Pages

Thursday, May 26, 2011


Surat jemputan kahwin datang mencurah-curah dalam beberapa hari kebelakangan ini.. Sudah menjadi kebiasaan, bila tiba musim cuti persekolahan, banyaklah majlis perkahwinan diadakan.

Maka ‘ujian perkahwinan’ pun bermula….

Mungkin kita jarang berjumpa dengan ungkapan ‘ujian perkahwinan’. Yang biasa kita dengar ujian memandu, ujian akhir tahun, ujian bertulis, ujian kecerdasan dan ujian-ujian lain yang seumpamanya.

Apakah rasionalnya saya mengatakan ‘ujian perkahwinan’?

Di dalam setiap ujian, semua orang yang menghadapi ujian akan berusaha bersungguh-sungguh untuk berjaya dengan cemerlang, atau sekurang-kurangnya lulus. Sudah tentu mereka semua membuat persedian awal sebelum menghadapi ujian dan semasa ujian pula mereka akan memberikan tumpuan sepenuhnya untuk memastikan semua jawapan yang diberikan adalah betul.

Biasanya begitulah caranya bila disebut ujian..

Apabila saya menyebut ‘ujian perkahwinan’, maka saya mengharapkan situasi yang sama akan berlaku, di mana pasangan yang memasuki alam perkahwinan akan sama-sama merasakan bahawa mereka sedang menghadapi ujian. Tempuh ujian itu adalah sepanjang mereka bergelar suami isteri. Sudah tentu mereka sama-sama berharap untuk lulus ‘ujian’ itu.

Dalam erti kata yang lain, mereka yang berkahwin sudah pasti mengharapkan agar perkahwinan mereka berjaya, bahagia, jodoh berpanjangan sehingga ajal yang memisahkan mereka.

Ujian sepanjang perkahwinan pula boleh datang dalam berbagai-bagai bentuk. Ada ujian yang menguji pihak isteri, ada ujian yang menguji pihak suami, ada ujian yang menguji kedua-duanya sekali.

Rempah ratus, asam garam, pahit maung dalam kehidupan berumah tangga adalah ujian. Ujian semasa senang, ujian ketika kesusahan, ujian bila mempunyai anak, ujian daripada pihak mertua, ujian daripada pihak ketiga, dan berbagai-bagai ujian lagi kalau hendak diperincikan. Termasuk juga ujian di bilik tidur..

Ujian-ujian beginilah yang saya fikir, kalau tidak disedari dari awal boleh menyumbang kepada gagalnya sesebuah perkahwinan.

Beberapa hari yang lepas saya menerima satu e-mail daripada seorang ‘kawan internet’ menyatakan kegusarannya tentang kadar penceraian yang semakin meningkat sejak akhir-akhir ini. Beliau mencadangkan supaya saya menghantarkan komen-komen dan cadangan kepadanya berupa penyelesaian kepada masalah tersebut. Oleh kerana beliau seorang yang berperanan di dalam bidang motivasi, mungkin beliau memerlukan idea-idea tersebut.

Saya bukanlah mahir untuk memperkatakan permasalahan ini. Cuma apa yang saya boleh curahkan adalah melalui pengalaman hidup saya sendiri dan juga apa yang saya lihat berlaku dalam masyarakat.

Secara tidak langsung saya juga turut sama mencari idea-idea berhubung dengan soal perkahwinan dan perceraian. Dan..mungkin idea itu datang sedikit demi sedikit. Sebagaimana yang saudara dapat baca tulisan saya kali ini.

Untuk kali ini setakat ini dulu idea saya. Sekiranya saya ada idea-idea baru akan saya sambung lagi lain kali insya Allah.

Wallahua’lam..

No comments:

Post a Comment