“Ibu Oh Ibu.. Engkaulah Ratu Hatiku!”
Saudara-saudara yang saya kasihi. Saya ingin kongsikan satu tulisan yang menarik perhatian saya yang saya temukannya di dalam satu blog, ditulis oleh Muhtar suhaili. Semoga ia memberikan sesuatu suntikan kepada saudara yang masih muda remaja...
Beliau menulis....
Entri ini sebenarnya saya tujukan khusus buat ibu dan ayah saya yang tercinta. Meskipun entri ini istimewa buat mereka, saya yakin dan percaya mereka tidak akan membacanya. Bukan kerana tidak ada akses internet, tetapi kerana ibu dan ayah saya buta huruf, tidak tahu menulis, tidak tahu membaca! Ibu saya belajar setakat Darjah 2 sebelum berhenti sekolah kerana kemiskinan. Ayah saya pula tidak pernah menjejakkan kaki ke bangku sekolah kerana telah menjadi yatim piatu sejak usia 5 tahun dan selepas itu tidak mampu ke sekolah, semuanya kerana kemiskinan.
Ayah dan ibu saya dulunya merupakan pengait kelapa sawit dengan gaji bulanan kasar kedua-dua ibu dan ayah keseluruhannya hanya antara RM150 – RM300 sebulan. Di dalam ceramah motivasi yang saya sampaikan, saya selalu memberitahu kepada peserta, sekiranya program ‘Bersamamu’ ada pada ketika itu maka keluarga kami lebih daripada layak masuk ke dalam program tersebut. Apapun, alhamdulillah, kehidupan keluarga kemudiannya lebih selesa sedikit setelah ayah diberi peluang mengusahakan sebidang tanah pertanian yang diberikan oleh pihak kerajaan.
Namun sejarah yang saya ceritakan ini bukan satu perkara yang membuat ibu dan ayah berasa malu tetapi inilah yang sesungguhnya membuat mereka gembira dan bahagia. Walaupun hidup dalam kemiskinan, ibu dan ayah saya bekerja keras dan berusaha gigih untuk memenuhi segala keperluan dan permintaan kami adik beradik dengan semampu mungkin. Ibu saya selalu berpesan: “Anak, biarlah ibu dan ayah sahaja yang susah, nanti bila besar jadilah orang yang cemerlang supaya dapat memperbaiki nasib hidup keluarga”.
“Ibu Oh Ibu.. Engkaulah Ratu Hatiku!”
Pengorbanan ibu dan ayah yang sesungguhnya telah banyak bersusah-payah demi melihat saya berjaya inilah yang telah membakar semangat diri untuk menjadi insan cemerlang dan mulia di dalam hidup. Wallahi, saya sudah banyak kali menitiskan air mata ibu dan ayah saya! Alhamdulillah, tangisan-tangisan itu adalah tangisan kerana bahagia dan bukannya tangisan kesedihan.
Saya masih ingat airmata ibu saya yang menangis gembira apabila saya mencipta sejarah antara 3 orang murid pertama di sebuah sekolah pedalaman – SRK Kelapa Sawit No.5 yang mendapat semua A iaitu 4A di dalam UPSR.
Saya masih ingat airmata ibu saya yang menangis gembira apabila saya menjadi anak buruh pertama di kawasan ladang-ladang kelapa sawit Niah tempat ayah saya bekerja yang mendapat semua A yakni 8A dalam PMR.
Saya pastinya akan ingat sampai bila-bila airmata ibu dan ayah apabila saya mendapat keputusan cemerlang Pangkat 1, Agregat 8 di dalam SPM dan mencipta sejarah apabila menjadi anak pertama Kampung Muhibbah yang menjejakkan kaki ke universiti. Malah pada ketika itu keluarga saya dan seluruh kampung mengadakan majlis kesyukuran bagi meraikan kejayaan saya menyambung pelajaran ke menara gading.
Saya akan kenang sampai bila-bila airmata ibu saya di Lapangan Terbang Miri apabila menghantar saya bersama ayah untuk pergi mendaftar di Pusat Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di Petaling Jaya dengan tambang kapal terbang adalah ehsan dari sanak-saudara. Malah airmata itu tidak berhenti menangis setiap kali datang menjemput ketibaan saya di lapangan terbang setiap kali cuti universiti dan airmata itu akan bercucuran lagi apabila menghantar saya pergi kembali ke kampus dengan menaiki belon (kapal terbang dalam bahasa Sarawak).
Saya tidak akan melupakan airmata gembira dan bahagia apabila ibu melihat perubahan hidup saya menjadi seorang yang menjiwai agama. Airmata ibu saya mengalir terharu apabila alhamdulillah saya merubah kehidupan lagha saya 180 darjah kepada kehidupan beragama (minaz zhulumati ilannuur – satu detik taubat yang tidak dapat saya gambarkan dengan kata-kata sehingga kini) pada tahun 1999. Inilah detik yang telah merubah saya sehingga menjadi seperti yang ada pada hari ini. Terima kasih dan syukur padaMu Ya Allah di atas nikmat keinsafan dan kesedaran yang Kau tanjapkan dalam jiwaku. Semoga diri ini terus istiqamah dalam kebaikan berbekalkan semangat dan roh perjuangan Islam yang kental serta mati dalam husnul khatimah. Amiin.
