Pages

Monday, April 28, 2014

Hikmah Obama singgah


Umar Hakim Mohd Tajuddin ISMA Activist
 

Umat Islam sentiasa diperingatkan untuk meyakini bahawa setiap perkara yang berlaku pasti akan diiringi hikmah. Lawatan Presiden Barack Obama, pada hujung minggu lepas turut menyingkap pelbagai hikmah untuk kita sama-sama renungi. Meskipun manfaat khusus kepada negara mungkin hanya akan dilihat dan dirasai selepas beberapa tempoh, kita sebenarnya beruntung kerana terdapat hikmah segera yang terzahir kesan daripada lawatan bersejarah ini.

Dalam satu slot khusus, 10 wakil pertubuhan sivil telah diberi peluang untuk mengadu tentang ‘masalah’ yang dilalui mereka di Malaysia kepada Presiden Amerika Syarikat itu. Tidak sukar untuk menelah apakah yang telah dicurahkan kepada Obama jika dilihat daripada senarai pertubuhan dan individu yang ‘terpilih’ itu.
Dua pertubuhan liberal iaitu Islamic Renaissance Front (IRF) dan Sisters In Islam (SIS) hadir bersama-sama wakil Bersih 2.0, Empower dan Tenaganita. Datuk Ambiga Sreenevasan yang turut hadir dikatakan mewakili kumpulan hak asasi manusia Hakam. Dua wakil Kristian telah diundang iaitu Tan Sri Murphy Pakiam dan seorang lagi dari Majlis Gereja Malaysia (CCM). Ianya sesuatu yang ganjil apabila wakil rasmi daripada kumpulan agama lain tidak dijemput tetapi komuniti Kristian yang membentuk 9% segmen penduduk diwakili sehingga dua orang. Dua lagi pertubuhan lain yang hadir pada malam itu ialah Suhakam dan Majlis Peguam.
Jika diteliti, SIS, Empower dan Tenaganita merupakan antara ahli utama gabungan Comango yang membuat sejumlah tuntutan berkaitan hak asasi melampau dan juga kedudukan Islam sebagai agama persekutuan semasa sesi Semakan Berkala Sejagat (UPR) kelolaan PBB baru-baru ini. CCM pula ialah pertubuhan yang dinaungi Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) yang turut merupakan ahli gabungan Comango.

Tidak cukup dengan itu, kehadiran Honey Tan, ketua Comango, dalam pertemuan dengan Obama itu telah menimbulkan persoalan berikut. Adakah Comango kini mencari kekuatan baru dengan cuba melobi secara terus kuasa terbesar dunia itu untuk memberi tekanan ke atas kerajaan sendiri supaya menerima segala baki tuntutan yang gagal tempoh hari?

Kepada beberapa pertubuhan lain, ruang pertemuan dengan Obama ini semestinya bukan sekadar untuk berbasa-basi. Hakikatnya, hubungan erat mereka dengan agensi-agensi tajaan kerajaan AS sudah lama berakar umbi.

Bersih 2.0 misalnya mengakui bahawa mereka adalah penerima bantuan kewangan daripada National Democratic Institute (NDI) dan juga Open Society Institute (OSI). Kedua-dua organisasi ini memang diketahui sangat berpengalaman dalam mempengaruhi aktivisme politik negara sasaran berdasarkan matlamat jangka panjang dasar luar AS.

IRF pula tersenarai di Malaysia sebagai antara penerima utama tajaan daripada National Endowment for Democracy (NED), pertubuhan yang didanai secara tidak langsung oleh Jabatan Negara AS dan berperanan untuk memupuk fahaman demokrasi yang menepati dasar AS. Dengan dana tersebut, IRF diharapkan untuk menganjurkan forum dan seminar bertemakan sekularisme, liberalisme dan pluralisme dengan unsur-unsur pseudo-Islam.

Tidak mustahil jika pertemuan dengan Obama ini dijadikan ruang untuk memberi ‘kad laporan’ secara terus tentang hasil projek yang digerakkan dan memberi gambaran tentang bentuk bantuan tambahan yang mungkin boleh disalurkan berdasarkan halangan-halangan yang mereka tempuhi di negara ini.
Tidak menghairankan jika fakta-fakta ini akan menimbulkan seribu satu kesangsian dan kerisauan kepada masyarakat Malaysia secara umum. Timbul juga persoalan apakah sebenarnya yang diharapkan oleh golongan ini daripada kuasa dunia itu apabila mereka mengambil pendekatan bercerita masalah ‘rumahtangga’ sendiri kepada orang luar? Rekod AS sendiri dalam aspek hak asasi manusia bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan apatah lagi dijadikan harapan untuk menyelamatkan orang lain.

Kita tidak perlu pergi jauh untuk belajar apabila sejarah perit tanah air kita sendiri telah menunjukkan bahawa tindakan mengambil bantuan kuasa luar untuk menyelesaikan pertelingkahan dalaman hanya akan membawa natijah yang buruk. Pulau Singapura telah jatuh ke tangan penjajah apabila satu pihak termakan dengan janji manis wakil British untuk menyelesaikan masalah perebutan takhtanya. Tidak lama sebelum itu, Pulau Pinang telah turut tergadai dengan taburan janji yang hampir sama.

Hakikatnya, tiada istilah percuma apabila sesuatu bantuan dihulurkan oleh pihak yang kita sedia maklum akan agendanya. Setiap dolar yang dihulur pasti akan dituntut balasannya. Kita mungkin gembira apabila melihat agenda peribadi berjaya dimajukan tetapi ianya pasti tidak kekal lama sebaik menyedari yang kita sebenarnya hanyalah menjadi bidak yang menyempurnakan percaturan agenda yang jauh lebih penting kepada mereka.

Kita kemudiannya akan dikuis ke tepi untuk memberi laluan kepada bidak-bidak yang baru dalam percaturan lain untuk mencapai agenda mereka yang seterusnya pula. Sekadar itulah nilai kita di sisi mereka. Dalam beberapa dekad kebelakangan ini kita sendiri telah melihat bagaimana kuasa-kuasa besar dunia ini datang dan memanipulasi negara-negara sasaran lalu beredar setelah matlamat berjaya dicapai.

Dengan segala realiti dan hakikat yang dinyatakan tersebut, jIka pertubuhan ini masih tersua-sua menagih bantuan daripada AS ataupun kuasa besar lain, nyatalah bahawa mereka sedikitpun tidak mengendahkan risiko tergugatnya kedaulatan negara ini. Boleh dikatakan bahawa mereka lebih sanggup meletakkan masa depan negara ini dalam tangan kuasa luar asalkan hasrat singkat mereka tercapai.

Lebih jelek lagi jika mereka sendiri sebenarnya turut berkongsi agenda yang sama dengan kuasa-kuasa besar ini. Semoga Allah melindungi kita dan tanah air ini daripada segala ancaman dan tindakan ekstremisme yang datang dari luar mahupun daripada kalangan kita sendiri. Hanya syukur yang dapat dipanjatkan ke hadrat Allah atas segala hikmah yang terbentang menerusi episod lawatan singkat ini.


Umar Hakim Mohd Tajuddin
Aktivis ISMA

Sumber:   http://www.ismaweb.net/2014/04/hikmah-obama-singgah/?fb_action_ids=10201925916936382&fb_action_types=og.likes&fb_ref=above-post

No comments:

Post a Comment