Pages

Sunday, April 20, 2014

Pemahaman Apologetik – Benih Pluralisme Agama

Oleh admin - pada 21 Apr 2014 - dalam ARTIKEL /114

Sejak kebelakangan ini, kita sering terbaca artikel atau status facebook tentang satu persoalan yang penting, bolehkah bukan Muslim selamat dari neraka? Jawapan “apologetik” yang disampaikan di artikel-artikel dan status facebook berkenaan telah mengelirukan ramai orang sama ada di kalangan orang Islam mahupun bukan Islam.

Mungkin ada teman-teman kita yang bukan Islam mula berbicara, “berdasarkan penerangan ustaz A ini, kita tidak perlu masuk Islam kerana belum sampai hujjah Allah ke atas kami. Mana contoh di kalangan orang Islam yang berakhlak mulia seperti rasul kamu? Tidak ada contoh negara Islam yang baik. Pemimpin-pemimpin Islam pula di kalangan orang Islam sendiri dikatakan pecah amanah dan tidak adil. Kalau ikut ustaz A dan ustaz B yang terkenal itu, Allah tidak akan mengazab kami kerana hujah belum memadai di Malaysia. Mungkin kami yang masuk syurga sekalipun kami bukan Islam sebab kami seorang yang baik dan jujur manakala pemimpin kamu akan ke neraka sebab mereka pecah amanah.”
“Malah, kamu tak layak panggil kami kafir kerana kami tidak menerima dan melihat ajaran Islam yang sebenar. Kafir ini satu penghinaan kepada kami.”

Memang berat andai kata persoalan tersebut dilontarkan kepada kita terutama orang awam.
Malah apabila kita fikirkan, apakah mesej sebenar para ilmuan Islam tersebut? Adakah mereka bermakna untuk mengatakan bahawa “wahai penganut agama lain, jangan risau. Tidak mengapa mati dalam agama kamu kerana Allah Maha Pengampun jika umat Islam tidak menyampaikan kepadamu Islam yang sebenar. Engkau tidak berdosa, umat Islam yang berdosa. Teruskan berada dalam agamamu.”

Saya yakin itu bukan niat mereka kerana sesiapa yang mempelajari tentang Islam akan mengenali bahawa sesungguhnya kita tidak mengenali dakwah sedemikian dari lipatan seerah Rasulullah saw mahupun perjalanan hidup para sahabat dan para tabiin sendiri. Sesungguhnya dakwah yang disampaikan ketika Rasulullah saw di Mekah adalah jelas dan terang tanpa ada kompromi sedikit pun terhadap keesaan Allah swt dan kebenaran ajaran Islam.

Erti seorang muslim
Kita harus bertanya semula apakah ertinya menerima Islam itu? Apakah ia bererti apabila seseorang yang mengucapkan ungkapan-ungkapan berbahasa Arab, walaupun tidak memahami makna yang terkandung dalam ucapan mereka, layak disebut seorang Muslim?
Jawapannya tidak. Erti menerima Islam adalah bahawa seseorang wajib dengan penuh kesedaran dan kesengajaan menerima apa yang telah diajarkan oleh Rasulullah Muhammad saw dan bertindak sesuai dengan ajaran tersebut. Barangsiapa yang berbuat demikian, maka ia adalah seorang Muslim dan barangsiapa yang tidak berbuat demikian, ia bukanlah seorang Muslim.

Perbezaan muslim dan kafir
Setiap Muslim percaya bahawa seorang Muslim lebih tinggi darjatnya daripada seorang kafir. Allah senang terhadap seorang Muslim dan benci kepada orang kafir. Seorang Muslim akan memperoleh keselamatan daripada Allah, sedangkan seorang kafir tidak. Seorang Muslim akan masuk ke syurga manakala seorang kafir akan masuk ke neraka. Inilah janji Allah.

Maka marilah kita fikirkan, mengapa ada perbezaan yang begitu besar antara seorang Muslim dan seorang kafir? Padahal seorang kafir adalah juga keturunan Adam. Mereka juga manusia. Mereka juga punya tangan, kaki, mata dan telinga. Mereka pun bernafas dengan udara yang sama, minum air yang sama dan hidup di bumi yang sama. Allah juga adalah Penciptanya juga. Maka, mengapakah darjatnya rendah dan darjat seorang muslim tinggi? Mengapa yang Islam semua nanti akan ke syurga dan yang menolak Islam ke neraka?
Perbezaan besar antara seorang Muslim dan seorang kafir bukan hanya kerana nama, bukan hanya kerana seorang dikhatan atau tidak, bukan kerana seorang makan khinzir atau tidak. Allah yang Maha Kuasa, tidak mungkin bertindak sedemikian kejam mendiskriminasikan antara makhluknya semata-mata kerana kerana perbezaan tersebut.

Jawapannya hanyalah satu, yakni kerana Islam dan kufr. Islam bererti kepatuhan kepada Allah sedangkan kufr bererti keengkaran kepada Allah. Orang Islam dan orang kafir kedua-duanya adalah manusia dan hamba Allah. Namun satu berkedudukan mulia kerana ia mengakui Allah itu Esa, mematuhi perintah-Nya dan takut akan hukuman apabila melanggar batasan-Nya. Manakala yang kafir terperosok dari kedudukan kemuliaan tersebut kerana ia mempersekutukan Allah dengan sesuatu dan tidak melaksanakan perintah-Nya. Itulah sebabnya Allah senang dengan orang Muslim dan benci kepada orang kafir.

