Pages

Sunday, May 22, 2011

Muhasabah Diri.


Muhasabah diri

Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab.

Pernahkah kita menghisab diri kita, sebagaimana seorang peniaga yang sentiasa mengira untung ruginya. Kemudian sentiasa berusaha menjaga perniagaannya supaya sentiasa untung dan tidak mengalami kerugian?

Pernahkah kita memerhatikan dan menilai kedudukan kita untuk memastikan kita berada di atas landasan yang benar supaya sampai kepada tujuan atau matlamat hidup ini?

Sebagaimana seorang jurumudi atau kapten sebuah kapal yang sentiasa memerhatikan kepada pedoman atau kompas untuk memastikan kapalnya sampai ke destinasi atau pelabuhan yang ditujunya.

Pernahkah dengan terbenamnya matahari dan berakhirnya hari siang, kita menghitung amal kebajikan yang telah kita lakukan sepanjang hari?

Kalau kita diberikan soalan-soalan dalam satu peperiksaan, dan perlu menjawabnya dalam jangkamasa yang telah ditetapkan, sudah tentu kita akan cuba untuk menjawab semua soalan untuk memastikan kita berjaya dengan cemerlang.

Tidak ada orang yang hanya menjawab separuh soalan sahaja kemudian termenung atau berkhayal sambil menunggu masa peperiksaan tamat. Tetapi masih mengharapkan untuk mendapat markah yang cemerlang.

Muhasabahlah diri kita..

Setiap kita diberikan peruntukan masa untuk hidup. Yang perlu diisi dengan sebaik-baiknya. Masa itu adalah kehidupan.

Allah tidak ciptakan Jin dan Manusia melainkan untuk mereka beribadat kepadaNya.

Beribadah adalah ketika kita hidup. Hidup adalah sepanjang masa yang berjalan sehinggalah seseorang itu mati. Masa adalah kehidupan.

Muhasabahlah diri kita……

Sepanjang kita hidup ini berapa banyak masa telah kita gunakan untuk beribadah.
Dalam satu hari apakah ibadah yang kita lakukan?

Adakah setimpal ibadah yang kita lakukan dengan nikmat-nikmat yang kita kecapi di atas dunia ini? Nikmat penglihatan, nikmat pendengaran, nikmat makan minum, dan nikmat-nikmat lain yang tidak terhitung oleh kita.

Adakah setimpal ibadah yang kita lakukan dengan nikmat syurga yang kita sama-sama harapkan di akhirat nanti?

Sama-samalah kita fikir dan renungkan,

Marilah kita mempertingkatkan amal kebajikan kita.

No comments:

Post a Comment