Submitted by FatwaMalaysia on 12 December 2013 - 11:49am
- FatwaMalaysia's blog
- 86494 reads
ISU:
Apakah hukum untuk orang Islam menyebut “Rest In Peace – RIP” pada
ketika mendengar seorang yang bukan Islam meninggal dunia? Adakah ia
bergantung pada niat? Bagaimana jika ucapan itu hanya sebagai
penghormatan sesama manusia?
PENJELASAN:
Secara dasarnya Islam membenarkan ucapan yang baik terhadap orang
bukan Islam atas dasar kemanusiaan dan penghormatan terhadap hak mereka
dalam melaksanakan agama mereka. Ini dapat dikiaskan dengan penghormatan
Rasulullah s.a.w apabila Baginda berdiri menghormati jenazah seorang
Yahudi yang lalu di hadapan Baginda.
Dua (2) perkara penting dalam isu memberi ucapan kepada orang bukan
Islam. Pertama, niat seseorang dalam memberikan ucapan tersebut.
Sekiranya sesuatu ucapan diberikan dengan niat membenarkan kepercayaan
sesuatu agama yang jelas bertentangan dengan Islam, maka ia adalah
dilarang. Sementara sekiranya ia diucap sekadar penghormatan secara
umum, maka ia adalah harus.
Keduanya, latarbelakang tradisi istilah yang diucapkan. Sekiranya ia
telah menjadi sebahagian dari amalan keagamaan maka ia adalah dilarang.
Dalam konteks ucapan Rest in Peace, ia adalah satu bentuk ucapan doa
yang biasa diucapkan dalam agama Kristian terutama dalam mazhab Katolik
sejak abad ke-18. Ia juga biasanya diukir di batu nisan mereka yang
telah meninggal dunia di kalangan masyarakat Kristian. Versi penuh
ucapan tersebut yang berasal dari bahasa Latin itu ialah ‘May his soul and the souls of all the departed faithful by God’s mercy rest in peace.’
Ia juga mengandaikan orang bukan Islam tersebut akan mendapat rahmat
dari Tuhan sebagaimana doa asal yang disebut dalam bahasa Latin.
Sedangkan dari sudut akidah Islam seseorang yang mati dalam kekufuran
tidak akan mendapat keampunan dan rahmat dari Tuhan. Ini berdasarkan
ayat al-Quran, Surah al-Taubah:113, “Tidaklah dibenarkan bagi Nabi
dan orang-orang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik,
sekalipun orang itu kaum kerabatnya sendiri, sesudah nyata bagi mereka
bahawa orang-orang musyrik itu ahli neraka.”
Oleh yang demikian seorang Islam adalah amat tidak digalakkan untuk mengucapkannya kepada seorang bukan Islam.
Walaubagaimanapun Islam tidak menghalang seseorang Islam mengucapkan
simpati terhadap keluarga orang bukan Islam yang meninggal dunia dengan
ucapan yang tidak memberi implikasi keagamaan seperti “Saya bersimpati
dengan apa yang berlaku kepada anda “ atau “ kami mengucapkan kesedihan
atas kehilangan si fulan dari keluarga anda”.
Wallahu a'lam.
Sumber: http://www.e-fatwa.gov.my/blog/hukum-menyebut-rest-peace-rip-kepada-bukan-islam-meninggal-dunia
No comments:
Post a Comment