- Ahmad Razif (tengah) bersalaman dengan pegawai tentera ketika
- menghadiri Majlis Makan Malam di Batalion Ke-18 RAMD Kem Sri Pantai.
SEBERANG TAKIR – Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman sekali lagi menegaskan semua pihak termasuk bukan Islam perlu menghormati penguatkuasaan Enakmen Kesalahan Jenayah (Takzir) 2001 melalui Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).
Menurut Ahmad Razif, sebaik kerajaan negeri mengumumkan pelaksanaan enakmen jenayah syariah itu, ramai yang bersetuju dengan pelaksanaan tersebut, namun ada juga berpendapat sebaliknya.
Bagaimanapun katanya, enakmen jenayah syariah yang melarang wanita Islam berpakaian mencolok mata, wanita dan lelaki bukan muhrim menunggang motosikal bersama dan sebagainya, tidak akan menjejaskan bangsa lain sebaliknya lebih kepada usaha untuk mengekang gejala sosial terutama melibatkan golongan muda di negeri ini.
"Saya ingin tegaskan apa dilaksanakan ini adalah untuk kebaikan umat Islam tanpa menggugat bangsa lain. Kita beri keyakinan kepada bangsa lain bahawa kita akan hormati mereka (hak bukan Islam), tetapi mereka juga perlu menghormati penguatkuasaan yang kerajaan negeri laksanakan ini (Enakmen Kesalahan Jenayah (Tazkir) 2001).
“Dalam kehidupan bermasyarakat, kita kena saling menghormati. Apa yang kita laksanakan ini adalah untuk membentuk generasi muda yang lebih berdisiplin dan tidak terjebak dengan gejala negatif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam di Batalion Ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja Malaysia (RAMD) Kem Sri Pantai, di sini, malam kelmarin.
Kata Ahmad Razif, beliau juga sentiasa terbuka untuk mendengar segala pandangan berhubung pelaksanaan undang-undang syariah yang baharu dikuatkuasakan itu, tetapi tidak akan tunduk dengan kecaman sesetengah pihak yang tidak bersetuju dengan apa dilaksanakan kerajaan pemerintah.
Sementara itu, Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri akan membuat penambahbaikan dalam etika berpakaian dengan tidak mengambil tindakan undang-undang, sebaliknya lebih kepada kaunseling dan didikan.
“Kita perlu lihat secara lebih menyeluruh mengenai pakaian menyolok mata iaitu pemakaian macam mana dan sebagainya. Jadi, perkara ini masih dalam proses tambah baik dan kita akan laksanakan secara berperingkat,” katanya.
Sumber: http://www.sinarharian.com.my/edisi/terengganu/tidak-jejas-bangsa-lain-mb-1.366648
No comments:
Post a Comment