susah, nanti bila besar jadilah orang yang cemerlang supaya dapat memperbaiki nasib hidup keluarga”.

“Ibu Oh Ibu.. Engkaulah Ratu Hatiku!”

Pengorbanan ibu dan ayah yang sesungguhnya telah banyak bersusah-payah demi melihat saya berjaya inilah yang telah membakar semangat diri untuk menjadi insan cemerlang dan mulia di dalam hidup. Wallahi, saya sudah banyak kali menitiskan air mata ibu dan ayah saya! Alhamdulillah, tangisan-tangisan itu adalah tangisan kerana bahagia dan bukannya tangisan kesedihan.

Saya masih ingat airmata ibu saya yang menangis gembira apabila saya mencipta sejarah antara 3 orang murid pertama di sebuah sekolah pedalaman – SRK Kelapa Sawit No.5 yang mendapat semua A iaitu 4A di dalam UPSR.

Saya masih ingat airmata ibu saya yang menangis gembira apabila saya menjadi anak buruh pertama di kawasan ladang-ladang kelapa sawit Niah tempat ayah saya bekerja yang mendapat semua A yakni 8A dalam PMR.

Saya pastinya akan ingat sampai bila-bila airmata ibu dan ayah apabila saya mendapat keputusan cemerlang Pangkat 1, Agregat 8 di dalam SPM dan mencipta sejarah apabila menjadi anak pertama Kampung Muhibbah yang menjejakkan kaki ke universiti. Malah pada ketika itu keluarga saya dan seluruh kampung mengadakan majlis kesyukuran bagi meraikan kejayaan saya menyambung pelajaran ke menara gading.

Saya akan kenang sampai bila-bila airmata ibu saya di Lapangan Terbang Miri apabila menghantar saya bersama ayah untuk pergi mendaftar di Pusat Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di Petaling Jaya dengan tambang kapal terbang adalah ehsan dari sanak-saudara. Malah airmata itu tidak berhenti menangis setiap kali datang menjemput ketibaan saya di lapangan terbang setiap kali cuti universiti dan airmata itu akan bercucuran lagi apabila menghantar saya pergi kembali ke kampus dengan menaiki belon (kapal terbang dalam bahasa Sarawak).

Saya tidak akan melupakan airmata gembira dan bahagia apabila ibu melihat perubahan hidup saya menjadi seorang yang menjiwai agama. Airmata ibu saya mengalir terharu apabila alhamdulillah saya merubah kehidupan lagha saya 180 darjah kepada kehidupan beragama (minaz zhulumati ilannuur – satu detik taubat yang tidak dapat saya gambarkan dengan kata-kata sehingga kini) pada tahun 1999. Inilah detik yang telah merubah saya sehingga menjadi seperti yang ada pada hari ini. Terima kasih dan syukur padaMu Ya Allah di atas nikmat keinsafan dan kesedaran yang Kau tanjapkan dalam jiwaku. Semoga diri ini terus istiqamah dalam kebaikan berbekalkan semangat dan roh perjuangan Islam yang kental serta mati dalam husnul khatimah. Amiin.

Selain itu, masih segar di ingatan saya sedu-sedan tangisan ibu saya apabila saya mencipta sejarah menjadi Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UIA pertama yang berasal dari Sarawak dan yang pertama dari jurusan kejuruteraan. Malah airmata ibu saya sentiasa menitis setiap kali melihat wajah saya tampil di kaca televisyen di dalam program Bicara Siswa dan Remaja. Ibu dan ayah saya menjadi terlalu bangga malah menerima penghargaan hormat dari masyarakat sekeliling kerana anaknya yang suatu masa dulu merupakan anak seorang pengait kelapa sawit mampu muncul secara langsung di televisyen. Disebabkan inilah ibu dan ayah beroleh nama harum dalam masyarakat. Bukankah sebutan nama yang dimuliakan dan punya maruah itu merupakan impian semua manusia?

