Pages

Saturday, March 21, 2015

MENDAULATKAN SHARI'AH


Kita tahu hudud adalah modal politik PAS yang ditanam sejak puluhan tahun untuk menunjukkan PAS benar-benar parti Islam.

Kita juga tahu PAS hatta kalau bergabung dengan UMNO pun belum bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan hudud kerana sistem negara Westphalian seperti Malaysia ini berserta Perlembagaan Persekutuan yang diwariskan penjajah bukanlah satu template terbaik untuk mendaulatkan Shari'ah apatah lagi Raja-Raja Melayu sendiri masih kurang jelas akan hakikat kekuasaan mereka yang dibayangi UMNO selama hari ini.

Kita tahu agenda hudud ini akan berhadapan banyak cabaran, tapi mengapa kita perlu nyatakan sokongan kepada PAS?

Ini kerana bagi saya ianya adalah salah satu usaha awal untuk menaikkan semula Syiar (perlambangan) Islam di Malaysia.

Ianya adalah satu daripada banyak babak-babak penting berkenaan jalan cerita asal berhubung hak (position) peradaban Islam di Tanah Air ini bahawa hudud adalah sebahgian daripada "Shari'ah tapestry" yang berdaulat nun sebelum wujud parti-parti politik seperti UMNO, PAS, apatah lagi MCA, DAP, MIC, Gerakan dan jauh sekali PKR.

Wacana sosio-politik negara kita sekarang banyak berkisar berkenaan "competing visions" (persaingan visi) bagi mencorak wajah dan aspirasi Malaysia baru - seperti contoh apa yang The Star - selaku medium propaganda liberal, sekular dan bukan Melayu dengan kempen "rojak" dan "memoderatkan" (baca: sekularisasi) Melayu dan Muslim.

MCA, DAP menggelupur bukan kerana mereka bodoh tapi mereka tahu bilamana para pemimpin Melayu boleh bermuafakat (bukan bergabung) dalam hal-hal yang dasar buat umat Islam, maka kuasa politik Melayu dan kaum Muslimin semakin melebar dan ini menyukarkan mereka dalam usaha tawar-menawar dengan pihak kerajaan kelak.

Hudud ini akan "snowball" menjadi satu arus baru (pinjam ISMA) yang akan mengubah dan mengembalikan sosio-politik tanah air ini ke era sebelum Merdeka di mana Melayu kembali menjadi tuan asal tanah ini.

Maka kita harus hati-hati dalam bertindak dan bertutur kata dalam perjuangkan agenda Melayu dan Islam agar tidak masuk perangkap yang mereka sedang jeratkan iaitu "ekstrimisme". Mereka akan guna para pemuka Melayu yang sekular dan liberal untuk menjadi alat propaganda mereka untuk menyebarkan dakyah yang bertentangan dengan aspirasi umat Islam di Malaysia.

Kita juga khusus di kalangan pemimpin harus berani dan tampil "magnanimous" kepada semua bangsa walaupun kita memperkukuhkan kuasa politik Melayu dan Islam, ianya bukan satu ancaman kepada bangsa dan agama lain sebaliknya menjadi rahmat dalam erti kata asas politik negara menjadi lebih kuat dan stabil.
Ini jaminan yang kita wajib berikan kepada bangsa dan agama lain yang punyak hak mereka di tanah air ini juga.

Bezanya ialah Islam adalah hak awami (public) dan agama lain adalah hak peribadi (private).
Bila MCA, DAP, Gerakan mencabar rang hudud ini, ianya adalah satu kebiadapan ke atas Raja-Raja Melayu selaku Custodian Islam.

Mereka selaku ahli politik berkhidmat untuk Raja-Raja Melayu demi kemaslahatan umum bukan melihat Raja-Raja Melayu sebagai tunggul dan simbolisme semata-mata.

Parti-parti Melayu UMNO dan PAS harus tegas dan tidak goyang dengan segala macam gertak kerana ianya "superfluous" kepada kita kerana mereka mencabar sesuatu yang tidak boleh dicabar kerana ianya Haqq (masalah orang bukan Melayu faham "rights" tak sama dengan kita faham "haqq" yang diambil daripada Al-Qur'an sebagai bukan saja "rights" tapi juga "TRUTH").

Maka sama-samalah kita bermuafakat dan istiqamah. Bantu mana yang kurang berkenaan usaha PAS.
Tapi saya masih tak nampak pemimpin UMNO yang menyahut seruan PAS untuk mendaulatkan semula Syariah di Malaysia. Mana mereka? Mana Pemuda UMNO?


No comments:

Post a Comment