Asas perbezaan – Pengetahuan dan perbuatan
Daripada huraian di atas jelaslah ada dua asas yang membezakan antara seorang Muslim dengan seorang kafir. Yang pertama adalah pengetahuan dan yang kedua perbuatan.

Pengetahuan bererti bahawa seorang Muslim harus tahu dan mengiktiraf siapa Tuhannya, apa perintah-perintahNya, bagaimana cara-cara untuk menuruti kehendakNya, perbuatan-perbuatan mana yang disukaiNya dan mana yang tidak disukaiNya. Bila ia sudah tahu akan hal-hal tersebut, maka langkah yang kedua ialah bahawa ia harus menjadikan dirinya sebagai hamba dari Tuhannya, melaksanakan kehendak-Nya dan mengabaikan kemahuan-kemahuannya sendiri.

Inilah pengetahuan dan perbuatan yang menjadikan seorang Muslim sebagai hamba Allah yang sejati, yang mendapat limpahan rahmatNya serta kedudukan yang luhur dan mulia. Islam tidak lain adalah penghambaan seseorang semata-mata kepada Allah. Ia sama-sekali tidak mengikuti kemahuannya sendiri atau rakan parti politik atau kemahuan nenek-moyang atau kemahuan keluarga dan kaumnya atau kemahuan sesiapapun yang lain selain kehendak Allah semata-mata.

Seseorang yang tidak ingin menjadi seorang Muslim, tidak dapat dipaksa untuk melakukan sesuatu yang bertentangan dengan kemahuannya, ia bebas memeluk agama apa pun yang disukainya dan menyebut dirinya dengan sebutan apa pun yang disukainya.

Tetapi seseorang yang menyebut dirinya sebagai seorang Muslim mesti tahu dan mengerti bahawa ia hanya dapat dan tetap menjadi seorang Muslim selama ia berada dalam ikatan Islam. Ikatan Islam itu ialah menerima Al-Quran dan As-Sunnah Rasul sebagai landasan kebenaran dan keadilan serta memandang segala sesuatu yang bertentangan dengannya sebagai kebatilan. Islam adalah rahmat kerana aqidah yang dibawanya menyelamatkan manusia daripada kesesatan tersebut. Barangsiapa yang tetap tinggal dalam ikatan ini adalah seorang Muslim dan barangsiapa yang keluar daripada ikatan ini bererti ia telah keluar dari Islam.
“….Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir.” (Surah Al-Ma’idah: Ayat 44).
Pendeknya, nisbah kekufuran seseorang adalah menurut sejauh mana ia telah membangkang terhadap hukum Allah.

Penutup
Sebagai manusia kita harus berhukum berdasarkan kepada apa yang zahir di mata kita. Di situlah hukum syariat Allah. Manakala perkara ghaib itu kita serahkan kepada Allah kerana itulah hak-Nya. Hukum di dunia adalah berdasarkan apa yang zahir manakala hukum di akhirat adalah hak Allah. Kita tidak boleh berhukum berdasarkan andaian kerana ia hanya akan merungkaikan syariat Islam.

Apapun kekurangan umat Islam pada hari ini dan apapun kelemahan pentadbiran pemimpin Islam pada waktu ini tidak harus menghalang kita mengajak manusia ke arah Islam dan melunturkan mesej dakwah Islam. Kita tidak harus bersikap terlalu apologetik dengan niat mahu membuktikan kelembutan Islam sehingga menerangkan kepada masyarakat yang bukan Islam bahawa mereka berpeluang untuk ke syurga sekalipun tidak memeluk Islam. Niat baik tersebut sebenarnya tidak membantu menyelamatkan atau membawa manusia ke arah satu-satunya agama yang diredhai Allah. Malah, ia hanya menggalakkan penyuburan pemahaman pluralisme lalu mereka terus kekal sesat di dalam agama mereka di atas keyakinan bahawa semua agama adalah sama di sisi Allah swt.

Benarlah firman Allah swt, Al-Imran 19-20:
“Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya.
Oleh sebab itu jika mereka berhujah (menyangkal dan) membantahmu (Wahai Muhammad), maka katakanlah: “Aku telah berserah diriku kepada Allah dan demikian juga orang-orang yang mengikutku”. Dan bertanyalah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberi Kitab, dan orang-orang yang “Ummi” (orang-orang musyrik Arab): “Sudahkah kamu mematuhi dan menurut (agama Islam yang aku bawa itu)?” Kemudian jika mereka memeluk Islam, maka sebenarnya mereka telah memperoleh petunjuk; dan jika mereka berpaling (tidak mahu menerima Islam), maka sesungguhnya kewajipanmu hanyalah menyampaikan (dakwah Islam itu). Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat (tingkah laku) sekalian hambaNya.”

Abu Ameen
Arab Saudi

Sumber:  http://arusbaru.my/2014/04/21/pemahaman-apologetik-benih-pluralisme-agama/


No comments:

Post a Comment