Ibu ayah saya sekali lagi menangis apabila saya tersenarai menjadi salah seorang daripada tiga orang mahasiswa UIA yang terpilih mengikuti Latihan Industri Kejuruteraan di bumi Jerman pada April – Jun 2004. Katanya, anaknya menggembirakannya kerana bagi ibu ia bagaikan sebuah mimpi apabila anak Kampung Muhibbah mampu menjejak kaki ke Eropah. Malah setiap kali saya outstation di dalam mahupun ke luar negara kini pasti airmata ibu saya mengiringi pemergian saya. Kata-katanya dalam nada gurauan – “Anakku sekarang naik kapal terbang macam naik teksi!” Atas segalanya, alhamdulillah!

Dan tangisan yang paling istimewa dan masih terbayang di ruang mata ialah tangisan ibu dan ayah ketika mendakap hangat diri ini saat selesai Konvokesyen dan anaknya berjaya bergraduat dengan kelulusan cemerlang Sarjana Muda Kejuruteraan Mechatronics. Lebih dari itu, alangkah gembira dan berbesar hatinya mereka apabila anaknya telah menjadi seorang jurutera, Ex-Engineer Perodua dan kini Control and Automation Engineer di Shell - insya Allah Engineer Dae’i liridhalLah! Malah air jernih dari kelopak mata ibu dan ayah mengalir lagi baru-baru ini apabila adik saya yang kedua juga berjaya menyelesaikan pengajian dan bergelar graduan.

Sungguh… Kesemua tangisan demi tangisan inilah yang sangat meruntun jiwa, menyentuh intuisi hati, menerjah sukma diri serta membangkit nyala rasa untuk menjadi anak soleh yang berjaya dalam kehidupan duniawi dan ukhrawi. Terlalu banyak jasa dan pengorbanan mereka yang tidak mungkin diri ini akan mampu membalasnya. Ibu dan ayah.. Kudoakanmu beroleh SyurgaNya!

My Beloved Mother and Father…
You raise me up, so I can stand on mountains
You raise me up, to walk on stormy seas
I am strong, when I am on your shoulders
You raise me up… To more than I can be!


Ketahuilah bahawa cinta ketiga teragung setelah Allah dan RasulNya adalah kepada ibu dan ayahmu. Bahawa setiap lelah dan kesakitan yang ditanggung ibumu itu, adalah tanda dia menyayangimu sedari kau belum berada di depan matanya lagi. Setiap titis susu yang kau minum itu adalah umpama mutiara kasih dari ibumu. Manakala ayahmu, berpenat lelah mencari nafkah membesarkanmu. Peluhnya tiada setimpal dengan wang ringgitmu. Luka hatinya tiada terbayar dengan hartamu!

Maka, ayuhlah kita fahami serta menjalankan fungsi dan tanggungjawab kita sebagai anak yang mampu menggembirakan dan membahagiakan ibu dan ayah tercinta! “Ya Allah, ampunkanlah dosa kami dan dosa kedua ibubapa kami dan kasihanilah keduanya sebagaimana mereka telah mengasihani kami sejak kami masih kecil!” Amiin.

Firman Allah SWT di dalam Al-Quran Surah Al-Isra’ ayat 23 – 24 bermaksud: “Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia. Dan agar kamu berbuat baik terhadap kedua ibubapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang daripadanya sampai umur lanjut dalam pemeliharaanmu, janganlah sekali-kali kamu mengatakan kepada kedua-duanya perkataan ‘Ah!’ dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah, “Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku sejak aku kecil lagi.”

Wallahu a’la wa a’lam.

http://www.muhtarsuhaili.com

Friday, May 13, 2011

Mencari Kebahagiaan........



sambungan....

Ada orang yang membuat kesimpulan bahawa rahsia yang tersembunyi di sebalik kegelisahan dan kesusahan itu hanya satu, iaitu: “Ketiadaan Iman”.

Amerika diberikan sebagai contoh, negara yang kaya raya, penuh kemewahan, kepelesiran segala rupa, tetapi digambarkan sebagai suatu kebobrokan yang berselimutkan keindahan. Itulah akibat kehilangan iman dan keruntuhan moral, budi dan kemanusiaan.

Jelasnya harta dan kekayaan bukanlah unsur pertama untuk dapat hidup bahagia. Bahkan boleh menjadi bencana dan mala petaka kepada yang mempunyainya. Namun, perlu diingat bahawa harta itu perlu dalam hidup ini, bahkan menjadi pokok dalam memenuhi berbagai keperluan hidup.

