22 April 2014 bersamaan 22 Jamadil Akhir 1435
Wilayah Persekutuan Putrajaya
Seramai enam orang anggota delegasi Pertubuhan-pertubuhan Islam ke Semakan Berkala Sejagat (MuslimUPRo) mengadakan kunjungan hormat ke atas YAB Perdana Menteri, Dato' Sri Najib bin Tun Hj. Abdul Razak di pejabat beliau petang ini.
Delegasi ini diketuai Sdr. Azril Mohd Amin selaku Pengerusi/ Ketua Delegasi, dan disertai wakil-wakil pemimpin Pertubuhan-pertubuhan Islam (NGI) arus perdana, termasuklah Ust. Nasharudin Mat Isa (Pengerusi Yayasan Nassar), Dr. Yusri Mohamad (Naib Yang Dipertua YADIM), Ust. Mohamed Hafiz Mohamed Nordin (Pengerusi PEMBELA), Hj. Aminuddin Yahaya (Timbalan Presiden ISMA) dan Ust. Mohamad Gunawan Che Abd. Aziz (Sekretariat Ulama-Umara'). Kesemua pemimpin NGI ini adalah merupakan anggota delegasi MuslimUPRo yang telah menghadiri sesi-sesi berkaitan UPR semenjak bulan Oktober 2013.
Tujuan kunjungan hormat ini adalah sebagai susulan berterusan insiatif yang telah dilaksanakan MuslimUPRo di sepanjang sesi UPR lalu. Pihak MuslimUPRo menggesa pihak kerajaan agar meneruskan ketegasan terhadap usaha menjaga kedaulatan Islam di Negara ini serta tidak tunduk pada tuntutan-tuntutan berterusan NGO-NGO Hak Asasi Manusia, termasuk yang bergabung dengan COMANGO, yang mengancam kestabilan dan kesejahteraan masyarakat melalui topeng hak asasi manusia di peringkat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
Di samping itu, MuslimUPRo juga memaklumkan kepada YAB Perdana Menteri usaha berterusan yang dijalankan gabungan NGI-NGI untuk mempertahankan kedaulatan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan serta memperbaiki situasi hak asasi manusia menurut acuan Malaysia, melalui penubuhan Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia atau Centre for Human Rights Research & Advocacy (CENTHRA) sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan. Objektif-objektif CENTHRA ialah:
1) Memperhalusi kajian tema-tema penting di sekitar isu-isu HAM menurut pandangan Islam;
2) Sebagai medan untuk NGI berkongsi idea dan pengalaman semasa Proses UPR dan mendapatkan respons serta pandangan arah tuju perjuangan HAM menurut perspektif Islam;
3) Meneruskan sebahagian inisiatif penyelidikan dan penerbitan sebagai sumbangan terhadap kegiatan ilmiah di dalam bidang kajian Islam dan HAM;
4) Memperkasa wacana dan usaha advokasi Islam dan HAM di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa dengan pendedahan isu-isu mutakhir serta kupasan cabaran-cabaran yang melatari perkembangan perbahasan Islam dan HAM di pelbagai peringkat.
5) Mengenal pasti di kalangan ahli akademik dan aktivis NGI yang boleh diketengahkan untuk memperkasa agenda memperjuangkan isu-isu HAM dari peringkat serantau dan antarabangsa termasuk di dalam proses UPR.
PERLAKSANAAN PROGRAM DAN AKTIVITI CENTHRA
1) Menjalankan penyelidikan berkualiti tinggi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dengan penekanan kepada membangunkan pendekatan generik untuk Islam dan ekuiti global dalam hak asasi manusia ;
2) Menyumbang kepada perbahasan mengenai Islam dan Hak Asasi Manusia dan kajian masa depan mengenai Islam dan ekuiti global pada hak asasi manusia;
3) Menjalankan analisis dasar dalam bidang Islam dan ekuiti global dalam hak asasi manusia dengan penekanan khusus kepada kerja perbandingan antarabangsa;
4) Menyiasat pelbagai pendekatan bagi pengauditan Islam dan ekuiti global pada dasar hak asasi manusia dalam pelbagai jenis organisasi ;
5) Bertindak sebagai hab pengetahuan, menghasilkan laporan penyelidikan dan taklimat dan menyebarkan ini melalui laman web dan dalam format yang lain;
6) Penganjuran persidangan, seminar dan acara latihan untuk pelbagai penonton termasuk pengamal, pembuat dasar dan ahli akademik ;
7) Mewujudkan kerjasama dengan sektor swasta, awam dan sukarela untuk memastikan bahawa Pusat responsif kepada maklumat dan pembangunan keperluan mereka ;
8) Bekerjasama dengan penyelidik di universiti lain bagi memudahkan rangkaian dan mengelakkan pertindihan usaha.
Azril Mohd Amin
Pengerusi/ Ketua Delegasi MuslimUPRo
Sumber: Fb Muslimupro
No comments:
Post a Comment