Selain itu, masih segar di ingatan saya sedu-sedan tangisan ibu saya apabila saya mencipta sejarah menjadi Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UIA pertama yang berasal dari Sarawak dan yang pertama dari jurusan kejuruteraan. Malah airmata ibu saya sentiasa menitis setiap kali melihat wajah saya tampil di kaca televisyen di dalam program Bicara Siswa dan Remaja. Ibu dan ayah saya menjadi terlalu bangga malah menerima penghargaan hormat dari masyarakat sekeliling kerana anaknya yang suatu masa dulu merupakan anak seorang pengait kelapa sawit mampu muncul secara langsung di televisyen. Disebabkan inilah ibu dan ayah beroleh nama harum dalam masyarakat. Bukankah sebutan nama yang dimuliakan dan punya maruah itu merupakan impian semua manusia?
Ibu ayah saya sekali lagi menangis apabila saya tersenarai menjadi salah seorang daripada tiga orang mahasiswa UIA yang terpilih mengikuti Latihan Industri Kejuruteraan di bumi Jerman pada April – Jun 2004. Katanya, anaknya menggembirakannya kerana bagi ibu ia bagaikan sebuah mimpi apabila anak Kampung Muhibbah mampu menjejak kaki ke Eropah. Malah setiap kali saya outstation di dalam mahupun ke luar negara kini pasti airmata ibu saya mengiringi pemergian saya. Kata-katanya dalam nada gurauan – “Anakku sekarang naik kapal terbang macam naik teksi!” Atas segalanya, alhamdulillah!
Dan tangisan yang paling istimewa dan masih terbayang di ruang mata ialah tangisan ibu dan ayah ketika mendakap hangat diri ini saat selesai Konvokesyen dan anaknya berjaya bergraduat dengan kelulusan cemerlang Sarjana Muda Kejuruteraan Mechatronics. Lebih dari itu, alangkah gembira dan berbesar hatinya mereka apabila anaknya telah menjadi seorang jurutera, Ex-Engineer Perodua dan kini Control and Automation Engineer di Shell - insya Allah Engineer Dae’i liridhalLah! Malah air jernih dari kelopak mata ibu dan ayah mengalir lagi baru-baru ini apabila adik saya yang kedua juga berjaya menyelesaikan pengajian dan bergelar graduan.
Sungguh… Kesemua tangisan demi tangisan inilah yang sangat meruntun jiwa, menyentuh intuisi hati, menerjah sukma diri serta membangkit nyala rasa untuk menjadi anak soleh yang berjaya dalam kehidupan duniawi dan ukhrawi. Terlalu banyak jasa dan pengorbanan mereka yang tidak mungkin diri ini akan mampu membalasnya. Ibu dan ayah.. Kudoakanmu beroleh SyurgaNya!
My Beloved Mother and Father…
You raise me up, so I can stand on mountains
You raise me up, to walk on stormy seas
I am strong, when I am on your shoulders
You raise me up… To more than I can be!
Ketahuilah bahawa cinta ketiga teragung setelah Allah dan RasulNya adalah kepada ibu dan ayahmu. Bahawa setiap lelah dan kesakitan yang ditanggung ibumu itu, adalah tanda dia menyayangimu sedari kau belum berada di depan matanya lagi. Setiap titis susu yang kau minum itu adalah umpama mutiara kasih dari ibumu. Manakala ayahmu, berpenat lelah mencari nafkah membesarkanmu. Peluhnya tiada setimpal dengan wang ringgitmu. Luka hatinya tiada terbayar dengan hartamu!
Maka, ayuhlah kita fahami serta menjalankan fungsi dan tanggungjawab kita sebagai anak yang mampu menggembirakan dan membahagiakan ibu dan ayah tercinta! “Ya Allah, ampunkanlah dosa kami dan dosa kedua ibubapa kami dan kasihanilah keduanya sebagaimana mereka telah mengasihani kami sejak kami masih kecil!” Amiin.
Firman Allah SWT di dalam Al-Quran Surah Al-Isra’ ayat 23 – 24 bermaksud: “Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia. Dan agar kamu berbuat baik terhadap kedua ibubapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang daripadanya sampai umur lanjut dalam pemeliharaanmu, janganlah sekali-kali kamu mengatakan kepada kedua-duanya perkataan ‘Ah!’ dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah, “Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku sejak aku kecil lagi.”
Wallahu a’la wa a’lam.
http://www.muhtarsuhaili.com
No comments:
Post a Comment