Adakah kebahagiaan kerana mempunyai anak? Memang anak-anak itu bunga kehidupan, perhiasan dunia dan tumpuan masa depan. Tetapi bukan sedikit anak-anak yang mendatangkan bencana kepada ibubapanya, membalas kasih sayang dengan kedurhakaan. Mendatangkan penderitaan kepada ibubapanya lahir dan batin. Ba hkan ada anak yang sanggup membunuh bapa sendiri kerana lobanya untuk memperolehi harta pusaka dengan cepat.

Adakah kebahagiaan itu dalam ilmu pengetahuan dan teknologi? Seorang pujangga barat telah mengambil satu kesimpulan, bahawa manusia dalam perjuangannya dengan alam, sesungguhnya telah mencapai kemenangan dengan senjata ilmu pengetahuan tetapi dalam perjuangan melawan hawa nafsunya sendiri belum mengarah kepada kemenangan.

Kalau begitu, di manakah terletaknya kebahagiaan?

Kebahagiaan sebenarnya terletak dalam diri manusia itu sendiri. Bahagia bukan dalam harta yang banyak, bukan dalam kekuasaan dan kemuliaan, bukan dalam memperoleh berbagai macam kesenangan, kepelesiran dan kemewahan. Bukan pula dalam ilmu pengetahuan tentang kebendaan.

Kebahagiaan itu suatu hal yang abstrak (tidak dapat diraba), tidak dapat dilihat mata, tidak dapat dihitung dengan jumlah angka-angka, tidak dapat disimpan dalam gudang, tidak dapat dibeli dengan wang.

Kebahagiaan itu suatu hal yang dirasakan oleh manusia di dalam batinnya sendiri, bukan di datangkan dari luar, iaitu jiwa yang bersih, hati yang tenteram, fikiran yang lapang dan perasaan tenang. Pada hakikatnya, kebahagiaan itu adalah suatu yang tumbuh dan bersemi dalam diri manusia.

Hanyalah keimanan yang dapat memancarkan ke dalam hati manusia sumber-sumber kebahagiaan, yang dirindukan oleh setiap orang. Kebahagiaan akan dapat dirasakan bila ada ketenangan, ketenteraman, keamanan batin, pengharapan, kepuasan, cita-cita dan kasih sayang.

Untuk itu semua Iman yang menjadi sumbernya. Dengan keimanan, akan terciptalah keamanan lahir dan batin.

Tuesday, May 10, 2011

Kebahagiaan




Kebahagiaan adalah impian setiap orang. Samada orang itu orang miskin atau orang kaya, pemimpin atau rakyat, lelaki atau wanita, tua atau muda, semuanya menginginkan kebahagiaan. Tidak ada orang yang ingin hidup dalam kesengsaraan.

Di manakah letaknya bahagia?

Persoalan ini telah menjadi teka teki kepada kebanyakan orang sejak zaman dahulu sampai sekarang. Manusia telah mencari dan mencuba berbagai cara untuk mendapatkan kebahagiaan. Dengan memperturutkan kehendak nafsu syahwat, memperoleh berbagai jenis barang kebendaan dan mendapatkan beraneka ragam kesenangan dunia. Tetapi sayang, mereka tidak memperoleh bahagia. Tidak merasakan kebahagiaan dalam erti yang sebenarnya. Kalaupun didapati kebahagiaan itu, ia hanya seketika sahaja.

Adakah kebahagiaan itu dapat dicapai dengan kesenangan hidup dan kecukupan harta benda? Memang ada manusia yang berfikir begitu. Tetapi kenyataannya, cuba perhatikan bangsa-bangsa yang telah tinggi tahap penghidupannya, cukup segala keperluan kebendaan, tetapi anehnya mereka masih merasa sempit dan tersepit, sehingga merasakan masih perlu mencari jalan lain untuk memperoleh kebahagiaan.

Lihatlah negara yang maju dan kaya raya. Tingkat perekonomian yang tinggi dan rakyatnya hidup mewah. Anehnya masih ada orang di sana yang hidup dalam keluh kesah dan putus asa. Ramai yang melarikan diri dari hidup yang dirasanya penuh kesulitan dan kepayahan itu dengan jalan membunuh diri.


Bersambung……..

Rujukan: Iman dan Kehidupan, al-Qardhawi




.